Sahabat Ilmu

Rabu, 21 Disember 2011

IMAM TERLEBIH RAKAAT; APA YANG PERLU MAKMUM LAKUKAN?

Soalan;
Assalamualaikum wbt,Jika imam telebih satu rakaat sebagai contoh: Sembahyang isyak. Selepas rakaat keempat imam terlupa dan terus bangun( walaupun di tegur oleh makmum) untuk rakaat yang kelima dan setelah selesai tahiyad akhir imam terus sujud sahwi dan seterusnya memberi salam. Persaolan:
1. Sabagai makmum adakah saya perlu terus mengikuti imam atau saya perlu berniat keluar drpd jemaah dan meneruskan tahiyad akhir saya pada rakaat yang keempat.
Sekian Terima Kasih.

Jawapan;

1. Dalam kes seperti di atas, makmum hendaklah memperingatkan imam dengan mengucapkan tasbih (Subhanallah). Bagi perempuan, hendaklah memperingatkan imamnya dengan menepuk di atas belakang tangannya. Ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Jika berlaku sesuatu di hadapan kamu ketika sedang solat[1] (dan kamu ingin memperingatkan/memberitahu tentangnya), hendaklah orang lelaki bertasbih, adapun perempuan hendaklah ia menepuk (di atas belakang tangannya)[2]” (HR Bukhari dan Muslim dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’idiy).

2. Jika imam tidak memberi perhatian dengan peringatan yang diberikan (yakni ia tidak kembali duduk), hendaklah makmum berpisah dari imam (yakni berniat mufaraqah) dan menyempurnakan solat secara sendirian. Jika makmum terus mengikut imam, batallah solatnya kerana ia mengikuti imam pada perbuatan yang tidak dikira solat.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Maksud berlaku sesuatu di hadapan kamu ialah seperti imam lupa, ada seseorang memohon izin dari kita (dan dia tidak mengetahui kita sedang solat), kita melihat ada seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam lubang atau kita ingin memberitahu sesuatu kepada orang lain dan sebagainya. Dalam semua keadaan tersebut, jika kita ingin memberitahu atau memperingatkan orang terbabit hendaklah dengan bertasbih atau dengan menepuk (bagi perempuan). (al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/92)

[2] Iaitu tapak tangan kanan menepuk belakang tangan kiri. Dilarang menepuk antara kedua tapak tangan kanan dan kiri dan jika dengan tujuan bermain-main, batallah solat. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 4, hlm 92 (Kitab as-Solah, bab Ma Yufsidu as-Solah…) dan hlm. 208 (bab Solat al-Jamaah).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab as-Solah, bab Taqdim al-Jamaah Man Yushalli bihim..
3. Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 3402.
http://insafislam.blogspot.com

3 ulasan:

azizul berkata...

seperti yg saya belajar,
1. makmum kena tunggu dlm tahiyat akhir, tak perlu mufarakah.
2. makmun kena berterusan suruh imam segera ke tahiyat akhir dgn bertasbih. jgn ikut imam, nescaya batal solat. imam tak batal kerana tak sengaja. kalu kita pun waswas seperti imam, tak mengapa.
3. imam yg sedar akan kesilapan, mesti terus ke posisi tahiyat akhir. tak perlu rukuk, sujud dsb.
4. jika imam tak berbuat demikian sedang dia telah sedar akan kesilapan, maka solatnya telah terbatal.
allahualam..

azizul berkata...

seperti yg saya belajar,
1. makmum kena tunggu dlm tahiyat akhir, tak perlu mufarakah.
2. makmun kena berterusan suruh imam segera ke tahiyat akhir dgn bertasbih. jgn ikut imam, nescaya batal solat. imam tak batal kerana tak sengaja. kalu kita pun waswas seperti imam, tak mengapa.
3. imam yg sedar akan kesilapan, mesti terus ke posisi tahiyat akhir. tak perlu rukuk, sujud dsb.
4. jika imam tak berbuat demikian sedang dia telah sedar akan kesilapan, maka solatnya telah terbatal.
allahualam..

IBNU MUSLIM berkata...

kalau imam tu kembali turun ke tahiyyat slps mdgr teguran makmum maka tunggula imam&bg salam dgn imam.. dlm kes diatas jika imam tetap teruskan rakaat yg terlebih tu stlh ditegur makmum- maka kita kena mufaraqah krn imam tlh tbatal..tq