Sahabat Ilmu

Rabu, 27 Mei 2009

HUKUM MEMERANGI PEMERINTAH ZALIM

Persoalan menjatuhkan kepimpinan atau pemerintahan yang dipegang oleh orang Islam adalah satu persoalan besar yang dibahaskan oleh para ulamak sejak sekian lama. Ini adalah kerana wujudnya hadith-hadith yang melarang dijatuhkan sesebuah pemerintahan yang dipegang oleh orang-orang Islam tanpa alasan yang kukuh, disamping penggulingan kepimpinan negara atau daulah boleh mengakibatkan pertumpahan darah dikalangan rakyat jelata.

Oleh itu, baginda Nabi s.a.w. melarang pertembungan demi merebut kepimpinan melainkan dengan alasan yang kukuh. Dalam hadith yang soheh diriwayatkan daripada Abi al-Walid Ubadah bin Somit r.a. katanya: kami telah berbaiah kepada rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbaiah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat Kufr Bawwah (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbaiah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. (Riwayat al-Bukhori hadith ke 7199, Muslim hadith ke 1836)

Hadith diatas menjelaskan kepada kita bahawa rasulullah meminta daripada umat Islam agar mentaati pemerintah dalam segala keadaan, sekalipun mereka melakukan kezaliman terhadap kita. Kita ditegah merebut kuasa melainkan apabila melihat Kufr Bawwah iaitu kekufuran yang dalil mengenainya jelas tanpa sebarang keraguan atau takwil. Kita pula dikehendaki menyatakan kebenaran dimana sahaja dan dihadapan sesiapa sahaja.

HUKUM MEMERANGI PEMERINTAH.

Pada asalnya syarak melarang umat dari keluar bersenjata memerangi para pemimpin yang fasik atau zalim sekiranya soal fasik atau zalim itu hanya terbatas kepada persoalan peribadi pemimpin sahaja tanpa melibatkan persoalan dasar kepada ajaran islam. Sebab kepada larangan keluar memerangi pemerintah tanpa sebab-sebab yang amat besar iaitu Kufr Bawwah ialah kerana kesannya yang amat merugikan.

Jika peperangan berlaku sesama Islam maka banyak darah muslimin yang akan tumpah, kekuatan umat menjadi lemah dan golongan kafir berkesempatan daripada peperangan saudara yang sedemikian. Kata al-Imam an-Nawawi dalam mensyarahkan hadith soheh muslim, Adapun keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya adalah haram dengan Ijmak al-Muslimin sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim. Ini semua jelas terbukti didalam hadith-hadith yang memberi maksud apa yang aku sebutkan. Kata para ulamak:Sebab tidak dipecat dan diharamkan keluar menentangnya adalah kerana membawa kepada fitnah dan tumpah darah dan kerosakan yang nyata, maka menjadikan kerosakan memecatnya lebih besar dari mengekalkannya.

Dalam mensyarahkan hadith lain pula an-Nawawi menyebut: Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam.(rujukan syarh soheh Muslim oleh an-Nawawi m.s. 540,552/jilid 12 cetakan dar al-khair beirut)

Ad-Dawudi pula menyebut: yang menjadi pegangan para ulamak mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar.(rujukan Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani m.s. 498/jilid 14 cetakan dar al-Fikr, Beirut)

KUFR BAWWAH

Berhubung dengan persoalan kufr bawwah maka para ulamak berbincang apakah yang dimaksudkan dengan perkataan berkenaan dalam hadith diatas dan hadith-hadith lain yang menggunakan perkataan yang sama yang kerananya membolehkan pemerintah ditendang dan dipecat.

Ada yang menafsirkan dengan mungkar yang terang yang melanggar kaedah Islam dan tidak ada sebarang alasan dan andaian lagi kerana begitu terang dan nyata. Ini adalah pendapat an-Nawawi. Mustafa al- khin dan Mustafa al-Bugha memegang pendapat an-Nawawi ini dengan kata mereka an-Nuzhah: Tidak boleh menentang para pemerintah kecuali apabila berlakunya mungkar yang pasti yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam. Jika berlaku demikian maka wajib memenangkan yang hak dengan apa pengorbanan sekalipun(rujukan Nuzhah al-Muttaqin syarh Riyadh as-Sholihin,m.s. 171/ jilid 1.ctk. Muassasah ar-Risalh, Beirut)

TIDAK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH

Persoalan tidak melaksanakan syariat Allah bahkan membelakangkannya lalu memilih perundangan kufur adalah topik yang serius yang diperkatakan dikurun ini. Hendaklah kita ketahui bahawa sepanjang sejarah umat Islam sememangnya pernah wujud para pemerintah yang memiliki keperibadian yang tidak baik, Namun sejarah tidak pernah memberi tahu dikalangan mereka yang menolak secara rasmi hukum-hakam al-Quran dan Sunnah sebagai asas perlaksanaan hukum dan perlembangan dalam masyarakat dan negara.

Kejahatan mereka bersifat akhlak peribadi.Tetapi Islam tetap menjadi teras dan asas undang undang negara. Tidak pernah dikalangan meeka mengistiharkan pengubalan undang-undang yang tidak bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Kalaulah ada pemerintah yang melakukan sedemikian pasti umat islam yang ada ketika itu mengistiharkan jihad besar-besaran terhadap mereka.

Hal ini dapat kita lihat kepada fatwa yang dikeluarkan oleh al-Imam Ibn Kathir terhadap pemerintah Tatar atau Monggol yang mengubal undang-undang ketika menawan Baghdad dengan mencampurkan undang-undang Yahudi, Keristian, Islam dan juga pemikiran pemimpin mereka iaitu Ginkiz khan.

Kata al-Imam Ibn Kathir didalam tafsirnya: Sepertimana yang Tartar berhukum dengan berteraskan sistem pemerintahan yang diambil daripada raja mereka Ginkiz Khan yang telah mencipta untuk mereka undang-undang Yasak yang merupakan sebuah buku menghimpunkan hukum-hakam yang diambil daripada syariat yang berbagai, iaitu , Yahudi, Nasrani,Islam dan lain-lain.

Dalamnya juga banyak hukum-hakam yang diambil daripada fikiran dan hawa nafsunya semata, lalu dijadikan undang-undang yang diikuti oleh anak cucunya. Mereka mendahulukannya melebihi kitab Allah dan Sunnah Rasulullah ,sesiapa yang berbuat demkian maka dia adalah kafir dan wajib diperangi sehingga dia kembali kepada hukum Allah dan Rasulnya dan tidak berhukum selain daripadanya dalam perkara kecil ataupun besar (rujukan tafsir al-Quran al-eAzim oleh al-Imam Ibn Kathir jld. 2, m.s. 70.Ctk. Beirut)

Dalam al-Bidayah Wa an-Nihayah yang merupakan kitab sejarah yang besar karangan Ibn Kathir sekali lagi beliau menegaskan perkara ini, katanya: Sesiapa yang meninggalkan hukum-hakam syarak yang diturunkan kepada Muhammad bin Abdillah, Nabi yang terakhir, lalu berhukum kepada syariat yang dimansuhkan (ajaran yang diturunkan kepada nabi yang sebelumnya) menjadi kafir. Bagaimanakah pula mereka yang berhukum kepada Yasa dan mendahulukannya keatas ajaran Islam? Sesiapa yang berbuat demikian maka menjadi kafir dengan Ijmak Muslimin(rujukan al-Bidayah wa an-Nihayah. Juz 12,m.s. 128.Ctk. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut.)

Syeikh al-Islam Ibn-Taimiyyah, tokoh ilmuan yang agong, juga merupakan guru utama al-Imam Ibn Kathir, dengan lebih terperinci menyebut: Tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beriqtikad wajib berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah adalah kafir, Sesiapa yang menghalalkan untuk berhukum dikalangan manusia dengan apa yang dianggapnya adil tanpa mengikut apa yang diturunkan Allah, maka dia adalah kafirc Katanya lagi: Mereka itu jika mengetahui bahawa tidak harus bagi mereka berhukum kecuali dengan apa yang diturunkan Allah tetapi tidak mematuhinya bahkan menghalalkan untuk berhukum menyanggahi apa yang diturunkan Allah maka mereka adalah orang-orang yang kafir. (rujukan Majmuah at-Tauhid m.s. 205,206,Ctk. Dar al-fikr, Beirut.)

Dengan penjelasan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah,maka jelas diperincikan bahawa yang menjadi kufur adalah mereka yang tidak menganggap wajib berhukum dengan sistem Islam atau yang menghalakan sistem yang selain Islam.Namun sesiapa yang beriktiqad wajib berhukum dengan syariat Allah dan ianya syariat yang paling sempurna dan adil tetapi tidak berhukum dengannya kerana kepentingan peribadi dan harta benda dunia maka mereka adalah golongan yang sangat fasik dan zalim.

PEMERINTAH MUSLIMIN SEMASA

Sekiranya sesebuah pemerintah tidak melaksanakan syariat Islam dan menghalalkannya maka ini adalah kufur, maka diwajibkan kita menjatuhkannya dengan cara yang benar-benar menguntungkan Islam dan kaum Muslimin. As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi didalam Fiqh ad-Daulah menyebut tiga kekuatan yang perlu wujud dalam menjatuhkan kerajaan di zaman ini.

Pertama: Kekuatan ketenteraan.

Kedua: Perlimen yang mampu mengubah dasar.

Ketiga: Kekuatan pergerakan rakyat yang menyeluruh yang tidak mampu dihalang oleh sesiapa, sekalipun angkatan bersenjata. Sesiapa yang tidak mempunyai kekuatan ini hendaklah ia bersabar dan bersiap sehingga mampu memilikinya. Dalam masa tersebut maka dakwah diteruskan dengan lisan, menulis dan segala ruang yang ada. (Untuk huraian yang lebih terperinci sila lihat Fiqh Ad-Daulah m.s. 125.Ctk.Dar asy-Syuruq, Qaherah.)

Bagaimana sekiranya sesebuah pemerintah tidak melaksanakan syariat allah tetapi tidak menghalalkannya. Para pemerintah yang mendukung selain dari sistem Islam mereka tidak boleh dianggap terkeluar daripada Islam selagimana mereka tidak melafazkan ucapan yang menghalalkan sistem kufur atau menghina sistem Islam.Dari segi aqidah mereka tidak terkeluar dari islam, dengan itu bagimana nilaian terhadap kerusi pemerintahan mereka?

Dalam persoalan ini Al-Qardhawi di dalam Fiqh ad-Daulah yang dengan jelas menyatakan tetap wajib menjatuhkannya kerana ini adalah persoalan besar yang membabitkan perkara dasar Islam, para ulamak Islam yang lain dizaman kini menyatakan perkara yang sama. Antara yang dinyatakan oleh as-Syeikh Mohammad Naim Yasin di dalam buku al-Jihad: Adapun sekiranya kefasikan pemerintah dan maksiatnya ialah mewujudkan suatu sistem (bukan Islam) untuk rakyatnya dan jelas darinya kepastian menyelewengkan umat dari berpandukan peraturan allah dalam persoalan aqidah, Akhlah dan dipimpin umat selain dari al-quran dan as-sunnah. Sesungguhnya bersabar terhadap kemungkaran tersebut adalah lebih dasyat dan besar fitnahnya dibandingkan dengan sebarang fitnah yang berpunca dari bangkit menentang dan menghunuskan senjata terhadap pemerintah seperti ini.Maka wajib bagi kaum muslimin untuk berjihad menentang pemerintah yang sebegini dan menggunakan sebarang cara yang disyarakkan untuk memecatnya dari tampuk kekuasaan serta digantikan dengan sesiapa yang akan meminpin mereka dengan agama Allah (rujukan : Al-Jihad, Mayadinuhu Wa asalibuhu, ms 203-204. Ctk. Dar al-Furqan, Amman, Jordan )

Perlu diingatkan bahawa perlaksanaan syariaat bermaksud mengistiharkan dengan jelas dan benar bahawa al quran dan as-sunnah adalah perlembagaan pemerintahan . Adapun kecacatan dalam proses perlaksanaan syariat setelah ianya diistiharkan yang berpunca daripada kelemahan pemerintah atau pengendalian, ini tidak membolehkan rakyat keluar menentangnya selagi kecacatan tidak menjejaskan prinsip atau boleh dibetul dengan mudah disebabkan sudah tertera dalam perlembagaan negara.

Demikian adalah secara ringkas perbahasan dalam isu reformasi menjatuhkan pemerintah menurut pandangan Islam.

SELAMAT MEMBACA DAN BERAMAL

Tiada ulasan: