Sahabat Ilmu

Ahad, 11 Januari 2009

EPISOD PENAKLUKAN PALESTIN

Bagaimana bermulanya Israel Menguasai Palestin!!

Ketika rencana ini ditulis kita tidak tahu bagaimana akhrnya nasib penduduk Gaza, Palestin yang sedang dikepung, diseksa dan dibunuh oleh rejim Israel, pada ketika yang sama pemimpin dunia Islam, khususnya dunia Arab, hanya 'terkebil-kebil' mendengar dan melihat penyeksaan rejim Yahudi ini di kaca TV. Kutukan demi kutukan dari pemimpin umat Islam, dari anggota OIC dan NGO-NGO hak-hak asasi manusia. Sementara Kesatuan Eropah dan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amerika hanya meminta tentera Israel tidak menyerang kawasan penduduk awam, ertinya bolehlah menyerang untuk sasaran militan Arab di Gaza saja. Ulang tayang

Peristiwa serangan ini adalah ulangan tindakan Israel sejak puluhan tahun lalu dan hingga kini, iaitu sejak zaman Presiden Richard Nixon, malah sebelum itu lagi, hingga zaman Barack Obama yang sesetengah orang diharapkan ada perubahan.

Kini serangan itu berterusan, ratusan rakyat Gaza terbunuh setiap hari, mayat bergelimpangan, bangunan runtuh, hospital musnah, tidak ada jalan keluar bagi rakyat Gaza untuk mendapatkan makanan.

Mesir juga menutup sempadannya untuk tidak membenarkan pelarian Palestin tumpah lagi ke negara itu. Syria, Libya, Jordan dan negara Arab lain tidak lagi mampu menerima pelarian yang berjumlah berjuta-juta banyaknya.

Ini adalah episod yang sangat mememilukan, sebuah tragedi kemanuiaan yang tidak ada tandingannya, bahkan tragedi kemanusiaan ini melebihi pembunuhan Nazi Jarman terhadap orang Yahudi di Eropah.

Tidak ada siapa yang ditakuti oleh rejim Tel Aviv sekarang, justeru kerana Amerika, di bawah presiden barupun tetap menyokong mereka. Malah Amerika terus menerus melindungi kepentingan Yahudi.

Maka jadilah rakyat Paletin di Gaza itu 'bahan ratahan' tentera Israel. Anak-anak muda Palestin meluru ke jalan-jalan raya melemparkan batu ke arah tentera dan keretakebal Israel, lalu dari muncung kereta kebal Israel itu memuntahkan peluru meriam yang membunuh mereka dengan mudah.

Bayangkan bagaimana anak-anak muda Palsetin yang hanya bersenjatakan batu di tangan boleh melawan tentera Israel dengan segala peralatannya. Namun itulah yang terjadi. Inilah pemandangan ngeri yang berterusan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

Adakah harapan buat Obama?

Adakah rakyat Palestin ini mempunyai masa depan? Ini pertanyaan yang sangat sukar dijawab, walaupun daripada pakar mengenai Asia Barat sendiri. Memang ada sesetengah pihak mengharapkan Obama yang berkulit hitam itu melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu Palestin, namun nampaknya rejim tentera Tel Aviv, pimpinan Menteri Pertahanannya yang sangat ganas, Ehud Barat, tidak mungkin bersedia menghentikan serangannya. Ini kerana dia tahu, Amerika dan sekutunya akan terus menyokong Israel.

Jika begitu keadaannya, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Israel menuduh para pejuang Hamas melancarkan roket di kawasan Israel, ada yang mengena sasaran dan ada yang tidak. Namun hujan roket dari Israel, di samping meriam kereta kebal mereka terus menerus membunuh rakyat Palestin.

Sementara itu bagaimana sikap pemimpin umat Islam, khususnya pemimpin dunia Arab? Selagi mereka masih kekal dengan sikap assobiyah Arab mereka, tidak bersatu atas nama Islam untuk memerangi rejim Yahudi, maka tidak mungkin rejim itu boleh berundur.

Kerdilnya negara Arab

Bayangkan setiap tahun negara Arab membelanjakan beratus bilion dollar Amerika untuk membeli senjata api tercanggih dari pelbagai negara Barat, khususnya Amerika. Namun negara Arab tidak juga mampu memperlihatkan kekuatan tentera mereka untuk menghadapi Israel.

Akhirnya negara Arab hanya menjadi 'pengguna' setia senjata moden Barat, sementara senjata itu tidak juga menolong memperlihatkan 'izzah' (keunggulan, kehebatan) negara Arab sehingga menggerunkan Israel.

Inilah yang berlaku terus menerus, pada ketika yang sama, siapapun yang menjadi Presiden Amerika, negara itu terus melindungi kepentingan Israel.

Benarlah kata ulama tersohor, Sayyid Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam bahawa negara umat Islam perlulah memiliki ilmu dan kekuatan senjata yang cukup disertai kemajuan teknologi supaya dengan kekuatan itu mereka mampu memimpin dunia.

Malangnya, kata An-Nadawi, hampir semua kekuatan ini kini tidak dimiliki oleh umat Islam, pada hal di zaman dulu, umat Islamlah yang memiliki semua kekuatan ini. Kini, katanya, pemimpin negara Arab hanya memikirkan kepentingan negara masing-masing, dilatari oleh sikap assobiyah, atau perkauman Arab yang semakin menebal.

Perlu diingat, kata An-Nadawi lagi, sikap ini menyebabkan runtuhnya Daulah Islamiyah Turki pada tahun 1924, iaitu di tengah-tengah Assobiyah Arab yang tebal itu, ia bertembung pula dengan assobiyah Turki kerana ketika itu Turki juga sangat angkuh dan merasakan ia adalah bangsa besar. Inilah kesan buruk yang dialami sehingga keadaan menjadi begini.

Mula tergadai

Sementara itu, ketika menyaksikan penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh rejim Irael itu, kita teringat bagaimana mulanya tanah atau bumi Palestin ini tergadai dan dijual kepada Palestin.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abd Hamid II, Sultan Turki terakhir, telah digubal undang-undang dan disahkan di Parlimen Turki bahawa semua tanah yang dimiliki oleh orang Arab di Palestin (ketika itu di bawah riayah Daulah Othmaniyah Turki) dilarang dijual kepada Yahudi.

Ini menimbulkan kemarahan British dan Perancis, justru kerana dua negara Eropah itu mahu memperkukuh kedudukan masa depan Yahudi di negara Palestin.

Namun setelah kejatuhan Daulah Othmaniyah Turki, undang-undang itu dimansuhkan oeh Kemal Attaturk yang merampas kuasa. Lalu dengan pantas orang Yahudi di Palestin berebut-rebut membeli tanah orang Arab di sana, sementara orang Arab Palestin itu sendiri rela pula menjual tanah mereka.

Dengan itu banyak tanah hak milik Arab Palestin bertukar tangan menjadi hak milik Yahudi hingga kini.

Tanah itu kini didiami oleh orang Yahudi, ditambah pula wujudnya penempatan baru, iaitu tanah yang dirampas dari rakyat Palestin sendiri. Demikianlah sejarah hitam bumi Palestin.

Maka itu ketika Israel menguatkan cengkamannya di bumi para anbia ini, dalam usaha mereka hendak menghapuskan rakyat Palestin, wajar kita merenung semua sejarah pahit ini. Namun pandangan An-Nadawi ini sangat wajar diberikan perhatian.

Sumber: Harakahdaily.net

Tiada ulasan: