Sahabat Ilmu

Selasa, 7 Jun 2011

SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG / DI LAUTAN

Soalan; ustaz, apakah perbezaan solat dalam kenderaan dan solat hormat waktu. Saya sering keluar negara dengan menaiki kapalterbang dan saya bersolat ketika saya yakin waktu solat telah masuk dengan cara duduk di atas tempat duduk penumpang (mengikut arah perjalanan kapal terbang). Selalunya saya buat secara jamak & qasar. Saya berpendapat yang saya dalam keuzuran dan tidak mampu melakukan solat secara sempurna. Tetapi saya terbaca dalam satu artikel bahawa sembahyang seperti itu cuma dikira sebagai solat menghormati waktu yang mana solat itu perlu dilakukan semula setelah perjalanan selesai. Jika demikian adakah saya perlu saya meng'qada' semua solat itu semua?Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Orang berada di atas kapal laut, kapal terbang, keretapi dan sebagainya, jika ia dapat turun atau berhenti, wajiblah ia turun atau berhenti untuk menunaikan solat. Jika tidak, hendaklah ia menunaikan solat di atas kenderaan-kenderaan itu jika dibimbangi akan habis waktu jika ditunggu hingga sampai ke destinasi. Semasa mengerjakan solat itu, jika ia dapat/mampu berdiri wajiblah ia berdiri. Jika tidak mampu –kerana takut terjatuh, tenggelam, loya, tiada ruang untuk berdiri atau sebagainya, harus ia melakukannya sambil duduk. Bagi kiblat pula, jika ia dapat mengadap ke arah kiblat, wajiblah ia mengadap ke arahnya. Jika di tengah solat, kapal/kenderaan beralih dari arah kiblat, dimaafkan. Jika ia tidak mampu mengadap ke arah kiblat, hendaklah ia mengadap ke arah mana yang boleh. Begitu juga dengan rukun-rukun yang lain, hendaklah dilakukan mengikut kemampuan. Di dalam kaedah fiqh ada ditegaskan al-Masyaqqah tajlibu at-Taisir (kepayahan akan mendapat kemudahan), yakni orang yang dalam kepayahan diberi kemudahan atau kelonggaran oleh Syarak. Dalil bagi kelonggaran tersebut ialah beberapa hadis Nabi s.a.w., antaranya;

1. Sabda Nabi s.a.w.; “Hendaklah kamu tunaikan solat dengan berdiri. Jika tidak mampu, tunaikan dengan duduk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan mengiring di atas rusuk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan isyarat” (HR Imam al-Bukhari dari ‘Imran bin Hushain r.a.)

2. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh seorang lelaki; “Bagaimana hendak saya tunaikan solat di dalam perahu/kapal laut?”. Baginda menjawab; “Tunaikan dengan berdiri kecuali jika kamu bimbang akan tenggelam” (HR Imam ad-Daruqutni dan al-Hakim. Menurut al-Baihaqi; hadis ini hasan. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5009).

Adakah solat yang dilakukan dengan rukhsah (yakni dengan mengambil kemudahan dan kelongaran) tadi perlu diulangi semula? Jawapannya; tidak perlu. Ibadah yang wajib, jika telah dilaksanakan mengikut yang termampu dilakukan (walaupun dengan meninggalkan sebahagian syarat atau rukunnya kerana tidak berupaya dilakukan, bukan kerana sengaja untuk bermain-main atau mempermudah-mudahkan agama), sahlah ibadah itu dan tidak perlu lagi diulangi. Inilah pandangan Imam al-Muzani (seorang murid terkenal Imam Syafi’ie)
[1] dan di sokong oleh Imam an-Nawawi kerana menurut beliau; pandangan ini paling kuat dari sudut dalilnya kerana Allah berfirman; “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” (at-Taghabun; 16). Dan Nabi s.a.w. pula bersabda; “Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu urusan, maka lakukanlah mengikut yang termampu oleh kamu” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Jadi berdasarkan pandangan Imam al-Muzani di atas, tidak ada yang dikatakan solat hormat waktu (yakni solat yang dilakukan semata-mata untuk menghormati waktu solat, bukan untuk menggugurkan tuntutan solat) kerana solat yang dilakukan dengan rukhsah itu telahpun sah dan dikira oleh Syarak kerana ia dilakukan mengikut kadar kemampuan yang ada.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 322.

Nota kaki;
[1] Khusus mengenai solat fardhu, Imam al-Muzani berkata; “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun dilaksanakan dengan terdapat suatu kekurangan, tidak wajib diulangi semula”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum).

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Tiada ulasan: