Sahabat Ilmu

Selasa, 16 Ogos 2011

Bolehkah menggunting rambut di salun wanita bukan Islam?

Ada 4 hukum berkaitan penjagaan rambut iaitu:

1. Memuliakan rambut – maksudnya ialah membersihkan, menyikat dan mengelokkannya dengan cara yang tidak berlebih-lebihan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai rambut, hendaklah dia memuliakannya.” (Riwayat Abu Daud) dan daripada Abdullah bin Mughaffal r.a. katanya, “Rasulullah SAW melarang menyikat rambut terlalu kerap.” (Riwayat an-Nisaie dan Abu Daud). Tentu kedua-dua hadis ini ada pembuktiannya dari kajian sains di zaman sekarang.

2. Jangan mencukur rambut – wanita dilarang mencukur rambut kecuali darurat seperti sakit, tidak mampu mengurus atau terlalu banyak kutu. Sayidina Ali r.a. berkata, “Rasulullah SAW melarang wanita mencukur rambutnya.” (Riwayat An-Nasai). Maknanya berdosa mencukur rambut dengan sengaja misalnya untuk berlakon atau sekadar fesyen.

3. Tidak harus menyambung rambut – tujuan agar rambut kelihatan panjang dan lebat. Teknik rebonding tu dilarang ke atas umat Islam. Larangan ini ada dikisahkan di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a., beliau menceritakan seorang gadis Ansar telah berkahwin dan jatuh sakit hingga gugur rambutnya. Ahli keluarganya mahu menyambung rambutnya. Mereka bertanya Rasulullah SAW tentang perkara itu. Baginda menjawab: “Allah melaknat al-wasilah (orang yang melakukan penyambungan rambut) dan al-mustawsalah (orang yang disambung rambutnya).” (Riwayat Muslim).

4. Mewarnakan rambut sama ada untuk menutup warna asli atau menutup uban – Jabir bin Abdullah r.a. berkata, Abu Qahafah ayah kepada Abu Bakar r.a. dibawa bertemu Rasulullah SAW pada hari Pembukaan Makkah. Rambut dan janggutnya putih kerana uban. Baginda SAW bersabda: “Ubah warna ini dengan sesuatu tetapi jauhi warna hitam.” (Riwayat Muslim). Berdasarkan hadis ni, Imam Nawawi berkata pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafi’i ialah HARUS mewarnakan rambut dengan warna selain daripada hitam. (Nota: Perbincangan yang berkaitan dengan hukum yang keempat ini masih perlu diteliti kerana zaman ini terlalu ramai orang mewarnakan rambut tanpa mengira halal atau haram.)

Baiklah, bila kita dah tahu hukum-hukum penjagaan rambut ni mudahlah untuk kita memastikan cara-cara untuk melakukannya. TAPI penting untuk kita ingat bahawa soal menjaga rambut ini berkait rapat pula dengan ISU AURAT kerana rambut adalah sebahagian daripada aurat.

Menurut penulis artikel, Ustazah Maznah Daud, istilah aurat itu berasal daripada perkataan ‘AAR yang bermaksud PERKARA YANG MENGAIBKAN ATAU MEMALUKAN. Fuqaha mentakrifkan aurat ialah setiap perkara yang menimbulkan rasa malu apabila didedahkan (sayangnya sebahagian wanita Islam hari ni sudah hilang perasaan malu mereka sebab itu ramai yang tidak menutup aurat.) Batas aurat menurut fuqaha ialah penentuan bahagian tubuh badan yang boleh atau tidak boleh dipandang atau disentuh oleh orang lain, yang sama atau berlainan jantina.

Sebelum kakchik teruskan dengan jenis-jenis aurat, kakchik ingin nak tarik perhatian teman-teman tentang tempat kita menggunting rambut sama ada di kedai gunting atau salun rambut. Syukur alhamdulillah di Kelantan ni sejak diperintah PAS semua kedai gunting atau salun yang UNISEX telah dilarang beroperasi melainkan diasingkan mengikut jantina pelanggan, diuruskan oleh tukang gunting dari jantina yang sama. Kalau nak kira senanglah kita nak menjaga aurat bila nak mendapatkan khidmat di sana tapi kenalah faham BATAS-BATAS AURAT DENGAN BUKAN ISLAM kerana ada banyak salun rambut ini dipunyai oleh wanita bukan Islam.

Bolehkah kita menggunting rambut dengan mereka? Mari kita pastikan hukumnya dengan penjelasan yang diberikan Ustazah Maznah. Mula-mula kita fahamkan dulu jenis-jenis aurat.

Aurat ada DUA jenis iaitu:

1. Aurat Solat – aurat yang wajib ditutup sebagai satu dari syarat sah solat. Bagi wanita ialah seluruh tubuh selain muka dan dua tapak tangan.

2. Aurat Ru’yah – lebih luas dari Aurat Solat iaitu terbahagi kepada aurat dengan sesama jantina, aurat dengan mahram, aurat dengan ajnabi/bukan mahram dan aurat dengan wanita bukan Islam.

Kebanyakan ulama dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i berpendapat wanita Islam tidak harus membuka auratnya di hadapan wanita bukan Islam, sama seperti di hadapan lelaki bukan mahram (ajnabi, sah nikah). Dalilnya ialah pada Surah an-Nur ayat 31.
Dalam ayat tersebut Allah menyebut perkataan ‘aw nisa’ihinna’. Ramai mufassirin (ahli tafsir) mentafsirkan maksud ‘nisa’ihinna’ ialah wanita Islam. Berdasarkan tafsiran ini, wanita bukan Islam tidak termasuk dalam golongan mereka yang boleh melihat perhiasan atau aurat wanita Islam. Menurut satu riwayat, hanya Imam Ahmad ibnu Hanbal yang berpendapat, “Sesetengah orang berkata bahawa Muslimah tidak boleh membuka tudungnya di hadapan Nasraniyyah dan Yahudiyyah. Adapun saya berpendapat mereka tidak boleh melihat kemaluannya sahaja dan tidak boleh membidaninya ketika dia (muslimah) bersalin.”

Untuk memastikan pendirian kita tidak ragu-ragu dan berbelah bagi eloklah kita berpegang pada pandangan MAJORITI FUQAHA iaitu HARAM MENGGUNTING RAMBUT DI SALUN BUKAN ISLAM.
Rujukan:
1. ANIS, Bil. 164
2. Dara.com, Edisi 106, ms. 66

Tiada ulasan: