Sahabat Ilmu

Khamis, 6 Disember 2012

Khilaf Ulama' Perihal Tarikh Kelahiran Rasulullah s.a.w

PENENTUAN TARIKH LAHIR NABI SAW.

A) Tahun Kelahiran:

1- Pendapat yang masyhur ialah Nabi saw dilahirkan pada tahun Gajah (Aam al-Fil). 

2- Dikatakan setahun selepas tahun Gajah. Ada juga 40 hari selepasnya atau 50 hari selepasnya.

3- Ada juga yang mengatakan 10 tahun, 23 tahun dan 30 tahun selepas tahun Gajah.

Menjelaskan perbezaan yang ketara ini, al-Imam az-Zahabi mengatakan: “Berkata Abu Ahmad al-Hakim: Nabi saw dilahirkan 30 hari selepas tahun Gajah, sebagaimana pendapat sebahagian ulama'. Katanya lagi, Nabi dilahirkan 40 hari selepas tahun Gajah. Seterusnya, az-Zahabi mengatakan bahawa kesilapan yang berlaku pada mereka yang mengatakan 30 atau 40 tahun, seolah-olah mereka ingain mengatakan hari (yauman) bukan tahun (‘aaman).

Kata as-Suhaili dan Ibnu Kathir: Itulah pandangan yang paling masyhur (Baginda dilahirkan pada tahun Gajah).

B) Bulan:

1- Pendapat jumhur ulama'; Baginda saw dilahirkan pada bulan Rabi’ul Awwal.

2- Di katakan juga Nabi saw lahir pada bulan Ramadhan. Pendapat kedua ini dihukum oleh al-Hafiz Ibnu Kathir sebagai amat gamjil (Gharib Jiddan). [Al-Badayah wa an-Nihayah 2/260].

C) Hari:

Imam Muslim dalam hadis Sahih Muslim: Apabila Baginda saw ditanya tentang puasa pada hari Isnin, jawab Baginda: “Pada hari itu saya dilahirkan, dan saya dibangkitkan dan saya diwahyukan.”

D) Penentuan Tarikh Kelahiran Nabi saw

Kata Ibnu Kathir:

1- Baginda dilahirkan pada 2 Rabi’ul Awwal. Pendapat ini disebut oleh Ibn Abd Al-Barr dalam kitab ‘Al-Isti’ab’ dan diriwayatkan oleh Al-Waqidi.

2- Al-Humaidi pula menghikayatkan daripada Ibn Hazm bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 8 Rabi’ul Awwal.

3- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 10 Ra bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 8 Rabi’ul Awwal.

4- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 12 Rabi’ul Awwal sebagaimana yang di riwayatkan pleh Ibn Ishaq dan di riwayatkan oleh Abi Syaibah dalam Musannafnya daripada Jabir dan Ibn Abbas ra. Kata mereka berdua: (( Rasulullah saw dilahirkan pada tahun Gajah, hari Isnin 12 Rabi’ul Awwal. Pada nya juga Baginda dibangkitkan menjadi nabi dan padanya Baginda diMikrajkan ke langit, padanya Baginda wafat dan padanya Baginda saw wafat.)) kata Ibnu Kathir: Inilah pendapat yang jumhur di kalangan ulama'. Wallahu a’lam.

5- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 17 Rabi’ul Awwal. Pendapat ini dinaqalkan oleh Ibnu Dihayah, daripada sebahagaian golongan Syiah.

6- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 22 Rabi’ul Awwal sebagaimana dinaqalkan oleh Ibnu Dihayah, daripada catatan al-Wazir Abi Rafi’.

7- Memandangkan riwayat Jabir dan Ibnu Abbas ra yang menyebut kelahiran Baginda pada 12 Rabi’ul Awwal dianggap lemah oleh ahli Hadis. Terdapat kecenderungan untuk mengambil kira perkiraan ahli falaq dalam hal ini. lantaran itu timbul pendapat bahawa tarikh kelahiran Baginda adalah pada 9 Rabi’ul Awwal atau pada malam 9 Rabi’ul Awwal. Mereka yang berpegang dengan pendapat berkenaan adalah seperti berikut:

a) Al-Ustaz Mahmud Basyar al-Falaqi (m 1302H)

b) AlUsta
z Sulaiman al-Mansurfuri

Kata Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin: Sebahagian ahli falaq terkemudian telah meneliti tarikh kelahiran Baginda, di mana ianya jatuh pada 9 Rabi’ul Awwal, bukan pada 12 Rabi’ul Awwal.

Pendapat ini dipegang oleh Syeikh Safi ar-Rahman al-Mubarakfuri, berdasarkan penelitian dua tokoh falaq di atas. Tarikh itu bersamaan dengan 20 atau 22 April 571M.

Bagi Prof Dr Akram al-Umairi, beliau kelihatan lebih memihak kepada pendapat Ibnu Ishaq yang memilih tarikh 12 Rabi’ul Awwal atas alasan Ibnu Ishaq lebih thiqah (dipercayai) berbanding daripada Al-Waqidi dan Abu Mi’syar al-Sindi.
[Tulisan ini diringkaskan dari tulisan Dr Ahmad Najib al-Qari, UM Nilam Puri, dengan tajuk: Isu-Isu Dalam Sirah Nabi Saw. Dipetik dari buku penghayatan Sirah Nabi saw, terbitan Persatuan Alumni Universiti Islam Madinah, Kelantan].
Kata Abu Anas Madani, ‘afalLahu anhu: 

Pada penelitian saya, hikmat kenapa Rasulullah saw sendiri tidak menentukan tarikh sebenaranya bila (tidak sebagaimana hari Isnin yang jelas disebut), adalah sama dengan tarikh Kiamat, yang tidak ditentukan bila, cuma disebut akan berlaku pada hari Jumaat. Ianya supaya kita umatnya sentiasa berusaha untuk beramal soleh dan melakukan kebajikan sepanjang masa dan zaman, bukan hanya pada tarikh-tarikh tertentu sahaja.

Tarikh itu tidak penting dan bukan perkara besar, apa yang pentingnya ialah melahirkan kecintaan kita terhadap Rasulullah saw dengan mengikut segala arahan dan ajarannya dan menjauhkan diri daripada segala larangan dan amarannya.

Petikan daripada kertas kerja Abu Anas dalam buku ini juga, dengan tajuk: Fiqh Sirah dan Kepentingannya:

Mengkaji sirah Rasulullah saw itu bukanlah seperti kita mengkaji seorang tokoh atau pemimpin biasa atau sekadar kagum dan bermegah dengan ketokohan atau kepemimpinan, tetapi di sana ianya mempunyai hubungan yang erat dengan persoalan mengapa kita beriman kepada Allah, mengapa kita percaya kepada kenabian Muhammad saw, mengapa kita beriman kepada kitab yang diwahyukan kepadanya, mengapa kita mendakwah orang lain supaya beriman seperti berimannya kita, bahkan seterusnya mengapa kita berjihad seperti jihadnya pula.

Bukanlah mempelajari sirah Rasulullah saw itu sekadar mengetahui peristiwa atau sejarah, atau dengan kata yang lain seperti mempelajari sejarah biasa, tetapi tujuan yang sebenar ialah untuk memahami tasawwur Islam yang hakiki, yang dinyatakan oleh batang tubuh dan peribadi Rasulullah saw dan para sahabat r.a. yang mendampingi dan mengelilinginya khususnya dizaman pembentukan iman dan tuntutannya didalam diri setiap individu, rumahtangga, masyarakat dan negara (samada yang berhubungan dengan akidah atau Syariat dan juga nizam serta akhlak).

Disana jelas kepada kita sirah Rasulullah saw bukanlah sekadar cerita yang disebut atau dinyanyikan pada hari jadi, memuja umur, pertabalan atau kewafatan dengan laungan semata-mata atau membentangkan “slogan-slogan” yang ditulis pada sepanduk-sepanduk. Justeru hubungan seorang muslim yang sebenar dengan Rasulullah saw itu adalah ke arah Islam tulen dan bukanlah Islam yang tiruan dan bohong.

Maka apa yang dibaca dan didengar tentang Rasulullah saw dan para sahabat r.a semata-mata untuk memahami, mendekati dan menghayati sunnah Rasulullah saw didalam kehidupan dan persediaan untuk kembali kepada Allah SWT samada semasa perang atau damai, didalam ilmu dan amal atau didalam ibadah dan adat.

[Lihat:
http://www.abuanasmadani.com/?p=526 ]

Kepada orang-orang yang meneruskan perjuangan dengan slogan-slogan, dengan nasyid-nasyid atau sekadar memuji dan memuja hanya dengan lidah yang tidak bertulang dan dengan dakwah “cair” itu, kita peringatkan dengan firman Allah SWT:

 { وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهِ أَنْ تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلا شَفِيعٌ وَإِنْ تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لا يُؤْخَذْ مِنْهَا أُولَئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ } الأنعام (70)

Maksudnya: {Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka, kerana perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak pula pemberi syafa'at selain daripada Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun, nescaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka. Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu.}[Al-An’am: 70] [Lihat: Muqaddimah kitab: Fiqh Al-Harakah, DSTG Abdul Hadi Awang; 3-5]”.

Sekian.
Akhukum:Abu Anas Madani,
PSD, 11 Rabi’ul Awwal 1433H.

Tiada ulasan: