Sahabat Ilmu

Selasa, 6 April 2010

Pertaruhan Dalam Permainan Adalah Judi

Soalan yang dikemukakan ialah :
Saya ada kekeliruan dalam bersukan seperti badminton, golf dan lain-lain yang mana sebelum permainan bermula ada dibuat perjanjian antara pemain seperti berikut :

1. Siapa yang kalah akan belanja makan atau air atau membayar kos bola atau bayaran kemasukkan dan lain-lain.

2. Siapa yang menang akan dapat duit yg terkumpul dari setiap pemain atau dapat makan free dan lain-lain.

Perkara diatas dilakukan dengan alasan untuk menjadikan perlawanan itu lebih bersemangat dan pemain akan bermain bersungguh2 untuk menang dan tidaklah bermain dalam keadaan bersahaja/longlai.

Soalan saya, adakah perkara diatas dikira bertaruh/berjudi?

Jawapannya
Maksud judi ialah mempetaruhkan wang atau seumpama dengannya bagi sesuatu permainan seperti permainan bola sepak, golf, badminton dan sebagainya. Judi juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam, kerana ia mempunyai pertaruhan, harapan dan hilang wang pertaruhan apabila perlawanan itu dimenangi oleh orang lain. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maidah : 90)

Judi ini tidak semestinya dengan bermain daun judi, main game kuda, sport toto, nombor ekor dan sebagainya. Setiap benda yang ada wang pertaruhan atau mempertaruhkan apa-apa benda adalah dikira sebagai judi. Jadi merupakan perkara yang telah diharamkan dalam Islam dan mempunyai dalil yang jelas (qat’i) dan tidak perlu dipertikaikan lagi untuk mencari kehalalannya.

Menjadi tradisi dalam permainan bola sepak, badminton dan sebagainya siapa yang kalah mesti membayar kos permainan tersebut atau belanja lawannya makan free dan sebagainya. Bagi pendapat saya berdasarkan dalil di atas, pertaruhan ini adalah haram, kerana ia melibatkan pertaruhan dan harapan untuk seseorang itu menang. Masalah ini sama dengan permainan daun judi yang mempertaruhkan duit dalam permainannya, sesiapa yang menang dalam permainan tersebut dia akan mendapatnya.

Di haruskan perlawanan bola sepak, badminton, golf dan sebagainya yang menawarkan hadiah bagi pemenang oleh penganjur dengan tidak mempunyai wang pertaruhan daripada pemain. Wang yang dikenakan sebagai wang pendaftaran sahaja dan tidak melibatkan apa-apa pertaruhan yang boleh disamakan dengan judi.

Hal ini sama juga dengan peraduan-peraduan sms yang mengenakan caj setiap jawapan yang diberikan dan peraduan sms itu tidak diketahui apa jadi dengan jawapan tersebut. pihak yang mengetahui hanyalah penganjurnya sahaja. Kadang-kadang itu soalan yang ada cukup mudah dan boleh dijawab oleh pelajar darjah 1. Orang yang menyertainya memang betul jawapannya tetapi tidak menang juga. Ini yang dikatakan judi dan penindasan. JAKIM dan bekas Mufti Perlis iaitu Dr. Asri Zainal Abidin telah mengeluarkan fatwa mengenai peraduan sms ini dengan mengatakan peraduan tersebut adalah haram sebab tidak mematuhi syarak dan membazir.

Ringkasnya, setiap perkara yang dipertaruhkan adalah judi, tidak kira jenis perkara dan barang apa yang dipertaruhkan. Sesiapa yang berjudi adalah dosa besar kerana melanggar perkara yang telah jelas diharamkan oleh syarak. Makanlah dari rezeki yang dihalalkan oleh syarak, iaitu rezeki yang dicari dari hasil penat lelah kita sendiri. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah : 172)

PENULIS: USTAZ NOR AMIN

Tiada ulasan: