Sahabat Ilmu

Khamis, 14 Mei 2009

KECELAKAAN RIBA

Dosa Riba

Di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadis yang menerangkan besarnya dosa riba.

1. Pemakan dan pemberi riba diperangi Allah dan Rasulullah S.A.W.

Allah memberi ingatan :
Maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Surah al-Baqarah : 278-279)

Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil serta tidak mahu meninggalkan "saki-baki" riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah dan Rasulullah S.A.W.

Ayat ini menyebut "saki-baki", menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar mengikut sunnah dan menjadi Mukmin sejati, perlu memiliki pengetahuan yang jelas tentang riba serta menjauhkan diri daripadanya secara 100%.

Selain itu, ayat ini secara tidak langsung membuktikan seorang Mukmin mampu menjauhi riba dalam hidupnya, tidak sebagaimana dakwaan segelintir masyarakat kononnya kita tidak dapat lari daripada riba di akhir zaman ini.

Zahir daripada ayat ini juga menunjukkan "peperangan" berlaku sejak di alam dunia lagi. Malang bagi seseorang dan pemimpin yang tidak memperdulikan dosa ini.

Ibn Abbas r.a. mentafsirkan :
Maksudnya; "Akan dikatakan kepada pemakan riba pada hari kiamat, Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah ."

Imam Abu Hanifah berkata bahawa inilah ayat dalam al-Quran yang paling menakutkan.

Imam Malik bin Anas pula berkata :
Maksudnya; "Telahku buka lembaran-lembaran kitab Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W. dan tidakku dapati (dosa) yang lebih buruk daripada riba, kerana Allah telah mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya"

Berkata Imam Qatadah : "Allah menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya di mana sahaja mereka berada."

2. Kehilangan berkat harta dan kehidupan.

Tercatat didalam al-Quran :
Maksudnya; "Allah menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (Surah al-Baqarah : 276)

Kehilangan berkat itu akan berlaku didunia dan akhirat.

Hukuman di Dunia.

Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta bagi orang yang terlibat dengan riba adalah hartanya akan mudah hilang atau habis tanpa dirasai. Selain itu, harta itu mendorongnya melakukan pelbagai bentuk aktiviti tidak berfaedah dan dosa.

Ia juga akan berasa terlalu miskin dan fakir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Harta haram seperti ini akan mendorong pemiliknya untuk melakukan maksiat, perkara fasik dan hina, tatkala itu akan hilang sifat amanah dan kebaikan dalam diri.

Ia juga bakal ditimpa ujian harta yang banyak seperti dirompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim daripadanya juga lebih makbul.

Sabda Rasulullah S.A.W. daripada Ibn Mas'ud r.a. :
Maksudnya; "Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa." (Riwayat Ahmad, al-Hakim)

Hukuman di Akhirat.

Ibn Abbas berkata :
Maksudnya; "Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihatnya dan persaudaraannya."

3. Seperti berzina dengan ibu bapa sendiri.

Rasulullah S.A.W. mengingatkan dalam satu hadis yang cukup mendalam maksudnya :
Maksudnya; "Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (al-Tabrani, 7/158, al-Hakim)

4. Lebih berat daripada 36 kali zina.

Rasulullah S.A.W. juga memberi amaran :
Maksudnya; "Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali" (Riwayat Ahmad dan al-Dar Qutni)

Hadis ini bukan untuk merendahkan dosa zina, tetapi ia memberi fokus kepada bahaya dosa riba. Justeru itu, saya amat mengharapkan umat islam membuka mata mereka kepada isu ini agar tidak terjebak dengannya.

Itulah gambaran betapa besarnya dosa riba, dan barangsiapa yang terlibat dengannya sudah pasti amat sukar memperolehi khusyuk di dalam solat mereka. Antara bentuk riba yang amat berleluasa ketika ini dan disertai oleh begitu ramai umat islam ialah:

1.Pinjaman membeli kereta (Car Loan)
2.Pinjaman membeli rumah (Home Loan)
3.Pinjaman mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft)
4.Pinjaman membeli mesin dan alatan untuk syarikat (Hire Purchase Loan)
5.Membuat pinjaman peribadi (Personal Loan)
6.Pelaburan dan seumpamanya

Apakah transaksi yang berlaku?

Sebagai contoh sebenar yang berlaku di bank konvensional hari ini, di atas permintaan pelanggan A untuk membeli kereta, rumah, memperoleh modal syarikat atau sebarang tujuan peribadi, konvensional memberi pinjaman sebanyak RM10,000 kepada pelanggan A dan sebagai imbalan balik kepada bank, pihak bank menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8% (bersamaan RM8,000 sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu sebagai balasan kerana memberikan pelanggan wang yang diperlukan.

8% itulah yang dinamakan 'Riba al-Duyun' jenis al-Qard. Ulama menyepakati jenis pulangan seperti ini adalah riba.

Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan mengikut bulan. Menurut hukum islam, jumlah RM8,000 yang diperolehi ini ialah hasil bank yang haram. Pelanggan yang memberi RM8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba.

Rasulullah S.A.W. menyebut :
maksudnya; "Individu yang memberi (riba) dan yang mengambilnya adalah sama." (Riwayat Muslim).

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Tiada ulasan: