SAAD BIN ABU WAQQAS
Sabda Rasulullah s.a.w.
"Saad Bin Abu Waqqas adalah paman saya. Barangsiapa yang ingin melihat seseorang, maka lihatlah pamannya (bapa saudaranya)."
SIAPA SAAD BIN ABU WAQQAS R.A.
Saad Bin Abu Waqqas juga termasuk salah seorang sahabat besar Rasulullah s.a.w. serta seorang pahlawan Islam yang terbilang di zaman kebangkitan Islam. Kehandalan dan keberaniannya adalah setanding dengan para pahlawan Islam yang lain seperti Saiyidina Ali r.a., Zubair Bin Al-Awwam r.a., Khalid Bin Walid dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, Saad juga adalah salah seorang yang termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mula-mula sekali menerima Islam. Beliau termasuk salah seorang dari sepuluh orang sahabat besar yang telah digembirakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan memasuki syurga.
HUBUNGAN SAAD DENGAN RASUL S.A.W.
Saad Bin Abu Waqqas r.a. mempunyai hubungan persaudaraan yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. Menurut salasilah keturunannya, Saad telah bertemu dengan salasilah keturunan Rasulullah pada kedua-dua beiah pihak ibu dan ayah Rasulullah s.a.w. Ibu Rasulullah s.a.w. sendiri adalah saudara sepupu kepada Saad Bin Abu Waqqas r.a. Maka itu tidaklah hairan kiranya Baginda Rasul pernah bersabda, "Saad Bin Abu Waqqas adalah bapa saudara saya. Barangsiapa yang ingin melihat seseorang, lihatlah sahaja pada bapa saudara."
SAAD MEMELUK ISLAM
Kisah bagaimana Saad memeluk Islam adalah satu kisah yang amat mengharukan. Saad Bin Abu Waqqas datangnya dari sebuah keluarga yang kaya lagi bangsawan. Semenjak kecil lagi beliau terkenal sebagai seorang anak yang sangat sayang dan hormat terhadap kedua orang tuanya, terutama pihak ibunya. Beliau gemar menghabiskan masa lapangnya dengan bermain panah dan terkenal sebagai seorang anak yang tabah serta bijak. Saad Bin Abu Waqqas r.a. telah memeluk Agama Islam dengan perantaraan Saiyidina Abu Bakar r.a. pada ketika umurnya tujuh belas tahun. Allah s.w.t, telah membuka pintu hatinya hingga Saad dengan mudah sekali menerima Islam.
Seperti para sahabat Rasul yang lain, beliau juga telah mengalami percubaan yang berat setelah memeluk Agama Islam. Tentangan yang paling hebat sekali yang dialami olehnya ialah dari pihak ibunya sendiri. Saad sendiri pernah bercerita untuk menunjukkan bagaimana hebat penderitaannya setelah memeluk Islam. Berkata Saad:
"Aku adalah seorang yang amat cinta dan kasih kepada ibuku. Aku sentiasa patuh kepadanya. Setiap hari bila ibuku hendak mandi, makan atau tidur aku sentiasa melayannya dengan penuh hormat dan sopan. Tetapi apabila kau memberitahunya aku telah memeluk Islam, dia tiba-tiba menjadi marah kepadaku seraya berkata "Agama apakah yang engkau kerjakan ini hai anakku? Apakah engkau akan meninggalkan agama nenek moyang kita selama ini? Jika benar demikian mulai sekarang aku tidak akan makan dan minum. Aku rela mati supaya engkau mendapat malu kerana perbuatanmu itu." Demikianlah hebatnya ibu Saad mengancam.
Mendengar kata-kata ibunya itu Saad lalu berkata dengan hormatnya, "Wahai ibu! Tidakkah ibu tahu saya adalah manusia yang paling baik terhadap ibu. Janganlah sekali ibu melakukan perbuatan itu. Sungguh. saya tidak akan meninggalkan agama yang telah saya imani sekarang."
Setelah mendengar jawapan anaknya itu maka ibu Saad pun mulailah. Dia enggan melakukan mogok makan dan minum selama sehari semalam. Apabila Saad melihat keadaan ibunya itu semakin lemah dan lesu beliau pun cuba memujuk, "Wahai ibu, hentikanlah perbuatan yang sesia ini. Demi Allah saya tidak akan meninggalkan agama ini. Sekiranya ibu mempunyai seribu nyawa, lalu nyawa ibu itu melayang satu demi satu, namun saya tidak juga akan meninggalkan agama ini." Sekalipun Saad telah mengeluarkan kata-kata yang tegas itu namun ibunya masih juga berdegil. Dia terus tidak mahu makan dan minum selama tiga hari tiga malam lamanya, hingga akhirnya dia jatuh pengsan.
Bagaimanapun setelah melihat keteguhan hati anaknya itu, ibu Saad akhirnya berasa lemah lalu terpaksa menghentikan mogok laparnya. Dalam hubungan ini Saad patut mendapat pujian kerana telah berlaku benar menurut apa yang diperintah oleh Allah s.w.t. Sebab Agama Islam memang mengajarkan umatnya agar berbuat baik dan taat kepada ibu bapa pada hal-hal yang diredhai Allah s.w.t. sahaja. Apabila seorang ayah atau ibu memaksa anaknya itu supaya berlaku syirik atau mungkar maka tidaklah lagi wajib anaknya itu mematuhi perintahnya.
KEHANDALANNYA SEBAGAI PAHLAWAN
Semenjak memeluk Islam, Saad sangat menaruh cinta kepada Rasulullah s.a.w. Demikian juga sikap Rasulullah s.a.w. terhadap beliau. Saad Bin Abu Waqqas juga dapat dianggap pahlawan yang paling berani sekali berhadapan dengan pihak musyrikin Quraisy. Beliau adalah tokoh sahabat yang pertama sekali melemparkan lembingnya dalam menegakkan Agama Islam.
Menurut ceritanya pada suatu hari di zaman permulaan Islam, Saad Bin Abu Waqaas bersama-sama dengan beberapa orang sahabat lainnya telah bershalat di lereng bukit di Makkah. Tiba-tiba datang sekumpulan pemuda musyrikin ke tempat mereka bershalat itu lalu mengejek-ngejek mereka. Akhirnya satu perkelahian pun terjadi antara kedua belah pihak itu. Dalam perkelahian yang sengit itulah Saad telah hilang kesabarannya lalu memukul seorang pemuda Quraisy dengan sepotong tulang unta. Pemuda Quraisy itu serta merta rebah lalu mati. Dengan berlakunya peristiwa itu terjadilah pertumpahan darah yang pertama dalam menegakkan Agama Islam.
Dalam hal ini Saad Bin Abu Waqqas r.a. sendiri pernah berkata, "Demi Allah! Akulah orang Arab yang pertama menembak dengan panah dalam melakukan jihad kerana Allah." Semenjak itu Saad Bin Abu Waqqas menjadi semakin terkenal di kalangan kaum Muslimin sebagai seorang pahlawan yang keras dan berani menentang kaum musyrikin Quraisy.
Semenjak kejadian itu juga Saad Bin Abu Waqqas semakin rajin berlatih menunggang kuda dan memanah. Dalam bidang bermain panah ini Saad telah mendapat sanjungan dari Rasulullah sebagai pahlawan yang paling pandai bermain panah. Setiap kali beliau memanah sasarannya sentiasa tepat.
DOA SAAD MAKBUL
Setiap sahabat besar Rasulullah s.a.w. umumnya mempunyai kelebihan masing-masing. Saad Bin Abu Waqqas r.a. tidak terkecuali dalam hal ini. Apakah kelebihan Saad Bin Abu Waqqas r.a. selain terkenal sebagai seorang pahlawan yang gagah serta pandai bermain panah itu? Kelebihan beliau ialah tentang doanya yang makbul. Setiap kali beliau berdoa sesuatu kepada Allah s.w.t, doanya itu sentiasa makbul. Keadaan ini berlaku setelah Rasulullah s.a.w. berdoa kepada Allah s.w.t. untuk diri Saad, "Ya Allah, kabulkanlah doa Saad."
Ada satu riwayat yang menceritakan tentang betapa makbulnya doa Saad bila beliau memohon sesuatu dari Allah s.w.t. Pada suatu hari, Saad telah melihat seorang sedang mencaci maki Saiyidina Ali, Zubaid dan Talhah. Saad Bin Abu Waqqas r.a. tentu sekali tidak senang melihat orang itu. Sebab orang-orang yang dimakinya itu adalah sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. bahkan seorang daripadanya adalah menantu Baginda sendiri iaitu Saiyidina Ali r.a. Saad berasa berkewajipan untuk menghentikan perbuatan lelaki yang biadab itu. Tanpa berlengah-lengah lagi beliau segera mendapatkan lelaki itu lalu menasihatinya supaya menghentikan caci-makinya itu.
Tetapi setelah dinasihati lelaki itu semakin degil lalu akhirnya Saad berkata kepadanya, "Jika engkau masih tidak mahu juga menghentikan caci-makimu itu aku akan mengadukan halmu kepada Allah!" Mendengar kata-kata Saad itu, lelaki itu bukannya menjadi takut bahkan menjadi semakin biadab pula. Katanya dengan cara mengejak, "Wah, nampaknya engkau cuba hendak mengancam aku. Apakah engkau hendak berlagak seperti Rasulullah?"
Mendengar kata-kata lelaki yang biadab itu Saad terus meninggalkannya demi untuk mengelakkan perkelahian yang tidak ada faedahnya. Kemudian beliau segera pulang ke rumah. Setibanya sahaja beliau di rumah, Saad pun mengambil wuduk dan bershalat kemudiannya lalu berdoa, "Ya Allah, jika Engkau telah mengetahui bahawa orang itu telah mencaci-maki orang-orang yang baik itu yang boleh menimbulkan kemurkaan-Mu, berikanlah satu pelajaran kepadanya."
Hatta dengan kuasa Allah s.w.t. tidak lama selepas beliau berdoa itu, tiba-tiba muncul seekor unta yang berlari dengan derasnya di tengah-tengah khalayak ramai. Unta itu tidak dapat dihalang-halangi jalannya seolah-olah hendak mencari sesuatu. Tetapi sejurus sahaja ia melihat orang yang mencaci-maki para sahabat Rasulullah s.a.w. itu ia terus melanggarnya serta memijak-mijak tubuh orang itu hingga mati. Demikianlah ketinggian darjat Saad di sisi kaum Muslimin.
JASA SAAD SEBAGAI PAHLAWAN
Sebagai seorang tokoh sahabat besar serta pahlawan agung di zamannya, banyak sekali jasa yang ditinggalkan oleh Saad Bin Abu Waqqas untuk menegakkan Agama Islam yang mulia. Dalam apa juga pertempuran yang Rasulullah s.a.w. hadapi baik kecil mahupun besar, Saad sentiasa tidak ketinggalan.
Dalam Perang Badar yang bersejarah itu Saad Bin Abu Waqqas telah menunjukkan kegagahan dan keberaniannya yang luarbiasa. Bahkan dalam Perang Badar itu beliau telah membawa bersama-samanya saudara lelakinya bernama Umair. Umair ketika itu masih berusia delapan tahun. Sekalipun dalam perang ini kaum Muslimin telah beroleh kemenangan tetapi Saad telah kehilangan saudaranya Umair itu, yang telah gugur sebagai syuhada. Sekalipun beliau berasa sedih atas kematian adiknya namun beliau berasa gembira kerana Umair yang masih berumur delapan tahun telah beroleh syahid.
Dalam Perang Uhud pula beliau telah dipilih sebagai salah seorang tukang panah yang terbaik di kalangan kaum Muslimin. Tatkala Rasulullah s.a.w. dalam keadaan bahaya dikepung oleh pihak musuh sedang sebahagian kaum Muslimin telahpun meninggalkannya, Saad segera mendapatkan Rasulullah untuk melindungi Baginda. Rasulullah dikhabarkan berseru kepadanya, "Hai Saad, panahlah, sungguh ibu dan ayahku jadi tebusanmu." Saad berasa gembira sekali mendengarkan kata-kata Rasulullah itu yang menawarkan janji yang begitu tinggi yang tidak pernah Baginda janjikan kepada mana-mana sahabat pun. Semenjak peristiwa itulah Rasulullah s.a.w. diriwayatkan telah berdoa kepada Allah untuk dirinya."
SAAD SEORANG YANG PEMURAH
Sebagai seorang tokoh sahabat agung tentu sekali Rasulullah sangat mencintainya. Selain mempunyai hubungan kerabat yang rapat beliau terkenal sebagai seorang pembela Rasulullah yang paling kuat sekali. Sikap kerasnya terhadap kaum musyrikin tidak kurang lebihnya sama seperti sikap Saiyidina Umar Al-Khattab. Selain daripada itu Saad juga dikurnia Allah dengan kemurahan rezeki dan kekayaan. Beliau juga terkenal kerana sifatnya yang pemurah selain sifat-nya yang gagah berani itu.
Tatkala Baginda Rasulullah s.a.w. sedang sakit, Saad telah pergi menziarahi Baginda lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku mempunyai harta yang banyak tetapi hanya mempunyai seorang puteri sahaja yang akan mewarisi kekayaan itu dariku. Bolehkah aku membahagikan dua pertiga dari hartaku itu sebagai sedekah?" Maka jawab Rasulullah s.a.w., "Tidak Saad!" Kemudian beliau bertanya lagi, "Bolehkah aku mem-berikan seteligah?" Sekali lagi Rasulullah menjawab, "Tidak!" lalu disambung oleh Saad lagi, "Kalau begitu bolehkah aku sedekahkan satu pertiqa?" Akhirnya Rasulullah menyambut, "Boleh! Satu pertiga itu pun sudah banyak Saad. Bahawa engkau meninggalkan anakmu dalam keadaan senang itu lebih baik daripada engkau meninggalkannya dalam keadaan papa dan meminta-minta." Bagaimanapun selepas Rasulullah wafat, Saad telah peroleh lebih ramai orang anak lagi.
JASA SAAD DI ZAMAN SAHABAT
Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, Saad Bin Abu Waqqas r.a. terus berjuang untuk Agama Islam di zaman para sahabat. Di zaman Khalifah Umar Al Khattab r.a. beliau telah dilantik sebagai panglima perang angkatan tentera Islam bagi memerangi kerajaan Farsi yang jauh lebih kuat lagi masyhur itu.
Pada mulanya Khalifah Umar Al-Khattab sendiri bermaksud hendak memimpin angkatan perang itu tetapi tindakannya itu telah dicegah oleh para sahabat besar antaranya Saiyidina Ali Bin Abu Talib. Akhirnya Saiyidina Umar r.a. meminta pandangan kaum Muslimin siapakah yang patut memimpin mereka dalam perang yang hebat itu. Setelah mendengar pandangan serta nasihat beberapa orang sahabat, Khalifah Umar akhirnya melantik Saad Bin Abu Waqqas sebagai panglima perang angkatan Islam itu.
Pemilihan Saad adalah satu pilihan yang tepat kerana beliau adalah seorang pahlawan yang gagah berani serta sangat berpengalaman. Tambahan pula dengan kepandaian-nya bermain panah serta doanya yang makbul. Jumlah tentera Islam di bawah pimpinannya hanyalah berjumlah kira-ki-ra 3,000 orang sahaja sedang jumlah musuh yang akan dihadapinya tidak kurang dari seratus ribu banyaknya.
Sebelum perang itu berlaku, Saad telah mengutus utusannya kepada panglima pihak musuh yang bernama Rustum serta mengajaknya supaya memeluk Islam. Setelah berjumpa dengan pemimpin pihak musuh itu maka berkatalah utusan pihak Islam, "Allah telah mentakdirkan buat kami keluar dari Agama yang menyembah berhala untuk menyembah Allah yang Maha Kuasa. Kami telah keluar dari cara hidup yang gelap kepada cara hidup yang disinari cahaya iman yang gemilang. Kami juga telah bebas dari pemerintahan yang kejam kepada pemerintahan yang adil berdasarkah hukum Allah. Maka itu barangsiapa yang menyokong kami mereka akan mejadi sahabat kepada kami serta menikmati hidup yang aman dan damai. Tetapi barangsiapa melakukan pembunuhan, kami tidak akan teragak-agak membalasnya menurut hukum Allah."
Mendengar kata-kata yang berani itu Rustam lalu bertanya, "Apakah janji Allah kepadamu?" Utusan Saad segera menjawab, "Syurga akan mejadi tempat balasan bagi para pejuang kami yang gugur. Jika menang pula kami akan peroleh hartabenda yang tuan tinggalkan. Singkatnya, sama ada menang atau kalah kami tetap mendapat kemuliaan."
Apabila kedua belah pihak mencapai kegagalan Saad pun berucap kepada anak-anak buahnya sebelum menghadapi perang itu. Katanya antara lain "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Allah s.w.t. telah menetapkan bahawa bumi ini akan diwariskan kepada hamba-hambaNya yang salih." Sesudah beliau selesai berucap itu, Saad pun melakukan shalat zohor bersama-sama angkatan tenteranya. Sesudah selesai mereka pun beramai-ramai bertakbir "Allahu Akbar!" sebanyak empat kali. Kemudian mereka pun berangkat ke medan pertempuran.
Perang itu sungguh hebat sekali. Sekalipun jumlah musuh berlipatkali ganda banyaknya, tetapi dengan izin Allah s.w.t. kaum Muslimin telah peroleh kemenangan yang gemilang di bawah pimpinan Saad Bin Abu Waqqas yang terkenal gagah lagi bijak itu. Panglima Rustum sendiri telah menyerah kalah sedang ramai di antara tentera serta anak-anak gadis mereka telah menjadi orang tawanan.
Dua tahun selepas itu telah berlaku lagi satu peperangan antara kaum Muslimin dengan Kerajaan Farsi. Perang itu ialah Peperangan Madain. Untuk sampai ke Madian, kaum Muslimin di bawah pimpinan Saad Bin Abu Waqqas itu terpaksa melalui Sungai Dajlah yang amat panjang lagi dalam itu. Di situlah mereka telah mengalami berbagai kesulitan. Bagaimana tatkala tentera-tentera Islam tiba di seberang su-ngai itu, mereka dapati tidak ada seorang tentera pun dari pihak musuh berada di sana. Mereka rupanya telah mening-galkan tempat itu lebih dahulu. Dengan hal demikian kaum Muslimin dapatlah melalui tempat itu melintasinya dengan mudah.
Dengan kebijaksanaan Saad Bin Abu Waqqas, kota Madain, ibukota Kerajaan Parsi yang hebat lagi terkenal itu telah dapat ditakluki oleh kaum Muslimin setelah mereka mengepungnya hampir dua bulan lamanya. Dengan kemenangan itu panglima Saad akhirnya telah dilantik oleh Khalifah Umar Al-Khattab r.a. sebagai pemerintah Iraq. Beliau terbukti adalah seorang pemerintah yang cekap, bijak serta adil memerintah rakyatnya. Saad telah berjaya memerintah rakyat di bawah kekuasaannya itu dengan baik hingga negerinya itu menjadi aman dan makmur.
Selain daripada jasa besarnya dalam mengembangkan wilayah Islam, Saad juga adalah salah seorang daripada enam orang tokoh sahabat yang telah dilantik oleh Khalifah Umar r.a. untuk memilih salah seorang calon Khalifah menggantikan baginda apabila wafatnya nanti.
Selain dari itu Khalifah Umar r.a. juga telah mengingatkan para sahabat besar itu supaya meminta bantuan atau nasihat dari Saad bilamana mereka memerlukannya. Setelah Khalifah Umar Al-Khattab wafat, jawatan Khalifah akhirnya jatuh kepada Saiyidina Uthman Bin Affan r.a. Saad Bin Abu Waqqas tetap memberikan sokongan dan bantuan bila-bila sahaja pihak Khalifah memerlukannya. Khalifah Uthman r.a. juga sangat hormat dan kasih kepada Saad. Ini ialah kerana memandangkan beliau adalah seorang tokoh sahabat besar yang sangat bersifat ikhlas serta banyak pula jasanya. Di zaman Khalifah Uthman r.a. inilah Saad telah dilantik sebagai Gabenor Kufah. Khalifah melantiknya untuk memegang jawatan itu kerana baginda sedar Saad adalah seorang yang sangat berkebolehan, cekap, bijak serta adil memerintah negeri.
SAAD BIN ABU WAQQAS WAFAT
Apabila Khalifah Uthman Bin Affan mati terbunuh oleh kaum pemberontak, Saad Bin Abu Waqqas r.a. turut berdukacita di atas peristiwa itu. Semenjak kaum Muslimin menjadi berpecah-belah berikutan dengan kewafatan Khalifah Uthman r.a. Saad mengambil sikap tidak menyokong di mana-mana pihak. Beliau telah menjauhkan dirinya dari kegiatan politik lalu menetap dalam rumahnya sendiri. Beliau menghabiskan masanya untuk melakukan ibadat puasa dan sembahyang. Ada juga pihak-pihak yang sedang bertentangan ketika itu cuba hendak memujuk Saad supaya menyebelahi mereka, namun Saad sedikit pun tidak berubah pendirian atau dapat dipengaruhi mereka.
Tokoh sahabat dan pahlawan Islam yang terbilang ini akhirnya telah wafat dalam tahun 54 H, dalam usia 80 tahun. Tatkala melihat anaknya menangis mengenang keadaannya yang sedang menghadapi maut itu Saad lalu berkata, "Mengapakah engkau menangis hai anakku? Sesungguhnya aku yakin Allah tidak akan menyeksaku, dan aku termasuk seorang di antara penghuni syurga kelak." Kata-kata itu jelas menunjukkan darjah keimanan Saad yang bulat terhadap Allah. Beliau tidak takut kepada kematian kerana beliau telah menjalani hidupnya sebagai mukmin dengan sebaik-baiknya.
Sebelum wafat, beliau tidak lupa pula mengingatkan anak-anaknya supaya memakaikannya dengan pakaian jubah dan minta supaya dikafankan dengan jubah itu juga. Kata Saad kepada anak-anaknya. "Jika kelak ayahmu mati, kafankanlah ayahmu dengan pakaian jubah ini. Aku sangat sayang pada jubah itu kerana dengan jubah itulah aku dahulu berhadapan dengan kaum musyrikin dalam Perang Badar." Dengan ucapan demikian itulah panglima Saad Bin Abu Waqqas mengakhiri hidupnya yang mulia itu.
Petikan daripada buku SIRI PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM oleh H. LUQMAN HAKIM)
MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
7 MEI 2008
Jumaat, 9 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan