Sahabat Ilmu

Rabu, 3 Mac 2010

SOAL JAWAB UMUM

1.Apakah hukumnya jika menggunakan kaedah bayi tabung uji untuk mendapatkan anak?

i. Bayi tabung uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara "terhormat" adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah, bayi tabung uji itu adalah tidak sah.

ii. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.

iii. Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara terhormat.

2.Apakah pandangan Islam tentang kewujudan bank air mani?

i. Mengadakan bank air mani adalah haram dalam Islam.

ii.Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya

iii. Permanian beradas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam.

iv. Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram.

3.Bagaimanakah pandangan Islam tentang pemindahan jantung dan mata orang mati kepada orang yang hidup?

a) Didalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.

b) Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.

c) Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

d) Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

4.Bagaimanakah pandangan Islam terhadap pembedahan mayat orang Islam (post-mortem)?

Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan bedah siasat atau si mati tertelan benda berharga atau si mati sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.

5.Apakah hukumnya menggunakan baja yang diperbuat dariapda najis seperti najis khinzir, lembu dan sebagainya?

i. Bahawa baja yang diperbuat daripada tahi babi adalah najis mughallazah, sementara hukum menggunakannya sebagai baja adalah harus serta makruh.

ii. Bahawa makanan ayam yang diproses daripada bahan-bahan yang bercampur dengan najis seperti darah lembu, darah babi dan lain-lain adalah harus atau halal

6.Bagaimanakah kedudukan Mak Nyah dalam Islam?

i. Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram daris egi syarak.

ii. Seseorang yang dilahirkan "khunsa musykil" iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan, lelaki dan perempuan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

7.Bolehkah dilakukan pemindahan mayat dari satu negeri ke satu negeri yang lain?

Pemindahan mayat dari satu negeri ke satu negeri yang lain adalah harus sekiranya keadaan memerlukan (darurat) tetapi mestilah dipastikan si mati dipindahkan dengan cara yang baik dan sempurna.

8.Bagaimanakah pandangan Islam bagi seseorang perempuan yang menggugurkan kandungan atas nasihat doktor yang disebabkan kecacatan?.

i. Menurut Ijmak Fuqaha, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.

ii. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara 1 hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami isteri.

iii. Ijmak Fuqaha berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu

9.Apakah pandangan Islam jika seseorang itu bersahabat atau meminta pertolongan jin?

i. Bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak adalah haram.

ii. Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa syirik adalah haram.

iii. Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.

iv. Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum adalah haram
WASSALAM

Tiada ulasan: