Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Penyusuan kanak-kanak yang baru lahir atau disebut dalam bahasa Arab sebagai ridha‘ atau radha‘ah merupakan satu cara kehidupan semula jadi manusia.
Sesungguhnya menyusukan anak damit (angkat) mempunyai kelebihan yang amat banyak. Menurut hasil kajian pakar perubatan, susu ibu itu mengandungi kesemua zat makanan yang diperlukan untuk perkembangan dan kesihatan anak damit. Ia juga mengandungi zat khusus yang penting untuk perkembangan otak dan daya intelek yang lebih baik. Susu ibu juga boleh mengurangkan masalah pergigian dan ortodontik dan boleh mencegah penyakit lain seperti lelah, ekzema, sakit perut, sembelit dan sindrom kematian mengejut anak damit. Selain daripada itu susu ibu boleh mewujudkan dan mempereratkan hubungan rapat antara ibu dan anak damit.
Penyusuan dengan susu ibu kepada anak damit sangat digalakkan kerana ia bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada anak damit itu, malahan juga kepada ibu-ibu yang menyusukan. Di antara kebaikannya terhadap ibu-ibu, yang telah dikenal pasti oleh pakar perubatan, ialah oksitosin yang dikeluarkan semasa penyusuan boleh mengecutkan rahim dan membantu memberhentikan pendarahan selepas bersalin. Penyusuan ibu dengan sepenuhnya boleh melambatkan kedatangan haid, menjarangkan kehamilan, membantu ibu bagi memulihkan semula ukuran bentuk badan dengan segera dan dapat mengurangkan lemak dipinggang dan peha. Ianya juga boleh mengurangkan risiko kanser buah dada.
Menurut ajaran agama Islam pula, penyusuan anak damit ini memang telah disyariatkan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."(Surah Al-Baqarah: 233)
Yang dimaksudkan dengan Radha‘ah di sini ialah masuknya air susu perempuan ke dalam perut seorang kanak-kanak yang umurnya tidak lebih daripada dua tahun qamariah.
Hukum Penyusuan Anak
Menyusukan anak damit yang masih dalam peringkat umur penyusuan adalah wajib selama mana anak damit itu memerlukannya. Akan tetapi ke atas siapakah yang menanggung kewajipan tersebut? dan siapakah yang menanggung pembiayaannya?
Apabila lahir seorang anak damit, maka adalah menjadi kewajipan kepada bapa anak damit itu untuk mencarikan orang yang boleh menyusukan anak tersebut.
Manakala seorang ibu pula wajib menyusukan anaknya dengan air susu yang baru keluar dari sejak kelahiran (al-liba’). Al-liba’ itu dipanggil dengan nama saintifiknya sebagai kolostrum. Warna kolostrum itu kuning seakan-akan warna oren dan ianya menyerupai seperti mentega yang cair dan kolosturm itu pekat dan melekit seperti sirap maple. Menurut kajian saintifik ianya mengandungi protein yang tinggi, zat besi dan mineral yang lain. Ianya juga mengandungi kurang lemak, karbohidrat dan kalori berbanding dengan air susu dada yang keluar selepas kolostrum.
Adapun jangka masa al-liba’ itu tertakluk kepada pengkajian ahli bijak pandai, ada yang mengatakan kadarnya selama tiga hari dan ada juga yang mengatakan selama tujuh hari. Hukum wajib itu berlaku kerana anak damit tidak akan hidup atau tidak akan kuat pada kebiasaannya tanpa penyusuan dengan al-liba’.
Sekalipun pada lazimnya seorang ibu akan menyusukan anaknya, namun perkara tersebut bukanlah wajib ke atasnya untuk berbuat sedemikian jika ada perempuan lain yang boleh menyusukan anak damit itu. Tetapi jika ibu tersebut menyusukannya pembiayaan penyusuan itu adalah wajib ke atas bapa anak damit itu sekiranya anak tersebut tidak memiliki harta. Oleh yang demikian si suami tidak ada hak untuk memaksa isterinya bagi menyusukan anaknya. Jika terjadi pertelingkahan antara suami dan isteri sama ada pada menyusukan atau pembiayaannya, maka bolehlah suami meminta perempuan lain untuk menyusukannya. Dalam hal ini suami juga berkewajipan membiayai penyusuan tersebut. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya."(Surah At-Thalaq: 6)
Berlainan halnya, jika anak itu tidak berbapa atau bapa dan anak damit itu tidak memiliki harta atau pun anak itu tidak menerima susu perempuan yang lain atau anak damit itu anak zina atau tiada diperolehi perempuan lain yang boleh menyusukan, maka dalam hal ini penyusuan itu wajib ke atas ibunya.
Jika si ibu itu berkehendak untuk menyusukan anaknya, maka dia berhaklah menyusukannya. Menurut pengarang Al-Minhaj, berdasarkan pendapat yang ashah suami tersebut tidak berhak melarang isterinya menyusukan anaknya sendiri sebagaimana yang telah dishahihkan oleh kebanyakan ulama’. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya."(Surah Al-Baqarah: 233)
Ini kerana larangan suami terhadap isterinya bagi penyusuan anak damit itu, boleh mendatangkan kesengsaraan kepada si ibu itu sendiri, kerana si ibu lebih rapat dan condong hatinya kepada si anak. Begitulah juga dengan susu ibu, ianya lebih serasi dan sesuai jika diberikan kepada anaknya sendiri. (Nihayah Al-Muhtaj: 7/222, Mughni Al-Muhtaj: 3/573)
Kewajipan suami membiayai penyusuan anaknya - sekalipun anak damit itu adalah anak isterinya sendiri - adalah berasaskan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu maka berikanlah kepada mereka upahnya."(Surah At-Thalaq: 6)
Jika si isteri itu meminta upah yang tinggi daripada suaminya sehingga melebihi upah yang sebanding atau ada perempuan lain yang mendermakan susunya atau perempuan lain itu meminta upah yang lebih rendah daripada upah yang sebanding, maka harus bagi suami untuk tidak memenuhi kehendak isterinya itu sebaliknya mengupah perempuan lain itu untuk menyusukan anaknya. (Mughni Al-Muhtaj: 3/573)
Sesungguhnya amalan penyusuan anak damit oleh perempuan yang bukan ibu kandung anak damit itu telah pun menjadi amalan masyarakat sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri semasa kecilnya disusukan oleh Tsuaibah iaitu salah seorang hamba perempuan daripada Abu Lahab, dan Halimah As-S‘adiah iaitu ibu susuannya daripada Bani Sa‘d.
Rukun Radha‘ah (Penyusuan) Dan Syaratnya
Rukun radha‘ah dan syaratnya yang menyebabkan seorang anak damit itu disabitkan sebagai anak susuan dan menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukannya ada tiga perkara iaitu:
1. Al-Murdhi‘ iaitu perempuan yang menyusukan. Disyaratkan orang yang menyusukan itu perempuan yang hidup dan telah mencapai usia sembilan tahun qamariah.
2. Ar-Radhi‘ iaitu anak yang disusukan. Disyaratkan anak damit itu hidup dan umurnya tidak melebihi dua tahun qamariah (haulain) sekalipun lebihnya itu pada kadar sehari.
3. Al-Laban iaitu air susu perempuan. Disyaratkan air susu itu sampai masuk ke perut anak damit berkenaan sehingga ia boleh menyebabkan pertumbuhan badan anak tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Tidak menjadi mahram daripada susuan melainkan apa yang menumbuhkan daging dan menguatkan tulang."(Hadis riwayat Ahmad)
Disyaratkan juga had penyusuan itu tidak kurang daripada lima kali dalam waktu yang berasingan dengan kadar penyusuan mengikut kebiasaan. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah atsar shahabi daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya: "Menurut apa yang diturunkan daripada Al-Qur’an sebelumnya bahawa sepuluh kali susuan yang telah dipastikan itu akan mengharamkan mereka (menjadikan mereka sebagai mahram). Kemudian (ketetapan itu) dimansukhkan dengan hanya lima kali susuan yang telah dipastikan. Maka wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan (sebahagian mereka) terus membacanya (ayat lima kali susuan) daripada ayat Al-Qur’an (sehinggalah mereka berpakat untuk menasakhkan pembacaannya)."(Hadis riwayat Muslim)
Adapun yang dimaksudkan dengan pemansuhan ayat "sepuluh kali susuan" itu adalah pada pembacaan dan hukumnya, namun pemansuhan bagi ayat "lima kali susuan" itu adalah pada pembacaan sahaja bukan hukumnya. (Syarah Shahih Muslim: 10/26)
Disyaratkan pada kadar penyusuan yang dikira sebagai sekali penyusuan itu adalah mengikut kebiasaan. Maksud daripada penyusuan mengikut kebiasaan itu ialah apabila seorang perempuan menyusukan anak damit dengan susu dadanya, nescaya anak damit itu akan menghisapnya dan apabila dipisahkan daripadanya nescaya dia akan melepaskannya (kenyang). Proses sedemikian sudah dikira sebagai sekali susuan.
Jika proses penyusuan itu diselangi dengan sesuatu keadaan yang tidak lama, seperti terputus penyusuan ini disebabkan anak tersebut bernafas, keletihan, termengah-mengah atau terputus disebabkan kesedakan kerana air susu terlalu banyak di mulutnya, kemudian anak tersebut kembali menghisap susu dada perempuan itu, maka penyusuan yang demikian ini masih dikira sebagai sekali susuan. Demikian juga halnya apabila dipindahkan anak itu daripada susu dada sebelah kanan kepada susu dada sebelah kiri.
Jika terputus anak damit itu daripada penyusuan dengan tanpa sebarang sebab kemudian kembali untuk menyusu, maka dalam keadaan ini tertakluk kepada jangka masa terputusnya itu, jika hanya seketika nescaya ianya dikira sekali susuan, namun jika jangka masa yang lama nescaya dikira dua kali susuan. (Majmuk: 20/92-93)
Hukum Anak Susuan
Apabila sabit seorang anak kecil menyusu kepada seorang perempuan yang bukan ibunya atau bukan mahramnya dengan rukun dan syarat di atas, maka anak susuan tersebut akan dikaitkan dengan sebahagian hukum hakam anak kandung (nasab), seperti dalam hal haram berkahwin, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Haram dengan sebab susuan seperti apa yang haram dengan sebab nasab keturunan."(Hadis riwayat Bukhari)
Begitu juga persamaan pada hukum dalam perkara wudhu apabila bersentuhan, ‘aurat dan khalwat.
Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa hukum hakam yang berbeza antara anak susuan dengan anak kandung, seperti perwarisan, nafkah, pengguguran hukum qishah, tidak dipotong tangan apabila mencuri harta dan penjagaan (wilayah) ke atas harta atau diri sendiri, yang mana kesemua ini tidak sabit ke atas anak susuan. (Asna Al-Mathalib: 3/415)
Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan
Apabila seorang perempuan menyusukan anak damit orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:
Maksudnya: "Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: "Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al-Qu‘aisy."
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Qu‘aisy)."
Rasulullah bersabda: "Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu."
‘Urwah berkata: "Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: "Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan."(Hadis riwayat Bukhari)
Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak damit susuan itu:
i. Perempuan yang menyusukan
ii. Suami ibu susuan
iii. Ibu bapa kepada ibu susuan
iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan
v. Adik beradik kepada ibu susuan
vi. Adik beradik kepada bapa susuan
vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan
viii. Anak-anak kepada ibu susuan
ix. Anak-anak kepada bapa susuan
Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.
Beberapa Permasalahan Perihal Radha‘ (Penyusuan)
i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar
Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."(Surah Al-Baqarah: 233)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."(Hadis riwayat Tirmidzi)
ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya
Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan.
Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.
iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur
Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.
Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.
Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5)
Rabu, 24 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan