Sahabat Ilmu

Jumaat, 9 Mei 2008

PAHLAWAN ISLAM YANG AGUNG SIRI 5

ZUBAIR BIN AL AWWAM

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Setiap nabi ada hawarinya (penolongnya) dan Zubair Al-Awwam adalah hawariku."

SIAPA ZUBAIR AL AWWAM

Pada zaman kebangkitan Islam dulu, ramai pahlawan-pahlawan yang gagah serta berani telah timbul untuk membela Agama Islam. Tetapi di antara ramai para pahlawan itu sedikit sahaja yang dianggap terbilang. Salah seorang daripada mereka itu ialah Zubair Al-Awwam. Zubair adalah termasuk salah seorang sahabat besar Baginda Rasul dan juga seorang yang paling awal memeluk Agama Islam. Jika kebanyakan para sahabat Rasulullah memeluk Islam tatkala berada dalam lingkungan umur dewasa, tetapi Zubair telah Islam tatkala masih kanak-kanak lagi. Sahabat besar serta pahlawan agung ini juga ada hubungan persaudaraan dengan Baginda Rasul kerana beliau adalah anak saudara kepada isteri Rasulullah yang pertama iaitu Siti Khadijah Binti Khuwailid. Selain dari itu, Zubair Al-Awwam adalah juga termasuk salah seorang dari sepuluh orang sahabat yang digembirakan Nabi s.a.w. dengan dijanjikan akan memasuki syurga.

ZUBAIR MEMELUK ISLAM

Menurut setengah riwayat Zubair adalah orang yang ketujuh memeluk Agama Islam yang mulia. Beliau telah memeluk Islam tatkala umurnya 15 tahun. Sebagai seorang yang baru memeluk Islam, Zubair juga mengalami penderitaan yang tidak kurang hebatnya sebagaimana para sahabat yang lain. Setelah beliau memeluk Islam, kaum keluarganya segera memujuknya supaya meninggalkan agama barunya itu, kembali semula kepada agama nenek moyang mereka. Tetapi segala pujukan dan desakan itu sedikit pun tidak dapat mengubah pendirian hatinya.

Oleh kerana sikap Zubair keras dan tegas beliau telah mengalami berbagai seksaan dari kaum keluarganya sendiri. Salah seorang yang menyeksanya ialah bapa saudaranya sendiri. Dia telah mengikat Zubair di atas tidar yang kemudian diasapi dari bawah. Bapa saudaranya itu melakukan demikian dengan tujuan supaya Zubair mahu meninggalkan Agama Islam dan kembali kepada kekufuran. Tetapi sangkaannya salah sekali. Tokoh pahlawan yang keras hati itu tetap tidak berubah keyakinannya hingga semua per-cubaan-percubaan itu dapat dihadapinya dengan tabah.

Tetapi bagaimanapun tentangan dan kezaliman pihak musyrikin Quraisy itu semakin hebat dari semasa ke semasa. Akhirnya Rasulullah s.a.w. menasihati para sahabatnya supaya melakukan hijrah ke negeri Abyssinia (Habsyah) demi untuk me-melihara keselamatan dan kepercayaan mereka. Demikian-lah yang terjadi pada diri Zubair Al-Awwam. Beliau termasuk salah seorang dari kumpulan sahabat Rasulullah yang perta-ma sekali melakukan hijrah ke Abyssinia. Tidak lama kemudian setelah Rasulullah melakukan hijrah ke Madinah, Zubair telah menyusul bersama-sama angkatan kaum Muslimin yang lain menuju ke Madinah.

RASULULLAH MENCINTAI ZUBAIR

Setelah berada di Madinah, pahlawan Zubair Al-Awwam ini telah menjadi salah seorang pembantu Rasulullah yang paling utama sekali. Sebagaimana dengan para sahabat yang lain Rasulullah juga sangat mencintai Zubair. Demikian juga sikap Zubair terhadap diri Baginda. Bahkan dialah sahabat yang pertama sekali menghunus pedangnya dalam membela Agama Islam dan diri Rasulullah s.a.w. Pada suatu hari tatkala kaum Muslimin berada di Madinah bersama-sama Rasulullah s.a.w., Zubair telah terdengar suatu khabar yang sangat tidak menyenangkannya. Dia mendengar khabar bahawa kaum musyrikin akan mengepung Rasulullah s.a.w. dengan tujuan untuk membunuh Baginda. Demi mendengar khabar yang belum tentu benarnya itu, Zubair segera menghunus pedangnya lalu mencari di mana Rasulullah berada ketika itu.

Setibanya beliau di hadapan Rasulullah, Baginda pun hairan kerana melihatnya sedang menghunus pedang. Baginda pun bertanya, "Ada apa-apakah hai Zubair hingga engkau menghunus pedang itu?" Maka Zubair pun menjawab, "Aku telah mendengar bahawa tuan sedang dikepung musuh." "Tidak lama selepas itu Rasulullah s.a.w. pun melakukan shalat lalu berdoa untuk Zubair dan untuk pedangnya. Demi-kianlah satu peristiwa bagi menunjukkan betapa besarnya cinta Zubair terhadap diri Rasulullah s.a.w.

Di Madinah Zubair Al-Awwam telah mengahwini puteri Saiyidina Abu Bakar Al Siddiq, iaitu Asma Binti Abu Bakar. Dari perkongsian hidupnya dengan Asma itu beliau peroleh seorang putera yang bernama Abdullah.

ZUBAIR MENYERTAI PERANG BADAR

Sebagai seorang pahlawan terbilang, Zubair tidak pernah ketinggalan mengikuti peperangan-peperangan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Zubair Al-Awwam juga telah berjasa besar dalam perang-perang besar yang dihadapi oleh Baginda Rasul. Satu daripada perang besar yang disertai beliau ialah Perang Badar. Beliau telah memakai serban kuning dalam peperangan itu. Melihatnya memakai serban berwarna kuning itu maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda, "Sesungguhnya malaikat telah turun atas tanda-tanda serbannya Zubair,"

Semasa Perang Badar ini Zubair telah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai penyelidik dan pengintai gerak-geri musuh. Dengan kepandaian serta kecekapannya Zubair telah berjaya menangkap dua orang hamba dari puak Quraisy bernama Aslam dan Urid. Kedua hamba itu sedang mencari air bagi pihak musyrikin Quraisy tatkala mereka itu ditangkap oleh Zubair. Dengan tertangkapnya dua orang hamba itu dapatlah Rasulullah dan kaum Muslimin mengetahui kekuatan pihak musuh. Dalam Perang Badar ini kaum Muslimin telah berjaya mengalahkan pihak musuh. Kemenangan gemilang yang dicapai oleh kaum Muslimin itu tidak syak sekali kerana kebijaksanaan Rasulullah s.a.w serta adanya pahlawan-pahlawan yang gagah berani seperti Zubair Bin Al-Awwam. Pahlawan Islam yang terbilang ini telah berperang dengan gigih sekali hingga mendapat luka besar di bahagian belakang tubuhnya.

ZUBAIR DALAM PERANG UHUD

Selain dari Perang Badar, Zubair Bin Al-Awwam juga telah memainkan peranan penting dalam Perang Uhud, iaitu satu-satunya perang di mana kaum Muslimin telah dapat dikalahkan oleh pihak musyrikin Quraisy. Kekalahan itu bukanlah disebabkan oleh kerana kaum Muslimin tidak gagah atau kurangnya kecekapan Rasulullah s.a.w. yang memimpin tentera Islam itu. Kekalahan itu adalah kerana kesilapan kaum Muslimin sendiri yang tidak memegang perintah Rasulullah s.a.w.

Dalam Perang Uhud ini, Zubair telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w. sebagai panglima barisan untuk menentang Khalid Bin Al-Walid yang ketika itu belum Islam. Jika kita mengetahui kecekapan dan kehandalan Khalid Bin Al-Walid, dalam peperangan, tentu kita dapat mengukur darjah kehandalan Zubair Bin Al-Awwam yang dijadikan Baginda Rasul sebagai pemuda yang harus berhadapan dengan Khalid itu.

Di dalam Perang Uhud ini seorang pahlawan musyrik telah keluar dari tempat bertahannya ke tengah-tengah tanah lapang untuk mencabar pihak Muslimin agar berlawan pedang, satu lawan satu. Dia menyeru dan mengajak pahlawan-pahlawan Islam datang kepadanya. Tiga kali dia berseru namun tentera Islam masih berdiam juga.

Maka untuk membela maruah kaum Muslimin, Zubair Bin Al-Awwam lantas bangkit melompat ke atas untanya untuk menghadapi musuh yang sedang menanti. Sesudah dekat dengan unta musuh, Zubair segera melompat ke atasnya. Maka terjadilah satu pergelutan yang dahsyat. Tidak lama kemudian dengan kehendak Allah s.w.t. Zubair Bin Al-Awwam telah berjaya menjatuhkan musuhnya lalu membenamkan pedangnya ke tubuh musuhnya itu hingga mati.

Melihat kejadian itu Rasulullah s.a.w. sangat bergembira lalu bersabda, "Tiap-tiap Nabi mempunyai hawari (penolong), dan Zubair adalah hawariku." Selepas berkata-kata itu Rasulullah s.a.w. lalu menyambung, "Sekiranya pemuda Zubair tidak segera mendapatkan musyrik itu, tentulah aku sendiri terpaksa pergi menghadapinya."
Demikianlah satu lagi contoh keberanian dan kehandalan Zubair Bin Al-Awwam sebagai pahlawan terbilang. Sekalipun pihak musyrikin telah mendapat kemenangan sementara dalam Perang Uhud itu disebabkan kecuaian pihak kaum Muslimin namun Zubair serta para pahlawan Islam yang lain sentiasa tidak putus harap. Beliau cuba mencari jalan untuk menyerang balas. Tatkala tentera-tentera musyrikin Makkah sedang berjalan pulang setelah menang itu Zubair, Saiyidina Abu Bakar dan lain-lain sahabat yang seramai 70 orang telah mengejar mereka. Setelah melihat Zubair Bin Al-Awwam ada di antara kaum Muslimin yang mengejar itu, pihak Quraisy segera mempercepatkan larinya menuju ke Makkah.

ZUBAIR DI ZAMAN KHALIFAH UMAR AL KHATTAB

Sebagai seorang sahabat besar serta pahlawan terbilang, Zubair bukan sahaja disayangi dan dihormati oleh Baginda Rasulullah s.a.w. tetapi juga para sahabat Baginda yang lain. Di zaman Khalifah Umar Al Khattab, Zubair telah dilantik oleh Khalifah Umar r.a. supaya menyerang dan menakluki kota Iskandariah di Mesir. Zubair bersama-sama dengan tiga orang lagi panglima Islam telah dikerahkan ke negeri Mesir untuk membantu pahlawan Amru Bin Al-As untuk menakluki negeri itu.

Dalam peperangan untuk membuka negeri Mesir ini pahlawan Zubair telah menunjukkan kehandalan dan keberaniannya yang luar biasa. Dalam suasana hujan tombak dan lembing, beliau telah mengangkat sebuah tangga lalu disandarkannya pada dinding kota itu. Kemudian beliau pun menaiki tangga tersebut lalu bertakbir. Demi mendengar suara takbir beliau itu tentera Islam menjadi semakin berkobar-kobar semangat mereka untuk mengalahkan musuh. Akhirnya dengan keberanian dan kegigihan mereka itu pihak musuh telah dapat dikalahkan. Dengan demikian jatuhlah kota Iskandariah serta negeri Mesir ke tangan Islam.

Sebagai seorang sahabat besar dan pahlawan agung, kaum Muslimin dapat melihat dengan mata kepalanya mereka sendiri tentang pengaruh Zubair di sisi masyarakat. Oleh itu tidak hairanlah jika di saat-saat akhir kehidupan Khalifah Umar Al Khattab r.a., Baginda telah memilih Zubair sebagai salah seorang ahli mesyuarat yang terdiri dari enam orang sahabat besar. Mereka yang telah dipilih oleh Khalifah itu telah ditugaskan untuk memilih khalifah di antara mereka untuk menggantikan Khalifah Umar r.a. yang telah ditikam oleh seorang hamba Majusi berbangsa Farsi.
Setelah wafat Khalifah Umar r.a. naik pula Uthman Bin Affan sebagai Khalifah yang baru untuk memimpin kaum Muslimin.

ZUBAIR DI ZAMAN KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN

Sebagaimana Saiyidina Umar Al Khattab, Khalifah (Uthman juga sangat menghormati Zubair Bin Al-Awwam. Baginda pernah melantik Zubair sebagai salah seorang pembantunya yang rapat. Sebagai seorang sahabat Zubair tidak menentang cara pemerintahan Khalifah Uthman. Tatkala beliau dapati cara pemerintahan Khalifah itu kurang menye-nangkannya, beliau turut memberi teguran-teguran yang membina lagi ikhlas bersama para sahabat yang lain. Pernah suatu masa, Khalifah Uthman r.a. telah melantik Zubair sebagai penggantinya buat sementara waktu. Ini menunjukkan Khalifah sangat percaya kepada beiiau. Khalifah Uthman r.a. juga pernah mengatakan bahawa Zubair Bin Al-Awwam adalah orang yang terbaik di antara enam orang sahabat ahli-ahli syura dan orang yang sangat cinta kepada Rasulullah s.a. w.

ZUBAIR DI ZAMAN KHALIFAH ALI R.A.

Apabila Saiyidina Ali Bin Abu Talib r.a. terpilih sebagai Khalifah berikutan dengan terbunuhnya Saiyidina Uthman Bin Affan r.a., Zubair enggan memberikan baiahnya kepada Saiyidina Ali r.a. sebagai Khalifah. Tatkala berlakunya Perang Jamal, beliau telah menggabungkan dirinya dengan Saiyidatina ‘Aisyah untuk menentang angkatan Khalifah Ali r.a. Padahal sebelumnya Khalifah Ali r.a. telah mengingati serta menasihatinya supaya jangan menggabungkan diri dengan pihak-pihak yang menentangnya kerana Khalifah Ali r.a. yakin sepenuhnya bahawa Baginda berada di pihak yang benar.
Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa setelah Zubair Bin Al-Awwam mendapat peringatan dari Khalifah Ali r.a. itu beliau ingin meninggalkan medan pertempuran, tetapi tanpa disedarinya beliau diekori oleh Umar Bin Jarmus dari suku Tamim. Pemuda inilah yang kemudiannya membunuh Zubair sedang beliau melakukan shalat.

Khalifah Ali r.a. amat bersedih tatkala mendengarkan nasib yang tertimpa ke atas Zubair. Dengan berlinangan air mata Khalifah Ali r.a. berkata, "Gembirakanlah bahawa pembunuh Zubair itu akan memasuki neraka."

Sebagai seorang sahabat besar Zubair terkenal sebagai seorang yang sangat cintakan Allah dan Rasul-Nya serta pahlawan yang sentiasa inginkan mati syahid. Begitu hebat sekali imannya hinggakan sekelian putera-puteranya dinamakan dengan nama para syuhada seperti Abdullah (seperti Abdullah Bin Jahsy), Munzir (seperti Munzir Bin Amir), Urwah (seperti Urwah Bin Amir) dan Hamzah (seperti Hamzah Bin A. Muttalib), Jaafar (seperti Jaafar Bin Abu Talib), Musyab (seperti Musyab Bin Umair) dan Khalid (seperti Khalid Bin Said).

Selain daripada itu Zubair juga terkenal sebagai seorang yang sangat pemurah lagi dermawan. Sekalipun beliau seorang yang kaya tetapi segala kekayaannya itu habis digunakan untuk menolong kaum fakir dan miskin serta di jalan Allah. Akhirnya beliau tertimpa dengan hutang-hutang yang banyak sekali. Kepada anak-anaknya beliau mewasiatkan supaya menyelesaikan segala hutangnya itu apabila beliau wafat kelak. Kemudian beliau menegaskan, "Jika kamu merasa berat hendak membayarnya maka pohonlah pertolongan pada maulaku!" Mendengar kata-katanya itu puteranya Abdullah segera bertanya, "Siapakah maula yang ayah maksudkan itu?" Maka jawab beliau, "Allah, itulah sebaik-baik maula dan tempat meminta pertolongan." Sungguh benar apa yang dikatakan oleh Zubair. Setelah kewafatannya itu akhirnya segala hutang-hutangnya dapat juga diselesaikan oleh puteranya.

(Petikan daripada buku SIRI PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM oleh H. LUQMAN HAKIM)

Muhamad Naim Hashim
9 Mei 2008

Tiada ulasan: