Sahabat Ilmu

Selasa, 27 September 2011

Kenapa Perlu Mengumpul Saham Akhirat & Bagaimana Caranya?

Bismillahirrahmanirrahim.....

Mungkin ramai yang tahu bahawa saham akhirat perlu dikumpul dengan melakukan amal soleh supaya dapat memiliki syurga dan menghindari diri dari api neraka. Tetapi cukupkah amalan yang kita lakukan sepanjang hidup ini untuk menampung dosa-dosa yang pernah kita lakukan samada dalam sedar ataupun tidak?

Kaya pahala di dunia belum tentu kaya juga di akhirat kelak. Kerana pahala yang kita miliki hari ini perlu digunakan untuk membayar hutang-hutang dosa yang kita lakukan. Terdapat 2 dosa yang perlu kita tanggung sepanjang hidup di atas dunia ini sepertimana berikut:

1.Dosa dengan Allah.
2.Dosa dengan manusia dan makhluk Allah yang lain.

Kita mungkin akan terselamat dari dosa dengan Allah selagi mana kita bertaubat. Itulah janji Allah yang maha penyayang. Tetapi bagaimana dosa kita dengan manusia? Dosa kita dengan haiwan? Dosa-dosa ini tidak terampun selagi kita tidak memohon maaf dengan mereka meskipun kita sudah bertaubat.

Dosa yang tidak terhapus ini akan menjadi beban hutang yang sangat banyak kepada kita. Di hari perhitungan kelak kita akan membayar hutang-hutang ini dengan pahala yang berjaya kita kumpulkan sepanjang hidup di atas dunia. Fikirkan sendiri, cukupkah saham pahala yang kita kumpulkan selama ini untuk membayar hutang dosa-dosa kita? Jika tidak cukup, maka kita terpaksa mengambil dosa dari mereka pula.

Satu hari Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat,

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”…Jawab sahabat, “Orang yang muflis itu wahai Rasulullah ialah orang yang habis hartanya dan perkakas rumahnya untuk membayar hutang dan belum juga selesai, sehingga ia tidak punya harta dan perkakas rumah lagi.”…Kata Nabi saw, “Bukan macam tu. Sebenarnya orang yang muflis ialah mereka yang datang pada hari qiamat dengan sembahyangnya yang cantik, dengan zakatnya yang cukup, dengan puasanya yang penuh; tetapi ia telah memaki ini, menuduh itu, memakan harta ini, menumpahkan darah itu, memukul ini. Maka dibayarkan untuk semua itu dari hasanat-hasanatnya. Kemudian bila telah habis segala pahalanya sebelum selesai membayar tanggungan hutangnya, maka diambilkan pula dosa-dosa orang yang diganggunya itu dan ditanggungkan kepadanya. Kemudian dilemparkan dia ke dalam neraka.”. (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Nah! Bayangkan sendiri! Mereka yang sempurna solatnya, cukup zakatnya dan baik amalan puasanya pun akan menjadi muflis disebabkan amalan buruknya di atas. Bagaimana pula dengan kita yang belum tentu memiliki solat yang baik, terlepas membayar zakat, tidak sempurna puasa dan amalan-amalan lain yang dilakukan? Mampukah kita membayar orang dengan pahala yang kita ada?

Seorang pembaca blog ini pernah bertanya kepada saya,

Salam..Saya ingin bertaubat kerana sebelum ini saya banyak mengumpat orang, sejak zaman sekolah dahulu lagi. Tapi masalah saya sekarang,bagaimana saya ingin meminta maaf pada mereka sedangkan saya tidak berhubung lagi dengan mereka..kawan-kawan sekolah dan ipt dulu..sekarang saya pun sudah kahwin..kalau sekadar solat taubat, adakah taubat saya diterima?

Saya yakin bahawa bukan pembaca ini sahaja yang mengalami masalah ini. Ia juga pernah berlaku kepada saya samada sedar ataupun tidak. Ia juga mungkin pernah berlaku kepada anda samada anda sedar ataupun tidak! Jika berlaku perkara seperti ini, kita perlu banyak-banyak bertaubat. Berdoa kepada Allah semoga ditemukan kembali dengan insan yang pernah kita umpat dan berkata buruk kepada mereka. Sesungguhnya dosa dengan mereka tidak terampun selagi mereka tidak memaafkan kita. Namun jangan sesekali berputus asa dengan pengampunan Allah. Orang yang bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaan dan bertaubat dengan Allah, akan dipermudahkan segala urusannya.

Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Nabi saw bersabda,

“Sesiapa yang merasa berbuat zalim terhadap saudaranya, samada merupakan kehormatan atau harta, maka hendaklah dia meminta dihalalkan sekarang juga, sebelum dituntut pada hari yang tidak ada dinar/dirham (hari qiamat), maka pada waktu itu jika ia mempunyai amal soleh maka diambil pahalanya menurut kadar kezalimannya. Tunggulah pada hari qiamat, kalau dia ada pahala amal soleh, maka Allah akan ambil dan bagi pada orang yang pernah dizaliminya berdasarkan kadar kezaliman yang dia lakukan pada orang itu. Dan kalau dia tidak ada amal soleh, maka diambil kejahatan orang itu dan dipikulkan kepadanya.” (Riwayat Bukhari)

Nabi Muhamad sudah berpesan kepada kita sejak dari dulu supaya segera meminta maaf dan dihalalkan semua perkara zalim yang kita lakukan terhadap orang lain. Samada zalim terhadap kehormatannya (mengumpat, fitnah) ataupun zalim terhadap hartanya (hutang, mencuri).

Jadi inilah maksud saya kenapa kita perlu mengumpul saham akhirat. Bukan setakat mengumpul tetapi kita perlu gandakan ia sebanyak-banyakkanya supaya kita tidak menjadi orang yang muflis di akhirat kelak. Tindakan kita untuk mengumpul saham akhirat ini bukan bermaksud kita ingin lari dari memohon maaf tetapi sekadar bekalan untuk menampung dosa-dosa dengan orang yang belum sempat kita memohon maaf dari mereka.

Rasulullah telah menyatakan bahawa terdapat 3 aliran pahala yang tidak akan putus sampai kepada kita meskipun kita telah meninggal dunia. 3 aliran pahala itu ialah:
1.Sedekah jariah.
2.Ilmu yang diamalkan.
3.Anak soleh.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘an bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

Sedekah Jariah

Sesiapa pun boleh memberikan sedekah tidak kira samada orang kaya mahupun miskin. Sedekah tidak semestinya dengan harta. Boleh juga sedekahkan tenaga dan masa. Sebagai contoh ada seorang hartawan ingin membina sebuah masjid untuk kegunaan orang ramai, mereka yang kurang mempunyai wang boleh menderma RM10, RM5, RM1 dan sebagainya. Buat mereka yang tiada wang pula boleh berikan masa dan tenaga mereka untuk tolong membina masjid tersebut. Sedekah jariah juga tidak terbatas di masjid saja. Di mana-mana saja sedekah boleh diberikan. Samada barangan dapur, kelengkapan rumah, pakaian, wang dan apa-apa saja yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.” H.R. Ahmad.

Ilmu Yang Diamalkan

Ilmu itu maksudnya luas. Tidak semestinya ilmu agama. Apa sahaja ilmu yang boleh diamal dan dimanfaatkan oleh orang lain bakal memberikan pahala yang tidak putus-putus kepada kita. Berikan ilmu tentang perniagaan yang halal, berikan ilmu cara mendidik anak, ilmu dalam memotivasikan diri dan apa jua ilmu yang bermanfaat kepada orang ramai dengan ikhlas dan sabar. Sampaikan pesanan Rasulullah walaupun satu ayat!

Di zaman moden yang sedang kita lalui sekarang begitu mudah untuk kita kongsikan ilmu kepada orang ramai. Kita boleh menulis status yang baik-baik setiap hari dalam Facebook. Boleh menulis artikel-artikel yang bermanfaat. Berkongsi ilmu-ilmu agama melalui penulisan buku, blog dan pelbagai lagi laman sosial yang wujud ketika ini. Tetapi sayangnya ramai di antara kita leka dan sibuk dengan perkara yang sia-sia. Facebook digunakan untuk mengorat gadis-gadis cantik. Yang gadis pula sibuk memaparkan aksi-aksi seksi dan ghairah mereka dalam Facebook dengan menunjukkan aurat dan pelbagai gaya yang tidak senonoh.

Anak Yang Soleh

Buat mereka yang mempunyai anak, ketahuilah anda mempunyai permata yang amat bernilai. Didik mereka sebaik-baiknya supaya menjadi anak yang soleh dan solehah. Amalan kebajikan mereka akan sampai kepada kita sehingga akhir hayat mereka.

Inilah 3 aliran pahala yang tidak akan putus-putus sampai kepada kita meskipun kita telah meninggal dunia. Semoga bekalan ini mampu untuk menampung sisa-sisa pahala yang mampu kita kumpulkan sepanjang hidup di atas muka bumi ini. Jangan sampai kita menjadi seorang yang muflis di hari pembalasan kelak.

Banyakkan berdoa, bertafakkur, bertaubat dan menginsafkan diri supaya kita dilindungi dari dosa yang tidak kita ketahui dan dari dosa yang tidak terampun. InsyaAllah…

Wallahualam.....
http://wanwma.com/soal-jawab/kenapa-perlu-mengumpul-saham-akhirat-bagaimana-caranya/

Tiada ulasan: