Sahabat Ilmu

Jumaat, 18 September 2009

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :
إنا أنزلنــه فى ليلة القدر . وما أدرئك ما ليلة القدر . ليلة القدر خير من ألف شهر . تنزل الملــئكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر . سلــم هي حتى مطلع الفجر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Muslimin Sidang Jumaat Sekelian,
Ramadhan Al-Mubarak adalah satu bulan yang penuh dengan rahmat dan barakah. Bulan untuk menggandakan pahala. Bulan yang penuh dengan hadiah dan bonus dari Allah s.w.t. Bulan yang paling lumayan pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan untuk mendidik manusioa mendekati Allah s.w.t. Bulan untuk mencari keredhaan Allah, bulan untuk mencari keampunan Allah. Bulan yang menjanjikan balasan syurga. Bulan yang digandakan pahala sehingga lebih baik dari seribu bulan. Bulan untuk meningkatkan ketaqwaan. Bulan yang syaitan dikat dan dibelenggu. Bulan untuk menjadikan tubuh badan bertambah sihat dan kuat. Bulan yang dikurniakan rezeki yang mencurah-curah. Bulan yang doa dimakbulkan Allah. Bulan yang diturunkan al-Quran sebagai penyelamat manusia di dunia dan akhirat. Bulan yang di dalamnya terdapat ibadah puasa, ibadah sahur, solat tarawikh, zakat fitrah, majlis tazkirah, tadarus al-Quran, Qiamullail, berbuka puasa berjamaah, amalan iktikaf di masjid, umrah ramadah, zikrullah dan doa. Bulan untuk hamba memperbaiki hubungannya dengan penciptaNya. Bulan yang dijanjikan 1 amalan fardhu digandakan pahala seperti melakukan 70 amalan fardhu, 1 amalan sunat yang dikerjakan digandakan pahala seperti mengerjakan satu amalan fardhu, satu ibadah yang dilakukan semalam digandakan pahala seperti beribadah selama 83 tahun 3 bulan..Bulan Ramadhan sebenarnya merupakan pesta ibadah dan pesta memburu syurga Allah swt.. allahuakbar..masyaallaah begitu pemurah dan baiknya Allah dengan hambanya..Adakah kita menghargai dan menghayatinya.

Bulan yang penuh barakah ini hanya ada 30 hari sahaja dalam setahun, hanya sebulan sahaja dari 12 bulan yang ada..hanya insan yang beriman, bertaqwa, yang benar-benar Muslim, yang benar-benar mukmin, yang ikhlas dan jujur, yang tak pernah cuai/lalai perintah allah sahaja yang berjaya mendapat serta memperolehi semua tawaran-tawaran yang dijanjikan oleh Allah swt. Bagi insan yang tiada perasaan sama ada ramadhan atau tidak, sama sahaja macam hari-hari dan bulan-bulan lain, masih melakukan cara hidupnya berdasarkan akal dan nafsunya maka tiadalah sebarang kebaikan dan manfaat Ramadhan padanya. Sabda Nabi s.a.w:

“Amat sia-sia dan rugi mereka yang melalui ramadhan (hidup dibulan Ramadhan) namun tidak mendapat keampunan daripada Allah s.w.t.

Namun bulan yang penuh kerahmatan dan barakah ini bakal meninggalkan kita semua sehari dua lagi.. Hanya insan yang benar2 bertaqwa yang sedih dengan pemergian Ramadhan ini kerana golongan ini bimbang andainya Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir baginya, tidak sempat merasai Ramadhan pada tahun-tahun yang akan dating dan sedih serta bimbang kalau-kalau Allah tidak menerima amal yang dipersembahkan sepanjang Ramadhan ini. Semoga Allah membalas pahala yang terbaik kepada kita semua dan diberi ganjaran syurga ar-Rayyan sebagaimana yang dijanjikan kepada orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan daripada Allah swt. Tetapi golongan yang kurang beriman amat seronok dan gembira dengan pemergian Ramadhan kerana mereka menganggap Ramadhan adalah bulan yang mengongkong dan menyekat kebebasan makan mereka.

Sidang Jumaat sekelian,
Sehari dua lagi kita akan menyambut kedatangan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitr.. Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Apabila selesai berpuasa, bermakna, kita menyelesaikan satu rukun. Oleh kerana itu adalah wajar bagi mereka yang berjaya menunaikan rukun itu, berhari raya atau bergembira kerana berjaya menunai perintah Allah. Tujuan kegembiraan dipamerkan adalah untuk mensyukuri nikmat Allah selepas ibadah sempurna dilakukan. Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Bagi mengisi cara perayaan tersebut, syarak menggariskan beberapa panduan tertentu antaranya:

1. Diharamkan berpuasa pada hari raya - Ertinya kita harus menjamu selera. Sebaik-baiknya persediaan untuk menjamu selera itu mestilah munasabah dan tidak membebankan.
2. Berpakaian bersih, kemas dan menarik, kita disuruh memakai pakaian yang paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru” tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah memadai
3. Pada pagi hari menuju ke tempat solat hari raya - sebaik-baiknya di tanah lapang jika keadaan mengizinkan kerana hendak memberi peluang kepada yang uzur, dapat bersama mengikuti khutbah raya.
4. Bertakbir dengan takbir yang disyariatkan - bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan, masuk ke bulan Syawal sehingga selesai khutbah Aidilfitri.
5. Mendengar khutbah di samping bersembahyang hari raya.
6. Bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan silaturahim.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Apabila berlaku Hari Raya Fitrah, malaikat-malaikat turun ke bumi, berbaris di jalan-jalan orang yang hendak pergi ke tempat solat, sambil menyeru mereka dengan suara yang didengari oleh semua makhluk, kecuali jin dan manusia, dengan kata-kata "wahai umat Muhammad, ayuh beramai-ramai kepada keredaan Allah, Tuhan yang Maha Mulia, Tuhan yang memberi anugerah yang amat banyak dan yang mengampun dosa-dosa yang banyak."

Apabila mereka berada di tempat solat dan menunaikan solat serta mendengar khutbah, maka Allah berfirman kepada malaikat-malaikat tadi, "Tahukah kamu apakah balasan Aku kepada semua mereka itu?" Malaikat menjawab, "Allah sahajalah yang Maha Mengetahui dan akan membalas apa sahaja amal-amal ibadah mereka." Allah menjawab lagi, "Aku bersaksikan kamu, bahawa Aku akan membalas amalan puasa mereka, sembahyang malam mereka dan solat mereka pada hari ini, dengan keredaan-Ku dan keampunan-Ku kepada dosa-dosa mereka." (Riwayat Ibnu Abbas r.a)

Sidang Jumaat Sekelian,
Perlu diingatkan juga kepada kita semua bahawa banyak kesilapan yang sering terjadi apabila tibanya 1 Syawal yang kadang-kadang perbuatan itu mengundang kemurkaan daripada Allah yang berlaku secara sedar atau tidak, sengaja atau tidak sengaja. Kebanyakan umat Islam kini menyambut aidilfitri hanya sebagai adat bukannya sebagai ibadat.

Menyambut hari raya dalam erti kata bergembira dan bersukacita setelah sempurna berpuasa pada bulan Ramadan adalah dituntut oleh syarak. Berpakaian baru dan indah sebagai menzahirkan tanda nikmat syukur kepada nikmat Allah adalah juga dituntut. Berziarah menziarahi, bermaaf-maafan juga adalah dituntut syarak. Berjamu selera dan menjamu tetamu mengikut kemampuan masing-masing juga dituntut.

Menziarahi kubur, pada asasnya digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana menziarahi kubur itu mengingatkan kita kepada kematian. Jika menziarahi kubur hanya dikhususkan pada hari raya sahaja, itu tidak betul kerana ziarahi kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa. Akan tetapi di Malaysia, menziarahi kubur seolah-olahnya sudah menjadi suatu adat pada hari raya. Ziarah kubur bukan adat, ia adalah agama. Maka lakukanlah kerana agama, bukan kerana raya. Mungkin secara kebetulan setahun tidak pernah pulang ke kampung dan pulang ke kampung hanya pada hari raya. Pada hari itulah ada kesempatan, tidak mengapa, berziarahlah ke kubur kerana itu suruhan agama.

Ada pun berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk seperti mengada-adakan keraian sehingga menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang. Berbangga dan bermewah-mewah hingga melampau-lampau adalah juga dilarang, apatah lagi jika berlakunya pembaziran.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya. (Surah al-Isra', ayat 26-27)

Sidang Jumaat Sekelian,
Berkaitan hiburan, memang menjadi kebiasaan apabila tiba hari raya, itulah hari kita hendak berhibur. Dalam acara sambutan raya seperti menjamu selera, juga adalah suatu bentuk hiburan. Sambutan raya di negara kita, ada yang menambah pula dengan bunyi-bunyian, nyanyian, muzik dan berbagai-bagai lagi.

Televisyen pula menyiarkan rancangan hiburan sepanjang beberapa hari, meskipun diselang selikan dengan sedikit berita dan rencana, pada hakikatnya hiburan itulah yang mendominasi sambutan hari raya selama beberapa hari. Hiburan pada asasnya tidak dilarang oleh Islam, asalkan memenuhi kriteria yang digariskan oleh ilmuan Islam.

Pada zaman Nabi s.a.w pernah Aishah r.a. menjemput kanak-kanak perempuan (jariah) bermain bunyi-bunyian di samping menyanyi dengan Nabi sendiri berada sama dalam majlis itu. Sedang mereka berhibur dan menyanyi Abu Bakar as-Siddiq kebetulan kerkunjung ke rumah Nabi ketika itu, tiba-tiba mengherdik mereka yang menyanyi dan bermain-main alat bunyian (mungkin ketika itu Abu Bakar tidak sedar Nabi ada sama). Lalu Nabi s.a.w menegur Abu Bakar dengan mafhum sabdanya: "Tidak mengapa, biarlah mereka bermain hai Abu Bakar, kerana hari ini adalah hari raya."

Yang jelasnya hiburan dibenarkan oleh syarak, akan tetapi hiburan yang berlaku hari ini, tidak seperti yang disebutkan Nabi s.a.w di atas. Hiburan yang berlaku di rumah Nabi s.a.w. ketika itu amat sederhana, tidak melampau dan tidak ada unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum Allah SWT. Hiburan di negara kita hari ini bukan seperti itu. Hiburan sempena hari raya mementingkan nilai estetika yang melampau. Mereka memaparkan kecantikan wanita lebih daripada sepatutnya, berpakaian mendedahkan aurat hingga separuh telanjang, menari dengan lagu-lagu pula yang hit-hit sahaja.

Yang nyatanya, hiburan-hiburan ini melalaikan. Itulah yang lebih diutamakan. Inilah yang akan membawa kepada perlanggaran hukum syarak, yang sepatutnya tidak patut berlaku sedemikian. Seandainya hiburan hari ini, khususnya pada hari raya, dijuruskan kepada pemujian Allah SWT, menghayati tuntutan Islam berhari raya, mensyukuri dan menzahirkan nikmat Allah yang tidak melampau, mengingatkan manusia agar jangan sampai melanggar hukum Allah, mengingatkan kepada nikmat Allah wajib disyukuri dengan membanyakkan kerja-kerja taat, maka jadilah hiburan itu sesuatu yang bermanfaat.

Kalau tidak ianya akan berubah menjadi 'niqmah' iaitu kemurkaan Allah.

Ada pun berjabat tangan sememangnya digalakan antara lelaki sama lelaki, perempuan sesama perempuan dan sesama mahram (yang diharamkan berkahwin). Apa yang berlaku sekarang dalam hiburan sebagai contoh, yang mengambil bahagian sama ada lelaki dan perempuan, termasuk pengunjung-pengunjung rumah terbuka bebas bersalam-salaman antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Bahkan ada yang berlebih-lebih, berpeluk, bercium dan seumpamanya.Ini adalah sesuatu yang jelas dilarang.

Sidang Jumaat Sekelian,
Jika itulah yang diamalkan tatkala menyambut hari raya, maka jelas ianya bertentangan dengan kehendak syarak. Oleh itu perlu diperbetulkan semua amalan ini demi mendapat reda Allah swt. Semoga Aidilfitri yang akan kita sambut sehari dua lagi ini lebih memberikan manfaat kepada kita bukannya laknat dari Allah s.w.t. Semoga kita termasuk golongan yang dirahmati Allah, kerana hari Raya ini memang patut kita sambut, tetapi berpada-pada sejajar dengan nas dalam Islam, bukannya melampaui batas mengikut akal dan nafsu.

Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

DISEDIAKAN OLEH: USTAZ MUHAMAD NAIM BIN HASHIM

Tiada ulasan: