Sahabat Ilmu

Rabu, 19 Disember 2007

KHUTBAH AIDILADHA 1428H / 2007

FAHAMKAH KITA FALSAFAH PENGORBANAN???

ALLAHUAKBAR 9X

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan Katakanlah perkataan Yang benar (dalam Segala perkara), (al-Ahzab 70)

Allahuakbar 3x
Saudaraku Tetamu Allah Yang Dimuliakan,

Ketika umat Islam di Mekah semakin tiba ke penghujung ibadah haji, umat Islam lain di seluruh dunia termasuk kita pada hari ini meraikan hari raya aidiladha sebagai meraikan tetamu Allah yang selamat menunaikan rukun Islam yang kelima.

Yang menjadikan aidiladha lebih meriah sudah pastilah kerana adanya ibadah korban itu sendiri iaitu menyembelih haiwan ternakan tertentu sebagai suatu tuntutan ibadah kepada Allah. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada Rasulallah, ‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban itu?’ jawab Rasulullah : itulah sunnah daripada datukmu, Ibrahim. Sahabat bertanya lagi : Apakah keuntungan korban itu untuk kita? Jawab baginda : tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan.

Namun Aidiladha, bukan sekadar sebuah perayaan atau sekadar korban fizikal seperti menyembelih lembu, unta, kambing semata-mata. Kita sepatutnya menghayati falsafah disebalik sebuah pengorbanan kerana itu bakal menjadikan akidah kita lebih mantap, peribadi kita lebih kuat, matang dan kukuh selaras dengan tuntutan Islam itu sendiri.

Allahuakbar 3x
Saudaraku yang dimuliakan Allah,

Sejarah telah menceritakan kepada kita mengenai pengorbanan nabi-nabi dan rasul-rasul serta para sahabat dalam menyebarkan, memperkembangkan serta unuk menegakkan agama, syariat dan hukum Allah di muka bumi ini. Semua itu sebagai satu peringatan dan contoh untuk diikuti dan diamalkan dalam kehidupan kita pada hari ini.

Nabi Nuh a.s telah berdakwah kepada kaumnya selama 1000 tahun namun hanya 80 orang sahaja yang menerima Islam dan mengikut ajarannya. Yang lain semuanya ingkar dan menentang dakwah nabi nuh. Betapa dahsyatnya pengorbanan nabi nuh selama 1000 tahun tanpa rasa kecewa, jemu dan berputus asa walaupun hanya sedikit sahaja yang mengikutnya.

Nabi Ibrahim a.s mempertaruhkan nyawa demi untuk menegakkan Islam. Baginda sanggup dan berani berhadapan dengan Namrud iaitu seorang raja yang zalim dan kejam untuk menyeru kepada Islam sehinggakan nabi Ibrahim menerima cubaan yang dahsyat dalam dakwahnya iaitu dibakar hidup-hidup di dalam gunungan api yang panas membara. Tetapi seksaan itu tidak sedikitpun melemahkan nabi Ibrahim dalam perjuangannya untuk mengajak manusia mengenal dan menyembah Allah.

Selain itu, pengorbanan besar yang ditunjukkan oleh nabi Musa a.s yang berani menasihati bapa angkatnya yang sombong, angkuh dan zalim iaitu Firaun agar tunduk kepada ajaran Allah. Hal ini menyebabkan nabi Musa diancam bunuh oleh Firaun. Namun demi Islam lawan tetap lawan sehinggalah kemenangan berpihak kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dengan bantuan dari Allah s.w.t.

Begitu juga dengan Nabi Zakaria dan Yahya. Kedua-duanya tanpa rasa takut, penat dan jemu menyeru kaumnya iaitu puak Bani Israil agar menerima ajaran Allah, melaksanakan segala tuntutan Isalm dan sentiasa berada dalam ketaatan. Dakwah nabi Zakaria dan Yahya bukan sahaja tidak diterima oleh kaumnya malah kaumnya bertindak ganas dengan membunuh kedua-dua nabi ini. Nabi Zakaria di belah dua badannya manakala nabi Yahya dibunuh dan ditikam dengan kejamnya.

Begitu juga halnya dengan Nabi Muhammad saw yang juga mendapat tentangan yang cukup hebat daripada golongan kafir musyrikin Mekah, Yahudi Madinah dan orang-orang kafir sekitar tanah arab. Dalam sirah menceritakan bahawa Rasulullah saw semasa hidupnya demi menyebarkan Islam, demi memberi kefahaman mengenai Islam, demi membantu manusia beramal dengan Islam telah diancam bunuh oleh orang-orang yang memusuhinya sebanyak sebelas kali. Namun cubaan-cubaan bunuh itu tidak berjaya kerana telah dilindungi oleh Allah. Sepanjang hayat baginda, Rasulullah saw telah memimpin/mengetuai sebanyak 28 kali peperangan yang besar dan hampir 55 hingga 60 kali menyertai peperangan-peperangan yang lain. Secara keseluruhannyan peperangan yang diharungi oleh Rasulullah mencapai angka 80 kali. Rasulullah saw pernah di baling batu semasa berdakwah sehingga luka dan berdarah badan dan kakinya, Rasulullah pernah disimbah taik unta keatas kepalanya ketika berjalan untuk ke masjid, Rasulullah pernah di pukul sehingga patah gigi dan jatuh ke dalam parit ketika dalam peperangan uhud, Rasulullah pernah di tuduh penipu dan gila ketika menjelaskan mengenai peristiwa Israk mikraj dan pelbagai lagi cacian, seksaan dan makian yang diterima demi untuk memastikan Islam sampai kepada kita.

Begitu juga dengan para sahabat Khulafa’ ar-Rasyidin. Saidina Umar al-Khattab al-Faruq mati dibunuh di Mihrab ketika sedang menjadi Imam sembahyang subuh. Saidina Uthman ibni Affan juga mati dibunuh dengan kejam oleh pemberonyak ketika sedang membaca al-Quran. Begitu juga dengan Saidina Ali bin Abi Talib menjadi korban dalam menegakkan keadilan dan pendamaian dibunuh ketika sedang sembahyang di waktu subuh.

Inilah pengorbanan besar yang telah ditunjukkan oleh nabi-nabi, rasul-rasul dan juga para sahabat demi memastikan tertegaknya aqidah Islam, terdaulatnya hukum al-quran, terlaksananya ajaran-ajaran Islam untuk melahirkan insan-insan yang taat, patuh, tawaduk, rajin beramal serta gerun kepada azab Allah swt sehingga terlaksananya keadilan, keagungan dan kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu.

Pengorbanan yang ditunjukkan oleh para Rasul dan sahabat bukan hanya sekadar ucapan dan sembang kedai kopi, bukan hanya sekadar untuk meraih nama, bukan sekadar ucapan di pentas-pentas politik, bukan hanya indah khabar dari rupa tetapi disertakan dengan niat, ucapan, perbuatan dan amalan dengan sanggup mengorbankan segala-galanya termasuklah harta benda, anak pinak, masa, tenaga, wang ringgit, jiwa dan juga nyawa.

Allahuakbar 3x
Muslimin Muslimat Yang Berbahagia,

Cuba kita tanya pada diri kita, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan dalam memastikan agenda yang di bawa oleh Rasulullah dan para sahabat sentiasa kekal kesuciannya, keagungannya sehingga hari kiamat? Adakah kita salah seorang daripada pejuang Islam? Adakah kita salah seorang daripada pejuang hukum al-Quran? Adakah kita beramal dengan ajaran Islam? Adakah kita seorang pencinta ilmu dan kuliah agama? Adakah kita seorang yang amanah dengan tanggungjawab yang kita pikul hari ini?

Adakah kepandaian dan kecerdikan yang ada pada kita digunakan untuk Allah?
Adakah segala usaha dan masa kita ditumpukan untuk menegakkan Islam? Adakah keseluruhan tenaga dan jiwa kita digunakan untuk memenuhi kehendak Allah?

Sudahkah kita menjalankan tugas, amanah dan tanggungjawab kita sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam? Sudahkah kita menumpukan segala ketaatan dan perkhidmatan kita untuk beramal dengan tuntutan Islam seperti solat 5 waktu di masjid, membaca al-Quran pada setiap hari, berdoa dan berzikir pada setiap pagi dan petang?

Sanggupkah kita mengorbankan masa tenaga, harta benda, wang riggit dan juga nyawa kita demi memartabatkan Islam sebagaimana sanggupnya Nabi Ismail mengorbankan nyawa untuk di sembelih oleh ayahnya Ibrahim?

Tanyalah diri kita dan jawablah sendiri. Jika kita boleh jawab semua persoalan ini barulah kita boleh mengaku bahawa kita adalah seorang Muslim yang beriman dan beramal dengan Islam dan hamba kepada Allah. Jika semua persoalan itu kita tidak dapat kita menjawab bermakna kita belum lagi menjadi seorang yang benar-benar Islam, belum lagi benar-benar beriman, hanya Islam pada nama dan keturunan sahaja dan belum tentu kita dapat menjawab apabila ditanya oleh Allah di hari kiamat kelak.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullahu taala bahawa JIHAD atau PENGORBANAN itu hakikatnya ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai Allah dari keimanan, amal soleh dan menolak sesuatu yang dimurkai Allah sama ada kekufuran, kefasikan, kemaksiatan dan juga kedurjanaan.

Allahuakbar 3x
Muslimin muslimat yang Dirahmati Allah sekelian,

Perkara yang menyedihkan pada hari ini ialah sikap umat Islam yang sudah tiada lagi roh pengorbanan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Malah yang lebih dahsyat pada hari ini umat Islam sudah tidak peduli lagi dengan Islam, tidak peduli lagi apa yang terjadi dengan Islam, sudah tidak peduli lagi apa yang terjadi dengan orang Islam, sudah tidak peduli lagi dengan ilmu-ilmu dan ajaran Islam, sudah tidak peduli lagi dengan masjid dan surau, sudah tidak peduli lagi dengan al-Quran, sudah tidak peduli lagi dengan aurat, sudah tidak peduli lagi dengan apa yang telah diperjuangkan oleh baginda Rasulullah saw. Umat Islam hari ini lebih suka berkorban untuk merosak, mencemar dan meruntuhkan Islam. Sebab itulah hari ini ramai umat Islam yang terkorban dalam kelicikan dan tipu helah orang-orang Yahudi dan Kristian. Orang Islamlah yang menjadi agen untuk merosakkan ajaran Islam. Umat Islam menjadi boneka kepada orang kafir. Orang Islam mula berani mencipta ajaran Islam sendiri sehingga terhasilnya golongan Islam Sekular, Islam Liberal, Islam Siasi, Islam Semasa, Islam Moden, Islam Kemajuan, Islam Ketamadunan dan bermacam-macam lagi Islam. Orang Islam juga mula berani mencipta berbagai mazhab-mazhab baru sehingga timbulnya mazhab tak payah sembahyang, mazhab tak payah ke masjid, mazhab malas mengaji, mazhab pasar malam, mazhab penipu, mazhab yang menghalalkan judi, arak, zina, mazhab rasuah, mazhab seluar pendek, mazhab tak bertudung kepala, mazhab yang menghalalkan hiburan, nyanyian dan tari menari dan berbagai lagi mazhab karut yang menjadi ikutan orang-orang yang tidak mempunyai ilmu termasuk kita yang berada dalam masjid ini.

Hal inilah yang menyebabkan hari ini sistem pemerintahan, pentadbiran, politik, ekonomi, hiburan, pakaian, pendidikan, sukan, ibadah, muamalah, kekeluargaan, hukuman, undang-undang dan cara hidup umat Islam lebih berkiblatkan Barat, Yahudi dan Kristian. Hanya sedikit sahaja yang berpandukan al-Quran dan Sunnah. Dengan mudah dan tanpa rasa berdosa kita telah menjadi penderhaka kepada Allah dan Rasulullah. Kitalah yang menjadi punca rosaknya segala kecantikan, kemurnian dan kesucian ajaran Islam.

Allahuakbar 3x
Saudaraku Muslimin Muslimat Yang Berbahagia,

Disebabkan umat Islam sudah tidak lagi menghargai Islam yang dianutinya, hari ini umat Islam menjadi bahan ketawa musuh Islam, dihina, diperlekehkan di caci maki, mundur, lembap dan mengikut telunjuk musuh Islam. Negara semakin huru hara, rumahtangga bertukar menjadi neraka, masyarakat semakin porak peranda, masjid banyak, besar tetapi kosong tidak berpenghuni, umat Islam terus lalai, leka di buai pujuk rayu syaitan dan semakin hari semakin lupa kepada Allah dan semakin jahil dengan tuntutan agama.

Bukankah beratus-ratus fahaman syirik, khurafat, bid’ah, fahaman sesat dan karut yang bertentangan dengan Islam sedang menyelubungi dan menjajah pemikiran umat Islam?
Bukankah kepala –kepala orang Islam sekarang sanggup sujud kepada benda-benda selain Allah?
Bukankah orang-orang Islam sekarang sangat takut kepada kuasa-kuasa yang lain daripada kuasa Allah?
Bukankah orang-orang Islam sekarang ini telah berani mengetepikan undang-undang Allah dan dengan riang gembiranya menuruti undang-undang pihak lain?
Bukankah orang-orang Islam sekarang ini telah berterus terang mengatakan mereka tidak lagi meyakini undang-undang Syariah Islam?
Bukankah orang-orang Islam sekarang ini lebih takutkan kemarahan orang kafir tetapi langsung tidak takut akan kemurkaan Allah?
Bukankah ada diantara kita yang begitu gigih di dalam usahanya untuk memuaskan kehendak orang2 kafir, orang2 fasik, orang2 zalim, ahli2 maksiat tetapi tidak berusaha sesuatu apapun untuk memuaskan kehendak sesama Islam dan kehendak orang2 mukmin?
Bukankah ada diantara kita dengan beraninya merobohkan surau dan masjid serta mengharamkan tazkirah, ceramah dan kuliah-kuliah agama tetapi amat bacul dan penakut untuk merobohkan disko, kelab malam, pusat judi, pusat arak, pusat ternakan babi, tempat2 maksiat malah membenarkan pula untuk beroperasi ?
Bukankah ada diantara kita yang terlalu kisah, takut dan bimbang dengan penceramah2 dan pendakwah2 Islam dengan diancam tangkap, hukum dan sebagainya tetapi tidak pernah kisah dengan masalah murtad, ajaran sesat, anakluar nikah, penagih dadah yang setiap tahun bertambah-tambah, jenayah bunuh, seks bebas dan banyak lagi gejala2 yang melibatkan rosaknya aqidah, ibadah dan akhlak?
Bukankah ada diantara kita yang tanpa rasa berdosa menyokong dan bersekongkol dengan orang-orang yang ingin merosakkan Islam, orang2 mungkar yang menolak hukum dan undang-undang allah tetapi amat membenci kepada orang-orang yang ingin menegakkan Islam dan hukum-hakam al-Quran di muka bumi ini?

Bukankah apa yang diperkatakan dalam khutbah ini suatu kenyataan dan kebenaran? Jika ini adalah kenyataan yang benar dan memang perkara yang diperkatakan ini sedang berlaku di dunia ini termasuklah di bumi Malaysia dan di kampong kita, tidak malukah kita kepada Allah, tidak takutkah kita kepada azab neraka Allah kerana kita telah mengorbankan sesuatu yang baik (iaitu ajaran Islam) dengan mengambil, mengikut sesuatu yang buruk (iaitu jalan2 orang yang sesat, fasik, zalim dan kafir).

Oleh itu mimbar berharap agar kita kembali kepada falsafah korban yang sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasul-rasul dan orang-orang terdahulu dan itulah PENGORBANAN YANG SEBENAR. Mereka hidup dalam keadaan sentiasa berharap mati syahid di jalan Allah, sentiasa menegakkan bendera jihad,mereka berjuang demi menegakkan kalimah Allah, sentiasa bertawakkal kepada Allah, sentiasa menyeru kepada kebaikan dan melawan segala bentuk kemungkaran, sentiasa taat dan setia kepada Allah dan Rasulullah, sentiasa menjauhkan diri daripada dosa kecil dan dosa besar, sentiasa berdoa dan berinteraksi dengan Allah, sentiasa berterus terang tentang perkara2 kebenaran, sentiasa mengambil iktibar daripada bala dan musibah yang menimpa, sentiasa memperbaharui taubat epada Allah, sentiasa merasai ajal semakin hari semakin dekat dengan mereka, sentiasa berhati-hati terhadap perkara syubhah dan bid’ah, sentiasa mendahului ilmu daripada kejahilan, sentiasa mendampingkan diri dengan masjid dan ilmu, sentiasa mendahului akhirat daripada tuntutan dunia, sentiasa berjuang, berjihad menentang nafsu, syaitan, orang-orang kafir, orang-orang munafik dan para pemerintah yang zalim. Mereka tidak pernah berpaling daripada al-Quran, tidak pernah melanggar janji-janji allah, tidak pernah berminat dengan budaya-budaya orang kafir dan tidak pernah lupa kepada Allah.

Moga-moga ibadah korban dan juga pengorbanan yang akan dan telah dilakukan selama ini diterima oleh Allah swt dan diharapkan agar kita sentiasa bertaubat kepada Allah agar segala salah silap dan dosa yang kita lakukan selama ini diampuni oleh Allah swt. Sama-samalah kita insafi dan kembali ke pangkal jalan agar kita sentiasa berada diatas landasan syariat, landasan Islam , landasan pahala dan landasan yang diredhai oleh Allah swt. Marilah sama-sama kita mengeratkan persaudaraan sesama Islam, menjauhi permusuhan dan bersatu diatas landasan perpaduan al-Quran dan sunnah bersempena perayaan aidiladha dan sempena kedatangan tahun baru 1429 H yang akan menjelma tidak lama lagi.

Dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (al-Hajj 40)

Allahuakbar 3x......

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR DAN BATIN

USTAZ NAIM
19 DIS 2007/9 ZULHIJJAH 1428H

Tiada ulasan: