Sahabat Ilmu

Rabu, 3 Mac 2010

SOAL JAWAB UMUM / SEMASA

1. Uniform Seragam dan Aurat Muslimah

Soalan:

Assalamualaikum ust, saya ingin bertanya pendapat ust mengenai pemakaian wanita yang beruniform seperti polis dan kastam.Adakah pakaian sebegini menutup aurat?tudung dimasukkan kedalam baju dan bajunya longgar..minta ust tolong ulaskan dlm blog ust yer..

Jawapan: al-Fadhil Dr. Basri Ibrahim:

Uniform polis sebagaimana yang dilihat di pakai di malaysia adalah menutup aurat, namun jika dilihat dari sudut kesempurnaan menutup aurat adalah masih kurang sempurna dari kaca mata islam, kerana berdasarakan ayat 30-31 daripada surah al-Nur penutupan aurat berlaku dengan sempurna apabila bahagian dada turut ditutup dengan kain tudung dan bukannya kain tudung dimasukkan ke dalam kot dan seumpamanya.Usaha perlu dipertingkatkan agar penutupan aurat yang sempurna dilakukan di kalangan anggota polis wanita kita. Sekian wasallam.
Wallahualam.

2. Serangan Berani Mati
SOALAN :
Orang yang buat serangan berani mati tu kat Iraq tu, boleh ke dihukumkan mati syahid? minta pandangan ustaz. Terima kasih.

JAWAPAN:
Serangan Berani Mati diistilahkan sebagai amaliyyah fida'iyyah oleh sesetengah pihak seperti Pergerakan Fatah di Palestin. Tapi Hamas menggunakan istilah al-istisyhadiyyah kerana bertujuan menyerang dan mati syahid.

Metod kedua-dua serangan ialah meletupkan diri di tengah-tengah musuh. Diri sendiri akan terbunuh beserta dengan musuh-musuhnya. Namun, sama ada ia mati syahid atau mati mengorbankan dirinya semata-mata perlu dilihat kepada beberapa sudut.

Antaranya :
1- Niatnya ialah fi sabilillah dan bukan kerana hanya semata-mata demi negara atau membela kematian keluarga dan yang seumpamanya.
2- Serangan tersebut berlaku dalam negara yang diceroboh musuh seperti Palestin dan lain-lain.
3- Serangan tersebut adalah mensasarkan ke atas musuh-musuh yang menceroboh.
4- Serangan tersebut dilakukan kerana tiada cara lain lagi boleh digunakan untuk menyerang musuh.

Sekiranya serangan di Iraq itu menepati syarat-syarat tersebut,maka ia dianggap di sisi kita sebagai mendapat syahid. Jika tidak, maka mudah2an Allah mengampunkan dosa pelakunya sekiranya niatnya adalah untuk mendapatkan syahid. Mungkin pelakunya tersilap penilaian.

Wallahualam.

3. Imam Makmum...sujud sahwi

SOALAN:
Imam lupa qunut, selepas tu dia beri salam tanpa sujud sahwi. Ada jemaah yang sujud sahwi, tiba-tiba ada sorang jemaah yang menegur, katanya batal sembahyang sebab tak ikut imam...betul ke ustaz?

JAWAPAN : al-fadhil Ustaz Talib Abd Rahman

Solatnya sah bahkan dalam mazhab Syafi'i disunatkan sujud sahwi bagi makmum jika imam terlupa untuk sujud sahwi.

Solat makmum terbatal jika imam sujud sahwi tetapi makmum enggan sujud sahwi dalam keadaan dia mengetahui kewajipan mengikuti imam. Tapi kalau dia jahil, solatnya tetap sah.

Wallahualam.

4. Bayar Zakat Sendiri

SOALAN :
Bolehke saya bayar zakat harta tanpa melalui amil?

JAWAPAN : al-fadhil Ustaz Tirmizi Taha
Boleh membayar zakat tanpa melalui amil dengan membayarkan kepada paling tidak 3 orang atau lebih dalam satu asnaf atau 1 orang paling tidak bagi 3 asnaf.

Ini berdasarkan ayat 60 surah al-Taubah :
انما الصدقات للفقراء والمساكين والعاملين عليها والمؤلفة قلوبهم وفي الرقاب والغارمين وفي سبيل الله وابن السبيل... إلخ

Al-sadaqat ini didatangkan dengan lafaz jama' yakni lebih dari 2.

Wallahualam.

5. Hak Melawat Anak Dalam Jagaan Bekas Isteri

SOALAN :
Bolehkah isteri nusyuz tuntut harta sepencarian. Kemudian boleh tak suami mintak di mahkamah hak untuk melawat anaknya sebab bekas isteri tak beri ziarah anaknya..terima kasih.

JAWAPAN : al-fadhilah Ustazah Tengku Fatimah Muliana

Isteri berhak tuntut harta sepencarian. Dia cuma tidak berhak tuntut hak nafkah sepanjang nusyuz. Suami boleh minta hak melawat anak dan juga hak bermalam dengannya di mahkamah. Sekiranya kes dalam perbicaraan, boleh minta mahkamah keluarkan perintah sementara untuk tujuan tersebut.

Wallahualam.

6.Baik dan Buruk Dari Siapa

SOALAN :
Yang buruk itu dtg dr klmahan dr sndri"..& ada plak yg berkt mcm ni.."yg baik dr allah & yg bruk dr dr sndri tapi hakikatnya dr allah..yg mn st uer ust

Jawapan : Jawapan ini telah dibincangkan dengan YM Ustaz Engku Ibrahim bin Engku Wok Zin.

Kita wajib beriman dengan takdir Allah yang baik dan yang buruk sebagaimana hadis :

أن تؤمن بالقدر خيره وشره (riwayat Muslim rhm).
Justeru, segala ketentuan Allah s.w.t. sama ada yang baik dan buruk adalah datang dari Allah s.w.t.

Namun, dalam masalah ini, ia adalah soal adab kita hamba Allah s.w.t. denganNya. Jika dengan Raja pun kita tak akan sebut benda-benda tak molek darinya seperti 'raja berak' sebagai misal kerana adab kepadanya meski pun ia benar, maka dengan Allah s.w.t. apatah lagi.

Hal ini dapat diperhalusi dalam firman Allah s.w.t. melalui lidah NabiNya Ibrahim a.s. :

Maknanya : dan apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkanku.

sedangkan pada perbuatan Allah s.w.t. seperti makan dan minum, Nabi Ibrahim a.s. tidak menyebut apabila aku makan dan minum Dialah yang memberi... melainkan Nabi Ibrahim a.s. menyebut Dialah yang memberiku makan dan minum.

Di sini bukti bagaimana adab kita dengan Allah ditunjukkan. Sayugia kita beringat bahawa Nabi s.a.w. berakhlak dengan al-Quran sebagaimana hadis daripada Saydatina Aisyah r.ha. riwayat Muslim rhm.:

كان خلقه القرآن

Wallahualam.

7. Aurat Wanita Muslimah Dengan Kafirah

Soalan :

Aurat pmpuan Islam dgn pmpuan bkn Islam mstilah mnjg sm dgn mnjga dgn lelaki..mcm mn kalu kt dah knl ltr blkg pmpun bkn islm tu dn thu ltr blkg prmpn bkn islam tu..mknanya kt knl rpt dan dia pon thu kt org islam..kn jg aurt sm mcm dgn llki gak er?

Jawapan :

Dalam mazhab kita Syafi'i, ada dua qaul yang boleh dirumuskan di sini. Pendapat yang أصح ialah haram seorang kafirah sama ada zimmi atau pun tidak melihat aurat seorang muslimah. Justeru, wajiblah seorang muslimah menutup auratnya (selain muka dan tapak tangan) sebagaimana apabila berhadapan dengan seorang lelaki ajnabi.

Ini kerana kalimah نسائهن dalam ayat (...ولا يبدين زينتهن)kerana merupakan takhsis kepada muslimah. Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Saidina Umar r.a. yang menegah orang kafirah daripada memasuki bilik air bersama muslimah.

Juga kerana ada kemungkinan kafirah ini akan menceritakan kepada suaminya atau kawan lelakinya yang kafir tentang aurat wanita muslimah.

Pendapat مقابل الأصح menyatakan, tidak haram seorang kafirah melihat aurat muslimah kerana jantina yang sama.

Ulama Syafi'i ada mentarjihkan pendapat ini dengan menyatakan yang أصح ialah harus seorang kafirah melihat aurat muslimah yang biasa menurut adat kebiasaan dilihat untuk keperluan semasa bekerja atau melakukan kerja rumahtangga dan ini dikatakan pendapat yang muktamad.

Untuk rujukan lanjut, sila lihat Nihayah al-Muhtaj dan Mughni al-Muhtaj. Wallahualam.

***
الأصح - pendapat pengikut Imam Syafi'i yang lebih kuat
مقابل الأصح - pendapat pengikut Imam Syafi'i yang kuat

Wallahua'lam

8. Anak Tiri dan Janda Ayahnya

Soalan :

Seorang lelaki, kahwin dengan seorang wanita, kemudian bercerai. Selepas itu, lelaki tadi kahwin dengan wanita yang lain dan dapat anak. Soalannya, batal tak wuduk anak tadi dengan bekas isterinya?

Jawapan : al-fadhil Ustaz Tirmizi Taha

Secara ringkasnya, berikut ialah mereka yang batal wuduk atau dikira bukan mahram bagi seorang lelaki berdasarkan kepada hubungan perkahwinan tiri.

1) anak perempuan ayah tiri
2) cucu tiri
3) ibu mertua tiri bapa
4) isteri anak tiri
5) isteri ayah tiri

Dalam soalan tadi, anak tiri tersebut tidak batal wuduk dengan bekas isteri ayahnya. Ini kerana, apabila seorang bapa sudah 'menyentuh' seorang wanita yang menjadi isterinya, maka keturunannya hingga ke bawah haram ke atas wanita tadi.

Wallahualam.

SELAMAT MEMBACA DAN BERAMAL

Tiada ulasan: