Sahabat Ilmu

Rabu, 14 Disember 2011

FATWA: Perhiasan - Gelang

Soalan: Gelang penguluan (gelang berangkai-rangkai), gelang geruncung (untuk lelaki) dan perhiasan-perhiasan lain yang sama ada diperbuat dari emas Brunei atau tembaga kuning, ada digunakan oleh kedua pengantin perempuan dan lelaki. Apakah hukum memakai perhiasan yang dilarang oleh ugama itu dan adakah wujud hadits yang melarang perempuan memakai perhiasan yang berbunyi?

Jawapan:


الحَمْدُ ِللهِ َربِّ الْعَلَمِيْنَ, وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ, وَبَعْد
Adalah harus perempuan memakai barang-barang perhiasan yang diperbuat daripada emas. Keharusan ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam :

عن على بن أبى طالب رضى الله عنه يقول إن نبى الله صلى الله عليه وسلم أخذ حريرا فجعله فى يمينه وأخذ ذهبا فجعله فى شماله ثم قال إن هذين حرام على ذكور أمتى, أى: وحل لإناثهه
(رواه ابو داود)
Maksudnya: “Daripada Ali bin Abi Thalib Radhiallahu ‘anhu berkata: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil sutera lalu meletakkannya di sebelah kanannya, dan mengambil emas lalu meletakkannya di sebelelah kiri Baginda, kemudian Baginda bersabda: “Sesunguhnya kedua-kedua (barang) ini adalah haram ke atas lelaki umatku.” Ertinya (kedua-dua) “halalbagi perempuan mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala dalam hadits riwayat Ibnu majah menyebut:

عن على بن أبى طالب يقول أخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم حريرا بشماله وذهبا بيمينه ثم رفع بهما يديه فقال إن هذين حرام على ذ كور أمتى حل لإناثهم
Maksudnya: “Daripada Ali bin Abi Thalib Radhiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil sutera dengan tangan kirinya dan emas dengan tangan kanan Baginda kemudian Baginda mengangkat kedua-dua tangannya dengan berisi dengan berisi kedua-dua sutera dan emas, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua barang ini haram ke atas lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan dari kalangan mereka.”

Berdasarkan hadits ini difahamkan adalah haram lelaki memakai gelang geruncung yang diperbuat daripada emas, atau sekalipun gelang itu diperbuat daripada tembaga kuning, kerana gelang ialah perhiasan perempuan, jika lelaki memakai gelang, maka berlakulah hukum penyerupaan jenis kaum yang lain (perempuan).

Dasar hukum ini disandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

لعن الله المتشبهات من النساء بالرجال والمتشبهين من الرجال بالنساء
(رواه أحمد بن حنبل, أبو داود, الترمذى وابن ماجه)
Maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan (melaknat) lelaki yang menyerupai dengan perempuan.” (Hadits riwayat Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Adapun harus bagi perempuan memakai barang-barang perhiasan seperti cincin, gelang, loket dan seumpamanya dalam batas-batas yang ditentukan oleh syara’. Sama ada barang-barang perhiasan itu diperbuat daripada perak, emas, intan, berlian, atau seumpamanya selama mana tidak melampau batas yang nyata.

Hukum harus itu di antara lain berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Daripada Abu Musa Al-Asy’ari bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

حرم لباس الحرير والذهب على ذ كور أمتى وأحل لإناثهم
(رواه الترمذى)
Maksudnya: “Diharamkan memakai sutera dan (perhiasan) emas ke atas kaum lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan daripada kalangan mereka.”

Walaupun pemakaian perhiasan itu harus bagi perempuan namu Al-Qur’an memandu mereka supaya tidak terbabas dari hukum asal itu. Panduan itu sebagaimana firman Allah Ta’âla:

وقل للمؤمنت يغضضن من أبصرهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها وليضربن بخمورهن على جيوبهن ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن أو أبائهن أو ءاباء بعولتهن أو أبنائهن أو أبناء بعولتهن أو إخونهن أو بنى إخونهن أو بنى أخوتهن أو نسائهن أو ما ملكت أيمنهن أو التبعين غير أولى الإربة من الرجال أو الطفل الذين لم يظهروا على عورت النساء ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن وتوبوا إلى الله جميعا أيه المؤمنون لعلكم تفلحون
(سورة النور: 31)
Tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat padangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan bajunya dengan tudung kepala mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Nûr: 31)

Petunjuk yang diperolehi dari kandungan ayat itu, sebagaimana dalam kitab Rawâi” Al-Bayan karangan Al-Sheikh Ali Al-Shâbûni ialah:

(i) Pandangan (kepada wanita) adalah peratusan kepada zina, dan pelopor kemaksiatan, adalah tidak layak bagi seorang yang beriman untuk menempuh jalan itu.

(ii) Menahan pandangan kepada wanita dan menjaga kemaluan itu memelihara kesucian bagi insane dari perbutan-perbuatan yang kotor dan keji.

(iii) Tidak diperbolehkan bagi perempuan Islam menampakkan perhisannya, kecuali kepada suami dan mahram dari kerabat-kerabatnya.

(iv) Wajib ke atas perempuan Islam menutupi kepala, leher dan dadanya dengan kain tudungnya, agar tidak dilihat oleh lelaki bukan mahramnya.

(v) Kanak-kanak, khadam-khadam dan anak-anak yang belum mengerti urusan seks kerana usia mereka yang masih kecil itu tidak ada larangan atas mereka untuk masuk kepada ruang wanita.

(vi) Haram atas wanita muslim melakukan sesuatu yang dapat menarik perhatian lelaki, atau membangkitkan rangsangan yang menimbulkan fitnah.

(vii) Kewajipan atas semua orang mukmin, baik lelaki maupun perempuan, untuk kembali kepada Allah dengan bertaubat dan menyerah diri kepadanya serta berpegang kepada adab dan tata kesopanan Islam.

(viii) Adab dan tata kesopanan yang ditunjukkan oleh Islam di dalamnya mengandungi penjagaan bagi kehormatan keluarga, dan pemeliharaan bagi masyarakat Islam.

MEMAKAI PERHIASAN BUNYI-BUNYIAN

Berdasarkan penjelasan ayat Al-Quran di atas: Memakai perhisan yang berbunyi adalah dilarang (haram) kerana dengan bunyi itu akan menaruk perhatian kaum lelaki kepada perempuan seperti yang ditunjukkan oleh ayat:

ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن
(سورة النور: 31)
Tafsirnya: “Dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhisan mereka.”

Bahkan perempuan-perempuan dilarang dari segala sesuatu yang menarik perhatian atau menimbulkan nafsu syahwat lelaki. Sebab itu dia dilarang memakai wangi-wangian di hadapan lelaki asing.

Larangan perempuan memakai perhisan yang berbunyi itu disebut juga melalui sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam:

لا تصحب الملائكة ركبا معهم جلجل
(رواه النسائى)
Maksudnya: “Para malaikat tidak akan menemani mana-mana rombongan yang bersama mereka itu ada genta (perhiasan atau permainan yang mempunyai loceng (giring-giring) yang banyak).” (Hadits riwayat Nasa’i)
Sabdanya lagi:

لا تدخل الملائكة بيتا فيه جلجل ولا جرس ولا تصحب الملائكة رفقة فيها جرس
(رواه النسائى)
Maksudnya: “Para malaikat tidak akan memasuki sesebuah rumah yang ada di dalamnya genta dan loceng. Dan para malaikat tidak akan menemani mana-mana kumpulan yang ada padanya loceng.” (Hadits riwayat Nasa’i)

لا تصحب الملائكة رفقة فيها جرس
(رواه النسائى)
Maksudnya: “Para malaikat tidak akan menyertai satu-satu kumpulan yang ada padanya genta.” (Hadits riwayat Nasa’i)

وَاللهُ أَعْلَم

Rujukan: Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Tiada ulasan: