Sahabat Ilmu

Isnin, 30 Jun 2008

FEQAH - HUKUM HAKAM JUMAAT

HUKUM SOLAT JUMAAT

HUKUM

1.Wajib dengan Fardhu Ain bagi Lelaki, Merdeka, Berakal, Baligh, bagi yang bermukim di tempat kedengaran Azan dan bagi yang tiada uzur Syar’ie yang boleh meninggalkan solat jemaah.

2.Tidak wajib bagi Perempuan, Hamba, Orang Gila, Kanak-Kanak, Musafir dan Orang yang uzur.

3.Wajib atas orang yang sakit dan sebagainya jika mereka berada di masjid ketika didirikan solat atau hadir ketika masuk waktu dan tiada masyaqqah untuk menanti. Jika ada masyaqqah untuk menanti atau mereka hadir sebelum masuk waktu maka harus balik walaupun tiada masyaqqah menanti.

4.Harus balik bagi yang tidak wajib Jumaat jika hadir ke tempat Jumaat.

5.Wajib bagi orang tua atau yang lumpuh jika ada kenderaan dan mampu menunggangnya.

6.Wajib atas orang buta jika ada orang memimpinnya.

SYARAT AHLI QARYAH ATAU AHLI JUMAAT

1.Sekurang-kurangnya 40 orang

2.Lelaki

3.Merdeka

4.Berakal

5.Baligh

6.Mastautin – Wajib mendirikan Jumaat di tempat mereka dan haram pergi berJumaat ditempat lain walaupun didengari azan ditempat lain itu.

7.Jika kurang dari 40 orang di qaryah tersebut dan didengari suara Azan dari qaryah berhampiran maka wajib Jumaat di qaryah berhampiran itu.

8.Haram orang yang wajib Jumaat, bermusafir selepas fajar walaupun dengan niat baik kecuali dipastikan dapat Jumaat di mana-mana. Boleh jika takut mudharat seperti ketinggalan kawan atau untuk mendapatkan wukuf di Arafah atau menanti hartanya.

9.Makruh bermusafir pada malam Jumaat.

10.Sunat berjemaah Zohor bagi orang yang tidak wajib Jumaat kerana uzur. Jika uzur yang tersembunyi maka sunat disembunyikan jemaahnya. Jika uzur nyata seperti perempuan maka sunat menzahirkan jemaahnya.

11.Sunat orang yang berharap akan hilang keuzurannya untuk melambatkan Zohor seperti orang sakit yang diharapkan sembuh.

12.Sunat menyegerakan Zohor bagi yang tiada harapan hilang uzurnya seperti orang perempuan dan orang lumpuh.

13.Orang yang tidak wajib Jumaat dan sah Zohornya maka boleh Solat Jumaat dan boleh memilih antara Jumaat dan Zohor. Walaubagaimanapun Jumaat lebih afdhal. Jika dibuat Jumaat maka wajib disempurnakan Jumaatnya dan tidak boleh menyempurnakan Zohor selepas salam imam.

14.Siapa yang wajib Jumaat maka tiada sah Zohornya sebelum salam imam Jumaat. Jika selepas ruku’ imam dalam rakaat kedua tetap tidak sah kerana qaul yang muktamad Jumaat itu asal bukan ganti Zohor. Walaubagaimanapun wajib disegerakan Zohornya.

15.Jika ahli qaryah meninggalkan Jumaat maka tidak sah Zohor mereka kecuali suntuk waktu bagi sekurang-kurangnya 2 khutbah dan 2 rakaat Jumaat.

SYARAT SAH JUMAAT

1.Masuk Waktu Zohor

a.2 rakaat Jumaat dengan 2 khutbah dalam waktu Zohor.
b.Tak sah qada’ Jumaat.
c.Jika suntuk waktu untuk 2 rakaat dan 2 khutbah maka wajib solat Zohor.
d.Jika keluar waktu ketika dalam Solat Jumaat maka wajib sempurnakan Jumaatnya dengan Zohor dan tak perlu membaharui niat dengan Zohor.
e.Jika masbuq berdiri selepas salam untuk menggenapkan rakaat maka habis waktu sebelum salam maka wajib sempurnakan dengan Zohor.
f.Jika imam Jumaat melanjutkan rakaat pertama hingga diyakinkan tiada tinggal waktu bagi rakaat kedua maka berdosalah dia. Maka jadilah solatnya itu Zohor ketika itu walaupun belum keluar waktunya sekalipun.


2. Didirikan di tempat samada masjid dan sebagainya atau tanah lapang yang bercerai daripada rumah.
a.Tak sah di luar negeri atau qaryah.
b.Tak wajib bagi yang mendiami umpama khemah walaupun tak berpindah randah melainkan jika kedengaran suara azan di kariah berhampiran.

3. Tak didahului oleh Jumaat yang lain dalam qaryah itu kecuali sukar berhimpun di satu tempat. Maka harus berbilang jumaat sekadar hajat sahaja.
a.Jika berbilang Jumaat maka yang terdahululah yang sah.
b.Jika bersamaan keduanya maka tak sah kedua-duanya.
c.Dikira bersamaan atau tidak dengan huruf (ر) dalam takbiratul ihram.
d.Jika samar yang mana dahulu maka wajib Zohor kedua-duanya.
e.Sunat orang yang dalam qaryah yang berbilang Jumaat kerana hajat itu, bersembahyang Zohor bagi tujuan keluar dari khilaf ulama’ yang menegah berbilang Jumaat itu walaupun sekadar hajat.
f.Jika berbilang Jumaat lebih daripada hajat seperti berhajat kepad 5 tetapi didirikan 10 Jumaat maka hanya sah 5 tempat yang terdahulu samada beserta atau tidak dan tak wajib Zohor bagi 5 yang terdahulu hanya sunat sahaja bagi menghormati khilaf seperti di atas.
g.Tidak sah bagi 5 tempat yang terkemudian dan wajib Zohor.
h.Wajib Zohor bagi yang syak apakah mereka dalam golongan 5 terdahulu atau terkemudian.

4. Dikerjakan Secara Berjemaah.

a.Hanya wajib berjemaah pada rakaat pertama sahaja dan tiada disyaratkan berjemaah dalam rakaat kedua.
b.Harus masing-masing dalam rakaat kedua tapi tetap disyaratkan 40 orang dari mula hingga salam semua sekali.
c.Jika berhadas seorang daripada 40 orang sebelum salam walaupun selepas salam orang lain sekalipun maka terbatal semua sekali.
d.Syarat 40 orang termasuk imam daripada lelaki, berakal, baligh dan merdeka.
e.Disyaratkan 40 orang itu sunyi daripada qadha’.
f.Disyaratkan tiada yang buta huruf.
g.Jika dalam qaryah 40 buta huruf semuanya maka wajib Jumaat kerana sah ikut mengikut antara mereka.
h.Tiada sah jika setengah Ummi dan setengah Alim.
i.Disyaratkan juga mastautin iaitu orang yang tetap pada tempat kediamannya tiada pergi kecuali hajat seperti berniaga.
j.Tak sah Jumaat oleh musafir semuanya atau mukim di satu tempat dengan bercita-cita untuk kembali ke tempat kediaman asalnya kemudian hari walaupun berlalu bertahun lamanya.
k.Tidak sah Jumaat mastautin pada tempat yang lain daripada tempat Jumaat dan wajib ia hadir ke tempat Jumaat sekalipun.
l.Jika bercampur 2 qaryah yang kurang 40 hingga mencukupi maka tak sah walaupun kedengaran azan kedua-dua tempat itu kerana semuanya tidak mastautin.
m.Bagi yang mempunyai 2 rumah maka Jumaatnya adalah di tempat yang paling banyak didiami. Jika sama banyak maka dikira tempat tinggal isterinya dan hartanya.
n.Jika ada kedua-duanya maka yang terbanyak isteri atau hartanya.
o.Jika sama banyak maka Jumaatnya pada kedua-duanya sekali.
p.Jika di satu tempat ada isteri dan di satu tempat ada harta maka dikira tempat isterinya.
q.Siapa yang bermastautin di dalam kota maka tak boleh Jumaat di luar kota dan begitulah sebaliknya.
r.Siapa yang wajib Jumaat lalu luput Jumaat di negerinya tetapi boleh dapat Jumaat di luar negerinya kerana boleh berbilang Jumaat atau diadakan Jumaat di negeri yang kedengaran azan maka wajib berjumaat di negerinya atau yang lain dan tidak boleh Zohor selama boleh dapat Jumaat.
s.Bilangan 40 mesti kekal dari mula solat hingga habis.
t.Jika kurang dari 40 dalam solat kerana keluar setengah daripada masjid atau mufaraqah dalam rakaat pertama atau keduanya maka batallah solat semuanya. Maka mestilah yang tinggal itu menyempurnakan solat mereka dengan Zohor kecuali jika takbiratulihram dengan segera mereka yang menggenapi bilangan yang mendengar 2 khutbah atau takbiratulihram segala mereka yang menggenapi bilangan itu walaupun mereka tak mendengar khutbah.
u.Jika takbiratulihram 39 laki-laki yang masbuq selepas imam bangkit dari ruku’ rakaat pertama kemudian keluar 40 yang takbiratulihram bersama imam atau terkurang bilangan mereka dari 40 maka Jumaat itu sah walaupun 39 itu tak dapat rakaat pertama.
v.Tidak mengapa terlambat takbiratulihram makmum daripada takbiratulihram imam dengan syarat dapat membaca Al-Fatihah sebelum ruku’ imam. Jika tidak maka tak sah kerana bilangan 40 disyaratkan pada permulaan solat hingga akhirnya.
w.Wajib 40 orang itu mendengar khutbah.
x.Jika jadi kurang kerana keluar dan sebagainya maka tak dikira rukun yang dibaca ketika ketiadaan yang keluar itu. Jika kembali dengan segera sebelum lanjut tempohnya haruslah disambung khutbah yang telah dibacanya dan kembali dibaca rukun khutbah yang telah dibacanya.
y.Jika kembali mereka selepas lanjut masa bercerai atau datang yang menggenapi bilangan yang selain mereka tadi, wajib atas khatib memulai semula khutbahnya.
z.Jika jadi kurang daripada 40 antara khutbah dan sembahyang dan kembali mereka sebelum lanjut masa perceraian maka harus didirikan solat atas khutbah yang telah lalu.

RUKUN- RUKUN KHUTBAH

1. Memuji Allah Taala
2. Membaca Selawat
3. Wasiat dengan takut kepada Allah
4. Membaca satu ayat Al-Quran yang difahami.

a.Tidak memadai membaca setengah ayat walaupun panjang.
b.Tidak memadai satu ayat yang tidak memberi faham seperti ن
c.Memadai ayat itu dibaca di dalam salah satu daripada 2 khutbah.
d.Sunat dibaca pada akhir khutbah pertama.
e.Sunat dibaca Surah Qaf pada akhir khutbah pertama setiap Jumaat kerana mengikut Nabi tetapi berhasil pahala sunat dengan membaca setengah surah tersebut.

5. Membaca doa berkenaan urusan akhirat untuk orang Islam dalam khutbah kedua.
a.Memadai menentukan doa bagi segala yang mendengar
b.Tiada memadai menentukan doa itu bagi mereka yang ghaib.
c.Tidak mengapa membaca doa bagi Sultan dengan tentunya jika tidak berlebih-lebihan dalam menyatakan sifatnya.
d.Kata Sheikh Ibnu Abdus Salam tidak harus memuji Sultan dengan sifat yang dusta kecuali kerana dharurat.
e. Sunat membaca doa bagi segala Sultan yang Islam dan tentera mereka dengan kebaikan dan kemenangan.

Peringatan - Rukun yang 3 di atas mesti ada di dalam khutbah pertama dan khutbah kedua.

SYARAT SAH KHUTBAH

1.Khatib berdiri jika berkuasa kerana mengikut Nabi.
Jika tak mampu hendaklah duduk. Jika tak mampu maka baring dan harus mengikutnya walaupun tak diketahui uzurnya ia pada zahirnya ma’zur.

2.Rukun Khutbah Dalam Bahasa Arab.
a.Jika tiada yang tahu dan tak sempat belajar sebelum habis waktu maka boleh dengan bahasa sendiri.
b.Wajib belajar bagi semua orang, maka jika ada yang sempat belajar tetapi tak belajar maka berdosa kesemuanya sekali dan tidak harus Jumaat ketika itu tetapi hendaklah diganti dengan Zohor.
c.Yang disyaratkan hanya mendengar khutbah bukan faham.

3.Khatib Duduk Antara Dua Khutbah Serta Tama’ninah.
a.Jika tak mampu duduk maka hendaklah diam seketika.
b.Begitu juga yang tak mampu berdiri maka hendaklah diam seketika.
c.Sunat duduk sekadar membaca ( Qul huwallahu ahad) hingga akhir

4.Dua Khutbah dibaca selepas gelincir matahari.

5.Kesemua Rukun Didengari Oleh 39 Orang Makmum Dari Kalangan Ahli Jumaat Walaupun Tak Faham.
a.Khatib tak disyaratkan mendengar dan memahami maka sah walaupun ia tuli dan termasuk dalam bilangan 40 orang itu.

6.Berturut-turut tiap-tiap kalimah daripada 2 khutbah dan antara 2 khutbah dan solat.

7.Khatib Suci daripada hadas kecil dan besar.
a.Makmum tidak disyaratkan suci dari hadas.

8.Khatib suci daripada najis yang tak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat.

a.Jika berhadas ketika khutbah hendaklah bersuci dan memulai semula dan tak boleh disambung walaupun singkat masa perceraiannya.
b.Jika berhadas antara khutbah dan solat maka bersuci dengan segera maka tiada mengapa.
c.Makmum tidak disyaratkan suci dari najis.

9. Khatib Menutup Aurat.
a.Makmum tidak disyaratkan menutup aurat.

Peringatan
1.Tidak disyaratkan tertib antara rukun-rukun khutbah.
2.Tidak disyaratkan niat pada khutbah dan tidak disyaratkan meniatkan Fardhunya.

SUNAT-SUNAT KHUTBAH

1.Sunat berkhutbah di atas mimbar dan sunat mimbar di kanan mehrab.

2.Jika tiada mimbar maka hendaklah berkhutbah di atas tempat tinggi supaya sampai suara Khatib kepada sekelian manusia.

3.Sunat khatib memberi salam kepada semua yang hadir di sisi pintu masjid sebelum masuk ke masjid kemudian bila sampai ke mimbar maka sunat memberi salam kepada mereka yang di sisi mimbar dan bila naik ke atas mimbar dan berada di kedudukan tertinggi di bawah tempat berkhutbah maka sunat menghadap kepada orang ramai dan memberi salam dan kemudian sunat duduk di tempat berkhutbah ketika orang Azan agar dapat merehatkan diri dari penat naik ke mimbar.

4.Sunat Azan di hadapan Khatib dan setelah selesai Azan maka Khatib berdiri membelakang kiblat dan berkhutbah dengan nyaring.

5.Sunat Khatib tidak berpaling ke kanan, ke kiri dan ke belakang kerana itu semua bid’ah.

6.Makruh menumbuk anak tangga mimbar ketika naik dengan kaki atau tongkat atau pedang.

7.Makruh membaca doa tatkala sampai kepada anak tangga tempat berhentinya.

8.Makruh berhenti pada tiap anak tangga mimbar.

9.Makruh menyegerakan khutbah yang kedua dan memperlahankan suara padanya.

10.Makruh berlebihan memuji raja ketika berdoa.

11.Hendaklah khutbah itu sederhana tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.
12.Sunat Khatib memegang pedang atau panah atau tongkat dengan tangan kirinya dan diletakkan tangan kanan di tepi mimbar.

13.Selesai khutbah hendaklah segera turun daripada mimbar supaya sampai ia ke mehrab sebaik selesai Iqamah supaya terpelihara muwalat antara khutbah dan solat.

14.Sunat membaca dalam raakat pertama Surah Al-A’la dan rakaat kedua Surah Al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah.

15.Membaca Surah Al-Jumuah dan Surah Al-Munafiqun lebih utama daripada membaca Surah Al-A’la dan Surah al-Ghasyiah .

16.Jika ditinggalkan Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la pada rakaat pertama kerana lupa atau sengaja dan digantikan dengan Surah Al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah maka hendaklah dibaca pada rakaat kedua Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la dan jangan diulangi lagi Surah al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah yang telah dibaca pada rakaat pertama.

17.Jika tidak dibaca pada rakaat pertama salah satu dari Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la dan tidak juga Surah Al-Munafiqun dan Al-Ghasyiah maka hendaklah dihimpunkannya kedua surah itu pada rakaat kedua iaitu Surah Al-Jumuah dan Surah Al-Munafiqun atau Surah Al-A’la dan Surah Al-Ghasyiah dalam rakaat kedua.

SELAMAT BERAMAL..
WASSALAM

Khamis, 12 Jun 2008

ISU KENAIKAN HARGA MINYAK (PENA MUFTI)

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

Oleh: Dr Mohd Asri Zainal Abidin
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta.

Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.

Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.

Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.
Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.

Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Wallahua'lam

Rabu, 11 Jun 2008

LUAHAN RASA

MENTERI MESTI BERKORBAN, BUKAN RAKYAT!!

Mohd Hafiz Hanawi | Jun 6, 08 3:24pm (http://www.malaysiakini.com)

Saya ingin mengulas kenyataan menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna yang mempertahankan tindakan kabinet menaikkan harga petrol dan diesel di sebuah stesen televisyen kelmarin.

Antaranya, Datuk Shahrir Samad yang menyatakan “rakyat tidak akan terbeban dengan kenaikan harga minyak” kerana kerajaan membekalkan subsidi.

Pertama, subsidi dalam bentuk wang pos RM150 setahun bagi pengguna motosikal bawah 250cc dan RM625 setahun bagi kereta bawah 2000cc.

(Ingat: Wang ini hanya diperolehi sewaktu memperbaharui cukai jalan)

Ulasan saya: Mari kita buat kiraan berapa sebenarnya subsidi yang dipulangkan.

(i) Bagi motosikal bawah 250cc:

Subsidi setahun: RM150.00
Subsidi sebulan: RM12.50
Harga petrol kini: RM2.70 seliter

Satu tangki penuh petrol (motosikal EX5 class) lebih kurang 4 liter, dan boleh digunakan untuk ulang-alik ke tempat kerja lebih kurang tiga hari. (Dalam kes saya ini, jarak rumah ke pejabat, 20km).

Jumlah wang yang digunakan untuk membayar petrol selepas kenaikan harga petrol (andaian: 20 hari berkerja sebulan)

= RM2.70 x 4 liter x 20 hari (dibahagikan 3 hari)
= RM72 sebulan - RM12.50 (subsidi)
= RM59.50

Jumlah dibayar sebelum kenaikan harga (andaian: 20 hari berkerja sebulan)
= RM1.92 x 4 liter x 20 hari (dibahagikan 3 hari)
= RM51.20

Kenaikan yang ditanggung sebulan: RM59.50 - RM 51.20 = RM8.30 @ 16% sebulan.

(ii) Bagi kereta bawah 2000cc

Subsidi setahun: RM625.00
Subsidi sebulan: RM52.08
Harga petrol kini: RM2.70 seliter

Satu tangki penuh petrol (Kancil 660cc) lebih kurang 30 liter, dan boleh digunakan untuk ulang-alik ke tempat kerja kira-kira lima hari (Dalam kes isteri saya, jarak rumah ke pejabat, 15km)

Jumlah wang yang digunakan untuk membayar petrol selepas kenaikan harga petrol (andaian: 20 hari berkerja sebulan):
= RM2.70 x 30 liter x 20 hari (dibahagikan 5 hari)
= RM324.00 - RM52.08 (subsidi)
= RM271.92

Jumlah dibayar sebelum kenaikan harga (andaian: 20 hari berkerja sebulan):
= RM1.92 x 30 liter x 20 hari (dibahagikan 5 hari)
= RM178.32

Kenaikan yang ditanggung sebulan: RM271.92 - RM230.40 = RM41.52 @ 18% sebulan.

Pengiraan di atas hanya mengandaikan penggunaan petrol bulanan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Tetapi harus diingat semakin banyak kita menggunakan petrol, maka makin banyak lagilah jumlah kenaikan yang dirasai. Maknanya semakin jauh tempat bekerja seseorang, semakin banyak petrol digunakan dan semakin banyak lagilah peratusan kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Sebenarnya, golongan yang untung akibat penstrukturan semula subsidi ini mereka yang tinggal dekat dengan tempat kerja atau pengguna minyak jarak dekat.

Masalahnya, bukan semua golongan berpendapatan rendah membuat perjalanan jarak dekat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar.

Contohnya di Klang, kebanyakan pekerja tidak tinggal di Klang kerana tidak mampu menyewa rumah di bandar tersebut.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan kampung seperti Banting atau Kuala Selangor. Jadi penstrukturan semula subsidi akan membebankan golongan ini.

Kedua, ‘teori domino’ – kenaikan harga barangan lain akibat harga petrol – tidak akan berlaku kerana ia khususnya tepung, gula, beras sudah mendapat subsidi tertentu.

Ulasan saya: Skrip lama diulang tayang, daripada Datuk Mohd Shafie Apdal dan menteri sebelumnya sampailah Shahrir semuanya berkata harga barangan lain tidak akan naik, tetapi realitinya lepas itu semua harga barang naik atas alasan kos pengangkutan meningkat!

Menteri bercakap berdegar-degar di media, menyatakan kerajaan akan memantau tetapi akhirnya pemantauan entah ke mana, tindakan entah ke mana, golongan yang sengsara tetap juga rakyat marhaen.

Ketiga, rakyat perlu bersama-sama membantu kerajaan menghadapi kenaikan harga minyak dunia.

Ulasan saya: Dari dulu, kini dan selamanya rakyat kena berkorban demi negara sedangkan menteri-menteri yang membuat keputusan tidak pernah mengambil langkah berkorban demi rakyat.

Apa salahnya, dalam menghadapi kenaikan harga minyak, para menteri membuat keputusan memotong elaun wakil rakyat – misalnya 20 peratus (40%-50%–IKUT HARGA MINYAK NAIK 40%:TUAN BLOG) atau mengumumkan elaun wakil rakyat akan dikenakan cukai.

Misalnya lagi, bentuk satu tabung khas hasil potongan elaun wakil-wakil rakyat dan menteri bagi menangani kenaikan harga minyak.

Sayangnya, tidak berlaku. Hanya rakyat disuruh berkorban sedangkan menteri dan wakil rakyat khususnya BN mendapat elaun itu, elaun ini, kereta percuma, minyak percuma, makan percuma, minum percuma, tuntutan (claim) sana, tuntutan sini.

Tidak cukup dengan semua itu, rembat lagi duit rakyat sana sini!

Bagaimana mereka meminta kita berkorban, padahal dia orang selaku pemimpin tidak menunjukkan yang dia orang mahu sama-sama berkorban.

Keempat, akhir sekali, mengubah gaya hidup rakyat (kenyataan ini bukan datang daripada Shahrir tetapi satu persatuan pengguna berpengaruh).

Mahu ubah bagaimana sebab harga semua barang naik, termasuk barangan asasi juga turut naik! Masakan harus sampai ke tahap perlu makan ubi kayu semula, kemudian memakai baju daripada kain guni?

Saya fikir, mereka yang kena mengubah gaya hidup bukan rakyat marhaean biasa yang semakin lama semakin ditindas, tetapi para menteri dan wakil rakyat khususnya BN.

Rakyat semakin lama semakin lapar, semakin lama semakin merempat di bumi sendiri. Kesimpulannya, lu pikirlah sendiri…

Tulisan Asal:Mohd Hafiz Hanawi
Dipetik dari: http://www.malaysiakini.com/letters/84073

BEBANAN KESAN KENAIKAN HARGA MINYAK

PERSOALAN YANG TIDAK BERJAWAPAN

Dalam satu keputusan yang mengejutkan, penguasa di bawah BN telah menaikkan harga petrol dan diesel paling tinggi dalam sejarah. Ianya akan membebankan majoriti rakyat bawahan di mana kesan kenaikannya akan menjurus kepada kenaikan harga barang keperluan harian. Di saat kenaikkan harga minyak global yang tentunya akan menyumbang kepada keuntungan berlipat kali ganda kepada negara kita yang juga merupakan pengeksport minyak, BN memilih untuk menyusahkan lagi rakyat dan penguasa akan terus berkumandang dengan seruan agar rakyat mengikat perut. Sebaliknya penguasa akan terus memunggah kekayaan negara untuk suku sakat mereka.

Terlalu banyak rasanya persoalan yang hendak diutarakan mengenai kezaliman dan penindasan pemerintah yang sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak yang hanya memikirkan bebanan yang terpaksa ditanggung kerajaan tanpa memikirkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. persoalan-persoalannya ialah:

1. kenapa harga petrol perlu dinaikkan?
2. apa masalah malaysia sebagai pengeluar petroleum sehingga rakyat DIPAKSA menerima bebanan ini?
3. Kenapa kita sbg pengguna tidak boleh menggunakan petrol keluaran Malaysia?
4. Adakah kerajaan telah mengkaji kesan-kesan kenaikan ini terhadap rakyat terutama yang berpendapatan rendah?
5. Tidak adakah cara lain mengatasi masalah kenaikan harga minyak global yang boleh diambil oleh malaysia?
6. Adakah dengan memberikan wang tunai / rebet tahunan itu benar-benar dapat membantu rakyat?
7. Kesan langsung yang utama adalah kenaikan harga semua jenis barangan dan perkhidmatan... soalan saya kalau yang mempunyai kenderaan diberikan rebet, bagaimana pula rakyat yang susah dan miskin dibantu apabila kenaikan harga barangan berlaku?
8. Bagaimana dengan inflasi?
9. kenapa rasanya semakin lama semakin terasa sesak, sempit, sukar dan perit hidup rakyat sekarang?
10. siapakah yang patut dipersalahkan?
11. Ada tak rungutan seperti ini diutarakan oleh para pemimpin di parlimen?

Nampaknya kenaikan gaji kakitangan awam tahun ini hanya merupakan titik permulaan kepada keadaan hidup yang semakin sukar kepada rakyat. Terutama rakyat miskin.

Para pemimpin dan orang-orang kaya tidak merasa kesan kenaikan ini kerana mereka memang dah senang. Cuba tanya berapa harga ikan di pasar? pasti mereka tidak tahu, perbezaan harganya, dulu, tahun ini, semalam dan esok... mereka tak akan merasa bagaimana kita terpaksa mencari kedai-kedai yang menjual beras yang berharga dibawah rm25.00 - 10 kg sekarang ini berbanding rm16.00 sebelum ini. iklan2 dalam media massa mengatakan ada beras berharga rm 18.00 - 10 kg. tetapi cubalah cari ...tak ada satupun kedai yang menjual dengan harga ini kerana tak ada atau dah habis.

itu baru cerita beras, belum lagi cerita semua keperluan asa dan tak asas yang juga naik melambung2 sekarang ini.

Para pemimpin yang senang-lenang dan para orang2 kaya sudah semestinya tak kisahpun dengan kenaikan semua ini.

Cuma kita sesama kita yang tahu betapa peritnya membahagikan gaji untuk bayaran ptptn, hutang kereta, agihan kepada ibubapa, belanja harian anak2, minyak kereta, keperluan rumah, bayi, nursery, tadika . apa lagi hidup di kuala lumpur ini. Bayangkan pula keperitan bagi mereka yang miskin dengan anak ramai. Para peniaga kecil-kecilan..mesti sakit kepala dan tidak mustahil ada yang gulung tikar.


Nampaknya tulisan ini yang mungkin tidak membawa apa-apa makna kepada sesiapa. Cuma alhamdulillah kerana ada ruang tempat mencurah rasa tidak puas hati ini agar dapat dikongsi dan difikirkan oleh semua pihak...wassalam

ISU KENAIKAN HARGA MINYAK

Harga Minyak Dan Kerajaan BN Tahi Minyak
Oleh YB Hj Mahfuz Omar

KENAIKAN harga bahan api secara mendadak yang diumumkan oleh kerajaan minggu lepas bukan sekadar menggemparkan rakyat, tetapi menimbul persoalan di benak rakyat apakah wajar kenaikan ini berlaku. Semua rakyat tahu tentang kenaikan harga minyak dunia yang sudah melebihi USD130 setong. Tetapi rakyat bertanya bukankah Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport minyak yang telah mengaut untung besar kesan kenaikan ini. Sebelum ini pun Menteri Kewangan II pernah menyebutkan tentang rahmat kenaikan harga minyak yang boleh menambahkan pendapatan negara berkali-kali ganda.

Yang anehnya, para menteri dan media massa lebih betah memperkatakan kesan-kesan kenaikan subsidi kepada pembangunan negara ekoran kenaikan harga minyak. Menteri Pengajian Tinggi misalnya menggambarkan kepada rakyat bahawa RM800 juta terpaksa dikurangkan daripada peruntukan untuk kementerian tersebut kerana membiayai subsidi. Benar atau tidak itu soal kedua. Yang penting rakyat harus diberitahu bahawa Negara kita mendapat keuntungan berganda daripada kenaikan harga minyak ini. Adakah wajar kita menggambarkan kenaikan ini sebagai satu musibah semata-mata kerana terpaksa menaikkan harga minyak, sedangkan ia patut dilihat sebagai rahmat kerana kita pengeksport minyak yang layak menjual dengan harga lebih murah kesan keuntungan berganda ini.

Apabila kerajaan mendakwa penstrukturan semula harga minyak tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan, ia adalah satu pembohongan pada siang hari. Rakyat ditipu hidup-hidup. Kerajaan telah mengaut untung yang besar sebagai pengeksport kerana kenaikan harga ini, sedangkan perbelanjaan telah susut dengan pengurang subsidi besar-besaran. Sudah tentu berlaku lebihan pendapatan kerana minyak yang dikeluarkan oleh Malaysia ialah 600,000 tong sehari, manakala penggunaan hanya sekitar 400,000 tong sahaja. Di sini pun sudah ada keuntungan atau lebihan yang dicatat, belum mengambil kira pengurangan subsidi dan perbezaan harga import eksport ekoran perbezaan kualiti minyak. Rakyat harus memahami bahawa minyak yang digunakan di dalam Negara adalah merupakan minyak yang diimpot dari luar Negara yang mana kualitinya rendah dan harganya lebih murah iaitu USD 135 setong berbanding dengan harga minyak yang dikeluarkan oleh Negara kita iaitu USD 145 setong.

Hakikat ini telah diakui sendiri oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zetti Akhtar Aziz yang memberitahu bahawa pendapatan Negara akan meningkat antara RM100 juta hingga RM200 juta setahun hasil kenaikan harga minyak sebanyak USD1. Ia turut diakui oleh Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohd Yaakub. Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana ekonomi negara akan semakin kukuh dan kenaikan ini menjadi rahmat kepada negara kita. Jika kita mengandaikan Negara kita memperolehi tambahan pendapatan RM200 juta di atas kenaikan USD1, maka kenaikan USD60 semenjak kenaikan terakhir harga minyak pada 2006, bermakna kita mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM12 bilion. Sedangkan apa yang berlaku dalam pengstrukturan semula subsidi harga minyak baru-baru ini, kerajaan mendakwa berjaya menjimatkan hampir RM 14 bilion. Ini bermakna kerajaan mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM 26 bilion. Ini membuktikan bahawa Dato’ Shahril Abd Samad berbohong kepada rakyat mengenai kerajaan tidak mendapat keuntungan daripada pengstrukturan semula harga minyak.

Kita tidak boleh menerima alasan bahawa dengan mengurangkan subsidi ini kita telah menjimatkan sekitar RM14 bilion, sedangkan penjimatan sebanyak RM4.5 bilion sebelum ini langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tidak ada peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi yang ada adalah peningkatan kos pengangkutan. Maka, penjimatan kali akan diagihkan kepada sektor mana pula? Apakah benar-benar berbaloi untuk rakyat menambahkan perbelanjaan sehingga 40 peratus untuk petrol sahaja, sedangkan kualiti perkhidmatan tidak bertambah.

Kerajaan sebenarnya harus keluar daripada kejumudan pentadbiran mereka bagi mencari satu pendekatan yang boleh menambahkan pendapatan Negara, jika itu menjadi alasan untuk menghapuskan subsidi. Lihatlah apa yang dibuat oleh Iran dan Venezuela yang mengalih transaksi minyak mereka dari USD kepada Euro. Negara dijangka dapat menambah sehingga 15 peratus pendapatan jika transaksi ini dibuat menggunakan euro kerana mata wang Eropah ini lebih kukuh. Mengapa kita harus terus terikat dengan Dollar sedangkan mata wang itu semakin lemah hari ini. Dahulu pemimpin BN menuduh pemimpin PR di Perak tidak tahu mencari wang sebagai pendapatan kerajaan, hari ini kerajaan BN mengambil kesempatan untuk menindas rakyat, bukannya mencari alternatif pandapatan bagi membela kepentingan rakyat.

Satu lagi pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan ialah dengan mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat-syarikat berkaitan cari gali petroleum, khususnya syarikat asing. Pendapatan mereka telah meningkat ekoran kenaikan harga minyak, tetapi rakyat sebagai ‘tuan punya’ minyak semakin menderita. Syarikat asing seperti Shell, Exxon, Ludin, Total dan lain-lain termasuk Petronas patut dikenakan cukai durian runtuh ini apabila harga minyak melepasi satu tahap harga tertentu. Sama ada harga syiling ini ditetapkan mengikut nilai setong atau nilai keluaran, yang penting keuntungan tanpa jangkaan mereka akibat kenaikan harga minyak ini dicukaikan seperti mana cukai durian runtuh dikenakan ke atas minyak sawit dan IPT.

Malaysia sudah mengamalkan dasar percukaian ini ke atas minyak sawit dan ITP, maka mengapa ia tidak boleh dilaksanakan ke atas minyak sebagai timbal balik untuk membiayai kos subsidi. Keuntungan ini jika tidak dicukaikan ia akan memberikan manfaat yang besar kepada syarikat asing, sedangkan rakyat sendiri menderita. Adakah kerajaan tidak tergamak untuk mengenakan cukai tambahan ini kerana adanya Amerika Syarikat dan Zionis di belakang syarikat-syarikat tersebut. Jika kita mengandaikan cukai ini dikenakan sebanyak 10 peratus, bermakna negara akan mendapat sebanyak USD 7.8 bilion berdasar keluaran minyak 600,000 tong sehari pada harga USD13 setong.

Dengan pendapatan sebanyak itu, kerajaan tidak lagi perlu bimbang untuk membiayai subsidi dan pembangunan negara sekali gus. Bahkan, kerajaan boleh menstrukturkan semula pembelanjaan negara dengan mengurangkan defisit. Mengapa kita takut untuk melakukan satu reformasi terhadap kewangan Negara berasaskan sumber kekayaan yang begitu besar. Kekayaan hasil minyak adalah milik rakyat, dan ia harus ditadbir dengan berkesan supaya rakyat memperoleh manfaatnya, bukannya terpaksa hidup dalam ketakutan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak. Kita boleh terima jika harga beras terpaksa naik kerana kita mengimport beras. Tetapi kita adalah pengeksport minyak, maka mengapa rakyat terpaksa membayar lebih untuk membeli minyak.

Rakyat telah mendengar empat langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk mengurangkan beban kenaikan harga minyak ini. Antaranya ialah penjimatan perbelanjaan sektor awam dengan mengurangkan pembaziran yang hanya bernilai RM 2 bilion sahaja termasuklah mengurangkan elaun keraian Perdana Menteri dan anggota kabinet. Kita berasa pelik apabila langkah penjimatan dibuat selepas harga minyak dinaikkan. Mengapa penjimatan atau menghapuskan pembaziran ini tidak dibuat lebih awal dan segala kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan boleh disalurkan untuk mensubsidi rakyat dan harga minyak tidak perlu dinaikkan. RM 2 bilion penjimatan selepas pengumuman kenaikan harga minyak termasuk pemotongan 10% elaun Perdana Menteri dan kabinet sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan kepada meringankan beban rakyat. PM dan anggota kabinet hanya kekurangan 10% daripada pendapatan mereka tetapi rakyat terbeban dengan lebih 40% kesan kenaikan harga minyak. Sedangkan perjalanan harian PM dan anggota kabinet ditanggung sepenuhnya oleh wang rakyat. Dan RM 2 bilion penjimatan yang diumumkan jika dibahagikan dengan 27 juta rakyat Malaysia, rakyat hanya akan memperolehi RM 74 setahun atau 20 sen sehari sedangkan pemimpin negara masih boleh bercuti keluar negara walaupun hanya dihadkan di negara-negara asia sahaja termasuklah ke Mongolia, Jepun, Dubai dan sebagainya, sudah tentunya sejumlah wang rakyat akan dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Sepatutnya Perdana Menteri mengumumkan beliau dan semua anggota kabinet tidak layak untuk menerima gaji dan elaun kerana mereka tidak bekerja untuk membangunkan negara dan mengeluarkan rakyat daripada bebanan hidup. Kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka.

Banyak lagi projek-projek membazir dijalankan oleh kerajaan seperti menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, tetapi diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak. Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion. Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orchestra yang majoritinya rakyat asing. Maka, bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku. Jika dikaji Laporan Ketua Audit Negara, kita akan dapati begitu banyak pembaziran dalam perbelanjaan awam. Sepatutnya pembaziran ini telah lama diatasi.

Kesan kenaikan harga minyak ini memberikan dampak yang besar kepada kuasa beli rakyat. Jika kita mengandaikan setiap rakyat menggunakan 2000 liter petrol setahun dengan pandapatan perkapita sebanyak RM46,080, bermakna rakyat Malaysia yang mengeksport minyak telah menggunakan sejumlah 11.72 peratus pendapatannya hanya untuk membeli petrol sahaja. Berbanding Singapura yang mengimport minyak, berasaskan perkapita setinggi RM156,480, mereka hanya menggunakan 6.65 peratus pendapatan untuk membeli petrol yang berharga RM5 seliter. Di negara pengeluar minyak yang lain seperti Venezuela, rakyat hanya memperuntukan 0.78 peratus daripada pendapatan perkapita untuk membeli petrol.

Adakah kerajaan berfikir bahawa dengan duit rebet sebanyak RM625 setahun itu rakyat telah terbela? Bukankah ianya hanya bernilai tidak sampai RM1.70 sehari. RM1.70 itu tidak bermakna bagi pengguna motosikal apatah lagi pengguna kereta yang telah kehilangan kuasa beli berkali ganda, tidak termasuk kos kenaikan barangan dan perkhidmatan lain. Lagipun pembayaran ini hanya sehingga Mac 2009. Yang kita nampak ialah pembayaran rebet ini akan menguntungkan Pos Malaysia sebagai syarikat pembayar kerana mereka boleh meniagakan wang tersebut sebelum pembayaran dibuat. Mengapa Pos Malaysia? Adakah kerana ECM Libra mempunyai kepentingan di dalamnya?

Apapun beban yang rakyat tanggung, sepatutnya seluruh rakyat patut berterima kasih kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno/BN kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak. Mungkin jika mereka tidak menyokong Umno ketika bekas presidennya pun menarik diri dari Umno, mungkin Umno terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga minyak ini. Biarlah ia menjadi pengajaran kepada orang yang menyertai Umno/BN atau bekerjasama dengan Umno/BN atau berhasrat untuk menyertai kerajaan BN bagi menindas rakyat melalui kenaikan harga minyak ini.

YB Tuan Hj Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena