Sahabat Ilmu

Jumaat, 13 Mac 2009

KENALI MAZHAB SYAFIE DAN ULAMAKNYA

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد
...

Antara perkara yang menyebabkan mudahnya virus jahil ilmu dan seribu satu lagi penyakit yang menjalar di kalangan masyarakat adalah kurangnya ilmu agama dari asas, menyebabkan sesetengah golongan yang ingin kembali mendekati Islam mudah terpedaya dengan deretan hadis dan kalam ulamak yang dieksploitasi oleh pembawa virus ini.

Ilmu asas yang kurang difahami tersebut, ada yang menyentuh aqidah dan ada yang berkenaan feqh. Apabila ramai yang kurang mantap dalam ilmu aqidah, maka timbullah cemuhan kepada sifat 20 yang mereka tidak fahami, lalu berpegang dengan aqidah salaf kononnya dengan intepretasi sendiri, sedangkan ia jauh dari fahaman salaf mahupun khalaf. Tidak memahami asas feqh pula menyebabkan tiada kefahaman kepada mazhab dan kepentingan mazhab, lantas mencemuh pendapat-pendapat para ulamak mazhab yang terdahulu, dengan sangkaan kononnya pendapat kita lebih tepat kepada hadis berbanding pendapat para ulamak tersebut.

Kecelaruan dalam memahami apakah dia Mazhab Syafie dan bagaimana ia berkembang, menyebabkan ada pihak mencemuh masyarakat Malaysia yang berpegang kepada beberapa amalan yang mereka tidak jumpa di dalam kitab induk Al-Umm, lantas memperlekehkan amalan tersebut yang disandarkan kepada pengikut Mazhab Syafie. Oleh itu ana rasakan sewajarnya ana menyebutkan serba sedikit pengenalan ringkas kepada Mazhab yang menjadi panduan kepada masyarakat kita amnya.

Imam Syafie Pengasas Mazhab

Beliau adalah Muhammad bin Idris Assyafie Almuttalibi. Nasabnya bertemu dengan nasab Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada moyangnya Abdu Manaf. Dilahirkan di Ghaza, Palestin, beliau dibawa kembali ke perkampungan keluarganya di Makkah. Sejak kecil beliau dihantar mempelajari ilmu bahasa Arab dan sasteranya dari qailah-qabilah arab. Seterusnya mempelajari ilmu agama dari ulamak Makkah seperti syaikh beliau Al-Imam Khalid bin Muslim Azzanjy. Al-Fudhail bin 'Iyadh, Sufyan bin Uyaynah dan lainnya.

Beliau seterusnya meneruskan safar mencari ilmu di Madinah, dan belajar dengan Imam Malik sehingga menjadi pelajar terbaiknya. Kitab Al-Muwatta' Imam Malik telah dihafalnya dalam tempoh tidak lebih dari 9 hari. Beliau telah belajar dari para ulamak Makkah dan Madinah dengan baik sehingga dalam usianya 18 tahun, beliau sudah layak memberi fatwa. Pakar Bahasa Arab seperti Al-Asma'i juga banyak mengambil manfaat darinya.

Beliau seterusnya pergi ke Iraq dan mengambil faedah dari Imam Muhammad bin Al-Hasan Assyaibani murid Imam Abu Hanifah. Di sana beliau mengarang kitabnya Al-Hujjah, dan mengumpulan padanya mazhabnya yang lama (qadim). Di Iraq juga, beberapa Imam besar telah belajar dari beliau, seprti Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abi Tsaur.

Setelah itu beliau telah berpindah ke Mesir. Di sana, beliau telah mengubah pelbagai ijtihadnya dan memasyhurkan pendapatnya yang baru (mazhab/qaul jadid). Beliau juga telah menulis kitab agungnya Al-Umm dan kitab Usul Feqh pertama dalam sejarah Islam berjudul Ar-Risalah.

Imam Syafie diangkat sebagai Mujaddid kurun ke-2. Beliau telah menghimpukan ilmu antara ahli Hadis serta ahli ra'yi, menggariskan kaeda-kaedah ilmu usul feqh, selain dari ilmunya yang meluas dalam hadis, riwayat-riwayatnya, ahli-ahlinya, qur'an dan ulumnya, sejarah, syiir dan sastera, ilmu bahasa, serta wara' , taqwa lagi zuhud pada dunia. Beliau telah wafat di Kaherah pada tahun 204H.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyebut: "Imam Syafie seperti matahari bagi dunia dan penyembuh bagi badan" dan "Feqh itu terkunci pada ahli-ahlinya sehingga Allah membukanya dengan Assyafie".

Imam Abu Zur'ah pula ada menyebut: Aku tidak mengetahui seseorang yang lebih agung sumbangannya pada ahli Islam daripada As-Syafie.

Semoga Allah merahmatinya dan memanfaatkan kita dengan segala barakah, rahsia, ilmu dan cahaya beliau di dunia dan akhirat. Amiin.

PARA IMAM MAZHAB

Antara murid yang terpenting dalam Mazhab Qadim Imam Syafie adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Tsur, Azza'farani dan Alkarabisi.

Manakala anak-anak murid yang mengambil daripadanya Mazhab Jadid beliau antaranya: Al-Muzani, Al-Buwaiti, Arrabi' Almuradi yang digelar oleh syaikhnya Imam Syafie, sebagai Rawiyatul Mazhab atau perawi mazhab. Mereka ini kesemuanya meninggal dunia pada kurun ketiga hijrah.

Selepas itu menyusul pula generasi-generasi dan lapisan ulamak yang banyak. Antara yang tersohor bagi setiap kurun adalah; Imam Ibn Suraij dan Alqaffal Alkabir pada kurun keempat, kemudian Almawardi, Abu Ishaq Assyirazi, Abu Muhammad Aljuwaini, serta anaknya Imamul Haramain dan Al-Baihaqi pada kurun kelima.

Seterusnya Imam Ghazali Hujjatul Islam, Assyasyi dan Albaghawi pada kurun keenam, kemudian Annawawi dan Arrafi'i (digelar sebagai Syaikhal Mazhab, atau dua Syaikh bagi mazhab ini), serta Ibn Daqiqul 'Aid pada kurun ketujuh.

Selepas itu Attaqi Assubki serta anaknya Attaj, Ibn Jama'ah dan Alhisni pada kurun kelapan, kemudian Alhafiz Ibn Hajar Al-asqalani dan Ibnul Muqri' pada kurun kesembilan. Seterusnya Assakhawi, Assyihab Arramli serta anaknya Assyams, Ibn Hajar Alhaitami, Assuyuthi dan Syaikhul Islam Zakaria Al-ansari pada kurun kesepuluh. Seterusnya Assyarbini, Alqalyubi, Albaijuri, Ibn Qasim, Assyabramallisi, Alkurdi, Assaqqaf, Syato, Almalibari, Bafadhl, Almasyhur, Aljardani, Albujairimi, Ba'Isyn dan ramai lagi para fuqaha' kurun-kurun yang terkemudian.

Para ulamak mazhab ini terlalu ramai untuk disebutkan. Cukuplah bagi kita kitab Al-imam Assubky, Tobaqat Syafi'iyyah Alkubra, setebal 9 jilid, yang menerangkan betapa ramai ulamak mazhab ini, serta khidmat mereka yang sempurna bagi mazhab ini, sehingga ia menjadi satu kelebihan Mazhab Syafie berbanding mazhab lain.

Mazhab Syafie juga dipegang oleh para Imam dari pelbagai cabang ilmu Islam.

Di kalangan ulamak Usul Feqh (Usuliyyin), antaranya Al-Juwaini (penulis kitab Al-Burhan) dan Al-Ghazali (Al-Mustasfa).

Di kalangan ulamak hadis (huffaz), antaranya Albaihaqi (sunan), Attaqi Assubki, Ibn Hajar Al-asqalani (Fathul Bari), dan Ibn Katsir (Jami' Sunan Wazzawaid).

Di kalangan ulamak sejarah (muarrikhin), antaranya Ibn 'Asakir (Tarikh Dimasyq), Azzahabi (Siyar A'lam Annubala') dan Assofadi (Al-Wafi).

Di kalangan ahli kalam (mutakallimin), antaranya Alfakhrur Razi (Al-Mutolabatul 'Aliyah Fil 'Ilmil Ilahi).

Di kalangan ahli tafsir (mufassirin), antaranya Almawardi (tafsir), Alkhazin (Ma'alimut Tanzil) dan Al-Baghawi.

Di kalangan ahli bacaan Al-Quran (Qurra'), antaranya Ibnul Jazari (Annasyr).

Di kalangan ahli bahasa Arab (Lughawiyyin), antaranya Alfairuz abadi (Alqamus).

Di kalangan ahli arifin, antaranya Alqusyairi (Risalah Alqusyairiah).

Selain itu banyak lagi pakar nahu dan sastera Arab serta cabang-cabang ilmu Islam yang lain.

Sejarah Ringkas Mazhab Syafie

Sejarah mazhab ini kita boleh simpulkan dalam empat peringkat.

Peringkat Pertama: Pengasasan (Atta'sis) : Ia berakhir dengan wafatnya Al-Imam Assyafie Radhiyallahu 'Anhu, dan meninggalkan kepada kita kitabnya Al-Umm.

Peringkat Kedua: Penyalinan dan Memindahkan (Annaql) : Dilaksanakan oleh para penuntut Imam Syafie dan ashabnya dengan menyebarkan mazhab ini. Antara kitab termasyhur mereka adalah Mukhtasar Al-imam Almuzani.

Peringkat Ketiga: Penyelesaian dan Perungkaian (Attahrir) : Dengan usaha "Dua Syaikh Mazhab" (Syaikhai Mazhab), iaitu Imam Annawawi dan Imam Arrafi'i. Kitab terpenting peringkat ini adalah Alminhaj oleh Imam Annawawi dan Almuharrar oleh Imam Arrafi'i. Selain itu, kitab Al-Majmu' Syarhu Muhazzab Assyirazi oleh Imam Annawawi dan Fathul Aziz bisyarhi Wajiz Alghazali oleh Imam Arrafi'i. Kedua-dua mereka dan ulamak lain pada peringkat ini telah menyelasaikan masalah-masalah feqhiah dalam mazhab ini, dalil-dalilnya dan pentarjihan antara riwayat-riwayat serta pendapat-pendapat yang ada dalam mazhab.

Peringkat Keempat: Penetapan (Al-istiqrar) : Jelas kelihatan dengan usaha dua orang faqih yang hebat, Ibn Hajar Alhaitami pada kitabnya Tuhaftul Muhtaj bisyarhi Minhaj, dan Assyams Arramli pada kitabnya Nihayatul Muhtaj fi syarhil Minhaj. Kedua-dua mereka telah menyelesaikan apa yang tidak disebutkan oleh Syaikhan dari sudut pendapat-pendapat dan riwayat-riwayat mazhab. Mereka juga telah menyebutkan berdasarkan kepada manhaj mazhab, baki masalah furu' (cabang) dan pelbagai masalah dalam pelagai bab feqh.

Oleh kerana Mazhab ini telah ditahqiq oleh Annawawi dan Arrifa'i, dan ditetapkan pula permasalahan-permasalahan lain oleh Ibn Hajar dan Arramli, maka para ulamak yang terkemudian telah bersetuju untuk memberi fatwa berdasarkan kepada kitab-kitab mereka ini.

Masalah yang telah disepakati padanya oleh kedua-dua Syaikh, Annawawi, dan Arrafi'i merupakan hukum yang dipegang (mu'tamad). Jika mereka berbeza pendapat, maka diutamakan pendapat Annawawi, akan tetapi harus berfatwa dengan mana-mana pendapat dari keduanya.

Apa yang disepakati pula oleh Ibn Hajar dan Arramli dalam permasalah yang tidak diperbahaskan sebelumnya, maka ia juga merupakan hukum yang dipegang. Jika mereka berbeza pendapat pula, maka ulamak Hijaz dan Hadhramaut mengutamakan Ibn Hajar, manakala ulamak Syam dan Mesir mengutamakan Arramli.

Adapun lain-lain penyusun kitab feqh Syafie yang banyak seperti Al-Halabi, Bamakhzumah, Assyabramallisi, Ibn Qasim, 'Umairah, Almahalli, Ba'isyn, dan lainnya, maka dibolehkan beramal dan berfatwa dengan setiap daripadanya, melainkan yang disepakati bahawa ia merupakan satu kesalahan, keterlupaan atau lemah.

Kitab-kitab Penting

Kitab-kitab penting yang diajar di majlis-majlis ilmu bagi memudahkan para penuntut meningkatkan kefahaman diri secara berperingkat dalam mazhab Syafie adalah seperti berikut:

- Arrisalatul Jami'ah - Ahmad bin Zain Alhabsyi
- Safinatun Najah - Salim Alhadhrami, dan pelbagai syarah baginya
- Alyaqut Wannafis – Assyatiri
- Matan Alghayah Wattaqrib - Abi Syuja', dan pelbagai syarah baginya
- Sofwatuz Zubad - Ibn Ruslan
- Dua Mukhtasar, Al-Kabir (Almuqaddimah Alhadhramiah) dan Assaghir - Bafadhl, dan pelbagai syarah baginya
- Syarhut Tahrir - Syaikhul Islam Zakaria Al-Ansari
- Busyral Karim - Ba'isyn
- 'Umdatus Salik - Ibnu Naqib
- Attanbih dan Almuhazzab – Assyirazi

Pelbagai komentar (hasyiah) juga amat bermanfaat seperti:

- Hasyiah Albaijuri 'Ala Matn Abi Syuja'
- Hasyiah Syato 'Ala Fathil Mu'in lil Malibari
- Hasyiah Assyarqawi 'Ala Tahrir
- Hawasyi Almadaniah 'Ala Syarh Ibn Hajar limuqaddimah Bafadhl, lilkurdi

dan pelbagai lagi kitab Hasyiah yang lain.


Selain itu, terdapat juga kitab-kitab fatwa yang begitu bernilai seperti:

- Fatawa Al-Imam Subki
- Alhawi lissuyuthi
- Alfatawa Alkubra libni Hajar.

Sebahagian ahli hadis pula telah menyusun kitab bagi menjelaskan dalil-dalil pada mazhab seperti:

- Attalkhis Alhabir - Ibn Hajar Al-'asqalani
- Albadrul Munir - Ibnul Mulaqqin

Sementara kitab feqh yang dikuatkan dengan dalil-dalil beserta perbincangan ke atas dalil-dalil mazhab seperti:

- Nihayatul Matlab fi Adilllatil Mazhab - Imamul Haramain Aljuwaini
- Almajmu' Syarh Muhazzab – Annawawi
- Fathul 'Aziz bisyarhi Wajiz Alghazali - Arrafi'i

Keistimewaan Mazhab Syafie

Penekanan Imam Syafie Rahimahullah sebagai pengasas Mazhab, kepada pengumpulan hadis dan sunnah. Beliau menuntut dengan Imam Sunnah, Malik, dan mengajar pula Imam Sunnah, Ahmad bin Hanbal. Jejak langkahnya diikuti oleh para imam dalam Mazhab ini, sehingga sebahagian mereka menjadi ulamak hadis yang merupakan huffaz agung, seperti Albaihaqi dan Ibn Hajar Al-'asqalani. Ulamak ini telah memberi khidmat yang besar kepada mazhab dengan menguatkan mazhab dengan dalil-dalil.

Penekanan pengasasnya Rahimahullah dengan pelbagai bentuk qias dan asas-asas kepada istinbat yang dimahiri oleh Imam Abu Hanifah dan penuntut-penuntutnya, sehingga mampu mengasaskan penulisan ilmu Usul Feqh. Kemudiannya para pengikutnya pula menjadi rujukan utama dalam ilmu ini seperti Imam Aljuwaini dan Imam Alghazali.

Mazhab ini merupakan mazhab pertengahan antara Ahlirra'yi dan Ahlilhadis.

Bilangan ulamak yang memberi khidmat serta mengembangkan mazhab ini di setiap tempat, sehinggakan kebanyakan mereka mencapai tahap ijtihad seperti Imam Assubki dan Assuyuthi.

Bilangan ulamak mazhab ini yang menjadi mujaddid setiap kurun juga ramai seperti Imam Syafie sendiri mujaddid kurun kedua, Imam Ibn Suraij mujaddid kurun ketiga, Imam Al-Ghazali mujaddid kurun kelima, Alfakhurrazi mujaddid kurun keenam, Ibn Daiqil 'Aid mujaddid kurun ketujuh, Assuyuthi kurun kesembilan dan Imam Alhaddad kurun kesebelas.

Banyaknya kitab yang ditulis oleh para ulamak dalam mentahqiq mazhab ini serta menguatkannya dengan dalil-dalil serta memudahkan para penuntut pada setiap zaman dalam lipatan sejarah.

Pengikutnya yang begitu ramai di merata tempat, tersebar dari Asia Tenggara, sehingga ke benua Hindi, negara-negara Parsi, Iraq dan Syam, kemudiannya Hijaz, Bahrain, Hadhramaut serta Yaman selain Mesir dan beberapa negara Afrika.

Penutup

Penulisan ini hanya bertujuan untuk menerangkan kepada khalayak serba sedikit pengetahuan asas tentang mazhab. Seperti mana yang diketahui umum, telah sepakat keseluruhan ulamak, akan kewajipan bertaqlid bagi seorang yang belum mencapai martabat ijtihad. Maka sewajarnyalah kita mengetahui mazhab yang kita ikuti dalam urusan agama.

Bukanlah tujuan penulisan ini untuk menyeru kepada taksub kepada sesuatu mazhab, tetapi ingin menyedarkan kita betapa bernilai dan mulianya setiap mazhab feqh yang empat di sisi Islam dan sumbangannya kepada Ummat Islam amnya. Tiada kecacatannya jika kita berpegang dengan sesuatu mazhab seperti mana ribuan para ulamak terdahulu yang berpegang dengan sesuatu mazhab.

Semoga virus tidak mahu bermazhab, memperlekehkan pendapat ulamak mazhab, takjub dengan diri sendiri sehingga menyangka pendapatnya lebih benar dari ulamak-ulamak tersebut, mudah menghina para ulamak dan ilmuan Islam, bersangka buruk dengan mereka yang menuntut ilmu agama serta guru-guru agama, serta 1001 lagi virus yang kini cuba disebarkan dalam masyarakat kita dapat dibendung dan dibenteras.

Doa kita kepada Allah, moga disatukan hati-hati kita semua dalam kebenaran, dilimpahkan kita rahmat dan keberkatan-Nya, dicucurkan kita kebaikan dunia dan akhirat, digolongkan bersama Muqarrabin, dibangkitkan bersama para anbiya' dan solihin. Amiin.

Khuwaidim 'Ilmis Syarif Watolabatih,
Abdul Kadir Hussin Aljoofre

6 Zulkaedah 1426
Kaherah, Mesir

Tiada ulasan: