Sahabat Ilmu

Jumaat, 18 September 2009

Khutbah Aidilfitri 1430/2009


اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ للهِ الْوَاحِدِ اْلقَهَّارِ، اَلْمَنَّانُ عَلَى عِبَادِهِ اْلمُخْلِصِيْنَ اْلأَبْرَارِ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ اْلعَزِيْزُ اْلغَفَّارُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَناَ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اْلمُخْتَارُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ اْلأَخْيَار.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ، وَمَنْ يَتَّقِ اللهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبْ.

Firman Allah s.w.t:

Katakanlah: “Dengan pemberian Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmatnya itu adalah lebih baik dari apa (harta) yang mereka kumpulkan ".(Yunus 58)

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
HARI INI ADALAH HARI AIDIL FITRI, HARI KEMENANGAN, HARI KESERONOKAN, HARI UNTUK MENGUMANDANGKAN TAKBIR, MENGAGUNG DAN MEMBESARKAN NAMA ALLAH. ISLAM TELAH MENENTUKAN KEHIDUPAN KITA INI SENTIASA DALAM SUASANA TAKBIR IAITU MEMBESARKAN ALLAH AZZAWAJALLA. PADA HARI AIDIL FITRI SEPERTI SAAT INI, KITA DIANJURKAN UNTUK MENGUMANDANGKAN TAKBIR:

﴿ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْد ﴾

Allahuakbar merupakan syiar bagi umat Islam. Orang Islam memulakan solat 5 waktu setiap hari dengan takbir. Azan yang menunjukkan masuknya waktu solat setiap hari 5 kali dimulakan dengan takbir. Kalimah Allahuakbar digunakan untuk iqamah ketika hendak mendirikan sembahyang. Apabila seorang Muslim hendak menyembelih binatang maka dia akan menyebut nama Allah dan melafazkan takbir Allahuakbar.

Allahuakbar merupakan slogan bagi orang Muslim dalam setiap waktu. Apabila orang Islam memasuki kancah peperangan, seruan yang dialungkan dan menakutkan musuh ialah laungan Allahuakbar dan inilah laungan Jihad yang berkumandang di zaman Rasulullah s.a.w, zaman sekarang hinggalah ke hari Qiamat. Sebenarnya laungan Allahuakbar ini merupakan perhiasan hari raya bagi orang Islam yang beriman bukannya hari raya dihiaskan dengan lagu P.Ramlee, lagu Sudirman, lagu Siti Nurhaliza, lagu raya artis-artis Malaysia, Indonesia yang sebenarnya mengundang kemurkaan Allah serta menghapuskan ketaqwaan yang kita bina sebulan di Bulan Ramadhan.

Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa sebulan Ramadan), dan hendaklah kamu bertakbir membesarkan / mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah 185)

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Muslimin Muslimat Yang dimuliakan,

Pada Hari Raya ini, di samping kita menziarahi sahabat handai dan sanak-saudara, kita juga patut membuat muhasabah diri. Kerana di antara cara-cara mengisi Hari Raya ialah mengenang-ngenang dan menilai kembali hasil yang kita perolehi dari bulan Ramadhan. Apakah kita mendapat apa yang sepatutnya kita dapat iaitu taqwa dan amal soleh yang bertambah atau kita hanya dapat menambahkan berat badan hasil daripada makan yang melampaui batas atau kita hanya dapat menambah penyakit daripada pesta makan di bulan ramadhan. Dari sana tahulah kita apakah kita layak bergembira di Hari Raya ini. Sepatutnya di bulan Ramadhan, ilmu kita akan bertambah. Yakni ilmu Al Quran yang kita baca. Yang mana dengan ilmu yang makin bertambah dan makin matang, perlaksanaannya pun makin halus dan meluas, maka sepatutnya kita mendapat berkat yang banyak di bulan yang dikatakan bulan berkat itu.

Dan sepatutnya kita jadi bertambah mulia dan soleh kerana memasuki bulan yang sangat mulia itu. Juga sepatutnya kita menjadi semakin pemurah sebagai hasil berpuasa. Kerana puasa itu adalah untuk melahirkan rasa timbang rasa kepada fakir miskin. Dan sepatutnya kita juga mendapat rasa kehambaan dan tawadhuk dalam pergaulan hasil dari berpuasa. Kerana puasa boleh mengikis rasa sombong, angkuh, takabur dan hasad dengki dari dada manusia. Hingga tercetuslah kasih sayang dan perpaduan sebenar dalam masyarakat. Sepatutnya kita menjadi orang yang sentiasa rindu dengan masjid, dengan solat jamaah, dengan tazkirah-tazkirah kerana hasil dari latihan berpuasa sebulan Ramadhan.Tetapi sedih dan kesal sekali, kerana apa yang sepatutnya terjadi, tidak pun terjadi. Kita tidak mendapat hasil yang patut didapati daripada menempuh Ramadhan. Sabda Nabi s.a.w:

“Alangkah kecewanya orang yang sejak tiba bulan ramadhan hingga habis bulan ramadhan namun dia tidak diberi keampunan. Orang yang seperti itu akan menyesal kerana melalaikan ibadah dalam bulan ramadhan atau puasanya hampa sehingga tidak mendapat keampunan Allah swt. (Rujukan: Hadis Qudsi;2002; K.H.M Ali Usman, Dr H.M.D Dahlan dan H.A.A Dahlan; Victory Agencie: Kuala Lumpur – hlmn 243)

Mengapakah terjadi demikian? Mengapa ilmu tidak bertambah walaupun membaca Al Quran? Mengapa lepas ramadhan tiada lagi orang yang nak datang ke masjid? Mengapa perlaksanaan hukum Islam tidak meningkat sedangkan sudah berkali-kali kita dilatih oleh Ramadhan? Mengapa akhlak umat Islam tidak berubah-ubah dari jahat kepada baik? Mengapa perpaduan sebenar sebagai saudara seIslam tidak berlaku? Bahkan krisis menjadi jadi. Mengapa kemungkaran masih bermaharajalela, mencengkam dan mencekik kehidupan kita? Ya, mengapa dan mengapa segala persoalan negatif ini masih belum dapat diatasi? Sedangkan peranan Ramadhan ialah untuk mendidik manusia menyelesaikan semua masalah ini?

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,
Tentu ada yang tidak kena dengan bacaan Al Quran kita, dengan puasa dan mujahadah kita itu. Yakni dalam berhadapan dengan Ramadhan yang lalu. Mari kita mencari puncanya. Supaya bila kita berhadapan dengan Ramadhan akan datang, yakni kalau ALLAH panjangkan umur kita setahun lagi, kita akan menghadapi dan menghayatinya dengan betul. Kita dapat memenuhi syarat-syaratnya dengan sempurna. Supaya kita dapat menikmati isi-isi dan roh Ramadhan, bukan kulit lahirnya sahaja. Sebab ALLAH hanya memberi pahala kalau kita dapat menempuh syarat dan adabnya sahaja. Yang mana kalau fikiran dan jiwa kita berubah, hasil melakukan ibadah sepanjang Ramadhan, kita akan mendapat pahala yang besar dan penghapusan dosa-dosa.

Jadi sekarang mimbar akan cuba senaraikan dengan izin ALLAH, sebab-sebab mengapa kita tidak mendapat hasil yang sepatutnya daripada didikan Ramadhan. Supaya kita dapat mengusahakannya untuk tahun-tahun yang akan datang, insyaALLAH. Antara punca Ramadhan tidak memberi kesan kepada pembentukan manusia soleh ialah:

1. Umat Islam ramai lagi yang tidak membaca Al Quran walaupun di bulan Ramadhan. Namun ramai juga yang membacanya tetapi oleh kerana bahasa al-Quran itu dalam bahasa Arab, maka tidaklah difahami ertinya, perintahnya serta larangannya dan tidak pula berusaha untuk memahaminya. Sedikit sekali umat Islam yang berusaha membaca terjemahan Al Quran dan tafsirannya. Sebab itu ramai sekali umat Islam yang tidak ada pada mereka ilmu Al Quran. Kalau ada, tidak pula bertambah-tambah ilmunya. Bila ilmu tidak ada, dengan apa umat Islam hendak tegakkan Islam, dengan apa umat Islam hendak tegakkan hukum Islam, dengan apa umat Islam hendak tegakkan sistem, manhaj dan perundangan Islam ? Umpama orang hendak berperang tetapi tidak ada senjata, macam mana hendak berperang?

2. Begitu juga dalam hal puasa, umumnya umat Islam hanya tidak makan dan tidak minum. Yakni puasa lahir sahaja. Sedangkan batinnya tidak berpuasa. Akalnya tidak pun dikawal dari berfikiran jahat dan hati atau rohnya dibiarkan kotor dengan sifat mazmumah. Yakni tidak cuba dibersihkan dari sifat-sifat keji. Matanya dibiarkan liar, lidahnya celupar, telinga dibuka lebar, semua boleh masuk sekalipun maksiat. Kakinya tetap melangkah ketempat yang diharamkan Allah, tangannya tetap membuat dosa. Sedangkan puasa batin ini sama penting dengan puasa lahir. Maka kalau tidak dilakukan, ertinya manusia itu tidak berpuasa dan tidaklah ada hasilnya. Maksiat pun terus menjadi-jadi walaupun datangnya Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:

“Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga”. (Riwayat An Nasai' dan Ibnu Majah)

3. Ada juga umat Islam yang cuba melakukan puasa batin itu, kerana mereka ada ilmu tentangnya. Tetapi sering gagal. Mereka tidak dapat menundukkan akal, roh, mata, telinga, kaki, tangan dan lidah kepada kehendak ALLAH. Sebab tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh mujahadah dan taubat mereka. Datang masjid niat untuk sembahyang tetapi lebih banyak makan dan berehat dari sembahyang. Lebih banyak bersembang dan hisap rokok daripada berselawat dan berzikir. Hasilnya, lepas puasa masjid dan surau mula kosong dan sunyi, al-Quran ditutup rapat-rapat dan simpan di dalam almari kaca sebagai perhiasan, amalan bersedekah mula dilupakan, azan dan solat berjamaah sudah lagi tidak dipedulikan maka kesudahannya nafsu jugalah yang menang hingga maksiat dan dosa tidak dapat dikawal.

4. Sembahyang sunat Tarawih, agak ramai yang melakukannya tetapi tidak dengan khusyuk dan tawadhuk. Maka jadilah ibadah itu seperti pokok yang tidak berbuah. Ertinya, bertambah sembahyang tapi tidak bertambah rasa kehambaan kepada ALLAH. Maka akhlak tidak berubah, dosa semakin bertambah, rasuah, penipuan, pergaulan bebas, zina masih tetap berlaku kerana amal sekadar memenuhi tuntutan adat bukannya menjadi ibadat.

5. Kebaikan yang dibuat di dalam maksiat tidak akan berkat dan tidak membawa hasil yang sepatutnya. Kalau di bulan Ramadhan, kita masih terlibat dengan maksiat di tempat kerja atau di rumah dan lain-lain tempat yang ada maksiat di dalamnya, puasa kita pun tidak berhasil. Macam buat rumah atas lumpur, lama-lama akan tenggelam atau umpama membasuh baju dengan air kencing..tetap najis dan tidak akan bersih.
Inilah antara punca dan sebab umat Islam berpuasa tetapi tidak memberi kesan kepada rohani dan jasmani/ roh dan jasad disebabkan kurang penghayatan sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Maksudnya : Betapa ramai orang-orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang-orang yang bangun ibadah di malam hari namun tidak mendapat apa-apa dari qiyamnya kecuali hanyalah berjaga malam sahaja. (Riwayat Ibu Majah)

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Muslimin Muslimat Yang dimuliakan,
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam kita menyambut hari raya pada hari ini, marilah sama-sama kita merenung sejenak fenomena yang sedang berlaku di sekeliling kita. Hari raya pada tahun ini disambut di saat kita menyaksikan negara kita diserang sejenis wabak iaitu selesema babi. Di samping itu kita dapat melihat berlaku masalah kemerosotan nilai-nilai akhlak dan moral yang semakin menjunam khususnya di negara kita ini. Kes-kes kemalangan jalanraya, pembunuhan kejam, penderaan seksual, pergaulan bebas, seks bebas, kejadian rompakan, kecurian, hiburan melampau, jenayah minum arak, berjudi, ketagihan dadah dan sumbang mahram kelihatan masih menjadi topik utama di dada-dada akhbar di negara. Pada hari ini juga umat Islam berdepan dengan gejala kemusnahan dan kerosakan yang sangat dahsyat baik kepada agama, akhlak dan juga sistem kehidupan sehingga sangat sukar bagi seseorang untuk membezakan di antara perkara yang benar dan salah lantaran terlalu banyak kepalsuan dan kejahatan.

Tidak lain dan tidak bukan bala selesema babi dan perkara-perkara yang menakutkan ini terjadi hanyalah kerana manusia sudah merasakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang berkuasa ke atas dirinya. Manusia sebegini sudahpun lupa bahawa Allah SWT memantau setiap pergerakannya dan akan membalas setiap kejahatan yang dilakukan. Lebih jauh dari itu lagi, semuanya berpunca apabila manusia sendiri tidak mematuhi syariat Allah SWT. Kehidupan tidak lagi berlandaskan kepada lunas-lunas agama yang sebenar malah semakin jauh dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maksiat, kemungkaran, hiburan dibiarkan berleluasa dan undang-undang Allah diketepikan, ditentang, dihina malah diperlekehkan mengenai keadilannya.

Hal ini terjadi kerana kebanyakan kita umat Islam pada hari ini melakukan perintah Allah seperti solat, puasa hanya sebagai adat bukannya ibadat. Sebagai contoh sudah 1400 Allah menurunkan al-Quran memerintahkan manusia menutup aurat tetapi ramai yang endah tak endah dengan perintah wajib ini tetapi apabila Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan bahawa rakyat Malaysia perlu menutup hidung agar dijauhkan daripada dijangkiti selesema babi maka ramai rakyat Malaysia menyahut seruan ini. Kenapa perkara ini terjadi??

Ini kerana manusia pada hari ini lebih takutkan BABI daripada takutkan Allah s.w.t. Mereka sanggup memakai topeng menutup muka tetapi mereka tidak takut amaran Allah bahawa orang yang tidak menutup aurat, tidak solat, engkar arahan Allah yang menyebabkan mereka akan dibakar dan direbus di dalam kawah api neraka Allah s.w.t. Perkara-perkara yang berlaku ini sebenarnya telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar r.a sabdanya:

يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ, خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ, لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا، وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ وَلَوْلا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا, وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلاَّ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ، وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ (رواه أبو داود

Yang bermaksud : Rasulullah SAW telah bersabda : Wahai kaum muhajirin, (awaslah) lima perkara (dari) menimpa kamu dan aku berlindung kepada Allah, semoga kamu tidak ditimpanya ;
• Tiada terzahir (Nampak) berlaku perzinaan dalam mana-mana kaum dan golongan sehingga mereka melakukannya secara terbuka (terang-terangan) kecuali mereka akan ditimpa penyakit taun yang cepat merebak dikalangan mereka dan mereka akan ditimpa juga penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu/sebelum ini.
• Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan (dalam perniagaan, pembahagian harta Negara, pengagihan zakat, dalam pembinaan&pembangunan) kecuali dibala dengan kemarau bertahun-tahun dan kesukaran hidup (susah cari rezeki) serta kezaliman penguasa ke atas mereka-yakni mereka diperintah oleh pemimpin yang zalim,
• Dan jika mereka enggan mengeluarkan zakat maka akan dihalang turunnya hujan ke atas mereka dan kalaulah tidak kerana binatang-binatang, nescaya mereka tidak akan menerima hujan daripada Allah swt.
• Dan jika mereka melanggar janji Allah dan janji rasulNya maka Allah akan menjadikan musuh mereka berkuasa ke atas mereka dan merampas/mengambil hak-hak mereka (cth:Umat Islam dikalahkan oleh orang kafir/ hilangnya tanah di Palestin) kerana ada orang Islam mengkhianati janji mereka kepada Allah&RasulNya.
• Dan apabila pemimpin- pemimpin umat Islam tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung di dalam kitab Allah dan memilih selain dari apa yang diturunkan oleh Allah (buat undang-ungdang/peraturan sendiri ikut akal), maka Allah akan menjadikan pertelingkahan/peperangan di kalangan mereka sendiri. (Riwayat Abu Daud&Ibnu Majah)

Benarlah kata-kata seorang sahabat rasulullah iaitu Ibn Mas’ud radhiyallahu’anhu apabila menyebut : “Barangsiapa yang hendak mencari panduan hendaklah mengikuti jejak langkah orang-orang yang telah tiada (iaitu para salafussoleh) kerana orang yang masih hidup itu tidak dapat dipercayai”.

Melihat situasi umat Islam hari ini yang dipenuhi dengan pelbagai masalah satu demi satu sangat menghairankan kita seolah-olah apa yang menimpa umat Islam ialah satu perancangan rapi yang disusun bagi menghancurkan agama Islam itu sendiri oleh orang Islam sendiri yang mengaku sebagai Islam tetapi bertopengkan Yahudi laknatullah.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Muslimin dan muslimat sekalian,

DALAM SUASANA KEGEMBIRAAN INI JANGANLAH SEKALI-KALI IANYA MELUPAKAN KITA UNTUK TURUT MERASAI KEPERITAN, KEPAHITAN, KESUSAHAN, KESEKSAAN YANG SEDANG DIALAMI OLEH SAUDARA SEAQIDAH KITA DI MANA SAHAJA DI BUMI ALLAH INI. SAUDARA-SAUDARA KITA YANG SEDANG MENGHADAPI TEKANAN, PENINDASAN SERTA PEMBUNUHAN DARI MUSUH-MUSUH ALLAH DAN MUSUH-MUSUH UMAT ISLAM. AGENDA MUSUH-MUSUH ISLAM INI SAMA ADA BERNAMA NASORO MAHUPUN YAHUDI ADALAH DISEBABKAN KITA BERIMAN DAN MENTAUHIDKAN ALLAH RABBUL JALIL SEMATA-MATA. PERKARA INI TELAH DISEBUT OLEH ALLAH SWT DALAM SURAH AL-BURUJ AYAT 8:

MAKSUDNYA: ”DAN MEREKA TIDAK MARAH DAN MENYEKSA ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU MELAINKAN KERANA ORANG-ORANG ITU BERIMAN KEPADA ALLAH YANG MAHA KUASA LAGI MAHA TERPUJI”.

MARILAH KITA MENYEMARAKKAN SEMULA SEMANGAT JIHAD YANG SUDAH MULA MALAP. KITA SOROTI SEMANGAT BADAR AL-KUBRA. KITA CANANGKAN SUNTIKAN RAMADHAN YANG MERUPAKAN BULAN JIHAD AGAR DENGAN ITU MUSUH KITA AKAN BERFIKIR BERATUS KALI SEBELUM MEMBUAT APA-APA TINDAKAN KE ATAS UMAT ISLAM.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ
Muslimin dan muslimat sekalian,
Perlulah disedari bahawa Ramadhan merupakan bulan kemenangan bagi umat Islam, sejarah mencatatkan peristiwa peperangan badar berlaku di bulan ini. Demikian juga bulan Syawal yang sedang kita lalui sekarang ini merupakan bulan yang berlaku padanya peperangan Ahzab. Kedua-dua peperangan ini dimenangi dengan jayanya oleh tentera Islam pada zaman Rasulullah SAW. Kita mengharapkan supaya apabila kita melalui Ramadhan, kita akan lebih bermotivasi untuk menggerakkan usaha bagi mendaulatkan Islam. Sesungguhnya sangatlah mudah bagi Allah memberikan kemenangan kepada pejuang-pejuangnya. Oleh yang demikian, marilah kita menjadikan Ramadhan yang kita baru sahaja lalui dan hari raya yang kita sambut pada hari ini sebagai satu titik tolak untuk meningkatkan kerja kita untuk Islam dan untuk menjadi manusia yang super soleh. Lakukanlah sebanyak mungkin sumbangan kita untuk mempertahankan ketuanan Islam, agama yang kita cintai ini sebelum kita dipanggil mengadap Allah swt. Percayalah bahawa perkara yang paling berharga apabila tibanya kita di hadapan Allah nanti ialah amalan soleh yang kita lakukan di dunia ini dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh. Allah swt berfirman :

Yang bermaksud : "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Surah As-Syu’araa’, ayat 88-89)


Tiada ulasan: