Sahabat Ilmu

Jumaat, 9 April 2010

KHUTBAH JUMAAT 9/4/2010

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ .فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

"Dan tidak akan reda kepadamu orang-orang Yahudi dan Nasrani, sehingga kamu mengikut agama mereka." Al Baqarah: ayat 120)

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahgia

Kebelakangan ini sudah seperti ada agenda tertentu yang menyentuh umat Islam di seluruh dunia sama ada berbentuk penghinaan, pertikaian, kritikan dan sindiran. Mereka mengambil kesempatan akibat dari kelemahan umat Islam sendiri sebagai senjata utama kekuatan mereka. Perpecahan di kalangan umat Islam menyebabkan terserlahnya kelemahan umat Islam yang memudahkan Barat dan Yahudi memainkan peranannya.

Penguasaan Barat dan Yahudi ke atas umat Islam kian tampak mutakhir ini. Mereka bukan sahaja menjajah mentaliti, budaya atau gaya hidup umat Islam, malah jauh dari itu mereka telah menjajah fizikal umat Islam terutama negara-negara Arab yang begitu mudah dipujuk dan dicucuk hidung. Kita sering bertanya, apakah punca kelemahan umat Islam hari ini?. Adakah disebabkan oleh kelebihan dan kekuatan serangan daripada musuh-musuh Islam, atau berpunca daripada kelemahan dalaman umat Islam sendiri?. Atau umat Islam yang sudah "diBaratkan" idealogi mereka sebagai perosak dan duri dalam daging umat Islam sendiri?.

Wajar kita fahami bahawa kelemahan dunia Islam hari ini bukanlah disebabkan hebatnya serangan musuh atau cekapnya perancangan mereka dalam mengatur strategi untuk menguasai umat Islam. Musuh-musuh Islam dapat menguasai umat Islam adalah kerana mereka bijak mengambil kesempatan terhadap pelbagai masalah, kepincangan dan kelemahan dalaman umat Islam sendiri. Justeru, umat Islam perlu bertanggungjawab di atas segala penindasan dan penguasaan Barat dan Yahudi ke atas diri mereka kerana umat Islam sendiri secara dalamannya telah menyediakan diri untuk ditindas dan dijajah.

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahgia

Menurut Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya, "Aina al-Khalal", sebenarnya umat Islam bukan lemah tetapi kurang kesedaran, lupa diri, tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi, tidak berdikari dan banyak bergantung kepada Barat, daya fikir yang kerdil, sempit dan beku (jumud), budaya taqlid yang merugikan, kekuatan rohani yang pudar, tandus ilmu, bankrap idea, muflis akhlak, ukhuwah antara umat Islam yang lemah, kerja yang tidak berkualiti dan kurang berkualiti, serta membiarkan sahaja sumber ekonomi dieksploitasi oleh musuh-musuh Islam.

Hakikat seperti di atas ini juga telah, sedang dan akan berlaku ke atas umat Islam di Malaysia. Puas sudah diusahakan oleh pelbagai pihak untuk memajukan umat Islam di Malaysia ini, namun masih ada lagi sifat kelemahan dalaman dan berkiblatkan segala dari Barat adalah terbaik dan sempurna.

Islam hanya tinggal pada nama dan ini telah membuka ruang yang luas kepada serangan pemikiran, budaya, politik dan ketenteraan. Serangan Barat ini boleh dikatakan sebagai dendam terhadap kekalahan mereka di dalam siri Peperangan Salib yang memakan masa hampir dua ratus tahun lamanya. Dari segi implikasi psikologi pula, Barat telah berjaya menyogok falsafah dominasi nilai-nilai western dan kemenangan fahaman materialisme ke atas konsep, doktrin serta cara hidup Islam.

Di dalam bidang pendidikan contohnya, betapa seriusnya kesan kekalahan Islam sehingga ilmu-ilmu utama seperti kejuruteraan, psikologi, sosiologi, biologi, astronomi, fizik, kimia, matematik, ekonomi dan perubatan yang di ajar di universiti terpisah jauh dari roh agama serta tidak ada hubungan langsung dengan Islam. Walhal kita mengetahui bahawa pengasas dan pelopor ilmu-ilmu ini adalah para ilmuwan Islam.

Sememangnya menjadi cita-cita Barat untuk menjadikan semua orang di dunia ini hidup serupa dalam satu budaya, berfikiran serupa tanpa perbezaan keperibadian dan jiwa yang melibatkan pengaruh agama, sejarah, kebudayaan, peradaban lampau, pendidikan dan nilai-nilai tradisi. Mereka ingin melahirkan anak-anak Muslim "celupan Barat" yang berwatak sekular serta jauh dari akhlak Islam. Cita-cita Barat ini sudah mula menambat di hati anak muda Islam dan Melayu di negara ini dengan sogokan program hiburan&sukan yang melekakan dan serangan saraf melalui dadah&seks bebas.

Kita tidak mahu akibat kejayaan dominasi Barat akan meranapkan umat dan agama Islam seperti yang terjadi semasa Mustafa Kamal al-Tartuk yang memerintah Turki pada tahun 1923. Beliau telah memusnahkan secara total sistem politik dan sosial Islam Turki lantas menggantikannya dengan sistem sekularisme dan nasionalisme. Beliau menghapuskan semua nilai tradisi Islam sehingga Turki tidak ubah seperti negara-negara Eropah lain. Ketika gerakan sekularisasinya sampai ke kemuncak, azan diharamkan dalam bahasa Arab dan ditukar ke dalam bahasa Turki. Pakaian Barat diwajibkan, wanita Islam tidak dibenarkan menutup aurat dan memakai serban, tarbus dan tudung kepala dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah.

Refomis dakwah Mesir, Hasan al-Banna dalam bukunya, "Rasa'il al-Imam al-Syahid", melahirkan kebimbangannya terhadap serangan-serangan Barat yang tidak mampu ditepis oleh umat Islam. Barat telah membawa gelombang kehidupan kebendaan kepada negara-negara Islam. Mereka berusaha menghalang umat Islam mempunyai unsur perubahan dan kekuatan.Melalui serangan sosial yang didukung oleh kelicikan politik, kepintaran helah serta kekuatan persenjataan, maka mereka berhasil mencapai apa yang mereka ingini.

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahgia

Kejayaan Barat dan Yahudi mendominasi umat Islam hakikatnya bertitik tolak dari kelemahan dalaman umat Islam, sehingga ia muncul sebagai umat yang hilang punca. Umat yang lebih menitikberatkan perselisihan remeh-temeh daripada berani membincangkan isu-isu besar dan cabaran. Walaupun umat Islam mewakili lebih satu perempat penduduk dunia, tetapi mereka menjadi umat yang kerdil, tiada kualiti, yang tidak mampu berperanan besar sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, mahupun bidang pengeluaran, malah menjadi umat yang tidak berupaya mempertahankan dirinya lagi.

Umat Islam kini lebih hampir kepada mati dari hidup, umat yang tidak berdaya berbuat apa-apa selain dari berteriak, beretorik dan melolong. Negara-negara Arab&kebanyakan negara umat Islam tidak pandai menggunakan kekayaan yang dikurniakan oleh Allah sehinggakan begitu mudah disedekahkan kepada pihak musuh yang akhirnya menyembelih umat Islam sendiri. Realiti ini telah dan sedang terjadi kepada seluruh negara yang diperintah oleh umat Islam termasuklah di Malaysia. Malah ia akan terus berulang sekiranya umat Islam masih tidak mahu sedar dari kancah kejahilan, permusuhan, persengketaan dan perpecahan yang meragut kewibawaan umat Islam.

Marilah kita mempertahankan serta menegakkan agama Allah dimuka bumi ini dengan sepenuh tenaga, pemikiran, harta, kekuatan tubuh badan demi kedaulatan dan tertegaknya sebuah kerajaan, pemerintahan dan suasana kehidupan yang mengikut acuan Islam yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.

INSYAALAH!! AKAN DISAMPAIKAN OLEH IBNU MUSLIM DI SURAU AL-IKHLAS(SURAU JUMAAT) BANDAR SG BUAYA RAWANG

Tiada ulasan: