Sahabat Ilmu

Selasa, 23 Jun 2009

MASALAH BERKAITAN MUZIK

Soalan :

Apakah hukum mendengar muzik tanpa nyanyian (instrumental / minus one) dimana tiada apa-apa senikata didalamnya. Ini bermakna muzik instrumental ini tidak dipengaruhi oleh perkataan-perkataan yang berunsur tahyul atau pemujaan atau memuja muja wanita dan sebagainya.

Jawapan;

Alat-alat bunyian atau muzik sama ada mengguna atau mendengarnya, terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Jumhur (majoriti) ulamak silam –termasuklah ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang). Mereka berdalil antaranya dengan hadis Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Akan ada di kalangan umatku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. Dalam riwayat yang lain (baginda bersabda); “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” (Riwayat Imam Bukhari dan Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari).

Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya. Adapun secara khusus dengan menyebut alat-alat muzik, Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).

Selain itu dalil-dalil di atas, mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) juga telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).

Namun sebahagian ulamak mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya. Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu ‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya. Imam ar-Ruyani menaqalkan dari al-Qaffal bahawa; mengikut mazhab Imam Malik nyanyian dengan alat-alat muzik adalah harus.

Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut. Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi), ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik. Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulamak bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh. Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhuk (hadis-hadis palsu)”.

Ramai ulamak semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1.Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, juz. 8, bab Ma Ja-a Fi Alati al-Lahwi, hlm. 96-105.
2.Al-Halal Wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhwi.
3.Al-Kalimu at-Thayyib, Dr. Ali Jumaah.
4.Mughni al-Muhtaj, Syeikh Khatib asy-Syirbini.

Tiada ulasan: