Sahabat Ilmu

Rabu, 9 April 2008

MISKIN ATAU KAYA: MANA LEBIH BAHAYA??

Hadis Kemiskinan Membawa Kekufuran: Mana lebih bahaya? Kemiskinan atau Kemewahan?

Banyak orang berhujah tentang bahaya kemiskinan dengan ungkapan:

كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُوْنَ كُفْرًا

Bermaksud: “Hampir-hampir kefaqiran itu membawa kepada kekufuran.”
Namun hadis ini adalah Hadis Tersangat Lemah.

Menurut pengarang Tuhfath al-Ahwazi Syarh Jami` Tirmizi ketika menghuraikan hadis ke 3525 Tirmizi, hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu`aim dalam al-Hilyah daripada Anas sebagaimana tersebut dalam al-Jami` al-Saghir. Al-Munawi ketika menghuraikan hadis ini menjelaskan bahawa: sanadnya adalah amat lemah (wahin). Al-Qari pula mentafsirkan kefaqiran itu sebagai kefaqiran jiwa dan hati bukannya kefakiran harta. Kefakiran jiwa sememangnya membawa kepada kekufuran.

Justeru, hadis ini tidak mampu dibuat hujah untuk menyatakan bahaya kemiskinan, malah sebaliknya yang lebih bahaya ialah kemewahan dan kesenangan sebagaimana sabit dalam banyak hadis yang sahih.Antaranya:

Maksudnya: “Bukan kemiskinan yang ku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemiian.” (Hadis Bukhari-Kitab al-Jizyah no 2924)

Walaupun begitu, Islam tidak juga menggalakkan umatnya menjadi miskin semata-mata. Ini kerana Nabi berdoa:

Maksudnya: “Ya Allah. Saya berlindung dengan Kamu daripada kekufuran dan kefaqiran dan saya berlindung dengan Kamu daripada azab kubur. Tiada Ilah melainkan Kamu.” (Hadis riwayat Abu Dawud, Nasaie dan Ahmad)

Islam juga tidak menggalakkan umatnya menjadi kaya semata-mata sebagaimana hadis sebelumnya. Yang digalakkan ialah samada orang kaya yang bersyukur atau orang miskin yang bersabar. Orang kaya yang bersyukur ialah orang kaya yang menggunakan hartanya pada tempat-tempat yang diarahkan oleh Alah untuk disalurkan. Orang miskin yang bersabar pula ialah orang miskin redha dengan kemiskinannya lalu tidak melakukan perkara haram demi untuk sesuap nasi. Malah sekiranya dibuat perbandingan, manakah yang lebih afdhal kaya yang bersyukur atau miskin yang bersabar? Maka majority ulama berpandangan kaya yang bersyukur lebih afdhal kerana manfaat kekayaannya melimpah dan dapat dinikmati oleh orang lain

Oleh al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

PANDANGAN USTAZ NAIM:

-TIDAK BERGUNA KALAU KITA HIDUP KAYA, BAHAGIA TETAPI MATI MASUK NERAKA
-TIDAK BERGUNA KALAU KITA HIDUP MISKIN, BAHAGIA TETAPI MATI MASUK NERAKA
-LAGI TIDAK BERGUNA JIKA KITA HIDUP KAYA, SENGSARA MATI MASUK NERAKA
-JUGA TIDAK BERGUNA/LAGI TERUK KITA HIDUP MISKIN, SENGSARA MATI MASUK NERAKA

SEELOKNYA KITA
-HIDUP KAYA, BAHAGIA DAN MATI MASUK SYURGA ATAU
-HIDUP MISKIN, BAHAGIA DAN MATI MASUK SYURGA

FIKIR-FIKIR, RENUNG-RENUNG DAN BUATLAH PILIHAN MASING-MASING

WALLAHUA'LAM

MUHAMAD NAIM HASHIM
9 APRIL 2008

Tiada ulasan: