Sahabat Ilmu

Khamis, 24 November 2011

AL-JAHIZ (164-255H / 780 – 868M) – Bapa Ilmu

Beliau ialah Abu Osman Amru b. Bahr yang bergelar al-Jahiz (besar) kerana matanya yang besar. Lahir, membesar dan meninggal di Basrah Iraq. Diriwayatkan bahawa beliau berasal dari Afrika, berbangsa Negro dan bapanya meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Beliau menyara hidup dengan menjual roti dan ikan di pasar Basrah. Namun, semangatnya yang suka membaca menyebabkan beliau menyewa kertas di toko buku dan membacanya di waktu malam sehingga berjaya mengukir nama seantero dunia kerana keilmuannya. Beliau mencapai darjat keilmuannya bukan sekadar menghadiri kuliah, tetapi juga dengan bergaul dengan ilmuan di Mirdad, Basra.

Beliau teristimewa kerana berkeperibadian tinggi dan berfikiran luas sebagaimana ilmunya. Dalam aspek penulisan, beliau sangat cenderung untuk memuaskan hati pembaca sambil diselangi humor bagi menyampaikan pengajarannya. Kerana itulah beliau dianggap sebagai penulis semasa, bersistem, mempunyai pemikiran yang bebas, teliti membuat pemerhatian dan bijak menyelesaikan pemasalahan. Beliau mampu terjun dalam pelbagai bidang dan mampu pula bercorak pemikirannya dalam aneka topik. Diriwayatkan beliau telah menghasilkan 350 buah buku dalam berbagai-bagai bidang seperti biologi kehaiwanan, tumbuhan, serangga, antropologi, ilmu ekonomi, perdagangan dan geografi.

al-Jahiz dan Zoologi
Beliau telah menulis sebuah buku bertajuk “Kitab al-Haiwan” yang terdiri daripada tujuh jilid. Beliau telah membahagikan haiwan kepada jenis terbang, berenang dan berjalan. Haiwan yang berjalan dipecahkan pula kepada haiwan bertutur seperti manusia dan haiwan mendatang seperti binatang buas, liar dan serangga. Mengikut pendapatnya tidak semua binatang mengapung adalah ikan. Beliau telah mendatangkan contoh seperti anjing laut, kura-kura, katak, ketam dan buaya.

Buku tersebut juga menyentuh topik mengenai kesan-kesan pengasian ke atas haiwan dan manusia, cara pembentukan telur di dalam perut anak ayam, sebab kenapa burung membuat sarang, hakikat tidur binatang dan pelbagai topik lagi. Satu lagi karya beliau ialah “Al-Qaul fi al-Baghal” yang membicarakan tentang asal keldai, sifat dan kehidupannya.

al-Jahiz dan Antropologi

Beliau juga telah mengarang buku “Al-Bukhala”, “Al-Masail" dan "Al-Nisa" yang mana buku ini telah menyentuh perbezaan biologi dan kemasyarakatan antara wanita dan lelaki.

al-Jahiz dan Botani
Beliau telah menulis buku “Al-Zar’u wa al Nakhl" dan "Al-Ma’adin". Perbahasan buku ini selain menerangkan keadaan tumbuhan, ia juga menyentuh masalah tanah dan serangga.

al-Jahiz dan Ekonomi/Perdagangan

Beliau telah menghasilkan karya yang bertajuk “al-Tabsir fi al-Tijarah fi Wasfi ma Yastazrofu fi al-Buldan min al-Amti’ah al-Roqiqah wa al-A’laqu al-Nafsiah wa al-Jawahir Saminah". Buku ini menyentuh rawatan terhadap ekonomi, perdagangan, harga barang dan bentuk penyelewengannya.

al-Jahiz dan Adab

Hasil beliau terlalu banyak dalam bidang ini dan antaranya buku “Al-Bayan wa Tabyin" dan "Al-Taj".

al-Jahiz dan Geografi
Banyak karya-karya beliau telah hilang di bidang ini seperti kitab “al-Amshor wa Ajaibu al-Buldan" yang dikenal pasti oleh al-Muqaddasi dengan nama "al-Mudun al-Asru al-Kubra".

Meninggal dunia

Beliau meninggal dunia pada tahun 255 hijrah dengan meninggalkan pusaka karyanya yang begitu bernilai. Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupan yang cintakan ilmu. Beliau yang lumpuh tubuh badannya meninggal dunia kerana tertindih oleh buku-buku yang selalu tersimpan disekelilingnya. Kata-kata beliau tentang ilmu di bawah ini mungkin menjadi pedoman kepada kita :

“Ilmu adalah sesuatu yang tidak memberikan sebahagian daripada dirinya kepada kamu sehinggalah kamu sendiri memberikan keseluruhan diri kamu kepadanya, barulah kamu mendapat peluang, tetapi kamu tidak mendapat kepastian bahawa ia (ilmu) akan memberikan sebahagian tersebut kepada kamu…” al-Nazm

Tiada ulasan: