إن الحمد لله وحده, نحمده و نستعينه و نستغفره ونتوب اليه ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئات أعمالنا من يهده الله فهو المهتد ومن يضلله فلن تجد له وليا مرشدا, أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله بلغ الرسالة وأدى الأمانة ونصح للأمة ., اللهم صل وسلم على نبينا محمد وعلى آله وصحبه ومن دعا بدعوته الى يوم الدين …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang jumaat sekelian....
Firman Allah swt:
الَّذِينَ آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan." (At-Taubah:20)
Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tegasnya, hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya menuntut pengorbanan yang besar dari segi harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Dan pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.
Peliknya, kita sering mendengar ungkapan seperti:
"Kita mesti hijrah menuju kejayaan."
"Bangunkan ekonomi kita dengan semangat hijrah."
Ya, benar kita perlukan kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain, namun usaha itu sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai hijrah sekiranya faktor iman dan Islam tidak dijadikan dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam mencapainya. Tanpa iman dan Islam menjadi niat dan jalannya maka apakah bezanya pencapaian kita dengan individu, masyarakat dan negara-negara bukan Islam? Mereka menjadi kaya, maju dan kuat tanpa menjadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai landasan.
Hijrah tidak boleh dikaitkan berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata-mata. Ini kerana seorang sahabat Rasulullah SAW – Suhaib Ar Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahwa ketika Suhaib (RA) berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, "Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu." Suhaib (RA) menjawab, "Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?". Kafir Quraisy menyetujuinya.
Suhaib (RA) menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah (SAW) berkata, "Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya." Bukan beliau sahaja yang berbuat demikian tetapi itulah jua nasib yang menimpa hartawan-hartawan Islam seperti Abu Bakar Assiddiq, Uthman ibn Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang apabila seluruh aset dan premis perniagaan mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah apabila mereka berhijrah ke Madinah.
Hijrah juga tidak boleh dikaitkan dengan perjuangan meninggikan status sosial. Ini kerana Mus'ab bin Umair RA – seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya. Lihatlah betapa ramainya orang-orang besar Quraisy yang memeluk Islam rela membuang status sosialnya apabila mereka rela makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi.
Hijrah memang bererti perpindahan, tetapi bukan semua perpindahan boleh disifatkan sebagai hijrah. Hanya perpindahan atau perubahan yang diniatkan kerana iman dan Islam sahaja layak dinamakan hijrah. Ini diterangkan oleh hadis berikut:
"Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :'
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Hanya sanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya sanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehnya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.
Muslimin Yang Berbahagia,
Hijrah walaupun dilihat pada mata kasar seolah-olah berundur, tetapi sebenarnya tidak. Ia adalah langkah berundur untuk melonjak lebih jauh. Pelaksanaan Islam selepas hijrah menjadi lebih syumul – daripada soal menegakkan akidah, syariat serta akhlak di peringkat diri dan keluarga kepada pelaksanaan sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain lagi di peringkat masyarakat dan negara.
Hijrah walaupun dilihat pada mata kasar seolah-olah berundur, tetapi sebenarnya tidak. Ia adalah langkah berundur untuk melonjak lebih jauh. Pelaksanaan Islam selepas hijrah menjadi lebih syumul – daripada soal menegakkan akidah, syariat serta akhlak di peringkat diri dan keluarga kepada pelaksanaan sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain lagi di peringkat masyarakat dan negara.
Justeru, hijrah adalah syarat untuk mendapat kemenangan. Tanpa hijrah umat Islam akan kalah. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."
Sidang jumaat sekelian……
Islam telah diperjuangkan di peringkat yang lebih global dan holistik hanya selepas Rasulullah SAW berhijrah. Dan sejak itu jugalah posisi Islam yang mulanya berada di bawah (ditindas) mula beralih ke atas (memayungi dan menaungi). Atas dasar itulah, Sayidina Umar RA memilih hijrah sebagai detik bermulanya kalendar Islam. Ia telah dipilih sebagai mercu tanda bermulanya kemenangan Islam. Agar dengan itu setiap kali menyambut tahun baru Islam umat Islam akan mengimbau detik kemenangan itu sebagai aspirasi mencipta kemenangan baru!
Hijrah digerakkan oleh pemikiran strategik, rohani yang bersih, persiapan fizikal dan material yang ampuh, emosi yang tenteram dengan bantuan Allah menerusi tentera-tentera-Nya yang di langit dan di bumi. Ia bukan sahaja perjalanan merentasi Makkah dan Madinah tetapi hakikatnya merentasi sejarah. Ia adalah satu kebangkitan yang merentasi masa dan ruang (time and space) generasi semasa dan sesudahnya.
Di tahap pertama perjuangannya (di Makkah) Baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan takwa dalam diri pengikutnya. Di peringkat ini fokus Baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabatnya yang terkorban.
Untuk meredakan penyeksaan yang ditanggung oleh sahabat-sahabatnya, Baginda mengarahkan beberapa orang sahabatnya hijrah ke Habsyah dan beberapa tahun kemudian Baginda sendiri hijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di kota Madinah baginda memulakan beberapa langkah penting dan besar di tahap kedua.
Untuk meredakan penyeksaan yang ditanggung oleh sahabat-sahabatnya, Baginda mengarahkan beberapa orang sahabatnya hijrah ke Habsyah dan beberapa tahun kemudian Baginda sendiri hijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di kota Madinah baginda memulakan beberapa langkah penting dan besar di tahap kedua.
Untuk pengukuhan ilmu, iman dan amal secara berterusan di binanya masjid – pusat pembinaan kekuatan rohaniah. Untuk kekuatan ukhwah, dipersaudarakannya golongan Muhajirin dan Ansar. Untuk menyatukan seluruh penduduk Madinah (yang Islam dan bukan Islam) dimetrainya Piagam Madinah – yang menjamin keamanan dan sistem pertahanan bersama. Kekuatan ekonomi mula dibina dan sistem hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai – pasar, kebun, sistem perparitan dan kebersihan kota mula dilaksanakan.
Tiga atau empat tahun kemudian, apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah Rasululah mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan yang bersifat defensif. Mula-mula Badar, kemudian Uhud dan akhirnya Khandak. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak menggangu kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada perdamaian. Lalu berlakulah perjanjian Hudaibiyah.
Rasululah s.a.w. berani berperang dan berani berdamai dan dalam kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang sukar ditandingi. Dan akhirnya, Makkah berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di seluruh Jaziratul Arab.
Itulah langkah-langkah yang produktif dan konstruktif sebaik berlakunya peristiwa hijrah. Hijrah merupakan satu tahap berlakunya "turing point" (titik peralihan) dan "turning over" (titik perubahan) dalam perjuangan Islam. Hijrah yang telah berlaku hampir 1430 tahun yang lalu itu hakikatnya terus signifikan dan relevan untuk dijadikan asas dan teras dalam pemikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan umat Islam masa kini.
Muslimin Saudaraku Seislam,
Maal Hijrah ertinya "bersama hijrah." Bersama hijrah bukan bermusim dan terhad sifatnya. Sambutan yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya ibrah dan hikmah di sebalik hijrah tidak terserlah. Ia akan terus menjadi ritual yang tidak membangunkan spiritual umat Bersama hijrah bermaksud mempelajari, memahami, menghayati dan mengamalkan dan memperjuangkan iman dan Islam berdasarkan "resipi" yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada buruk (jahat) kepada yang baik. Dan ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam. Bersama hijrah dalam erti kata yang lebih luas ialah sentiasa berubah kepada Islam dan iman yang lebih baik sama ada untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun negara kita Bersama hijrah juga bermaksud sentiasa melakukan perubahan ke arah memperkukuhkan Islam secara istiqamah dan total.
Hijrah diri, ialah sejauh mana diri diubah ke arah yang lebih baik dan mantap dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Hijrah diri itu perlu diteruskan ke peringkat keluarga, organisasi dan masyarakat.
Manakala hijrah negara pula merangkumi hijrah sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain sistem kehidupan ialah sejauh mana semuanya mampu memperkukuhkan iman dan Islam kita untuk memberi keamanan dan kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam persis yang dibuat oleh Rasulullah SAW di negara Islam Madinah dahulu.
Untuk melakukan hijrah yang menyeluruh itu, semua pihak mesti berperanan. Kenali watak dan peranan wira-wira hijrah yang mampu dan sesuai untuk diteladani. Pilihlah, sama ada untuk meneladani:
• Kesetiaan dan kemurahan hati Sayidina Abu Bakar (menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah SAW).
• Keberanian dan amanahnya Sayidina Ali (berselimut di tempat tidur Rasulullah SAW dan memulangkan kembali harta orang ;lain yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW)..
• Kecekapan Asma binti Abu Bakar (menyediakan makanan).
• Sifat murah hati Ummu Maabad (rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar).
• Kesal dan akurnya Suraqah (yang mulanya menentang tetapi akhirnya tunduk dan yakin kepada kemenangan Islam).
Islam kini menagih hijrah justeru nasibnya yang dagang seperti mana ia bermula. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW telah benar-benar berlaku. Rasulullah SAW bersabda:
"Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing". H.R. Muslim
Jadilah "orang beruntung" yakni orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah satu langkah yang sangat diperlukan masa kini. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ada set minda ("mind set") hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik.
Setiap diri berfikir untuk menghijrahkan hati, akal, nafsu, emosi dan fizikalnya ke arah iman dan Islam. Ibu bapa berfikir bagaimana menghijrahkan keluarganya. Guru-guru bertanggung jawab menghijrahkan sekolah. Imam hijrah dengan anak-anak kariahnya. Pemimpin masyarakat menghijrahkan kampung, mukim, bandar dan daerah.. Begitu juga dengan ADUN. Tokoh-tokoh korporat, menteri-menteri pula berperanan memimpin armada hijrah yang lebih besar dan luas lagi…Inilah pra syarat untuk mencapai kejayaan. Bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah. dengan syarat kita berhijrah dengan tenaga, harta, masa dan jiwa kerana Allah swt.
وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَلَأَجْرُ الْآَخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Maksudnya:"Dan orang-orang yang berhijrah karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui".(An-Nahl ayat 41)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan