HUKUM SOLAT JUMAAT
HUKUM
1.Wajib dengan Fardhu Ain bagi Lelaki, Merdeka, Berakal, Baligh, bagi yang bermukim di tempat kedengaran Azan dan bagi yang tiada uzur Syar’ie yang boleh meninggalkan solat jemaah.
2.Tidak wajib bagi Perempuan, Hamba, Orang Gila, Kanak-Kanak, Musafir dan Orang yang uzur.
3.Wajib atas orang yang sakit dan sebagainya jika mereka berada di masjid ketika didirikan solat atau hadir ketika masuk waktu dan tiada masyaqqah untuk menanti. Jika ada masyaqqah untuk menanti atau mereka hadir sebelum masuk waktu maka harus balik walaupun tiada masyaqqah menanti.
4.Harus balik bagi yang tidak wajib Jumaat jika hadir ke tempat Jumaat.
5.Wajib bagi orang tua atau yang lumpuh jika ada kenderaan dan mampu menunggangnya.
6.Wajib atas orang buta jika ada orang memimpinnya.
SYARAT AHLI QARYAH ATAU AHLI JUMAAT
1.Sekurang-kurangnya 40 orang
2.Lelaki
3.Merdeka
4.Berakal
5.Baligh
6.Mastautin – Wajib mendirikan Jumaat di tempat mereka dan haram pergi berJumaat ditempat lain walaupun didengari azan ditempat lain itu.
7.Jika kurang dari 40 orang di qaryah tersebut dan didengari suara Azan dari qaryah berhampiran maka wajib Jumaat di qaryah berhampiran itu.
8.Haram orang yang wajib Jumaat, bermusafir selepas fajar walaupun dengan niat baik kecuali dipastikan dapat Jumaat di mana-mana. Boleh jika takut mudharat seperti ketinggalan kawan atau untuk mendapatkan wukuf di Arafah atau menanti hartanya.
9.Makruh bermusafir pada malam Jumaat.
10.Sunat berjemaah Zohor bagi orang yang tidak wajib Jumaat kerana uzur. Jika uzur yang tersembunyi maka sunat disembunyikan jemaahnya. Jika uzur nyata seperti perempuan maka sunat menzahirkan jemaahnya.
11.Sunat orang yang berharap akan hilang keuzurannya untuk melambatkan Zohor seperti orang sakit yang diharapkan sembuh.
12.Sunat menyegerakan Zohor bagi yang tiada harapan hilang uzurnya seperti orang perempuan dan orang lumpuh.
13.Orang yang tidak wajib Jumaat dan sah Zohornya maka boleh Solat Jumaat dan boleh memilih antara Jumaat dan Zohor. Walaubagaimanapun Jumaat lebih afdhal. Jika dibuat Jumaat maka wajib disempurnakan Jumaatnya dan tidak boleh menyempurnakan Zohor selepas salam imam.
14.Siapa yang wajib Jumaat maka tiada sah Zohornya sebelum salam imam Jumaat. Jika selepas ruku’ imam dalam rakaat kedua tetap tidak sah kerana qaul yang muktamad Jumaat itu asal bukan ganti Zohor. Walaubagaimanapun wajib disegerakan Zohornya.
15.Jika ahli qaryah meninggalkan Jumaat maka tidak sah Zohor mereka kecuali suntuk waktu bagi sekurang-kurangnya 2 khutbah dan 2 rakaat Jumaat.
SYARAT SAH JUMAAT
1.Masuk Waktu Zohor
a.2 rakaat Jumaat dengan 2 khutbah dalam waktu Zohor.
b.Tak sah qada’ Jumaat.
c.Jika suntuk waktu untuk 2 rakaat dan 2 khutbah maka wajib solat Zohor.
d.Jika keluar waktu ketika dalam Solat Jumaat maka wajib sempurnakan Jumaatnya dengan Zohor dan tak perlu membaharui niat dengan Zohor.
e.Jika masbuq berdiri selepas salam untuk menggenapkan rakaat maka habis waktu sebelum salam maka wajib sempurnakan dengan Zohor.
f.Jika imam Jumaat melanjutkan rakaat pertama hingga diyakinkan tiada tinggal waktu bagi rakaat kedua maka berdosalah dia. Maka jadilah solatnya itu Zohor ketika itu walaupun belum keluar waktunya sekalipun.
2. Didirikan di tempat samada masjid dan sebagainya atau tanah lapang yang bercerai daripada rumah.
a.Tak sah di luar negeri atau qaryah.
b.Tak wajib bagi yang mendiami umpama khemah walaupun tak berpindah randah melainkan jika kedengaran suara azan di kariah berhampiran.
3. Tak didahului oleh Jumaat yang lain dalam qaryah itu kecuali sukar berhimpun di satu tempat. Maka harus berbilang jumaat sekadar hajat sahaja.
a.Jika berbilang Jumaat maka yang terdahululah yang sah.
b.Jika bersamaan keduanya maka tak sah kedua-duanya.
c.Dikira bersamaan atau tidak dengan huruf (ر) dalam takbiratul ihram.
d.Jika samar yang mana dahulu maka wajib Zohor kedua-duanya.
e.Sunat orang yang dalam qaryah yang berbilang Jumaat kerana hajat itu, bersembahyang Zohor bagi tujuan keluar dari khilaf ulama’ yang menegah berbilang Jumaat itu walaupun sekadar hajat.
f.Jika berbilang Jumaat lebih daripada hajat seperti berhajat kepad 5 tetapi didirikan 10 Jumaat maka hanya sah 5 tempat yang terdahulu samada beserta atau tidak dan tak wajib Zohor bagi 5 yang terdahulu hanya sunat sahaja bagi menghormati khilaf seperti di atas.
g.Tidak sah bagi 5 tempat yang terkemudian dan wajib Zohor.
h.Wajib Zohor bagi yang syak apakah mereka dalam golongan 5 terdahulu atau terkemudian.
4. Dikerjakan Secara Berjemaah.
a.Hanya wajib berjemaah pada rakaat pertama sahaja dan tiada disyaratkan berjemaah dalam rakaat kedua.
b.Harus masing-masing dalam rakaat kedua tapi tetap disyaratkan 40 orang dari mula hingga salam semua sekali.
c.Jika berhadas seorang daripada 40 orang sebelum salam walaupun selepas salam orang lain sekalipun maka terbatal semua sekali.
d.Syarat 40 orang termasuk imam daripada lelaki, berakal, baligh dan merdeka.
e.Disyaratkan 40 orang itu sunyi daripada qadha’.
f.Disyaratkan tiada yang buta huruf.
g.Jika dalam qaryah 40 buta huruf semuanya maka wajib Jumaat kerana sah ikut mengikut antara mereka.
h.Tiada sah jika setengah Ummi dan setengah Alim.
i.Disyaratkan juga mastautin iaitu orang yang tetap pada tempat kediamannya tiada pergi kecuali hajat seperti berniaga.
j.Tak sah Jumaat oleh musafir semuanya atau mukim di satu tempat dengan bercita-cita untuk kembali ke tempat kediaman asalnya kemudian hari walaupun berlalu bertahun lamanya.
k.Tidak sah Jumaat mastautin pada tempat yang lain daripada tempat Jumaat dan wajib ia hadir ke tempat Jumaat sekalipun.
l.Jika bercampur 2 qaryah yang kurang 40 hingga mencukupi maka tak sah walaupun kedengaran azan kedua-dua tempat itu kerana semuanya tidak mastautin.
m.Bagi yang mempunyai 2 rumah maka Jumaatnya adalah di tempat yang paling banyak didiami. Jika sama banyak maka dikira tempat tinggal isterinya dan hartanya.
n.Jika ada kedua-duanya maka yang terbanyak isteri atau hartanya.
o.Jika sama banyak maka Jumaatnya pada kedua-duanya sekali.
p.Jika di satu tempat ada isteri dan di satu tempat ada harta maka dikira tempat isterinya.
q.Siapa yang bermastautin di dalam kota maka tak boleh Jumaat di luar kota dan begitulah sebaliknya.
r.Siapa yang wajib Jumaat lalu luput Jumaat di negerinya tetapi boleh dapat Jumaat di luar negerinya kerana boleh berbilang Jumaat atau diadakan Jumaat di negeri yang kedengaran azan maka wajib berjumaat di negerinya atau yang lain dan tidak boleh Zohor selama boleh dapat Jumaat.
s.Bilangan 40 mesti kekal dari mula solat hingga habis.
t.Jika kurang dari 40 dalam solat kerana keluar setengah daripada masjid atau mufaraqah dalam rakaat pertama atau keduanya maka batallah solat semuanya. Maka mestilah yang tinggal itu menyempurnakan solat mereka dengan Zohor kecuali jika takbiratulihram dengan segera mereka yang menggenapi bilangan yang mendengar 2 khutbah atau takbiratulihram segala mereka yang menggenapi bilangan itu walaupun mereka tak mendengar khutbah.
u.Jika takbiratulihram 39 laki-laki yang masbuq selepas imam bangkit dari ruku’ rakaat pertama kemudian keluar 40 yang takbiratulihram bersama imam atau terkurang bilangan mereka dari 40 maka Jumaat itu sah walaupun 39 itu tak dapat rakaat pertama.
v.Tidak mengapa terlambat takbiratulihram makmum daripada takbiratulihram imam dengan syarat dapat membaca Al-Fatihah sebelum ruku’ imam. Jika tidak maka tak sah kerana bilangan 40 disyaratkan pada permulaan solat hingga akhirnya.
w.Wajib 40 orang itu mendengar khutbah.
x.Jika jadi kurang kerana keluar dan sebagainya maka tak dikira rukun yang dibaca ketika ketiadaan yang keluar itu. Jika kembali dengan segera sebelum lanjut tempohnya haruslah disambung khutbah yang telah dibacanya dan kembali dibaca rukun khutbah yang telah dibacanya.
y.Jika kembali mereka selepas lanjut masa bercerai atau datang yang menggenapi bilangan yang selain mereka tadi, wajib atas khatib memulai semula khutbahnya.
z.Jika jadi kurang daripada 40 antara khutbah dan sembahyang dan kembali mereka sebelum lanjut masa perceraian maka harus didirikan solat atas khutbah yang telah lalu.
RUKUN- RUKUN KHUTBAH
1. Memuji Allah Taala
2. Membaca Selawat
3. Wasiat dengan takut kepada Allah
4. Membaca satu ayat Al-Quran yang difahami.
a.Tidak memadai membaca setengah ayat walaupun panjang.
b.Tidak memadai satu ayat yang tidak memberi faham seperti ن
c.Memadai ayat itu dibaca di dalam salah satu daripada 2 khutbah.
d.Sunat dibaca pada akhir khutbah pertama.
e.Sunat dibaca Surah Qaf pada akhir khutbah pertama setiap Jumaat kerana mengikut Nabi tetapi berhasil pahala sunat dengan membaca setengah surah tersebut.
5. Membaca doa berkenaan urusan akhirat untuk orang Islam dalam khutbah kedua.
a.Memadai menentukan doa bagi segala yang mendengar
b.Tiada memadai menentukan doa itu bagi mereka yang ghaib.
c.Tidak mengapa membaca doa bagi Sultan dengan tentunya jika tidak berlebih-lebihan dalam menyatakan sifatnya.
d.Kata Sheikh Ibnu Abdus Salam tidak harus memuji Sultan dengan sifat yang dusta kecuali kerana dharurat.
e. Sunat membaca doa bagi segala Sultan yang Islam dan tentera mereka dengan kebaikan dan kemenangan.
Peringatan - Rukun yang 3 di atas mesti ada di dalam khutbah pertama dan khutbah kedua.
SYARAT SAH KHUTBAH
1.Khatib berdiri jika berkuasa kerana mengikut Nabi.
Jika tak mampu hendaklah duduk. Jika tak mampu maka baring dan harus mengikutnya walaupun tak diketahui uzurnya ia pada zahirnya ma’zur.
2.Rukun Khutbah Dalam Bahasa Arab.
a.Jika tiada yang tahu dan tak sempat belajar sebelum habis waktu maka boleh dengan bahasa sendiri.
b.Wajib belajar bagi semua orang, maka jika ada yang sempat belajar tetapi tak belajar maka berdosa kesemuanya sekali dan tidak harus Jumaat ketika itu tetapi hendaklah diganti dengan Zohor.
c.Yang disyaratkan hanya mendengar khutbah bukan faham.
3.Khatib Duduk Antara Dua Khutbah Serta Tama’ninah.
a.Jika tak mampu duduk maka hendaklah diam seketika.
b.Begitu juga yang tak mampu berdiri maka hendaklah diam seketika.
c.Sunat duduk sekadar membaca ( Qul huwallahu ahad) hingga akhir
4.Dua Khutbah dibaca selepas gelincir matahari.
5.Kesemua Rukun Didengari Oleh 39 Orang Makmum Dari Kalangan Ahli Jumaat Walaupun Tak Faham.
a.Khatib tak disyaratkan mendengar dan memahami maka sah walaupun ia tuli dan termasuk dalam bilangan 40 orang itu.
6.Berturut-turut tiap-tiap kalimah daripada 2 khutbah dan antara 2 khutbah dan solat.
7.Khatib Suci daripada hadas kecil dan besar.
a.Makmum tidak disyaratkan suci dari hadas.
8.Khatib suci daripada najis yang tak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat.
a.Jika berhadas ketika khutbah hendaklah bersuci dan memulai semula dan tak boleh disambung walaupun singkat masa perceraiannya.
b.Jika berhadas antara khutbah dan solat maka bersuci dengan segera maka tiada mengapa.
c.Makmum tidak disyaratkan suci dari najis.
9. Khatib Menutup Aurat.
a.Makmum tidak disyaratkan menutup aurat.
Peringatan
1.Tidak disyaratkan tertib antara rukun-rukun khutbah.
2.Tidak disyaratkan niat pada khutbah dan tidak disyaratkan meniatkan Fardhunya.
SUNAT-SUNAT KHUTBAH
1.Sunat berkhutbah di atas mimbar dan sunat mimbar di kanan mehrab.
2.Jika tiada mimbar maka hendaklah berkhutbah di atas tempat tinggi supaya sampai suara Khatib kepada sekelian manusia.
3.Sunat khatib memberi salam kepada semua yang hadir di sisi pintu masjid sebelum masuk ke masjid kemudian bila sampai ke mimbar maka sunat memberi salam kepada mereka yang di sisi mimbar dan bila naik ke atas mimbar dan berada di kedudukan tertinggi di bawah tempat berkhutbah maka sunat menghadap kepada orang ramai dan memberi salam dan kemudian sunat duduk di tempat berkhutbah ketika orang Azan agar dapat merehatkan diri dari penat naik ke mimbar.
4.Sunat Azan di hadapan Khatib dan setelah selesai Azan maka Khatib berdiri membelakang kiblat dan berkhutbah dengan nyaring.
5.Sunat Khatib tidak berpaling ke kanan, ke kiri dan ke belakang kerana itu semua bid’ah.
6.Makruh menumbuk anak tangga mimbar ketika naik dengan kaki atau tongkat atau pedang.
7.Makruh membaca doa tatkala sampai kepada anak tangga tempat berhentinya.
8.Makruh berhenti pada tiap anak tangga mimbar.
9.Makruh menyegerakan khutbah yang kedua dan memperlahankan suara padanya.
10.Makruh berlebihan memuji raja ketika berdoa.
11.Hendaklah khutbah itu sederhana tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.
12.Sunat Khatib memegang pedang atau panah atau tongkat dengan tangan kirinya dan diletakkan tangan kanan di tepi mimbar.
13.Selesai khutbah hendaklah segera turun daripada mimbar supaya sampai ia ke mehrab sebaik selesai Iqamah supaya terpelihara muwalat antara khutbah dan solat.
14.Sunat membaca dalam raakat pertama Surah Al-A’la dan rakaat kedua Surah Al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah.
15.Membaca Surah Al-Jumuah dan Surah Al-Munafiqun lebih utama daripada membaca Surah Al-A’la dan Surah al-Ghasyiah .
16.Jika ditinggalkan Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la pada rakaat pertama kerana lupa atau sengaja dan digantikan dengan Surah Al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah maka hendaklah dibaca pada rakaat kedua Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la dan jangan diulangi lagi Surah al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah yang telah dibaca pada rakaat pertama.
17.Jika tidak dibaca pada rakaat pertama salah satu dari Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la dan tidak juga Surah Al-Munafiqun dan Al-Ghasyiah maka hendaklah dihimpunkannya kedua surah itu pada rakaat kedua iaitu Surah Al-Jumuah dan Surah Al-Munafiqun atau Surah Al-A’la dan Surah Al-Ghasyiah dalam rakaat kedua.
SELAMAT BERAMAL..
WASSALAM
Isnin, 30 Jun 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan