Sahabat Ilmu

Selasa, 26 Oktober 2010

Hukum Pakai Kemeja Sutera Batik

Assalamualaikum,
Mohon kepastian berkenaan kemeja batik sutera yang dijual sekitar harga RM100-RM200 (banyak di kelantan) dan sering dipakai ketika majlis-majlis rasmi, adakah ianya HARAM bagi lelaki.

Saya pernah bertanya kepada seorang peniaga di sana katanya sutera ini bukanlah yang asli sebab yang asli harganya sangat mahal. Sutera yang saya maksudkan adalah hasil campuran seperti sutera satin dsbnya.

****************
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Sutera adalah haram untuk kaum lelaki. Didalam sebuah hadith Ali ra telah berkata :

إِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ ، ثُمَّ قَالَ : إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي
"Sesungguhnya Nabi saw mengambil sekeping kain sutera disebelah tangan kanannya dan emas disebelah tangan kirinya kemudian bersabda : 'sesungguhnya dua benda ini diharamkan keatas kaum lelaki dari umatku" - [Hadith riwayat Abu Daud, dikelaskan sebagai sahih oleh al-Albani]

Apa yang dimaksudkan oleh hadith ini ialah sutera asli. Jika istilah kain 'sutera' yang dijual dengan harga yang murah dan bukan merupakan sutera yang dihasilkan dari ulat (silkworm), maka ia bukanlah termasuk sutera yang diharamkan kepada kaum lelaki. Sutera jenis ini dipanggil sebagai 'synthetic silk' atau sutera tiruan. Menurut bekas pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar :-

الحرير الذى وردت فيه النصوص هو الحرير الطبيعى المأخوذ من دودة القز، أما الحرير الصناعى فيشبهه فى النعومة ولكن لا يأخذ حكمه
"Sutera yang bahannya datang dari sutera asli diambil dari ulat sutera, maka bagi sutera tiruan yang serupa dengan kelembutan sutera asli, akan tetapi tidak mengambil hukumnya"

Dengan kata lain, pada asalnya sutera tiruan tidak mengikut hukum sebagaimana hukum memakai sutera asli. Walaubagaimana pun, terdapat dikalangan ulama' yang tidak menggalakkan kaum lelaki memakai sutera tiruan atas dasar kainnya lembut menyerupai pakaian perempuan. Menurut ulama Saudi, Syiekh Muhammad Saleh Al-Munajjid :

وبعض هذه الأقمشة المصنوعة من الحرير الصناعي تكون لينة جداًّ تشبه أقمشة النساء، فهذه ينبغي للرجل أن يجتنبها ، لأن المطلوب في الرجل الخشونة والصلابة والرجولة ، أما الليونة والميوعة فهذه لا تليق بالرجال .
"Ada beberapa jenis kain yang dibuat dari sutera tiruan berkemungkinan terlalu lembut, sebagaimana kain yang dipakai oleh kaum wanita, Ini hendaklah dielak oleh kaum lelaki, apa yang perlu bagi kaum lelaki ialah tanah lasak dan keras, kelembutan tidak sesuai dengan kaum lelaki"

Begitu juga dengan pandangan Syiekh Atiyah Saqr :-

وأرى أن لبس الحرير الصناعى الذى يقارب فى مادته أو هيئته الحرير الطبيعى لا يليق بالرجال ، وإذا قصدت به المباهاة كان حراما من أجل ذلك
"Saya berpandangan bahawa memakai sutera tiruan hampir atau menyerupai struktur sutera asli tidaklah sesuai dengan kaum lelaki, dan jika maksud memakai kerana ingin menunjuk-nunjuk maka menjadi haram disebabkan itu"

Kesimpulannya, sutera tiruan tidaklah haram dari segi hukum, kerana ia bukanlah sutera asli yang dihasilkan dari ulat sutera. Akan tetapi disebabkan sifat sutera tiruan itu lembut, dan lebih sesuai dipakai oleh kaum perempuan, ulama' tidak menggalakkan kaum lelaki memakainya. WA.

wassalam
=========
Rujukan :

1. Syeikh Atiyah Saqr. الحرير الصناعي للرجال. url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=11504

2. Syiekh Muhammad Saleh al-Munajjid. حكم الحرير الصناعي. url : http://63.175.194.25/index.php?cs=prn&ln=ara&QR=30812&dgn=4&dgn=2

Tiada ulasan: