Sahabat Ilmu

Rabu, 21 Januari 2009

BAB SERBAN RASULULLAH S.A.W

SERBAN RASULULLAH S.A.W

Ukuran serban Rasulullah s.a.w tidak disebut dalam mana-mana hadith yang mahsyur. Satu riwayat dari Tabrani menyebut 7 dhira(hasta). Baijuri rah. Memetik dari Ibn hajar bahawa hadith ini tidak ada asas. Allamah Jazari rah. berkata, “Telah daku pelajari kitab-kitab Sirah tetapi daku tidak dapati hadith yang menyatakan ukurannya.” Imam Nawawi rah. melaporkan rasulullah s.a.w mempunyai 2 helai serban, satu kecil berukuran 6 hasta menurut Munawi rah. atau 7 hasta menurut Mulla Ali Qari rah. dan satu lagi 12 hasta. Pengarang Madkhal menyatakan panjang serban Rasulullah s.a.w ialah 7 hasta. Ukuran lain tidak pula disebut. Memakai serban adalah sunnah da’iman (yang berterusan). Dilaporkan bahawa rasulullah s.a.w saran memakai serban. Baginda bersabda, “Pakailah amamah(serban) selalu kerana ia menambah (kesopanan) seseorang.”[Fathul Bari] Seorang telah betanya Abdullah ibn Umar r.a., “Adakah memakai amamah (serban) sunnah?” ujar beliau, “Benar, ia adalah sunnah.” Disebut dalam sebuah hadith biasakanlah memakai serban kerana ia adalah tanda Islam dan membezakan antara Islam dan kafir.

Hadith 1

Jabir r.a. meriwayatkan bahawa tatkala Makkah ditawan, Rasulullah s.a.w. memasuki kotanya dengan memakai serban hitam.
Sahih Muslim, Bab Manasik; Sunan Abu Daud, Bab Pakaian; Sunan Ibn Majah, Bab Pakaian; Sunan Tirmidzi, Bab Jihad & Pakaian; Sunan Nasai, Bab Perhiasan.

Ulasan: Hadith ini seolah-olah bercanggah dengan hadith lain yang mengatakan Baginda memakai topi besi semasa memasuki kota Makkah. Sebenarnya tidak ada perbezaan. Mungkin baginda memakai serban di atas topi besi. Kedua hadith itu mudah difahami. Sebahagian ulama berkata bahawa baginda memasuki Makkah dengan memakai topi besi dan setelah membukanya, baginda s.a.w. memakai serban. Lantaran itu disebut semasa memasuki kota. Sebahagian ulama pula berpendapat mungkin kerana topi besi itu menyulitkan, beliau memakai serban dibawahnya.

Hadith 2

‘Amr Ibn Huraith r.a berkata, “Daku lihat Rasulullah s.a.w. memakai serban hitam.”
Sunan Ibn Majah, Bab Pakaian, Hadith 3584; Sunan Abu Daud, Bab Pakaian, Hadith 4077; Sahih Muslim Bab Haji, Hadith 1359; Sunan Nasai.

Ulasan: Dalam Sahih Muslim dan Nasai, Amr ibn Huraith r.a. berkata, “Saya masih ingat Rasulullah s.a.w. membaca khutbah memakai serban hitam di kepalanya dan syamlah(ekornya) berada di antara dua bahunya.”

Hadith 3

‘Amr ibn Huraith r.a. berkata, “Daku lihat Rasulullah s.a.w. berkhutbah dengan memakai serban hitam di kepala beliau yang mubarak.”
Sunan Ibn Majah, Bab Pakaian; Sunan Abu Daud, Bab Pakaian; Sahih Muslim Bab Haji.

Menurut pendapat yang mahsyur, khutbah itu disampaikan di depan pintu Ka’abah sewaktu Makkah ditakluki sebagaimana disebut dalam hadith jabir yang lalu. Ada hadith yang mengatakan khutbah tersebut disampaikan di atas mimbar, sedangkan khutbah Fatah Makkah itu bukan dari atas mimbar. Setengah berkata kis ini bukan di Makkah tetapi di Madinah pada satu hari Jumaat. Terdapat hadith yang mengatakan khutbah itu khutbah Jumaat. Mulla Ali Qari pengulas Mishkat telah memetik dari Merak Shah bahawa khutbah itu diberi sebelum Rasulullah s.a.w wafat. Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui.

Hadith 4

Ibn Umar r.a. meriwayatkan, “Apabila Rasulullah s.a.w. memakai amamah(serban), baginda akan biarkan shamlah (hujung atau ekornya) diantara bahunya (iaitu di belakang).” Nafi’ berkata, “Aku telah lihat Abdullah Ibn Umar r.a. meniru cara yang sama.” Ubaidullah, seorang murid Nafi’ berkata, “Daku lihat Qasim bin Muhammad (cucu Abu Bakar r.a.) dan Salim bin Abdullah (cucu Umar r.a.) juga mengikut cara yang sama.”Sunan Tirmidzi, Bab Pakaian, Hadith 1736.

Ulasan: Rasulullah s.a.w selalu mengubah syamlah serban di belakang bahu. Baginda biasa membiarkan shamlah diatas serban. Ada ulama telah pergi lebih jauh berkata baginda tidah pernah memakai serban tanpashamlah. Para Muhaqqiqin berkata kadang kadang baginda juga memakai serban tanpa ada shamlah. Shamlah baginda bertukar kedudukan mengikut keadaan. Adakala shamlah dibiarkan di depan bahu kanan, adakala di belakang ditengah-tengah bahu. Kadang-kadang baginda memakai serban dengan 2 shamlah. Allamah Manawi rah. menulis, “Sungguhpun disebut semua cara itu, yang terbaik dan tepat ialah di belakang kedua bahu.”

Hadith 5

Ibn Abbas r.a. melaporkan, “Rasulullah s.a.w. pernah menyampaikan khutbah memakai serban hitam atau lilitan kain (yang ada kesan minyak rambut).”
Sahih Bukhari, Bab Manaqib.

Ulasan: Inilah khutbah terakhir sebelum baginda wafat. Selepas itu baginda tidak lagi menaiki mimbar atau memberi khutbah. Khutbah itu menyebut keutamaan dan kelebihan kaum Ansar. Baginda hebah segala jasa serta kebaikan mereka dan saran sesiapa yang diangkat menjadi amir hendaklah ambil berat keperluan kaum Ansar. Waktu itu baginda menanggung sakit kepala yang kuat mungkin sebab itu beliau mengikat sehelai kain di kepalanya. Oleh kerana rambut baginda sering dibubuh minyak mungkin akibatnya kain itu berminyak. Baginda gemar memakai serban hitam telah termaklum. Ulama berkata serban hitam ada 2 makna, sebahagian menafsirkan sebagai serban yang memang berwarna hitam dan sebahagian mengatakan kain yang terkena kesan minyak. Kedua-duanya betul kerana maknanya boleh diterima.

Petikan Buku “Shama’il Tirmidzi – Khasail Nabawi s.a.w. Syarah Syama’il Muhammadiah s.a.w.”
Ikuti sunnahnya..jangan kita ragu…cubalah sedaya mampu…hidupkan bererti…
Selawat atasmu s.a.w

Tiada ulasan: