Sahabat Ilmu

Rabu, 18 Januari 2012

Status Darah Sebelum Bersalin

Soalan: Jika seorang wanita sudah hampir bersalin, lalu terkeluar darah sebelum bersalin. Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis darah yang keluar itu, adakah ia darah haid atau nifas? Saya keliru kerana sudah tentu jenis darah akan berikan hukum berbeza. Terima kasih uztaz.

Jawapan Uzar:

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan jenis darah yang keluar itu, seperti berikut :-


Mazhab Hanafi & Hanbali : Ia adalah darah istihadah. Justeru solat masih wajib.
Sebahagian ulama Hanbali : Ia adalah darah nifas jika keluar sehari atau dua hari sebelum melahirkan anak. Jika demikian bermakna, tidak lagi wajib puasa (jika pada bulan Ramadhan) dan solat.

Mazhab Syafie : Ia adalah darah haid dari sudut tidak perlu solat, puasa dan haram untuk digauli suaminya.

Mazhab Maliki : Ia adalah darah haid jika keluar pada bulan pertama dan kedua mengandung, namun jika keluar darah itu pada bulan ketiga, keempat dan kelima serta berterusan lebih dari 20 hari, jelaslah ia darah istihadah.

Bagi penduduk Malaysia yang bermazhab Syafie, bolehlah bertaqlid dengan pendapat mazhab Syafie dalam hal ini. Iaitu ia darah haid. Pendapat mazhab Syafie ini boleh dirujuk dari kata-kata Imam An-nawawi di dalam kitabnya :-

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Ertinya : "Apabila seorang wanita yang sedang hamil melihat darah (keluar), yang sesuai untuk dihukum sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur (dalam mazhab Syafie), berkata pengarang kitab Al-Hawi (Al-Mawardi), Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain :

"Pendapat Syafie yang baru adalah ia Haid, pendapat Syafie yang lama, ia bukan haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sohih ia adalah DARAH HAID" ( Al-Majmu', 1/412)

Sekian, 
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
1 Mei 2008

Tiada ulasan: