Tajuk: Wanita Haid Masuk Ke Dalam Masjid/Surau
FATWA-FATWA BERKAITAN WANITA HAID MASUK MASJID / SURAU
1. FATWA NEGERI SELANGOR
Kategori : Sosial/Syariah
Tajuk : Fatwa Tentang Hukum Wanita Haid Dan Nifas Masuk Ke Dalam Masjid
Fatwa :
(1) Wanita yang sedang haid dan nifas adalah tidak dibenarkan duduk diam di dalam masjid walaupun dengan tujuan pembelajaran semata-mata.
(2) Hukum wanita haid dan nifas yang masuk ke dalam masjid adalah dibenarkan untuk sekadar melintasi atau melalui sekali lalu tanpa berulang-alik untuk keluar melalui pintu yang dimasukinya.
Rujukan Pewartaan : Sel. P.U. 28
Tarikh Pewartaan : 30 Ogos 2001
2. FATWA NEGERI SELANGOR
KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDING HUKUM SYARA’ (FATWA) NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN MENGENAI PEREMPUAN HAID DAN NIFAS MENGGUNAKAN MASJID UNTUK PEMBELAJARAN DAN HUKUM KANAK-KANAK DI DALAM MASJID
PERBINCANGAN DAN KEPUTUSAN
Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 29 April 1999 telah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut :
“ Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 yang bersidang pada 29 April 1999 sebulat suara memutuskan perempuan haid dan nifas menggunakan masjid semata-mata untuk tujuan pembelajaran sahaja adalah diharuskan kerana ia mempunyai hajat iaitu untuk menuntut ilmu. Manakala membawa masuk kanak-kanak yang belum mumayyiz ke dalam masjid adalah tidak harus. Ini kerana dikhuatiri kanak-kanak tersebut akan menyebabkan kotoran pada masjid ”.
DALIL-DALILNYA:
Berkaitan dengan perempuan haid atau nifas, ulama’ Islam mengemukakan pelbagai pandangan. Antaranya:
Sabda Rasulullah s.a.w
Maksudnya : Aku tidak menghalalkan bagi orang haid atau junub memasuki masjid.
Golongan ulama’ Syafii dan Hanbali mengharuskan bagi rang yang haid dan nifas lalu dalam masjid jika diyakini tidak mencemarkan masjid kerana masjid haram dicemari oleh najis dan kotoran lain.
Juga kerana terdapat riwayat daripada Aisyah yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku Maksudnya :
Berikan aku sejadah (tikar) daripada masjid. Maka aku menjawab, “Aku sekarang sedang haid”. Lantas Nabi bersabda, “Sesungguhnya haid engkau bukan terletak pada tangan engkau”.
SUMBER: Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor
3. FATWA NEGERI PERAK
Bolehkah wanita yang tidak suci (haid) memasuki mana- mana bahagian surau didirikan jumaat?
JAWAPAN:
Berkaitan juga dengan perkara di atas wanita yang tidak `suci` boleh memasuki mana-mana bahagian surau berkenaan.
BANK KEMUSYKILAN
Bahagian Istinbat,
Jabatan Mufti Negeri Perak.
4. FATWA NEGERI PULAU PINANG
Soalan:
i) Apakah yang dimaksudkan dan ditak'rifkan dengan surau dari segi hukum syarak?
ii) Adakah sama dengan taraf masjid dari segi disunatkan sembahyang tahiyyatul-masjid (تحية المسجد) ketika memasukinya, disunatkan i'tiqaf di dalamnya dan di larang wanita yang sedang dalam keadaan haid berada di dalamnya ?
Jawapan:
i) Surau adalah tempat melakukan 'ibadat sembahyang yang tidak didirikan sembahyang Jumaat di dalamnya.
ii) Tidak ada sembahyang sunat tahiyyatul-masjid di surau dan tidak ada i'tiqaf di dalamnya dan tidak dilarang wanita-wanita yang sedang di dalam keadaan haid berada di dalamnya. Nas dari kitab إعانة الطالبينI juzuk 2, m/s 259. وأعلم أن الجامع وهو ما تقام فيه الجمعة. Bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa yang di namakan masjid itu, ialah tempat yang didirikan padanya sembahyang Jumaat.
Negara asal : Malaysia
Negeri : Pulau Pinang
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Pinang
Penulis/Ulama : Dato’ Haji Hassan Bin Haji Ahmad ( Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
Tarikh Diisu : Nov. 1986
5. FATWA AL-LAJNAH AD-DAIMAH LIL IFTA'
Tidak boleh seorang wanita yang sedang haidh masuk kedalam masjid kecuali hanya untuk berjalan melewati masjid jika hal itu diperlukan, sebagaimana halnya orang yang sedang junub berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala.
"Artinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi". [An-Nisaa : 43]
[Fatawa Al-Lajnah Ad-Dai'mah Lil Ifta, 5/398]
Disalin dari buku Al-Fatawa Al-Jami'ah Lil Mar'atil Muslimah, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Tentang Wanita, penyusun Amin bin Yahya Al-Wazan, terbitan Darul Haq, hal. 62-63 penerjemah Amir Hamzah Fakhrudin
SOAL JAWAB BERKAITAN WANITA HAID MASUK MASJID / SURAU
SOALAN PERTAMA
Assalamu'alaikum wbt...
Saya inginkan penjelasan tuan mufti tentang wanita yang sedang haid, samada dia boleh (dibenarkan) masuk ke dalam masjid/surau atau tidak. Jika boleh, apakah hujahnya...dan dari mana sumber yg mengatakan bahawa dia boleh masuk ke dalam masjid.
JAWAPAN SOALAN PERTAMA
Alhamdulillah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.
Mazhab Syafi'e mengharuskan wanita haid dan nifas melalui atau melewati di dalam masjid jika tidak dikhuatirkan akan jatuh darahnya di lantai masjid itu. Tidak dibolehkan berulang-alik dalam masjid atau duduk / berhenti lama di dalamnya
Sila rujuk surah an-nisa' ayat 43 (wanita haid termasuk dalam hukum yang sama dengan orang junub).
Terdapat hadis daripada Aisyah r.anha beliau berkata, :Rasulullah saw. telah berkata kepadaku "Tolong ambilkan untukku tikar dari masjid" Saya berkata "saya sedang haid", baginda menjawab "Apakah haidmu itu berada ditanganmu?" (HR. Muslim).
Hadis ini menunjukkan keharusan wanita haid berjalan melalui masjid.
Sekian, wassalam.
Tarikh kemaskini 20-01-2000
Jabatan Mufti Negeri Melaka
SOALAN KEDUA
Apakah hukum bagi seseorang wanita masuk surau jika wanita tersebut dalam keadaan haid.
JAWAPAN SOLAN KEDUA
Harus bagi wanita dalam haid masuk surau tetapi tidak boleh masuk dan duduk di tempat orang sedang solat..WASSALAM
Nombor Rujukan : PANEL SJAI 290208
Tarikh Selesai : 29/02/2008 08:22 AM
Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
SOALAN KETIGA
Assalamualaikum..
1)apa hukum org dlm haid masuk surau?..yg saya tahu kalau masuk masjid haram..
JAWAPAN SOALAN KETIGA :
Harus bagi wanita haidh masuk surau dan ia wajib menjaga supaya tidak mengotori surau tersebut.
Nombor Rujukan : PANEL SJAI 250908
Tarikh Selesai : 25/09/2008 04:17 PM
Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
SOALAN KEEMPAT
Salam ustaz...saya agak keliru dgn hukum wanita sedang haid masuk masjid serta menziarahi kubur?boleh ustaz perjelaskan beserta dalilnya.
JAWAPAN SOALAN KEEMPAT
Majoriti mazhab mengharamkan wanita haid masuk dan duduk dlm masjid, namun mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari berpandangan harus utk tujuan menuntut ilmu. Ziarahi kubur adalah harus bagi lelaki dan wanita.
USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN (www.zaharuddin.net)
SOALAN KELIMA
Assalamualaikum
Berdasarkan soal jawab feqh mengenai perbezaan surau dan masjid, saya difahamkan menurut pendapat para ulama'dan mufti2 di malaysia bahawa:
Surau: Tidak didirikan solat jumaat dan wanita berhaidh dibenarkan masuk ke dlmnya.
Masjid: didirikan solat jumaat di dalmnya dan wanita berhaidh tidak dibenarkan masuk ke dlmnya.
Soalan saya, bagaimanakah jika surau tersebut dinaik taraf? cthnya di kolej saya sendiri, solat jumaat didirikan di Surau kolej. Saya keliru di sini, adakah surau ini dikira masjid atau tidak?
Seminggu sekali ceramah yg wajib dihadiri oleh semua pelajar diadakan di surau tersebut dan para pelajar perempuan diwajibkan utk masuk ke dlm surau tersebut termasuk permpuan yg berhaidh. Saya mohon komentar dr yg arif mengenai perkara ini.
JAWAPAN SOALAN KELIMA
Definisi surau dan mesjid itu bukanlah muktamad. Ia cuma dari sudut pentadbiran majlis agama sahaja. Tidak ada suatu keketetapan pemutus (qat'iy) dalam syara' akan definisi ini kerana mesjid termasuk surau dan musalla semuanya dikira masjid (tempat sujud), ini kerana jika tempat itu dijadikan tempat utk orang solat, maka ia adalah masjid (sayyid sabiq, Fiqh sunnah)
Surau kolej anda itu sebenarnya sudah menjadi mesjid yang formal mengikut pentadbiran agama dan adat Malaysia kerana sudah diberi tauliyah mengadakan solat Juma'at.
Mengenai adanya pelajar wanita yang haidh menghadiri kuliah agama, hal ini dibolehkan dalam madzhab Syafi'iy sendiri jika ada alasan yang kukuh (menuntut ilmu) dan kekhuatiran darah tidak bocor. Juga dalam madzhab hanbali dgn syarat berwudhu' terlebih dulu; ini juga pendapat Imam al-Albani (Tamam alMinnah) dan Prof Dr al-Imam Yusof alQardhawi (Fiqh atTaharah). Sekian
Sumber: Siber Feqh- www.al-ahkam.net
SOALAN KEENAM
Assalamualaikum
Saya ingin bertanya, apakah ada perbedaan antara surau dan masjid? Kalau ada, apakah perbedaannya itu dan kalau tiada perbedaan, apakah wanita haid boleh duduk dalam surau?
JAWAPAN SOALAN KEENAM
MASALAH WANITA HAID DI DALAM SURAU :
Sebagaimana dijelaskan, perkataan surau tiada di dalam istilah Bahasa Arab. Oleh kerana itu, ianya perlulah difahami menurut ‘uruf ( kebiasaan ) masyarakat kita. Apatah lagi ‘uruf ini juga merupakan salah-satu daripada sumber-sumber perundangan Islam.
Masyarakat kita biasanya membezakan bahawa MASJID : Ialah satu tempat umum untuk didirikan solat jemaah dan Solat Jumaat . Manakala SURAU pula tidak didirikan di dalamnya Solat Jumaat.
Walaupun begitu , ada juga masjid-masjid kecil ( kebiasaannya di kampung-kampung ) yang sudah tidak lagi mengadakan Solat Jumaat kerana adanya Masjid Besar yang berhampiran dengan beberapa buah kampung itu yang mampu menampung dan menyatukan penduduk beberapa buah kampung berdekatan untuk mengadakan Solat Jumaat di situ. Masjid Besar seperti ini dikenali sebagai : “ MASJID JAMIK “. Digelar sebagai “ JAMIK “ kerana makna asalnya di dalam Bahasa Arab bermaksud : “ Yang Menyatukan “. Digelar juga sebagai “ JAMIK “ kerana di situlah didirikan Solat Jumaat.
Jadi di sini sudah jelas adanya PERBEZAAN DI ANTARA SURAU DENGAN MASJID , dari sudut didirikan Solat Jumaat di dalamnya !.
AKAN TETAPI, Surau pula sama dengan masjid daripada sudut : KEDUA-DUANYA ADALAH DIWAQAFKAN KEPADA MASYARAKAT AWAM UNTUK DIDIRIKAN SOLAT BERJEMAAH.
Merujuk kepada ‘uruf yang berlaku di kalangan masyarakat kita , maka : SEBAHAGIAN BESAR ASHABUS-SAMAHAH MUFTI-MUFTI KITA, TUAN-TUAN GURU KITA, PARA ULAMA’ KITA telah menyatakan :
1 – Wanita-wanita yang haid boleh memasuki surau, tetapi haram memasuki masjid.
2 – Di dalam masjid boleh didirikan solat sunat Tahiyatul-Masjid, tetapi tidak pula di selainnya .
Namun begitu, ada juga di kalangan beberapa ulama’ di Nusantara ini yang membantah kenyataan di atas dengan hujah-hujah :
1 – Bagaimana wanita-wanita yang sedang haidh boleh memasuki surau, tetapi tidak pula ke dalam masjid, walhal surau dan masjid itu kedua-duanya adalah tempat umum yang diwakafkan untuk didirikan solat berjemaah ?.
2 – Jika di dalam masjid kita boleh mendirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid , maka mengapa pula tidak boleh di surau-surau walhal kedua-duanya itu juga adalah tempat umum yang diwaqafkan untuk didirikan solat berjemah ?.
PANDANGAN SAYA (AHLI PANEL FEQH AL-AHKAM.NET) :
Perselisihan pendapat ini berlaku kerana tiadanya satu panduan yang tepat daripada Baginda Rasulullah s.a.w mengenai “ Perbezaan Di Antara Masjid Dengan Surau “ . Lantaran itu semua hukum-hakam yang berkaitan dengan perbezaan di antara kedua-dua tempat sembahyang itu lahir daripada keputusan yang dicedok dan diperbahaskan daripada sudut-sudut tinjauan dan perbahasan di atas.
Menurut pandangan saya : Lebih baik kita berpegang dengan apa yang telah dinyatakan oleh sebahagian besar ( majoriti ) ulama’ mengenai perbezaan di antara Masjid dengan Surau dan hukum-hakam yang berkaitan dengan kedua-duanya kerana , keputusan yang diambil oleh majoriti ulama’ LEBIH HAMPIR KEPADA KEBENARAN DAN LEBIH SELAMAT DARIPADA KESILAPAN berbanding dengan keputusan sebahagian kecil ( minoriti ) para ulama’.
Kita juga menasihatkan agar masyarakat awam tidak masuk campur di dalam perkara-perkara khilafiyah ( yang diperselisihkan ) di kalangan ulama’ memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan ilmu untuk memahami setiap hujah dan sudut pandangan para ulama’ yang berselisih pendapat itu.
Kita juga bimbang, andainya masyarakat awam yang tidak mempunyai kemampuan ilmu yang kental ini “ cuba-cuba “ masuk ke dalam “ arus-perbincangan “ dan “ titik-perselisihan “ di kalangan ulama’ ini, mereka pula yang akan menjadi “ pening “ dan “ bingung “ yang akhirnya mereka akan mula mencemuh ulama’ itu dan ulama’ ini, ataupun mereka sendiri akan dipermainkan oleh Golongan Yahudi dan Kristian yang suka melihat umat Islam ini “ tenggelam “ di dalam “ perkara-perkara khilafiyah seperti ini “.
Akhir kata, saya lebih cenderung andainya saudari yang bertanya berpegang dengan apa yang telah diputuskan oleh golongan majoriti ulama’ di atas !.
SUMBER: www.al-ahkam.net
1 / Rajab / 1423 H
9 / September / 2002 M
WALLAHUA'LAM..
DISEDIAKAN OLEH:
IBNU MUSLIM (4 Rabiul Akhir 1430/ 31 MAC 2009)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan