Sahabat Ilmu

Selasa, 30 Mac 2010

Khilaf Ulama Dalam Hukum Fiqh: Sebab dan Adab-Adabnya

Oleh Tuan Guru Dato' Haji Mohd. Saleh Haji Ahmad

PENDAHULUAN

Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati para imam mujtahidin, ada yang hanya disepakati di kalangan ulama’-ulama’ mazhab berkenaan sahaja, ada yang berlaku khilaf di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf di kalangan ulama’-ulama’ dalam mazhab yang sama.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan di atas kerana khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabi’iy bahkan pasti berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam sebab-sebab khilaf sebelum ini. Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fiqh adalah suatu yang lucu, justeru memaksa orang lain meleburkan atau mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja.

Ini tidak mungkin bahkan ianya bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkan oleh ijtihadnya bahkan tidak harus ia bertaqlid atau berpaling dari mazhabnya kepada pendapat orang lain. Sementara orang awam pula wajib bertaqlid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama’ mujtahidin yang menjadi pilihannya.

ADAB AL-IKHTILAF

Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama’ mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

Justeru itu penulis merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya.

1. Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sebarang sentiment ta’asub mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai factor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan Syariat Islam, bahkan ia merupakan sebagai aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan metod dan kaedah dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

2. Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat adalah suatu perkara lumrah dan tabi’iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga. Ia juga merupakan sebagai bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agong dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada Syariat Islam yang mulia.

3. Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama’- ulama’ mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul ataupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

4. Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah.

5. Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum- hukum yang disepakati para ulama’. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

“ لاينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه “
Maksudnya : “Tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara munkar yang disepakati ulama’ atas pengharamannya”

6. Kita mesti beradab dengan ulama’ yang berbeza pandangan dengan kita, jangan celupar mulut melempar tuduhan kalimah bid’ah dalalah ke atas amalan-amalan yang khilafiyyah.

7. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapatnya sebagai sesat, pembuat bida’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.

8. Kita jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim besar menghentam ulama’-ulama’ silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama’ padanya. Lebih dahsyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab tua atau jawi lama kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.

9. Kita sebagai seorang pendakwah, guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat bodoh kalau seseorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.

10. Sebagai seorang pendakwah, kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran kepada persoalan pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Sepertimana yang diungkapkan oleh Syaikh Abd al-Rasyid Ridha:

“ نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه “
Maksudnya : “Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah”.

11. Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah

الخروج من الخلاف مستحب
( Keluar dari khilaf itu digalakkan)

BEBERAPA CONTOH MASALAH KHILAFIYYAH

1. Membaca doa Qunut.
2. Sembahyang sunat qabliah Maghrib.
3. Sembahyang sunat qabliah Jumaat.
4. Talqin mayat setelah dikebumikan.
5. Bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
6. Fidyah sembahyang.
7. Berwirid secara jama’ah selepas sembahyang fardhu.
8. Batal wuduk dengan sebab sentuhan lelaki dengan perempuan
yang harus dikahwini.
9. Membaca Usalli atau melafazkan niat sebelum takbir.
10. Bilangan rakaat sunat tarawih 20 atau 8
11. Membaca surah Yasin pada malam Jumaat
12. Maulid al-Rasul s.a.w.
13. Membaca Sayyidina dalam Salawat.
14. Imam berdoa lepas solat jama’ah dan makmum mengaminkannya.
15. Aqiqah dengan kambing sahaja.
16. Menyapu muka selepas memberi salam dan membaca:
“ أشهد أن لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “
“ بسم الله الذى لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن


KESIMPULAN

Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafiyyah dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.
---------------------------------------------
Biodata ringkas Penulis: Tuan Guru Dato' Haji Mohd. Saleh Haji Ahmad :


Dilahirkan di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas. Menuntut ilmu di Pondok Gajah Mati, Pendang selama 7 tahun. Menyambung pelajaran di Irsyadiah, Bagan Datuk, dan ke MPI, Kota Bharu. Memiliki dua Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Master dalam Fiqh Muqarin dari al-Azhar pada tahun 1978. Pernah menjadi Pensyarah YPTIK, UM Nilam Puri, UM KL, dan kini pensyarah UIAM, AJK Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Perak, AJK Fatwa Perak, Panel Syariah Bank Muamalat, Panel Syariah JAKIM. Banyak menulis buku dan menyampaikan kuliah serata nusantara. Merupakan Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Ulama' Malaysia (PUM).

Tiada ulasan: