DARI Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."Riwayat Muslim
Huraian Hadith:
Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.
Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari', masih juga bergelumang dengan dosa.
Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.
Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.
Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan