Sahabat Ilmu

Rabu, 10 Mac 2010

Operasi Berani Mati Menurut Neraca Islam

Oleh: Mohd. Fikri Che Hussain (alamghiri@yahoo.com)
Hafiz Firdaus Abdullah (hafizfirdaus2@yahoo.com)
Pendahuluan

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Ta‘ala. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Begitu juga kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat yang diredhai Allah serta para ulama dan syuhada yang telah bersama-sama berjuang demi meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini.

Firman Allah Ta‘ala:

"Oleh itu, orang-orang (beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar."1

Seringkali kita mendengar di media tentang belia-belia Palestin, tak kira lelaki atau wanita, yang meletupkan diri mereka dalam rangka memberi kemusnahan kepada musuh, yakni orang-orang Yahudi - Israel yang telah menjajah negara mereka sejak tahun 1948. Tindakan ini, yang diistilahkan sebagai Operasi Berani Mati, mengundang perselisihan pendapat di kalangan umat Islam, adakah ia dibolehkan dalam syari‘at Islam atau ianya dilarang?

Kajian serta analisa terhadap beberapa ayat al-Qur’an, hadis Rasulullah, kisah sahabat dan pendapat para ahli fiqh menunjukkan bahawa tindakan ini termasuk sebagai satu cara berjihad di jalan Allah, justeru ia dibolehkan. Berikut dikemukakan hasil kajian tersebut, diikuti dengan analisa ke atas hujah-hujah pihak yang berpendapat Operasi Berani Mati adalah terlarang.

Operasi Berani Mati dalam pandangan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Operasi Berani Mati, atau istilah arabnya: al-Istisyhadi, amat jauh berbeza dengan operasi bunuh diri yang dikenali dalam bahasa arab sebagai al-Intihariyah. al-Istisyhadi secara umum boleh didefinisikan sebagai: “Tindakan jihad yang ditunjukkan oleh si pelakunya dengan mengharapkan syahid pada keadaan tersebut”.

Mengharapkan syahid adalah satu perbuatan yang disyari‘atkan oleh Islam sebagaimana yang diterangkan oleh banyak hadis yang bertaraf sahih sehingga al-Imam al-Bukhari (w.256H) sendiri telah meletakkan satu tajuk khas di dalam kitabnya, iaitu bab ‘Tamanni al- Syahadah’ yang boleh diertikan sebagai “Bab Mengharapkan Syahid.” Hadis tersebut berbunyi:

Daripada Abu Hurairah (radhiallahu ‘anh), Aku mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam bersabda:

"Demi jiwaku ditangan-Nya! Sekiranya ada seorang lelaki dari kalangan mukmin yang tidak mampu terhadap diri mereka untuk tinggal daripada diriku (yakni daripada keluar berjihad bersama aku), dan aku tidak dapati apa yang boleh membawa mereka (sebarang kenderaan yang boleh membawa mereka pergi berjihad), nescaya aku tidak akan tinggalkan mereka dari pasukan yang berjihad fi Sabilillah.

Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya! Aku berazam [bertekad & berharap] agar aku mati syahid berperang di jalan Allah, lalu aku hidup semula kemudian dibunuh lagi, lalu aku hidup dan dibunuh lagi, lalu hidup dan dibunuh lagi".2

al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (w.852H) menambah bahawa mengharapkan syahid adalah satu perbuatan yang dituntut sebagaimana hadis dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim (w.261H):

Barangsiapa yang mengharapkan mati syahid dengan penuh kebenaran (terhadap janji Allah) akan diberikannya sekalipun tidak menimpanya.3

Maksudnya, tetap diberikan ganjaran sekalipun dia tidak dibunuh syahid dan gugur sebagai syuhada. Al-Imam al-Hakim al-Naisaburi (w.405H) juga telah meriwayatkan hadis berikut daripada Sahl bin Hanif, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam bersabda:

Barangsiapa yang memohon kepada Allah agar dikurniakan syahid dengan penuh kebenaran, nescaya Allah akan menyampaikan darjatnya pada tingkatan syuhada sekalipun dia hanya mati di atas katilnya.4

Tiga hadis di atas mencukupi sebagai satu hujah akan keutamaan mengharapkan mati syahid dalam rangka berjihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta'ala.5

Adapun Operasi Berani Mati yang akan kita bincang dalam risalah ini, ia adalah satu tindakan pilihan terakhir (last option)dalam memerangi musuh. Ia adalah satu cara yang dapat memusnahkan musuh atau setidak-tidaknya dapat menggerunkan mereka sehingga tersemat perasaan takut di dalam jiwa mereka. Sememangnya tujuan asas jihad ialah memerangi musuh. Namun jika ini tidak mampu dicapai maka umat Islam dituntut melakukan apa sahaja untuk menggerunkan mereka sementara mencari kekuatan yang secukupnya untuk memerangi mereka. Firman Allah:

Dia-lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka ketika mula-mula mereka berhimpun (hendak memerangi Rasulullah).

Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah.

Maka Allah menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkan-Nya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.6

Firman-Nya lagi:

Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.7

Oleh itu diharuskan memerangi musuh dan menggerunkan mereka dengan apa jua cara dan kekuatan. Ini berdasarkan keumuman firman Allah:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.8

Termasuk kekuatan yang dapat disediakan oleh umat Islam ialah para pejuang yang sanggup mengorbankan dirinya jika sudah jelas tiada pilihan lain dalam memerangi dan menggerunkan musuh. Mengorbankan diri sendiri atau Operasi Berani Mati memiliki dalil daripada firman Allah Ta‘ala:

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.9

Selain itu hadis berikut menjadi rujukan, daripada Shu‘aib radhiallahu 'anh, beliau menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Ada seorang raja yang berkuasa sebelum kalian. Dia mempunyai seorang tukang sihir. Ketika tukang sihirnya semakin tua dia berkata kepada raja: “Aku sudah renta, oleh itu utuslah seorang anak muda supaya aku ajarkan sihir kepadanya.” Maka dibawalah seorang anak muda untuk diajar ilmu sihir. Di tepi jalan yang biasa dilalui oleh anak muda itu ada seorang rahib.

Suatu ketika anak muda itu menghampiri dan berbincang-bincang dengan rahib tersebut. Kata-kata rahib itu membuat anak muda itu merasa kagum. Maka setiap kali dia berangkat ke rumah tukang sihir, dia akan singgah ke rumah rahib dan duduk sejenak di sana. (Satu kali) kerana terlambat, ketika dia sampai di rumah tukang sihir, tukang sihir itu memukulnya. Anak muda itu pun mengadukan keadaannya kepada rahib. Rahib memberi pesanan: “Jika kamu takut kepada tukang sihir, katakan kepadanya bahwa keluargamu membuatmu terlambat. Dan jika kamu takut kepada keluargamu, katakan kepada mereka bahwa tukang sihir itu membuat kamu terlambat.”

Begitulah keadaannya sehingga satu ketika di mana anak muda itu mendapati orang-orang ketakutan kerana seekor binatang besar yang menghalangi jalan mereka. Anak muda itu berkata: “Hari ini akan aku ketahui siapa yang sebenarnya lebih baik, tukang sihir atau rahib itu.” Lalu anak muda itu mengambil sebongkah batu dan berkata: “Ya Allah, jika si-rahib lebih Engkau cintai daripada si-tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan orang-orang pun dapat bebas kembali.” Kemudian dia melemparkan batu yang digenggamnya. Binatang itu mati dan orang-orang pun bebas seperti sedia kala.

Sesudah itu dia pun menceritakan kejadian itu kepada rahib. Mendengarnya, rahib berkata: “Wahai anakku, hari ini kamu lebih baik dariku. Kamu sudah sampai kepada keadaan seperti yang aku lihat sekarang ini. Satu masa nanti kamu akan dizalimi. Jika itu terjadi janganlah kamu bercerita tentang diriku.” Sejak itu anak muda tersebut mula mengubati orang sakit kusta, orang yang matanya nyaris buta, dan pelbagai penyakit lain.

Salah seorang penasihat raja yang telah buta mendengar tentang hal ini dan dia datang kepada anak muda tersebut sambil membawa banyak hadiah dan berkata: “Semua yang ada ini akan aku berikan kepadamu jika kamu sembuhkan diriku.” Anak muda menjawab: “Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun. Hanya Allah yang menyembuhkan. Jika Anda beriman kepada Allah, aku akan memohon kepada Allah supaya Dia menyembuhkan anda.”

Lalu penasihat itu beriman kepada Allah dan Allah menyembuhkannya. Kemudian dia pergi menghadap raja seperti biasa. Raja bertanya: “Siapakah yang mengembalikan penglihatanmu?” Dia menjawab: “Tuhan-ku.” Rajanya bertanya: “Kamu mempunyai tuhan selain aku?” Penasihat menjawab: “Tuhan aku dan tuhan kamu adalah Allah.” Maka raja mula menyiksanya sehinggalah penasihat itu menceritakan berkenaan anak muda tersebut.

Lalu raja memanggil anak muda tersebut dan bertanya kepadanya: “Wahai anakku, ilmu sihirmu sudah dapat menyembuhkan penyakit kusta, buta dan sebagainya.” Anak muda menjawab: “Sungguh aku tidak menyembuhkan siapa pun. Hanyasanya Allah jualah yang menyembuhkan.” Mendengar jawapan tersebut anak muda itu terus disiksa sampai dia menceritakan perihal rahib (yang mengajarnya tempoh hari). Lalu raja memanggil rahib dan diperintahkan: “Kembalilah dari agamamu (kepada agama aku)!” Rahib menolak perintah tersebut. Maka raja memerintah supaya diambil gergaji lalu digergaji di pangkal kepalanya sehingga putus. Kemudian raja memanggil penasihat dan diperintahkan kepadanya: “Kembalilah dari agamamu (kepada agama aku)!” Penasihat itu juga enggan, lalu digergaji pangkal kepalanya sehingga putus.

Akhirnya dipanggil anak muda dan diperintahkan kepadanya: “Kembalilah dari agamamu (kepada agama aku)!” Anak muda itu turut enggan. Maka raja memerintahkan para pengawalnya: “Bawa anak muda ini ke sebuah bukit, apabila sampai ke puncaknya tawarkan kepada dia untuk kembali dari agamanya (kepada agama aku). Jika dia tetap enggan, maka lemparkanlah ke bawah.” Maka para pengawal membawa anak muda ke bukit. Ketika mendaki, anak muda itu berdoa: “Ya Allah! Dengan cara yang Engkau hendaki, selamatlah aku daripada mereka.” Maka bergoyanglah bukit tersebut sehingga para pengawal tersebut jatuh ke bawah. Anak muda berjalan kembali menemui raja. Raja bertanya: “Apa yang dilakukan oleh orang-orang yang membawa kamu?” Anak muda menjawab: “Allah menyelamatkan aku daripada mereka.”

Maka raja memerintahkan para pengawalnya yang lain: “Bawa dia ke tengah lautan, tawarkan kepadanya untuk kembali dari agamanya (kepada agama aku). Jika dia enggan maka tenggelamkanlah dia.” Ketika di bawa ke lautan, anak muda berdoa: “Ya Allah! Dengan cara yang Engkau hendaki selamatkanlah aku daripada mereka.” Maka kapal yang membawa mereka pecah sehingga tenggelam para pengawal (kecuali anak muda). Anak muda kembali menemui raja. Raja bertanya: “Apa yang dilakukan oleh orang-orang yang membawa kamu?” Anak muda menjawab: “Allah menyelamatkan aku daripada mereka.”

Kemudian anak muda menambah: “Sungguh, kamu tidak akan dapat membunuh aku kecuali jika kamu melakukan apa yang aku suruh.” Raja bertanya: “Apakah itu?” Anak muda menjawab: “Kumpulkan semua orang di satu tanah lapang. Salibkan aku pada sebatang pokok dan ambillah sebilah anak panah dari kantungku. Letakkan ia di tengah-tengah busur dan katakan: “Dengan nama Allah tuhan anak muda ini” lalu kemudian panahlah aku. Nescaya kamu akan dapat membunuhku.”

Maka raja mengumpul semua orang di satu tanah lapang. Dia salibkan anak muda pada sebatang pohon, lalu dia ambil sebilah anak panahnya dan diletakkan pada tengah-tengah busur. Kemudian raja berkata: “Dengan nama Allah, tuhan anak muda ini!” lalu terus memanahnya. Anak panah itu tepat mengenai muka anak muda itu. Dia meletakkan tangannya pada mukanya, tempat terpacaknya anak panah itu, lalu meninggal dunia. Orang-orang yang hadir di situ serentak berkata: “Kami beriman kepada tuhan anak muda. Kami beriman kepada tuhan anak muda. Kami beriman kepada tuhan anak muda.”

Seorang penasihat berbisik kepada raja: “Lihatlah, apa yang tuan bimbangkan – demi Allah – kini benar-benar terjadi. Orang-orang telah beriman semuanya (kepada Allah, tuhan anak muda)!” Setelah itu raja memerintah agar dibuat parit di sekeliling tanah lapang itu. Setelah parit digali, api dinyalakan. Raja berkata: “Sesiapa yang tidak mahu kembali dari agamanya (kepada agama aku), maka lemparkanlah dia ke dalam (parit yang dinyalakan api)!” Atau dikatakan: “Terjunlah ke dalamnya!”

Maka mereka semua (yang beriman kepada Allah) terjun ke dalam parit yang dinyalakan api tersebut. Sehingga ada seorang perempuan yang bersama anaknya dihinggapi rasa ragu sama ada untuk memasukinya atau tidak. Lalu anaknya berkata: “Wahai ibu, bersabarlah! Sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran (lalu akhirnya mereka terjun).”10

Hadis sahih di atas merupakan penjelasan Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam kepada ayat:
Celakalah kaum yang menggali parit, (parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, ketika mereka (Raja dan orang-orangnya) duduk di kelilingnya sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman (yang mereka perintahkan untuk terjun ke dalam parit). Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!11

Dalam hadis di atas, yang masyhur dikenali sebagai kisah Ashabul Ukhdud, kita dapati seorang anak muda yang merelakan dirinya dibunuh oleh raja. Kerelaan anak muda ini pada zahirnya seperti orang yang sengaja membunuh diri. Akan tetapi yang benar dia bukanlah membunuh dirinya tetapi mengorbankan dirinya demi menegakkan kebenaran. Atas tindakannya itu, maslahat tercapai dengan ramainya orang yang turut beriman kepada Allah. Mereka sanggup terjun ke dalam parit semata-mata demi memelihara keimanan mereka. Tindakan anak muda dan orang-orang yang mengikutinya tidak dicela oleh Allah, malah diberi kedudukan yang istimewa sehingga diabadikan kisah mereka di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.

"Berani Mati bukanlah tindakan yang dilarang atau ‘membunuh diri’ sebagaimana yang disangkakan oleh seba-hagian pihak. Sesiapa yang berjihad di jalan Allah bererti telah bersiap sedia untuk mengorbankan dirinya tanpa mengira bagaimana pengorbanan itu berlaku."

Ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Ashabul Ukhdud di atas menjadi dalil bahawa Operasi Berani Mati dibolehkan, malah termasuk dalam kategori jihad di jalan Allah. Ia bukanlah tindakan yang dilarang atau ‘membunuh diri’ sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian pihak. Sesiapa yang berjihad di jalan Allah bererti telah bersiap sedia untuk mengorbankan dirinya tanpa mengira bagaimana pengorbanan itu berlaku. Kisah Ashbaul Ukhdud riwayat al-Imam Muslim pula menjadi dalil bahawa boleh memilih untuk mengorbankan diri sendiri jika ia akan membawa maslahat kepada agama dan umat. Memang, terdapat perbezaan antara lepasan anak panah dan ledakan bom. Akan tetapi yang diambil kira bukanlah perbezaan sarana tetapi kesamaan matlamat, iaitu demi mencapai kemaslahatan untuk agama dan umat.

Operasi Berani Mati dalam pandangan mereka yang menolaknya
Sebagaimana yang disebut di bahagian awal artikel ini, terdapat sebahagian pihak yang menolak kebolehan Operasi Berani Mati. Mereka memiliki beberapa hujah tersendiri. Berikut dikemukakan hujah mereka diikuti dengan analisa sejauh mana kebenaran hujah tersebut.

Para imam keempat-empat mazhab membolehkan seorang muslim menjerumuskan dirinya ke dalam barisan pihak musuh, sekalipun dia tahu bahawa dia akan kehilangan nyawanya.

Hujah Pertama
Hujah Pertama yang lazim dikemukakan adalah bahawa Operasi Berani Mati termasuk dalam “menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan” yang dilarang oleh ayat:

Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.12

Analisa Ke Atas Hujah Pertama:
Yang benar ayat di atas perlu difahami secara keseluruhannya, bukan sepatah daripadanya sahaja. Secara lengkap ayat tersebut berbunyi:

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.13

Jelas bahawa maksud ayat adalah, janganlah seseorang itu meninggalkan persiapan-persiapan belanja untuk jihad di jalan Allah kerana ia akan melemahkan kekuatan mereka sehingga akhirnya mudah diserang musuh. Apabila musuh menyerang, pasti kebinasaan yang akan menimpa. Kebinasaan ini tidak lain adalah disebabkan oleh sikap mereka yang enggan menyedekahkan harta kekayaan sebagai persiapan jihad. Oleh itu hendaklah setiap orang sentiasa memperbaiki amalannya dengan memperbanyakkan sedekah dalam rangka menjamin kekuatan umat Islam seluruhnya.

Syaikh al-Maraghi dalam kitab tafsirnya merumuskan maksud ayat di atas sebagai:14

Kesimpulannya, orang-orang musyrik sentiasa mengintip kelemahan orang-orang Mukmin, Mereka itu jumlahnya banyak di sana sini dan ditakuti keburukan tindakan mereka. Jika orang-orang Mukmin meninggalkan persiapan berjihad untuk memerangi mereka kepada kesibukan membanyakkan harta benda, maka menjadilah di ketika itu, disebabkan perbuatan tersebut, kebinasaan kepada diri mereka sendiri (umat Islam).

Untuk menguatkan lagi penjelasan di atas, berikut dikemukakan penjelasannya oleh seorang ahli fiqh yang terkenal, Al-Imam Ibn al-‘Arabi rahimahullah (w.543H).15 Beliau menerangkan bahawa ada lima tafsiran terhadap “kebinasaan” yang dimaksudkan dalam ayat di atas, iaitu:

1.Tidak meninggalkan nafkah (sedekah perbelanjaan untuk jihad di jalan Allah).
2.Keluar (dalam rangka ekspedisi jihad) tanpa bekalan yang mencukupi.
3.Meninggalkan urusan jihad di jalan Allah.
4.Memasuki kawasan musuh yang tidak mampu untuk ditewaskan.
5.Berputus asa daripada pengampunan Allah.

Selanjutnya al-Imam Ibn al-‘Arabi menerangkan bahawa tafsiran-tafsiran di atas adalah benar melainkan yang keempat iaitu “memasuki kawasan musuh yang tidak mampu untuk ditewaskan.” Beliau berkata:

Maka sesungguhnya para ilmuan berselisih pendapat dalam hal ini. Berkata Al-Qasim bin Mukhaimirah, Al-Qasim bin Muhammad dan Abdul Malik daripada mazhab kami (iaitu mazhab Maliki): “Tidak mengapa (tidak salah) untuk seorang lelaki berseorangan menggempur musuh yang ramai bilangannya sekiranya dia memiliki keberanian dan ikhlas kerana Allah. Sekiranya dia takut maka hal itu merupakan satu kebinasaan terhadap dirinya".

Ada juga yang berpendapat sekiranya dia mengharapkan mati syahid dan ikhlas dalam niatnya, maka bolehlah beliau lakukan kerana tujuannya ialah mahu membunuh musyrikin walaupun seorang. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman (Allah) Ta‘ala:

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya”.16

Yang sahih di sisiku (al-Imam Ibn al-‘Arabi) ialah keharusan (menyerang pihak musuh sekalipun tidak mampu menewaskan mereka secara keseluruhan) kerana di sana ada empat matlamat dan tujuan:

1.Mengharapkan syahid.
2.Menghasilkan kerosakan dan kemusnahan bagi alatan pihak musuh.
3.Menaikkan semangat kepada pejuang Islam yang lain.
4.Mencampakkan ketakutan di dalam jiwa pihak musuh dengan anggapan mereka: “Ini hanyalah seorang (mujahid yang bertindak)! Sekiranya mereka lebih ramai lagi berbuat sedemikian apa yang bakal terjadi?"

Ini bukanlah pendapat Mazhab Maliki sahaja tetapi juga merupakan pendapat mazhab-mazhab yang lain seperti Mazhab al-Syafi’e, Mazhab Hanafi dan Mazhab Hambali. Hal ini diterangkan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah (w.728H):17

Dan (al-Imam) Muslim di dalam kitab Shahihnyameriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam mengenai Ashabul Ukhdud. Di mana hadis tersebut menceritakan mengenai seorang budak lelaki yang menyuruh agar dibunuh dirinya sebagai maslahah meninggikan agama.18

Bertitik tolak dari inilah para imam keempat-empat mazhab membolehkan seorang muslim menjerumuskan dirinya ke dalam barisan pihak musuh, sekalipun dia tahu bahawa dia akan kehilangan nyawanya, sekiranya hal itu memberi kebaikan kepada seluruh muslimin. Ini kerana seseorang muslim itu amat berkeyakinan bahawa perbuatan sedemikian adalah sebagai satu langkah jihad.

Ini kerana seandainya dirinya turut terbunuh, perkara ini adalah terlebih baik dari pihak musuh membunuh selainnya (iaitu sama ada ahli keluarganya, jirannya dan saudara seIslamnya yang lain) disebabkan perbuatan itu merupakan sebagai satu kebaikan umum demi menjaga benteng akidah dan agama. Di samping, menjauhkan kemudharatan dari pihak musuh terhadap agama dan mua’malahharian bagi masyarakat muslim di wilayah Islam.

Perbuatan sebegini terpaksa dilakukan demi menentang permusuhan dan penjajahan kuffar sekiranya tiada cara atau strategi lain lagi untuk menghalang kemaraan mereka. Oleh itu, taktik dan cara sebegini adalah perkara yang lebih utama dan lebih berkesan untuk menghalang kemaraan mereka.

Daripada penjelasan di atas, jelaslah bahawa Operasi Berani Mati tidak bertentangan dengan ayat 195 surah al-Baqarah. Malah jika dikaji maksud ayat dengan cermat, akan didapati bahawa Operasi Berani Mati sebenarnya selari dengan roh tuntutan ayat.

Al-Allamah ‘Abd al-‘Aziz Bensiddiq, seorang tokoh dari Maghribi menulis:19
Ini menunjukkan bahawa melakukan perkara bahaya dalam memerangi musuh dan seolah-olah mencampakkan diri kepada kematian merupakan (salah satu tuntutan) syari‘at yang pernah dipaparkan oleh para sahabat di zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Para imam empat mazhab juga membolehkan perbuatan ini sebagaimana kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, bahawa (sebagai pilihan terakhir) pejuang Islam terpaksa menjerumuskan diri ke dalam barisan musuh sekalipun dia percaya bahawa dia akan terbunuh. Ini dibolehkan jika ia memberikan keuntungan (kemaslahatan) kepada kaum muslimin.

Al-Imam Ibn Hazm pula menyebutkan di dalam kitabnya al-Muhalla bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada (seorang sahabat Nabi bernama) al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anh: “Apa pandangan anda sekiranya seorang lelaki merempuh masuk ke barisan musuh yang jumlahnya ribuan orang, adakah beliau dikira mencampakkan dirinya kepada kebinasaan?” Al-Bara’ menjawab: “Tidak!”20

Al-Imam Ibn Hazm menegaskan lagi bahawa Abu Ayub dan Abu Mursi radhiallahu ‘anhuma turut mengharuskan perbuatan tersebut, iaitu tindakan seorang pejuang yang menyerbu ke tengah barisan pihak musuh dan menetapkan dirinya (di sana untuk memerangi musuh).

Semua ini adalah perbuatan bahaya yang mampu meragut nyawa dan menggerunkan pihak musuh, bahkan tidak syak lagi perbuatan sebegini pasti mendapat ganjaran kebaikan bagi mereka yang berupaya melaksanakannya. Sebagaimana sebuah hadis yang menceritakan seorang lelaki bertanyakan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Apa yang membuatkan Allah tertawa terhadap perbuatan hamba-Nya?” Nabi menjawab: “Mereka yang merempuh ke dalam barisan pihak musuh dengan mengharapkan balasan Allah.” Lalu lelaki tersebut menggenggam pedangnya dan menanggalkan baju besinya lantas menyerbu ke arah pihak musuh hingga terbunuh syahid.21

Hujah Kedua:
Pihak yang menolak kebolehan Operasi Berani Mati juga berhujah dengan beberapa hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang melarang orang Islam daripada membunuh diri.

Analisa Ke Atas Hujah Kedua:

Hadis-hadis tersebut memang sahih akan tetapi maksudnya telah disalahertikan oleh pihak yang menolak. Hadis-hadis tersebut melarang bunuh diri oleh orang yang putus asa dalam menghadapi cabaran kehidupannya. Ini jauh berbeza dengan Operasi Berani Hati, mereka yang melakukannya bukanlah orang yang berputus asa, malah mereka adalah orang yang tinggi semangat jihad sehingga sanggup mengorbankan nyawanya demi memberi kemaslahatan kepada agama dan umatnya.

Pelaku Operasi Berani Mati sangat jauh daripada memiliki mental untuk membunuh diri. Seorang yang bunuh diri, membunuh dirinya sendiri karena sebab yang berasal dari dirinya. Sedangkan pejuang Operasi Berani Mati membunuh dirinya karena sebab agama dan umatnya.

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan perbezaan ini:22

Ketahuilah bahawa tindakan ini (Operasi Berani Mati) termasuk dari bentuk Jihad Fi Sabilillah yang amat agung. Tindakan ini termasuk aksi menggerunkan yang disyari‘atkan agama sebagaimana ayat:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yangkamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.23

Menggelar tindakan ini sebagai “bunuh diri” adalah gelaran yang salah lagi menyesatkan. Tindakan ini sebenarnya termasuk tindakan pengorbanan, patriotisme dan istisyhadiyah sehingga tidak mungkin untuk dikatakan sebagai bunuh diri. Pelaku tindakan ini juga sangat jauh daripada memiliki mental untuk membunuh diri. Seorang yang bunuh diri, membunuh dirinya sendiri karena sebab yang berasal dari dirinya. Sedangkan yang lain (pejuang Operasi Berani Mati) membunuh dirinya karena sebab agama dan umatnya. Orang yang bunuh diri adalah orang yang putus asa dari rahmat Allah. Sedangkan seorang mujahid (pejuang Operasi Berani Mati) selalu mengharapkan rahmat Allah. Orang yang bunuh diri ingin melepaskan himpitan hidupnya dengan membunuh diri sedangkan para mujahid (pejuang Operasi Berani Mati) membunuh musuh Allah dan musuhnya…

Para pemuda-pemuda itu (pejuang Operasi Berani Mati) yang membela tanah air mereka, yaitu bumi Islam, membela agama, kehormatan dan umat mereka tidak termasuk (dalam kategori orang yang) bunuh diri. Bahkan sangat jauh untuk dikatakan bunuh diri. Yang benar mereka adalah para syuhada yang telah menyerahkan jiwa mereka dengan penuh kerelaan di jalan Allah. Niat mereka ikhlas karena Allah sehingga mereka terpaksa melakukan cara ini (sebagai pilihan akhir) untuk menggerunkan musuh-musuh Allah. Mereka bersikap demikian kerana melawan kekuasaan Yahudi tanpa tertipu (menjadi lemah semangat) dengan kekuatan yang dimiliki oleh Yahudi.

Mereka (pejuang Operasi Berani Mati) tidak termasuk orang-orang yang bunuh diri, bukan pula teroris. Mereka melakukan perlawanan yang selari dengan syari‘at terhadap orang yang menjajah bumi mereka, mengusir mereka, memperkosa hak-hak mereka, menghanguskan masa depan mereka dan sentiasa mempraktikkan kezaliman terhadap umat dan agama. Ini semua memaksa mereka (pejuang Operasi Berani Mati) untuk membela diri (kaum, agama dan negara). Mereka (pejuang Operasi Berani Mati) tidak boleh untuk mengundurkan diri dari bumi mereka sendiri dengan kehendak Yahudi kerana bumi mereka merupakan sebahagian daripada Dar Al-Islam Al-Kubra.

Hujah Ketiga:
Hujah lain yang digunakan oleh pihak yang menolak kebolehan Operasi Berani Mati adalah kononnya jika seseorang itu memerangi musuh yang ramai secara bersendirian lalu gugur kerana senjata musuh, dia dikira sebagai seorang mujahid. Akan tetapi jika dia gugur kerana senjatanya sendiri, dia dikira seorang yang membunuh diri sendiri kerana yang membunuhnya bukan musuh tetapi tangannya sendiri. Oleh itu, orang yang melakukan Operasi Berani Mati tidak dianggap sebagai seorang mujahid kerana dia mati disebabkan bom yang diledakkan oleh tangannya sendiri.

Analisa Ke Atas Hujah Ketiga:
Hujah Ketiga di atas nampaknya membezakan senjata yang mengakibatkan keguguran seorang pejuang, adakah ia senjata musuh atau senjata sendiri. Pembezaan ini sebenarnya adalah tidak perlu kerana ukuran sebenar bagi membezakan antara membunuh diri atau tidak ialah tujuan seseorang dan bukannya senjata siapa. Berikut dikemukakan tiga poin bagi memperkuatkan kenyataan di atas:

Pertama:
Dalam kisah Ashabul Ukhdud, anak muda tersebut gugur kerana anak panah miliknya sendiri. Malah dia sendiri yang meminta agar raja memanahnya. Di sini jelas bahawa anak muda tersebut gugur kerana permintaan dan senjatanya sendiri.

Di sini adakah kita akan berkata bahawa anak muda tersebut telah melakukan perkara yang dilarang, malah telah membunuh dirinya sendiri? Pasti tidak. Justeru hukum ke atasnya tidak diukur dengan senjata siapa yang menyebabkan kegugurannya tetapi atas tujuan apa dia merelakan dirinya digugurkan.

Kedua:
Kisah para ahli sihir Fir’aun yang beriman menjadi rujukan:

(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.”

Fir’aun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yanglebih keras azab seksanya dan lebih kekal.”
Mereka (para ahli sihir yang beriman) menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.”24

Daripada kisah di atas, para ahli sihir Fir’aun tanpa lengah telah beriman kepada Allah setelah melihat mukjizat Nabi Musa ‘alaihi al-Salam. Mereka terus mengumumkan keimanan mereka sehingga menyebabkan Fir’aun menjadi marah, lantas menghukum mereka secara zalim.

Dalam kisah di atas, para ahli sihir tersebut sebenarnya memiliki pilihan lain. Mereka boleh beriman dengan ketetapan hati sahaja tanpa pengumuman secara lisan. Hal ini mudah bagi mereka mengingatkan bahawa dalam sejarah peradaban Mesir, para ahli sihir termasuk kalangan golongan elit yang bijaksana. Namun mereka tetap memilih untuk mengumumkan keimanan mereka serta merta sehingga menyebabkan diri mereka dizalimi oleh Fir’aun.

Dalam kes ini, adakah kita akan mengatakan bahawa kata-kata pengakuan iman para ahli sihir tersebut telah menjadi senjata yang menzalimi diri mereka sendiri? Jawapannya pasti tidak. Sekali lagi yang diambil kira bukan senjata siapa yang menyebabkan mereka ditimpa kezaliman tetapi tujuan apa yang menyebabkan diri mereka rela dizalimi. Sengaja para ahli sihir tersebut menzahirkan keimanan mereka terus menerus agar orang ramai yang memerhatikan kejadian tersebut turut serta menerima pengaruh sehingga akhirnya mereka beriman juga. Maksudnya, sengaja dizahirkan keimanan kerana ingin mencapai maslahat yang besar di sebaliknya sekalipun ia akhirnya mengorbankan diri sendiri.

Ketiga:
Daripada dua poin di atas, terbukti bahawa seandainya seseorang itu tetap berkeras bahawa yang menjadi pembeza ialah senjata siapa dan bukan tujuan apa, izinkan kami mengemukakan perumpamaan sepertimana berikut:

Umpamakan seseorang yang sengaja berdiri di atas landasan sehingga dia akhirnya mati dilanggar kereta api. Jika yang diambil kira ialah senjata siapa, pasti orang yang berdiri di landasan tidak dianggap membunuh diri kerana yang mengakibatkan dirinya terkorban bukanlah senjata sendiri tetapi kepala lokomotif milik orang lain. Sebaliknya, jika yang diambil kira ialah ialah tujuan, maka kesengajaan orang tersebut berdiri di landasan menyebabkan dia dihukum sebagai membunuh diri tanpa mengira kepala lokomotif tersebut milik siapa.

Oleh itu sekali lagi diulangi bahawa yang menentukan boleh atau tidak Operasi Berani Mati bukanlah senjata siapa tetapi tujuan apa yang menyebabkan seseorang pejuang itu rela mengorbankan dirinya.

Yang diambil kira ialah tujuan seseorang itu mengorbankan dirinya dan bukan senjata siapa yang menyebab-kan dia terkorban.

Hujah Keempat:
Hujah terakhir yang lazim diberikan ialah kononnya Operasi Berani Mati merancakkan lagi kezaliman Yahudi – Israel ke atas umat Islam Palestin. Oleh itu Operasi Berani Mati hanya membawa mafsadah (keburukan) dan bukannya maslahat (kebaikan).

Analisa Ke Atas Hujah Keempat:
Hujah ini dianggap lemah dari dua sudut:

Yang pertama membawa mafsadah ialah orang Yahudi – Israel berdasarkan tindakan mereka yang menceroboh masuk bumi Palestin pada tahun 1948. Oleh itu kesan mafsadah yang menimpa umat Islam Palestin sekarang ini bukanlah berasal daripada Operasi Berani Mati tetapi daripada tindakan pencerobohan orang Yahudi – Israel itu sendiri.

Sama ada Operasi Berani Mati dilangsungkan atau tidak, orang Yahudi – Israel tetap akan memerangi umat Islam Palestin dan menceroboh ke dalam wilayah mereka. Maka faktor mafsadah bukanlah Operasi Berani Mati tetapi pencerobohan dan peperangan yang dilangsungkan oleh orang Yahudi – Israel.

Sama ada Operasi berani Mati dilangsungkan atau tidak, orang Yahudi – Israel tetap akan memerangi umat Islam Palestin dan menceroboh ke dalam wilayah mereka.

Demikianlah empat hujah yang lazim dikemukakan oleh pihak yang berpendapat Operasi Berani Mati adalah dilarang dalam Islam. Terserlah bahawa hujah-hujah mereka adalah tidak tepat, malah ada di antaranya yang sebenarnya membelakangi pendapat mereka sendiri. Dengan itu tanpa ragu dapat dikatakan bahawa Operasi Berani Mati adalah sesuatu yang dibolehkan dalam Islam selagi mana ia menepati kesemua empat syarat berikut:

1.Disebabkan semangat jihad demi membela agama, umat dan tanah air.
2.Berlandaskan rukun-rukun jihad.
3.Menghasilkan maslahat (kebaikan) di atas mafsadah (keburukan).
4.Merupakan pilihan terakhir apabila kesemua jalan lain untuk mencapai maslahat di atas mafsadah telah tertutup.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah menyatakan:25

Berkenaan terjunnya seorang pejuang dalam pasukan musuh yang banyak jumlahnya, maka menurut jumhur ulama’, jika ia didasari oleh keberanian yang besar dan keyakinan bahawa ia akan menggerunkan musuh atau membangkitkan keberanian kaum muslimin (yang lain) atau kerana tujuan-tujuan lain yang dibenarkan syara’, maka ia adalah baik. Akan tetapi apabila tindakan tersebut tidak didasari oleh sebab-sebab sepertimana yang disebutkan, maka ia dilarang. Apatah lagi jika tindakan itu meluaskan wahn – kelemahan di kalangan kaum muslimin.

Siapakah Pejuang Yang Boleh Menjalankan Operasi Berani Mati?

Sebagaimana semua ibadah dan perintah agama memiliki rukun-rukunnya, ibadah jihad dalam memerangi musuh juga memiliki rukun-rukunnya.26 Oleh itu seseorang pejuang yang ingin menjalankan Operasi Berani Mati perlu memiliki beberapa syarat “kelayakan” terlebih dahulu, iaitu:

Dia memiliki sifat ikhlas kerana Allah, rendah diri demi mengharapkan kejayaan tindakannya dan bersemangat demi memberi maslahat kepada umat Islam. Dia tidak riya’ atau ingin mencari pujian dalam tindakannya itu, tidak ragu-ragu dan tidak bertindak kerana putus asa dalam kehidupan.

1.Dia adalah seorang yang faham tentang rukun-rukun jihad.
2.Operasi Berani Mati yang hendak dilakukannya adalah sebagai pilihan terakhir setelah jelas baginya bahawa jalan-jalan memerangi musuh yang lain telah tiada.
Dr. Mohd Naim Yaasin menyatakan:

Mereka yang melakukan perkara tersebut (Operasi Berani Mati) hendaklah terdiri daripada para pejuang Islam yang mengharapkan bantuan daripada Allah Ta‘ala sahaja, selain mempersiapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1.Bertaqwa kepada Allah setiap ketika.
2.Emosi yang terkawal dari sifat sombong, bengis, cintakan kemasyhuran dan sebagainya.
3.Menjaga setiap perjanjian yang disepakati dan tidak mencabulinya, sekalipun dengan pihak musuh.
4.Menjauhkan segala perbuatan keji dan maksiat yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.
5.Menjaga kehormatan dan maruah diri dari perkara yang terkutuk dan melampaui batas kemanusiaan seperti bersikap zalim dan tidak bertolak ansur.
6.Mengharapkan ganjaran pahala syahid dari Allah semata-mata.
7. Menjauhkan sikap melampaui batas dan membalas dendam setelah berjaya menawan pihak musuh semasa menawan mereka dan dilarang mendera mereka sama sekali.
8.Menjaga diri dari melakukan keganasan dan kerosakan sekalipun di kubu kuat musuh (vandalisme).
9.Menjaga orang awam yang terdiri dari orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak terbabit membantu pihak musuh di waktu peperangan.

Adakah Orang Awam Israel Juga Patut Dijadikan Sasaran?

Di sini rasanya amat perlu bagi penulis untuk menjelaskan satu persoalan penting. Salah satu daripada rukun jihad, sebagaimana yang digariskan dalam kitab-kitab fiqh keempat-empat mazhab, adalah tidak menjadikan orang awam sebagai sasaran perang. Lalu bagaimana pula dengan orang awam Yahudi yang lazimnya menjadi sasaran para pejuang Operasi Berani Mati?

Jawapannya adalah, orang awam yang tidak boleh dijadikan sasaran perang adalah orang yang benar-benar mengecualikan diri daripada peperangan. Ada pun orang awam Yahudi – Israel, maka perlu diperhatikan beberapa fakta berikut untuk dibezakan sama ada mereka adalah benar-benar orang awam atau sebaliknya:
1.Seluruh orang Yahudi – Israel, tak kira sama ada tentera, polis atau orang awam, bukanlah merupakan penduduk asal bumi Palestin. Mereka menceroboh masuk pada tahun 1948 dengan cara peperangan bersama bantuan kuasa-kuasa Barat.

2.Sekalipun orang Yahudi – Israel mendakwa bahawa moyang mereka pada zaman Nabi Musa ‘alahi al-Salam adalah penduduk asal bumi Palestin, ia tidak boleh dijadikan hujah kerana orang Yahudi itu sendiri kemudiannya memilih untuk merantau ke wilayah-wilayah lain dengan meninggalkan wilayah Palestin. Hanya apabila mereka ditindas oleh pemerintahan Nazi pada zaman Perang Dunia Kedua, barulah mereka terpaksa kembali ke wilayah Palestin.

3.Orang awam Yahudi – Israel menduduki wilayah Palestin dengan kesedaran penuh bahawa ia adalah sesuatu yang mereka rampas daripada orang lain, yakni penduduk Palestin itu sendiri. Oleh itu mereka bukan sekadar orang awam tetapi perampas dan penceroboh.

4.Orang awam Yahudi – Israel semuanya diberi latihan ketenteraan. Malah sebahagian mereka diberikan kelengkapan senjata. Ini kononnya adalah untuk membela keselamatan diri sendiri (self defence). Akan tetapi hal ini perlu difikirkan dari sudut yang lebih luas, siapakah yang sebenarnya membela diri sendiri? Adakah orang Palestin atau Yahudi – Israel? Ini kerana yang menceroboh ialah orang Yahudi – Israel manakala yang diceroboh ialah orang Palestin. Justeru latihan ketenteraan yang diberikan kepada orang awam Yahudi – Israel bukanlah sebagai membela keselamatan diri tetapi untuk membela tindakan pencerobohan mereka sendiri.

Daripada poin-poin di atas jelas bahawa semua orang Yahudi – Israel, tak kira sama ada orang awam atau bukan awam, terlibat dalam memerangi penduduk asal bumi Palestin. Maka atas dasar ini mereka boleh diperangi semula berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”27

Kesimpulan

Sekarang ini, Operasi Berani Mati boleh dikatakan berlaku di banyak tempat. Persoalannya, adakah ia dikategorikan sebagai satu bentuk jihad di jalan Allah yang dibolehkan atau tindakan membunuh diri dan membunuh orang ramai yang dilarang? Berikut diberikan garis panduan yang dapat membantu menjawab persoalan ini, di mana Operasi Berani Mati itu sendiri boleh dibahagikan kepada dua kategori, yang dibolehkan dan yang dilarang.

Kategori pertama, yakni yang dibolehkan memiliki ciri-ciri berikut:

1.Disebabkan semangat jihad demi membela agama, umat dan tanah air.
2.Berlandaskan rukun-rukun jihad.
3.Menghasilkan maslahat (kebaikan) di atas mafsadah (keburukan).
4.Merupakan pilihan terakhir apabila kesemua jalan lain untuk mencapai maslahat di atas mafsadah telah tertutup.

Sesiapa yang melakukan Operasi berani Mati dengan memenuhi keseluruhan empat ciri di atas, dia adalah seorang yang berjihad di jalan Allah. Kita mendoakan agar tercapai kemaslahatan yang diinginnya dan dia sendiri diberi kemuliaan darjat syahid oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sementara kategori kedua, yakni yang dilarang memiliki ciri-ciri berikut:

1.Disebabkan putus asa dalam menghadapi liku-liku kehidupan.
2.Tidak berlandaskan rukun-rukun jihad.
3.Menghasilkan mafsadah (keburukan) di atas maslahat (kebaikan).
4.Sengaja memilih jalan ini sekalipun terdapat jalan lain untuk mencapai maslahat di atas mafsadah.
Sesiapa yang melakukan Operasi Berani Mati kerana salah satu atau lebih daripada ciri-ciri di atas, dia adalah seorang yang berjihad selain daripada jalan Allah. Dia bertanggungjawab ke atas pembunuhan dirinya dan juga terhadap orang-orang yang menjadi sasarannya. Kita berdoa agar Allah 'Azza wa Jalla memberi hidayah kepada umat Islam seluruhnya agar tidak ada di kalangan mereka yang terjebak dalam operasi kategori kedua ini.
--------------------------------------------------------------------------------

1: Surah al-Nisa (4), ayat 74.

2: Shahih al-Bukhari, hadis no: 7226 (Kitab Harapan, Bab Mengharapkan Syahid)

3: Shahih Muslim, hadis no: 1908 (Kitab Kepimpinan, Bab Disukai Mencari Syahid)

4: al-Mustadrak, hadis no: 2412 (Kitab Jihad) Berkata al-Imam al-Hakim, hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim. Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.

5: Terdapat pelbagai ayat al-Qur’an dan hadis-hadis lain yang menerangkan keutamaan jihad dan kemuliaan para mujahid. Para pembaca boleh rujuk kepada buku Hafiz Firdaus Abdullah yang berjudul Apakah Jihad Di Jalan Allah? Buku 1: Definisi, Kepentingan dan Kemuliaan Jihad terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2004.

6: Surah al-Hasyr (59), ayat 2.

7: Surah Ali-Imran (3), ayat 151.

8: Surah al-Anfal (8), ayat 60.

9: Surah al-Baqarah (2), ayat 207.

10: Shahih Muslim, hadis no: 3005 (Kitab Zuhud dan Kisah-kisah yang melembutkan hati, Bab Kisah Ashabul Ukhdud

11: Surah al-Buruj (85), ayat 4-8.

12: Surah al-Baqarah (2), ayat 195.

13: Surah al-Baqarah (2), ayat 195.

14: Tafsir al-Maraghi (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998), jld. 1, ms. 265.

15: Ahkam al-Qur’an (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), jld. 1, ms. 165-167.

16: Surah al-Baqarah (2), ayat 207.

17: Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld. 28, ms. 540.

18: Rujuk Shahih Muslim, hadis no: 3005 sebagaimana yang dikemukakan di bahagian awal artikel ini.

19: Majalah Palestin al-Muslimah, edisi April 1996.

20: Riwayat ini masyhur, dikeluarkan oleh Ibn Jarir dan Ibn Manzur serta disahihkan sanadnya oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut 2000), jld. 9, ms. 41 (syarah hadis no: 4516).

Selain itu terdapat juga kisah masyhur seorang sahabat bernama al-Bara’ bin Malik bin al-Nadhr al-Anshari. Di dalam peperangan al-Yamamah, beliau meminta pasukan Muslimin melemparkan dirinya ke dalam kubu musuh. Di dalamnya beliau melawan musuh seorang diri sehingga terkesan di badannya 80 tikiman pedang, lembing dan sebagainya. Akan tetapi beliau tetap berjaya membuka pintu kubu untuk membolehkan pasukan Muslimin masuk menyerang sehingga akhirnya beroleh kemenangan.

Hal ini berlaku lagi di dalam peperangan Tustar melawan tentera Parsi di mana kedudukan pasukan Muslimin agak lemah. Namun al-Bara’ bin Malik memberanikan dirinya terjun ke dalam pasukan musuh yang ramai. Hal ini memberi semangat keberanian kepada pasukan Muslimin untuk turut serta sehingga akhirnya mereka memperoleh kemenangan. al-Bara’ bin Malik gugur syahid dalam peperangan ini.

Kisah ini bukan sahaja menunjukkan bolehnya seorang pejuang terjun ke dalam barisan musuh yang ramai, tetapi juga menunjukkan kepentingan dia melakukan sedemikian sebagai penggerak semangat perjuangan kepada pasukannya. Lebih lanjut tentang kisah ini, rujuk al-Ishabah fi Tamyiz al-Shahabah oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld. 1, ms. 413-414 (biografi no: 620).

21: Riwayat ini dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (w.456H) dalam kitabnya al-Muhalla (tahqiq: Dr. ‘Abd al-Ghafar Sulaiman; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), jld. 5, ms. 345 (permasalahan no: 922) dan beliau (Ibn Hazm) mensahihkannya.

22: Majalah Palestin al-Muslimah, edisi September 1996.

23: Surah al-Anfal (8), ayat 60.

24: Surah Ta Ha (20), ayat 70-72.

25: Fath al-Bari, jld. 9, ms. 42 (syarah hadis no: 4516)

26: Rukun-rukun jihad boleh dirujuk dalam buku Hafiz Firdaus Abdullah yang berjudul Apakah Jihad Di Jalan Allah (Buku 2): Hukum dan Syarat-Syaratnya (Jahabersa, Johor Bahru 2004).

27: Surah al-Baqarah (2), ayat 190.

Tiada ulasan: