Muhammad bin Ishak menceritakan bahawa apabila Rasulullah s.a.w. pulang ke Madinah selepas mengalahkan Quraisy dalam peperangan Badar dengan pertolongan Allah ‘Azza wa Jalla, baginda memanggil orang-orang Yahudi supaya berkumpul di pasar Bani Qainuqa’ dan menyeru mereka dengan berkata: “Wahai orang-orang Yahudi sekelian, masuklah Islam sebelum Allah menimpakan kekalahan ke atas kamu sebagaimana telah ditimpakan-Nya ke atas orang-orang Quraisy!”.
Mereka menjawab: “Wahai Muhammad, janganlah kamu terpedaya pada diri sendiri dengan sebab kejayaanmu membunuh beberapa orang daripada Quraisy. Mereka itu kaum yang lemah dan tidak berguna serta tidak cekap dalam berperang. Tetapi kalau kamu berperang dengan kami, demi Allah kamu akan tahu bahawa kamilah orangnya, dan kamu tidak akan bertemu dengan orang-orang seperti kami!”
Menyahut jawapan yang sungguh bongkak dan memualkan itu, Allah Ta’ala menurunkan wahyu-Nya kepada kekasih-Nya, Muhammad s.a.w. bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam Neraka Jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan. Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah) dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya)." (Aali ‘Imran: 12-13)
Posted by Maznah Daud
Tiada ulasan:
Catat Ulasan