السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 90-92 surah Yunus :
وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُون
Maksudnya : Dan Kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana hendak menganiayai dan menindas mereka sehinggalah ketika Firaun itu telah hampir tenggelam lalu dia berkata : “ Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri kepada Allah “. Adakah sekarang baru engkau percaya sedangkan engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (wahai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.
Hari ini 8 Muharram, kita masih lagi sama-sama menyambut/meraikan kedatangan bulan Muharram 1431H sebagai permulaan tahun baru Hijrah. Bulan Muharram mempunyai keistimewaan yang tersendiri untuk sama-sama kita rebut kelebihannya terutama dalam menambah bekalan akhirat. Kedatangan Muharram bukan setakat menandakan sambutan tahun baru tetapi segala amalan soleh dan gerak kerja juga mesti berubah ke arah yang lebih baik dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antaranya galakan Rasulullah s.a.w agar kita memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan Muharram sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim
قال النبي صلى الله عليه وسلم: “أَفْضَلُ الصِّيَام بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللهِ المُحَرَّم و أَفْضَلُ الصَّلاَة بَعْدَ الفَرِيْضَةِ صَلاةُ اللَّيْلِ”.
Maksudnya : Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan ialah solat pada pertengahan malam
Begitu juga dengan galakan supaya kita berpuasa sunat hari ‘Asyura’ iaitu hari kesepuluh bulan Muharram di mana pada hari tersebut pernah mencatatkan suatu peristiwa besar bagaimana nabi Musa as diselamatkan oleh Allah daripada dikejar oleh Firaun yang mati lemas di tengah laut Merah bersama tenteranya.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “صَوْمُ يَوْمِ عَرَفَة يُكَفِّر سَنَتَيْنِ: مَاضِيَة وَمُسْتَقْبَلَة، و صَوْمُ يَوْمِ عَاشُوْرَاء يُكَفِّر سَنَة مَاضِيَة”.رواه مسلم
Maksudnya : Puasa hari Arafah akan dihapuskan dosa 2 tahun iaitu setahun yang lalu dan setahun akan datang. Manakala puasa hari ‘Asyura’ akan dihapuskan dosa setahun yang lalu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (quraisy) memifirkan sedaya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu atau pun mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.
Perjuangan dalam menegakkan Islam tidak dijanjikan dengan kemenangan yang senang sebaliknya menuntut kepada nyawa yang melayang, Daulah Islamiah yang menjamin keamanan dan kestabilan tidak akan dapat didirikan dengan mudah sebaliknya memerlukan kepada tumpahnya darah merah. Pertembungan antara hak dan batil, kebenaran dan kesesatan, keadilan dan kezaliman, ketaatan dan kesombongan terus berlangsung silih berganti sehinggalah qiamat. Jika nabi Musa as terpaksa berdepan dengan bapa angkatnya sendiri Firaun dalam menyatakan kebenaran sehingga terpaksa berhijrah setelah dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya yang angkuh dalam menolak kebenaran walau pun sudah tidak mampu berhujah. Maka begitulah juga yang berlaku ke atas diri nabi Muhammad s.a.w yang terpaksa berdepan dengan manusia takabbur yang diketuai oleh Abu Jahal dan Abu Lahab sehingga datangnya arahan daripada Allah agar berhijrah dari Mekah tanahair sendiri ke bumi Madinah dalam menjayakan pelaksaan seluruh sistem Islam.
Sebelum berlangsungnya hijrah maka nabi berdepan dengan tawaran kesenangan seperti bakal menjadi raja tanpa kuasa, dikahwinkan dengan wanita pilihan, diberi kemewahan harta dan juga khidmat perubatan terbaik asalkan dakwah Islam ditinggalkan. Setelah gagal memujuk dengan cara lembut maka tiga cadangan kuffar Quraisy dalam menyekat perkembangan Islam iaitu buang negeri, penjara tanpa bicara dan akhirnya bunuh terhadap nabi maka inilah juga ujian yang terpaksa dihadapi oleh pejuang Islam dalam menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Golongan yang memusuhi Islam akan menggunakan samada cara lembut untuk melunturkan semangat juang dan jika gagal dengan cara itu maka cara yang lebih keras akan dilakukan termasuk buang kerja, tukar tempat kerja, sekat bantuan, tahan di bawah ISA, bunuh dan sebagainya. Oleh itu istiqamahlah dalam berjuang agar kita mencapai keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Bersusah dahulu di dunia agar kita dapat bersenang di akhirat nanti hasil memperjuangkan Islam dengan penuh ikhlas dan istiqamah.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Peristiwa Hijraturrasul bukanlah suatu cerita yang hanya untuk didengar sebaliknya peristiwa yang begitu besar dan mempunyai 1001 pengajaran penting ini wajib dihidupkan dalam kehidupan seharian umat Islam bermula daripada ibadat, ekonomi, sosial sehinggalah dalam memerintah negara berlandaskan hukum Allah.
Ketika menyoroti 3 perkara penting yang dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w ketika menjayakan misi hijrah sehingga berdirinya Daulah Islamiah di Madinah Munawwarah iaitu pertama mendirikan Masjid Quba’ sebelum mendirikan Masjid Nabawi di mana ia memberi isyarat yang jelas kepada kita betapa pentingnya peranan masjid dalam menghidupkan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Malangnya pada hari ini banyak masjid agak lengang walau pun dibina megah dan dihias indah tetapi sekadar untuk mencari wang hasil projek bina masjid bukannya untuk memakmurkannya.
Ketika menyambut tahun baru hijrah tidak melupakan kita kepada umat Islam di Palestin yang terpaksa berdepan dengan peluru yahudi Israel untuk ke masjid disamping usaha jahat yang berterusan dalam meruntuhkan Masjid al-Aqsa. Begitu juga kebiadapan golongan anti Islam di Switzerland yang melarang umat Islam daripada membina menara masjid hasil pungutan suara yang merupakan langkah awal ke arah memerangi Islam yang turut disokong oleh beberapa negara Eropah yang lain. Mula-mula larang bina kubah maka tidak mustahil musuh Islam akan melangkah untuk mengharamkan terus pembinaan masjid. Sama-samalah kita memakmurkan masjid untuk kegemilangan dunia akhirat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Tugas kedua semasa hijrah ialah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansor atas ikatan iman. Ikatan persaudaraan inilah yang masih kurang di kalangan kita sehingga umat Islam dijajah dalam di Negara sendiri. Semangat kebangsaan dan perkauman sempit menyebabkan penderitaan umat Islam gagal ditangani dengan baik ketika musuh Islam bersatu dalam menghalakan senjata mereka kepada umat Islam. Apa yang lebih malang apabila umat Islam sendiri lebih rela bersekongkol dengan musuh untuk meratah tubuh dan memenggal nyawa saudara seagama.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Tugas kedua semasa hijrah ialah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansor atas ikatan iman. Ikatan persaudaraan inilah yang masih kurang di kalangan kita sehingga umat Islam dijajah dalam di Negara sendiri. Semangat kebangsaan dan perkauman sempit menyebabkan penderitaan umat Islam gagal ditangani dengan baik ketika musuh Islam bersatu dalam menghalakan senjata mereka kepada umat Islam. Apa yang lebih malang apabila umat Islam sendiri lebih rela bersekongkol dengan musuh untuk meratah tubuh dan memenggal nyawa saudara seagama.
Tugas ketiga ialah mewujudkan piagam Madinah bagi mengatur corak pemerintahan Islam yang menjamin keamanan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Kita pada hari ini wajib menghayati dasar yang ada dalam piagam Madinah yang berjaya mewujudkan sebuah Negara aman, maju dan berkat. Sebenarnya ajaran Islam yang lengkap dan sempurna yang mengatur segala urusan manusia telah pun ditunjukkan Rasulullah s.a.w diikuti oleh Khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah selepas mereka. Apa yang penting sekarang ialah pelaksanaannya kembali dalam kehidupan bukan setakat tertera di dalam lipatan sejarah.
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan