Dinegeri Kelantan sungguhpun pengaruh syiah belum menonjol gerakannya, namun segelintir masyarakat Islam menjadi pemangkin kepada pembaikan ajaran syiah dan secara tidak disedari mereka terus menabur pengaruhnya menerusi berbagai saluran termasuk pergerakan siyasah dan sebagainya.
2. Mesyuarat juga mengkaji ancaman yang lahir dari gerakan syiah iaitu ancaman kepada akidah, syariat, akhlak dan seterusnya ancaman kepada umat dan negara dengan berpandukan sejarah peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara-negara lain. Semuanya itu adalah gejala yang bakal dialami oleh umat islam sekiranya ajaran syiah berkembang dan mempunyai penganut yang besar jumlahnya suatu ketika nanti.
3. Mesyuarat dimaklumkan bahawa dalam bulan November 1992, urusetia Dewan Syura Majlis Agama Islam Kelantan pernah menganjurkan ijtima’ khas ulama’ bagi membincang masalah syiah dimana satu kertas kerja berjudul Pengaruh Syiah Dan Kesannya Kepada Masyarakat Islam dibentang dalam ijtima’ tersebut. Pada 3 Mei 1996 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia telah mengadakan muzakarah khas di Pulau Langkawi bagi membincang masalah yang sama dan berhasil mengeluarkan keputusan mengenainya.
Ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa agama memandang serius terhadap perkembangan syiah di negara ini dimana ianya akan menimbulkan masalah besar jika kegiatannya tidak dibendung dengan segera.
Jawapan:
Setelah berbincang dengan terperinci, mesyuarat bersetuju membuat keputusan sebagaimana berikut:-
(1) Bersetuju dengan keputusan muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis kebangsaan supaya keputusan muzakarah khas jawatankuasa fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 (kertas bilangan 2/8/84, perkara 4.2(2)) mengenai aliran syiah yang menetapkan seperti berikut: ( setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawanya mazhab syiah dari golongan الزيدية dan جعرفية sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia) dimansuhkan.
(2) Menetapkan bahawa umat Islam di Kelantan hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ahli sunnah waljamaah dari segi akidah, syariat dan akhlak. Ini adalah kerana ajaran syiah jelas menyeleweng dari segi akidah, syariat dan akhlak sebagaimana contoh-contoh berikut:-
(i) Penyelewengan akidah
(1) محمد بن يعقوب الكليني meriwayatkan dalam usul al-kafi dari Abi Abdullah kata beliau, ( sesungguhnya dunia dan akhirat adalah kepunyaan imam. Dia boleh meletakkannya dimana dikehendakinya dan memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Ini adalah satu kebenaran dari pihak Allah kepadanya ( الكافي, jilid 1, halaman 409). Bab dunia ini semuanya kepunyaan imam, sedangkan Allah berfirman didalam Al-Quran (إن الأرض لله يورثها من يشاء من عباده) (الاعراف، اية 128) yang bermaksud: (sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dari hamba-hambanya. Allah berfirman lagi ( له ملك السموات والأرض) ( الحديد، اية 2) yang bermaksud ( kepunyaannyalah kerajaan langit dan bumi);
(2) Imam adalah pangkat tertinggi, bahkan menjadi salah satu rukun iman;
(3) Imam adalah ma’sum, tidak melakukan sebarang dosa-dosa baik dosa kecil atau dosa besar;
(4) Imam masih mendapat wahyu dari tuhan dan mewarisi pangkat nabi;
(5) Mempertikaikan kesempurnaan Al-Quran.
(ii) Penyelewengan syariah
(1) Golongan syiah juga tidak memandang berat terhadap sembahyang, zakat dan haji kerana mereka ada meriwayatkan daripada Jaafar Sadiq bahawa beliau berkata, (sesungguhnya Allah menghindarkan azab dan kebinasaan daripada orang yang tidak bersembahyang dari kalangan kita dengan orang yang bersembahyang daripada syiah kita.
Dan sesungguhnya Allah menghindarkan (azab dan seksaan) daripada syiah yang tidak mengeluarkan zakat dengan syiah kita yang mengeluarkan zakat, dan sesungguhnya Allah menolak azab dan siksaan daripada syiah kita yang tidak mengerjakannya.( تفسير القمي, jilid 1 halaman 83, 84, تفسير العياشي jilid 1, halaman 135). Mereka tidak memandang berat terhadap sembahyang, zakat dan haji kerana dengan adanya segolongan daripada orang yang mengerjakan sembahyang dan menunaikan haji dianggap sudah mencukupi;
(2) Menghalalkan perkahwinan mutaah. Untuk menggalakkan amalan tersebut, golongan syiah mereka hadis-hadis palsu yang disandarkan kepada imam dua belas mereka. Antara hadis tersebut, Rasulullah (S.A.W) bersabda: Barangsiapa keluar dari dunia ini dalam keadaan tidak pernah melakukan kahwin mutaah dia akan datang pada hari akhirat dalam keadaan rumpung. Dalam kitab تهذيب الاحكام, jilid 7, halaman 254 ada menyebut bahawa kahwin mutaah tidak memerlukan saksi, wali dan perisytiharan.
(iii) Penyelewengan akhlak
Golongan syiah dan orang-orang yang diracuni fikirannya oleh fahaman syiah bersifat biadap terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul dengan berpegang kepada riwayat daripada ملا باقر المجلسي dalam kitabnya بحار الانوار (secara dusta) daripada nabi (S.A.W) bahawa nabi berkata kepada Ali ( wahai Ali, engkau memiliki apa yang tidak dimiliki olehku. Fatimah isterimu, sedangkan aku tidak mempunyai isteri yang seumpamanya. Daripadanya engkau memperolehi dua orang anak lelaki yang mana tidak ada bagiku dua orang anak lelaki seumpamanya. Khadijah pula ibu mertuamu sedangkan aku tidak mempunyai ibu mertua yang penyayang seumpamanya. Aku sendiri bapa mertuamu sedangkan aku sendiri tidak mempunyai bapa mertua yang penyayang seperti bapa mertuamu.
Jaafar adalah saudaramu sedangkan aku tidak mempunyai saudara seumpama Jaafar. Fatimah Al-Hasyimiah adalah ibumu dimana aku tidak mendapat ibu seumpamanya. (كتاب بحار الانوار، كتاب الشهادة jilid 5, halaman 511.)
الكليني menyebutkan bahawa darjah imamah adalah lebih tinggi dari darjah kenabian, kerasulan dan khalah Allah. Untuk maksud ini dia (الكليني) telah berdusta atas nama Jaafar Sodiq bahawa beliau berkata sesungguhnya Allah menjadikan Ibrahim sebagai hamba sebelum menjadikannya sebagai rasul, dan sesungguhnya Allah telah menjadikannya rasul sebelum menjadikannya khalil dan sesungguhnya Allah menjadikannya sebagai khalil sebelum menjadikannya sebagai imam. ( كتاب الحجة من الكافي, jilid 1, halaman 175)
(3) Menyokong dan menerima cadangan Pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembangan negeri-negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan ahli sunnah waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
(4) Memperakukan pindaan kepada semua undang-undang negeri yang berhubungan dengan hukum syara’ bagi menyelaraskan ta’rif (hukum syara’) atau (undang-undang Islam) seperti berikut:
( hukum syara’) atau (Undang-undang Islam) ertinya undang-undang Islam yang berasaskan pegangan ahli sunnah waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
(5) Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan ahli sunnah waljamaah adalah bercanggah dengan hukum syara’ dan undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan ahli sunnah waljamaah adalah dilarang.
(6) Menetapkan bahawa semua umat Islam di negeri ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam dan hukum syara’ yang berasaskan pegangan kepada ajaran ahli sunnah waljamaah sahaja.
(7) Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain yang berkaitan dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan ahli sunnah waljamaah adalah diharamkan.
Mesyuarat meminta supaya urusetia berusaha mendapatkan kitab-kitab rujukan mengenai syiah dari Ustaz Muhammad Asri bin Yusuf, penulis kertas kerja ( Pengaruh Syiah dan Kesannya Kepada Masyarakat Islam) untuk rujukan ahli jamaah ulama’ majlis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan