Sahabat Ilmu

Selasa, 3 Mac 2009

JENAYAH SYARIAH

JENAYAH ROGOL

Soalan; Assalamulaikum warahmatullahi wa barakatuh. Ustaz yang di hormati. Bagaiamanakah dari segi undang-undang Islam menangani permasalahan di bawah;

1. Seorang perempuan yang datang kepada pemerintah mengatakan bahawa dia telah di rogol oleh seorang lelaki yang dia kenali, tetapi dia tidak dapat membawakan 4 orang saksi untuk membuktikan kejadian tersebut. Adakah perempuan tersebut akan di kenakan sebatan 100 kali kerana dianggap sebagai kesalahan zina. Ataupun sebatan 80 kali kerana tuduhan tanpa membawa saksi. Dalam hal ini apakah hak dia (perempuan tersebut) di dalam Islam untuk mendapatkan keadilan sebagaimana yang kita tau memang sukar untuk mendapatkan 4 orang saksi tersebut. Atau dia hanya perlu mendiamkan diri kerana takut akan sebatan 80 kali dan hanya membiarkan kemungkaran tersebut terus berlaku.

2. Bagaiamana pula jika seorang perempuan datang kepada pemerintah mengadu yang dia dirogol oleh seorang lelaki yang dia kenali tetapi dia tidak dapat membawa 4 orang saksi tetapi membawa bukti yang dia telah mengandung sekarang hasil dari kezaliman tersebut. Apakah hak dia sebagai seorang Islam dan apakah yang patut di lakukan oleh pemerintah terhadap orang yang di tuduh tersebut.

3. Jika orang yang di tuduh itu (dalam kes ini ) hanya perlu bersumpah menafikan dia tidak merogol. Adakah bermakna Islam membenarkan perogol tanpa bukti berluasa di negara Islam.

4. Adakah DNA dari anak yang dikandung boleh disabitkan kesalahan terhadap perogol tersebut dalam menghukum 100 sebatan.

Tolong lah Ustaz kerana inilah yang selalu di war-warkan bahawa hukum Islam itu zalim dan tidak memihak kepada yang di khianati seperti permasalan tersebut.

Jawapan Ustaz dapat memberi gambaran yang jelas tentang Islam dan membantu saya dalam berdakwah.

Sekian. Hamba Allah

Jawapan;

1. Wanita yang mengadu ia dirogol/diperkosa (yakni berlaku zina ke atasnya tanpa kerelaannya) dan telah disahkan bahawa ia benar-benar dirogol berdasarkan pemeriksaan doctor, pakar atau sebagainya, ia tidak akan dikenakan hukuman hudud atau sebarang hukuman yang lain. Ini kerana penziaan ke atasnya berlaku secara paksaan dan Nabi s.a.w. telah bersabda; “Diangkat (yakni tidak diambil kira) dari umatku dosa yang mereka lakukan kerana tersalah, lupa atau dipaksa melakukannya” (Riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang soheh).[1]

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dari Wail bin Hujrin r.a. ada diceritakan; Seorang wanita telah dirogol/diperkosa pada zaman Nabi s.a.w.. Nabi berkata kepada perempuan yang dirogol itu; “Pergilah! Sesungguhnya Allah mengampunkan engkau”. Adapun mengenai lelaki yang merogolnya, baginda berkata kepada para sahabat; “Rejamlah dia”[2] (Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad).

Menurut Prof. Dr. Yusuf Sulaiman; “Wanita yang dirogol jika pengaduan/dakwaannya (bahawa ia dirogol) terbukti benar, ia tidak akan dikenakan hukuman hudud dan sebarang hukuman yang lain, sebaliknya ia dijaga dan dipelihara hingga melahirkan anak dan dinasabkan anak itu kepadanya dan ia dikahwini selepas itu atas sifatnya sebagai wanita yang belum pernah berkahwin jika ia sememangnya belum pernah berkahwin” (Lihat pandangan beliau dalam; http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528614850)

2. Adapun hukuman ke atas perogol, jika ia mengakui jenayahnya atau jenayahnya disabitkan dengan keterangan dari empat orang saksi yang melihat jenayah itu berlaku di hadapan mereka dengan jelas dan terang, maka ia akan dikenakan hukuman hudud iaitu 100 sebatan jika ia belum pernah berkahwin atau direjam sampai mati jika telah berkahwin. Adapun jika ia tidak mengakui jenayahnya dan tidak ada empat saksi, namun jenayahnya dapat dibuktikan dengan keterangan-keterangan atau bukti-bukti yang lain (termasuk DNA), maka ia tidak dikenakan hukuman hudud tetapi dikenakan hukuman takzir iaitu hukuman yang ditentukan oleh pemerintah. Menurut sebahagian ulamak; takzir boleh sampai ke tahap hukuman bunuh.

3. Mengenai DNA, Persidangan Ulamak kali ke 16 yang diadakan di Mekah yang dianjurkan Rabitah Alam Islami telah memutuskan bahawa; Tidak ada halangan dari segi Syarak untuk menerima keputusan DNA bagi mengesahkan kes jenayah dan menjadikannya sebagai salah satu kaedah bagi sabitan jenayah tetapi khusus bagi hukuman Takzir sahaja. Adapun hudud dan qisas, ia tidak boleh dijatuhkan dengan semata-mata bukti DNA, tetapi mesti dengan keterangan saksi atau dengan pengakuan dari tertuduh sendiri.[3] Hukuman takzir adalah terserah kepada kearifan pemerintah untuk menentu dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah terbabit. Di antara bentuk hukuman takzir ialah; penjara, denda, rotan, diberi peringatan dan sebagainya. Sebahagian ulamak menegaskan; takzir boleh sampai ke tahap hukuman bunuh jika difikirkan perlu oleh pemerintah bagi membendung jenayah dan menyelamatkan masyarakat.

Rujukan;

1. Pandangan Prof. Dr. Yusuf Sulaiman di alamat web; (http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528614850)
2. Pandangan Dr. Yusuf bin Ahmad al-Qasim (pensyarah Fiqh Perbandingan di Institut Tertinggi Kehakiman Arab Saudi) di alamat web; (http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528623430)
3. al-Qadhaya at-Thibbiyyah al-Mu’asirah, Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarrah Daghi dan Prof. Dr. Ali Yusuf al-Muhammadi.

Nota kaki;

[1] Al-Jami’ as-Soheh, Imam as-Suyuti, no. 4461.
[2] Kerana ia telah berkahwin.
[3] Al-Qadhaya at-Thibbiyyah al-Mu’asirah.

SUMBER: USTAZ AHMAD ADNAN FADHIL

Tiada ulasan: