Sahabat Ilmu

Isnin, 6 Ogos 2012

MEMISKINKAN DIRI ITU ADALAH PERLU

Dunia ini Allah punya. Segala-gala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita manusia tidak memiliki apa-apa. Sebaliknya kita dimiliki.
Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan dan wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, adalah milik Tuhan.

Kita sebagai manusia, dalam keaadan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai banyak harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil dan guna sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita itu tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk kemaslahatan masyarakat.

Allah SWT jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hamba-Nya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah SWT kurniakan itu cukup untuk semua hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada golongan yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin dan kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan tidak akan berkembang.

Manusia hanya akan sibuk mencari makanan sehari-hari untuk diri dan keluarga masing-masing. Semua manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak akan berlaku interaksi, usahasama, kerjasama, khidmat dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak akan ada kemajuan dan pembangunan. Tidak akan terbangun masyarakat, tamadun dan peradaban. Semua manusia akan hidup macam orang asli atau kaum aborigin yang semuanya sama-sama miskin.

Sebaliknya kalau dalam masyarakat manusia itu semuanya kaya-kaya belaka, maka kekayaan itu tidak ada apa-apa makna. Orang kaya akan menjadi susah juga. Siapa yang akan menanam padi. Siapa yang akan ke laut menangkap ikan. Siapa yang akan menternak lembu, kambing dan ayam. Siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan. Bukankah ini semua kerja orang miskin. Apa yang orang kaya hendak makan. Takkan hendak makan duit, emas, perak, intan dan berlian. Siapa yang akan bina rumah, buat jalan, angkut sampah, potong rumput, menjadi pekerja bekalan air dan elektrik dan beribu-ribu macam khidmat lagi.

Kalau hendak gerakkan industri dan ekonomi siapa pula yang akan jadi buruh. Siapa yang akan jadi pekerja. Siapa yang akan jadi penyelia. Akhirnya siapa yang akan jadi pembeli atau pengguna bagi produk, barangan dan khidmat yang dikeluarkan.

Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenalmengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

Namun begitu, rezeki dan kekayaan yang Allah limpahkan ke bumi ini adalah untuk semua manusia walaupun pembahagiannya tidak sama banyak dan tidak sama rata. Justeru itu apabila ada orang atau pihak yang tidak menjaga dan tidak mentadbir harta dan kekayaan yang Allah amanahkan kepada mereka dengan baik, maka akan berlakulah bencana. Apabila orang kaya tidak menyama-ratakan harta kekayaan mereka kepada fakir miskin dan yang memerlukan, maka akan datanglah malapetaka. Apabila orang kaya mula merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka sendiri dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala dari Tuhan.

Rezeki, harta dan kekayaan Allah itu adalah untuk semua manusia dan masyarakat, bukan untuk manusia yang tertentu sahaja. Ia mesti disamaratakan. Kalau tidak akan timbul kelas dan kasta kaya miskin dalam masyarakat yang satu sama lain benci-membenci, curiga-mencurigai, hina-menghina dan dengki- mendengki. Masyarakat akan menjadi kucar-kacir, kacaubilau, bergaduh dan berkelahi. Akan berlaku berbagai bentuk jenayah dan penindasan. Hilang ukhwah dan kasih sayang. Manusia tidak kira kaya atau miskin semuanya akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

Oleh itu, semua manusia terutama yang kaya, perlu memiskinkan diri. Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskinkan diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata. Kalau pun kita kaya dan berharta, kita tahu dan kita sedar bahawa kita sebenarnya miskin. Kekayaan yang ada itu adalah amanah dari Allah yang wajib kita jaga dan tadbirkan mengikut kehendak-Nya. Kita boleh ambil setakat mana yang perlu sahaja dan menggunakan yang selebihnya untuk golongan fakir miskin dan masyarakat. Memiskinkan diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada golongan fakir, miskin dan masyarakat.

Inilah sebenarnya erti zuhud.

Zuhud bukan bermaksud tidak kaya atau tidak berharta. Zuhud ertinya tidak merasakan kekayaan dan harta itu kita punya.

Zuhud ertinya merasakan harta dan kekayaan itu kepunyaan Allah yang perlu diagihkan kepada yang berhak.

Zuhud ertinya mempunyai kekayaan di tangan tapi tidak di hati.

Orang yang zuhud ialah orang yang telah memiskin dirinya hingga mudah baginya menggunakan kekayaannya untuk masyarakat dan golongan yang memerlukan

Tiada ulasan: