PAKAIAN KE MASJID / SURAU
MARILAH kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Hari yang mempunyai banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala. Pada hari Jumaat Allah Subhanahu Wataala telah menjadikan Nabi Adam Alaihissalam iaitu bapa segala manusia. Hari Jumaat juga adalah hari pengampunan daripada Allah Subhanahu Wataala kepada umat Islam, baik yang masih hidup mahupun telah meninggal dunia. Pada hari itu juga terdapat satu saat di mana segala doa dan permohonan kepada Allah Subhanahu Wataala akan dimakbulkan kecuali perkara-perkara haram dan maksiat dan pada hari Jumaat jugalah akan berlakunya Hari Kiamat sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Abi Lubabah bin Abdil Mundzir ia berkata, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanahu Wataala iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari dijadikan Adam Alaihissalam dan Baginda diturunkan ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam Alaihissalam dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dimakbulkan kecuali doa-doa yang haram dan maksiat dan pada hari Jumaat juga akan terjadinya Hari Kiamat." (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).
Pada hari Jumaat juga diwajibkan Sembahyang Fardu Jumaat yang hukumnya fardu ain dan diwajibkan ke atas setiap lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 9 yang tafsirannya:
"Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan Sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya."
Seseorang yang berwuduk pada hari Jumaat lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang Jumaat akan memperolehi ganjaran yang besar di mana setiap langkah menuju ke masjid itu akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan meningkatkan darjatnya. Para Malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat bagi orang-orang yang sedemikian.
Dalam kita mengerjakan ibadat untuk mendapatkan pahala dan keredaan Allah Subhanahu Wataala, elok juga kita berhati-hati dan mengetahui perkara-perkara yang disuruh dan dilarang sebelum mengerjakan sesuatu ibadat baik perkara wajib ataupun sunat supaya perlaksanaannya sempurna dan mengikut hukum yang ditetapkan dan dapat menambah lagi pahala yang akan diperolehi. Contohnya pada hari Jumaat, sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi, membersihkan badan dan memakai pakaian yang bersih dan kemas sesuai dengan agama Islam yang diasaskan atas kebersihan sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Daripada Abdullah bin Omar Radiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Jika seseorang daripada kamu hendak pergi bersembahyang Jumaat, maka sunatlah ia mandi." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Untuk pengetahuan para jemaah bahawa waktu yang lebih utama mandi itu ialah ketika hendak berangkat ke masjid kerana tujuannya ialah untuk menghilangkan bau busuk yang melekat di badan. Di samping kebersihan badan, pakaian juga perlu bersih dan suci. Pakaian sebaik-baiknya berwarna putih dan disunatkan pula memakai wangi-wangian. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang maksudnya:
"Dari Ibnu Abbas Radiallahuanhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sebaik-baik pakaian kamu itu adalah berwarna putih, maka kapanlah mayat kamu dengan warna tersebut." (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).
Perlu diingat bahawa Islam itu nasihat, maka perlu rasanya kita ingat-beringat sesama kita umat Islam.Oleh itu dalam hal berpakaian untuk pergi berjemaah ke masjid janganlah ada di antara para jemaah yang berpakaian tidak sempurna dan tidak bersih, sehinggalah menyebabkan jemaah lain merasa gelisah, terganggu dan tidak khusyuk mengerjakan sembahyang. Umpamanya memakai baju yang mempunyai corak atau gambar-gambar yang tidak sesuai seperti iklan-iklan dan memakai pakaian yang kurang menyenangkan kepada jemaah yang lain dan sebagainya. Perbuatan ini setentunya tidak elok dan tidak sesuai apabila kita berada di Rumah Allah dan untuk menghadap Allah Subhanahu Wataala. Sedangkan apabila berhari raya, pergi ke majlis perkahwinan dan majlis-majlis lain, kita pandai menyesuaikan diri dengan memakai pakaian yang begitu indah, kemas dan bersih. Contohnya saja apabila kita ke majlis perkahwinan dan majlis-majlis keagamaan, setentunya kita orang Melayu akan memakai baju 'cara Melayu' yang lengkap dengan samping dan songkok yang begitu manis dipandang mata, apatah lagi dengan memakai bau-bauan dan harum-haruman.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Dari Ibnu Omar Radiallahuanhuma sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barangsiapa makan daripada sayuran ini (bawang putih) maka janganlah dia mendekati masjid kami." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Walau bagaimanapun memakai pakaian yang lengkap ini bukanlah sebagai syarat sah atau tidaknya sembahyang, tetapi perlu diingat masalah pakaian juga ada hubungannya dengan agama dan melambangkan identiti AGAMA, bangsa dan negara yang boleh mencerminkan keperibadian dan maruah seseorang. Oleh sebab itulah dalam keadaan tertentu pakaian ditetapkan, misalannya semasa mengerjakan haji dan umrah. Begitu juga majlis yang beradat istiadat dan juga majlis-majlis lain di mana pada ketika itu diminta memakai 'cara Melayu' dan berpakaian kemas sesuai dengan majlis yang kita hadiri dan kita tidak akan sanggup memakai pakaian yang tidak senonoh, kerana jika kita memakai selain daripada pakaian 'cara Melayu' kita merasa malu dan merasa terasing dari orang lain. Begitulah halnya dan lebih utama lagi jika kita berjemaah menunaikan Sembahyang Jumaat di masjid, kita digalakkan berpakaian indah dan bersih seperti berjubah, berkopiah,berserban atau berbaju melayu, berkain sarung, kerana kita akan berhadapan dengan Allah Azzawajalla, adalah tidak munasabah sewaktu berhadapan dengan Allah, kita memakai pakaian yang tidak sempurna sekadar untuk menutup aurat sahaja.
Ingatlah juga bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan hari yang terbesar di sisi Allah Subhanahu Wataala. Maka adalah wajar sebagai tanda kita menghormati keadaan waktu kita berhadapan dengan Allah pada hari yang besar itu kita hendaklah dalam keadaan sempurna dengan pakaian yang elok dan tertib dengan memakai 'cara Islam' yang lengkap atau memakai gamis. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala suka kepada yang cantik, maka elokkan dan cantikkanlah diri kita jika kita mahu disukai Allah Subhanahu Wataala.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Abdullah bin Masu'ut Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka kepada kecantikan." (Riwayat Al-Imam Muslim).
Jika kita kenang kembali keadaan orang-orang Islam yang datang ke masjid pada tahun-tahun 60-an dan 70-an, kebanyakan mereka memakai serba lengkap iaitu berjubah, berserban, berbaju melayu dan berkopiah putih. Maka alangkah hebatnya jika kita pewaris mereka itu dapat mengekalkan keadaan sedemikian sehingga bila-bila masa, kerana agama dan bangsa kita sahajalah yang dapat mempertahankan budaya kita dan menjaga warisan dan budayanya yang berharga itu dari ditelan zaman.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 31 yang tafsirannya:
"Wahai anak-anak Adam pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat atau mengerjakan sembahyang, dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."
Jumaat, 19 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan