Sahabat Ilmu

Jumaat, 19 Jun 2009

Gali Kubur- Sebab-sebab Yang dibolehkan

Bahawa pada prinsipnya haram hukumnya menggali semula kubur jenazah yang telah dikebumikan.Sebagaimana yang telah dijelaskan didalam hadith ‘Aisyah ra yang berkata Nabi saw bersabda :

كسر عظم الميت ككسره حيا

“Mematahkan tulang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya semasa hidup” – [Hadith riwayat Abu Daud #3207].

Syiekh Khalid ibn Ali al-Musyaiqih mengatakan bahawa hadith diatas menunjukkan bahawa seorang Islam mempunyai harga diri, samada ia hidup ataupun telah mati. Menurut beliau tidak dibenarkan menggali semua kubur melainkan mempunyai alasan-alasan yang tertentu, dan biasanya perkara-perkara seperti ini hendaklah dirujuk kepada hakim syariah yang akan memberi keputusan keatas alasan yang diberikan.

Dr Ahmad Al-Syarbaasi, bekas Professor Jabatan Aqidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar berkata kubur dimana seorang Islam dikebumikan adalah menjadi miliknya, maka tidaklah islamik untuk menggalinya kembali melainkan sebab yang munasabah. Jumhur ulama’ membenarkan kubur digali semula akan tetapi terdapat khilaf dikalangan mereka sebab yang membolehkan kubur tersebut digali semula. Syiekh Nasyiruddin Al-Albani (Ahkam Al-Janaaiz, ms 203) menyatakan bahawa dibolehkan mengeluarkan mayat dari dalam kubur untuk satu tujuan yang baik (ويجوز إخراج الميت من القبر لغرض صحيح). Secara umumnya ulama’ membenarkan mayat dikeluarkan dari kuburnya dengan 2 kepentingan utama :-

a. Menyempurnakan dan menyelamatkan mayat tersebut
b. Tempat digunakan untuk kepentingan umum.

Diantara perkara yang bolehkan kubur tersebut digali semua, contohnya ialah :-

1. Mayat yang dikebumikan boleh sempat dimandikan, maka dibenarkan mengeluarkannya bagi tujuan memandikan dan mengkafankan mayat. Dari Jabir bin Abdullah ra :

أتي رسول الله صلى الله عليه وسلم عبد الله بن أبي بعد ما أدخل حفرته ،فأمر به فأخرج ،فوضعه على ركبتيه ،ونفث عليه من ريقه ،وألبسه قميصه ( قال جابر: وصلى عليه )

“Rasulullah saw telah mendatangi kubur Abdullah bin Ubai yang telah dimasukkan kedalam liang lahat, dan beliau saw memerintahkan untuk mengeluarkannya kembali dan diletakkan diaatas kedua-dua lutut baginda, kemudian baginda meniupkan dan mengenai pakaian kepadanya.” Jabir berkata “Dan mendo’akannya”. [Diriwayatkan oleh Al-Bukhaari, Imam Musilim Al-Nassa’i dan juga Ibn Al-Jarud).

2. Dr Ahmad Al-Syarbaasi menyatakan dibenarkan untuk memindahkannya mayat kepada kubur yang lain jika terdapat kekhuatiran bahawa kemungkinan binatang buas akan merosokkan mayat atau mungkin ia akan dihanyutkan oleh banjir, dengan syarat mayat tersebut tidak dirosakkan.

3. Mayat yang ditanam di sebidang tanah dimana tuan tanah tidak membenarkan jenazah ditanam disana (tidak mendapat keizinan tuan tanah)..

4. Apabila jenazah ditanam ditempat yang tidak dihormati, seperti ditanam di kubur orang bukan Islam atau ditempat pembuangan sampah.

5. Kubur di gali diatas sebab-sebab perundangan.

6. Keperluan memeriksa jasad mayat bagi mewujudkan hak, iaitu ia dapat mengembalikan nama baik si-mati.

7. Al-Hafiz Al-Imam Al-Nawawi didalam kitab Majmu’ menyebut : (يجوز نبش القبر إذا بلي وصار تراباً ، وحينئذ يجوز دفن غيره فيه) :”Boleh menggali kubur jika keadaan sudah lusuh dan sudah menjadi debu, maka bolehlah mengkebumikan jenazah lain didalamnya.”. Maksudnya kubur yang yang usang dan tinggal debu dibolehkan diguna semula sebagai kubur jenazah yang lain.

8. Al-Hafiz Al-Imam Al-Nawawi juga menyebut bahawa selain dari dibuat kubur, ia juga boleh digunakan untuk bercucuk tanam, melakukan binaan (construction), dan semuanya akan bermunafaatkan dan keadaan ini mendapat persetujuan para sahabat. Ini semua dibolehkan dengan syarat ia tidak memberi kesan kepada mayat, tulang-tulang dan lain-lainnya (ويجوز زرع تلك الأرض ، وبناؤها ، وسائر وجوه الانتفاع ، والتصرف فيها باتفاق الأصحاب. وهذا كله إذا لم يبق للميت أثر من عظم وغيره). Pandangan ini dipersetujui oleh mahzab Syafie, Hanafi dan Hanbali. Mazhab Maliki membenarkan kubur yang usang ini digunakan untuk mengkebumikan orang mati sahaja, seperti point no:7.

wassalam
———–

sumber: al-ahkam.net

Hukum Binaan Di Atas Kubur

Larangan melakukan binaan diatas kubur datang dari sebuah hadith Nabi saw riwayat Jabir rh :

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر ،وأن يقعد عليه،وأن يبى عليه،[ أو يزاد عليه ]،[ أو يكتب عليه] .

“Rasulullah saw menegah dari mengecat kubur dan duduk diatasnya serta membina binaan diatasnya” (atau menambah2 ketinggiannya), (atau menulis keatasnya)"

[Hadith dikeluarkan oleh Muslim 3/62, Abu Daud 2/71, al-Nasaai 1/286-284, al-Tirmudzi 2/155, al-hakim 1/370, Ahmad 3/332.339,399 - Dua2 tambahan oleh abu Daud & al-Nasaai, dan yang pertama oleh al-Baihaqi]

Walaubagaimanapun, ulama2 Mazhab khilaf didalam menentukan hukumnya (antara Makruh dan Haram). Berikut adalah pandangan Mazhab al-Syafie, menurut Imam al-Nawawi.

Imam al-Nawawi rh. berkata : “Makruh mengecat, membina bangunan dan menulis diatas kubur. Jika dibina bangunan diatas kubur orang awam (musabbalah) maka hendaklah dimusnahkan” (Minhaj al-Thalibin, ms 360).

Didalam al-Majmu’, al-Nawawi mengatakan : “Berkata sahabat-sahabat kami Rahimahullah: “Tidak ada perbezaan antara membina bangunan (di atas kubur) sama ada membina kubbah atau rumah atau seumpama keduanya. Kemudian hendaklah diperhatikan, jika kubur itu kubur musabbalah (kubur orang awam) adalah haram di atasnya berbuat demikian…. Jika sekiranya kubur itu milik persendirian, adalah harus membina bangunan, ianya dihukumkan makruh dan tidak perlu dirobohkan” [al-Majmu‘: 5/260].

Beliau berpendapat bahawa binaan tersebut jika berlaku diperkuburan awam, maka hukum membinanya adalah haram, dan jika ia berada ditanah persendirian, maka hukumnya cuma makruh sahaja.

——————
Prof Dr Refaat Fawzi (Universiti Kaherah) menjelaskan kenapa dilarang melakukan binaan keatas kubur. Diantaranya penjelasann beliau adalah :-

a. Larangan yang datang dari hadith sahih, riwayat Jabir (lihat hadith diatas)
b. Dalil yang membenarkan ditanam mayat lain diatas kuburan yang lama, sebagaimana kubur di bandar Makkah dan Madinah.
c. Bagaimana pula dengan mayat2 yang mati di laut, sudah tentu binaan2 tidak diperlukan langsung.

—————-
Kadar tambakan yang dibenarkan oleh Nabi (petikan dari Kitab Ahkam al-Janaa’iz ms 195) :-

Disunatkan meninggikan sedikit tanah kubur agar dibezakan dengan tanah bumi sebanyak sejengkal, agar ia dikenali, sebagaimana hadiith Jabir ra :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم ألحد له لحد ، ونصب اللبن نصبا ،ورفع قبره من الارض نحوا من شبر
“bahawa Nabi dibuat untuknya liang lahat, ditegakkannya dengan batu bata, ditinggikan kubur dari bumi sebanyak sejengkal” [Hadith riwayat Ibn Hibban didalam Shahihnya #2160, al-Baihaqi 3/410 dengan isnadnya Hasan].

Riwayat tersebut diperkuatkan oleh seorang saksi Saleh bin Abi Saleh berkata :

رأيت قبر رسول الله صلى الله عليه وسلم شبرا أو نحو شبر
“Aku melihat kubur Rasulullah tinggi sejengkal dari permukaan bumi” [Riwayat Abu Daud].

Riwayat diatas menjadi dalil akan larang meninggikan lebih dari sejengkal. Imam al-Syafie rh. mengatakan bahawa :-

وأحب أن لا يزاد في القبر تراب من غيره ، لانه إذا زيد ارتفع جدا ، وإنما أحب أن يشخص على وجه الارض شبرا أو نحوه
“Aku lebih suka untuk tidak menambah dengan tanah lain, sebab jika ditambah dengan tanah lain ia akan menyebabkan kubur itu tinggi dari permukaan bumi” [al-Umm 1/245-246]

Sekian, wassalam
=============

Menguji Iman Melalui Peristiwa Isra’ Mikraj

Pada setiap tanggal 27 Rejab tiba , kita akan selalu teringat suatu peristiwa yang sangat luarbiasa , yang terjadi sejak 15 abad yang silam, iaitu peristiwa perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. di waktu malam dengan menaiki buraq dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, terus naik ke langit ke tujuh sampai ke Sidratul Muntaha. ,peristiwa ini lebih dikenali dalam masyarakat kita hari ini iaitu ‘ Peristiwa Isra’ dan Mikraj”

Hebatnya peristiwa ini sehingga mengundang sebahagian dari kaum Muslimin setiap pelusuk negara kita memperingatinya dengan mengadakan pelbagai kegiatan khususnya di masjid-masjid, surau-surau, sekolah atau pusat pengajian tinggi dan sebagainya semata-mata untuk meraikan sambutan peristiwa bersejarah ini sehingga semangat ini terbawa-bawa walaupun bulan Rejab telah berlalu.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj terjadi Cuma sekali sepanjang sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. Satu setengah tahun sebelum berhijrah ke Madinah perkara yang berlaku ini terjadi kepada diri seorang manusia maksum dan sungguh luarbiasa sehingga tidak semua orang meyakini kebenarannya , kecuali orang yang benar -benar beriman, yang mendapat hidayah dari Allah s.w.t.

Bagi orang yang beriman kepada keesaan Allah dan hari Kiamat, ia menerima dengan hati yang terbuka dan pasrah, diterima kerana merupakan satu perkara yang logik,apatahlagi peristiwa itu dihubungkan sebagai salah satu mukjizat Nabi Muhammad s.a.w., maka tidak ada masalah yang perlu diragui. Yang jelas kebenaran peristiwa ini tidak mesti sesaui dengan hukum alam dan logik akal manusia, tanpa juga mempercayai secara jasad dan roh, kecuali setelah diperoleh bekas-bekas yang nyata dari peristiwa tersebut. Kita juga mesti beiman deng Isra’ dan Mikraj iaitu ada perintah kewajipan menunaikan solat lima waktu. Kewajipan inilah yang menjadi pokok keimanan dan hendaklah dikerjakan bersungguh-sungguh serta tidak meninggalkannya.

Semasa perjalanan Nabi Muhammad bersama Jibril menuju ke Sidratul Muntaha mereka bertemu dengan para nabi terdahulu di setiap langit seperti Nabi Adam, Nabi Yahya dan Nabi Isa, Nabi Yusuf dan Nabi Idris alaihima salaam, Nabi Harun , Nabi Musa dan Nabi Ibrahim. Kemudian meneruskan perjalanan sampai ke suatu tempat yang bernama ‘Sidratul Munhata’ iaitu suatu kumpulan bintang -bintang terakhir dan tertinggi , letaknya sangat jauh di luar ‘ susunan tujuh langit’ yang disebut tadi, kemudian meneruskan perjalanan lagi ke suatu tempat bernama ‘Baitul Makmur’ suatu kumpulan bintang sesudah Sidaris ( Sidratul Muntaha).Di tempat inilah Nabi Muhammad menerima perintah wajib solat yang pada mulanya perintah itu sebanyak 50 kali sehari semalam. Tetapi atas nasihat Nabi Musa, Nabi Muhammad memohon kepada Allah agar dikurangkan , kerana beliau khuatir kalau-kalau umatnya tidak mampu melaksanakannya kelak. Allah s.w.t. mengurangkan sampai 5 kali sehari semalam.

Hikmah dan tujuan utama peristiwa Isra’ dan mikraj adalah agar umat Islam mewujudkan hubungan dengan Allah yang juga disebut dengan istilah ‘Solat”, sebagai suatu ibadah utama yang wajib dikerjakan 5 kali sehari semalam, sesuai dengan tata cara dan tata tertib yang digariskan oleh Rasulluh s.a.w. pada masa hayatnya yang diterima secara langsung bukan sebagaimana biasa melalui wahyu.

Ia juga sebagai memperlihatkan kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t, dimana waktu itu bangsa Arab masih banyak yang mengingkari kebenaran ajaran Allah yang disampaikan nabi untuk , menjelaskan kejadian in adalah suatu pekerjaan yang berat supaya mereka dapat meyakini dam mengerjakannya secara ikhlas, semestinya keadaan itu disertai dengan peristiwa luar biasa yang disebut sebagai mukjizat.

Antara sebahagian kejadian yangditunjukkan kepada nabi dimana semasa baginda manjalani peristiwa ini, manusia diazab dengan cara memotomg lidah sendiri kerana dosa yang dilakukan semasa hidup didunia disebabkan terlalu suka mengumpat, mencela dan mencaci orang lain, Rasulullah juga ditunjukkan bagaimana seorang yang mengangkat kayu api walaupun dia sudah tidak mampu memikulnya dia masih menambah beban itu sehingga membinasakan dirinya sendiri. Keadaan ini tidak terkecuali masih terjadi dalam masyarakat kita dengan menerima bebanan amanah sedangkan mereka sudah tidak mampu memikulnya. Begitu juga diperlihatkan kepada beliau terhadap mereka yang mengingkari, serta tidak mahu melaksanakan sembahyang dengan dirantai dengan besi yang dinyalakan api melingkari tubuh mereka dan betapa siksanya mereka ketika itu.

Yang menjadi agenda utama sempena peristiwa ini adalah perintah wajib sembahyang lima waktu sehari semalam, baik untuk peribadi nabi s.a.w. mahupun untuk umatnya dengan waktu yang telah ditetapkan….

Betapa pentingnya sembahyang di dalam kehidupan seseorang Muslim , maka marilah kita tanamkan pendidikan Islam secara umum dam pendidikan agama secara khusus kepada anak-anak kita . Kita mesti ada perancangan terutama yang berkaitan masa depan anak-anak dengan dibekalkan mereka dengan pengajaran agama, supaya nanti mereka tidak lupa dan salah faham mengenai agama Islam, tidak lagi yang tidak tahu Rukun Islam dan Rukun Iman dan ia akan menyedarkan mereka untuk menguasai seluruh kehidupan dengan amalan baikdan sempurna.

Jadikan pengajaran dan iktibar dari peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai langkah untuk membersihkan serta membentuk sahsiah diri kita dengan kembali ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan keji yang sia-sia.

Dipetik dari ‘Khutbah Jumaat khas sempena Isra’ dan Mikraj bertajuk menguji iman melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj terbitan JAIS

HUKUM MENGUNDI

MENGUNDI SERUPA DENGAN MEMBERI KESAKSIAN

Menurut ulamak terkenal masa kini, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Islam menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara serupa dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik. Pada pandangan beliau lagi, sesiapa yang memberikan undian/suaranya kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung, atau kerana berharap dapat mengambil manfaat bila calon itu terpilih nanti, maka dia telah menentang firman Allah di dalam surah at-Talaq, ayat ke-2 yang bermaksud,

"Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah."

Manakala sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya (tidak keluar mengundi) sehingga golongan yang jujur kalah dan golongan yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga telah menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud,

"Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil."

"Dan janganlah kalian (para saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang-orang yang berdosa hatinya." (al-Baqarah: 283)

[Dipetik daripada tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi berjudul "Fiqh Daulah"]

BERKHATAN DALAM ISLAM

Berkhatan dari sudut Islam

Perkataan berkhatan berasal dari perkataan 'khitan' iaitu potong. Dalam Malayalam ianya juga disebut sebagai Maarkham. Kebiasanya ianya juga disebut sebagai 'sunat'. Ini digunakan untuk menunjukkan bahawa ianya dilakukan sebagai 'kebiasaan' pada zaman Nabi Ibrahim A.S.

Menurut kitab Fathul Mueen, berkhatan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan. Walaubagaimanapun ada juga sebilangan besar ulama' berpendapat bahawa berkhatan untuk wanita hanyalah sunat. Ini mungkin sebabnya mengapa berkhatan dikalangan wanita tidak diamalkan sepenuhnya. Selain dari itu, berkhatan untuk lelaki adalah sunat dihebahkan sementara untuk wanita pula ianya adalah sebaliknya. Sekiranya bersunat itu akan dalam apa-apa cara membahayakan diri kanak-kanak tersebut, maka ianya patut di tangguhkan ke suatu masa yang lebih selamat.

Berkhatan adalah sebaik-baiknya sebaik-baiknya dilakukan pada hari ke 7 atau hari ke 40 bayi dilahirkan. Satu lagi masa yang baik adalah semasa umurnya mencapai 7 tahun, ia itu umur apabila mereka perlu dinasihatkan untuk sembahyang. Berkhatan menjadi wajib untuk dilakukan apaila seseorang mencapai akil baligh.

Berkhatan untuk lelaki dilakukan dengan membuang 'foreskin' , kulit yang menutupi kepala zakar (glans penis) sehingga nampak keseluruhan glans penis keluar. Ianya boleh dilakukan dengan berbagai cara.

Untuk kanak- kanak perempuan pula ianya dilakukan untuk memenuhi syarat berkhatan pada namanya. Ini bermaksud memotong pada sebahagian kecil di 'daging berbentuk balung ayam di atas saluran kencing' (yakni kelentit atau klitoris). Ini patut dilakukan sesedikit yang mungkin dan tidak mencacatkan.

Sekian Wassalaam

MUHASABAH DIRI

Bagaimanakah hidupku? Usia hidupku cuma tiga hari saja

Semalam, hari ini dan esok
Semalamku sudah menjadi sejarah
Hari ini apa yang aku lakukan
Esok hari yang belum pasti.
Hidupku cuma ada dua nafas Nafas naik Nafas turun.

(Petikan ANIS Jun 2004)

PELIK TETAPI BENAR!!!!!!

Alangkah Peliknya Kita......

Pelik ya,
Duit RM 50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi
begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

Pelik ya,
30 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi
betapa pendeknya waktu itu untuk satu cerita komedi.


Pelik ya,
Betapa lamanya satu jam berada di masjid, tapi
betapa cepatnya dua jam berlalu saat menonton wayang di panggung.

Pelik ya,
tak sampai 30 minit dengar khutbah Jumaat dah rasa jemu, tapi
tak pernah puas dengar lagu kesukaan kita walaupun dah ulang dua tiga kaset berkali-kali.

Pelik ya,
Dengar iklan jualan murah di tv rasa tak sabar-sabar nak pergi beli-belah,
Tapi dengar laungan azan tak sabar-sabar nak tukar channel lain.

Pelik ya,
pasar malam jauh sanggup naik kereta pergi, tapi
masjid dekat rumah rasa berat pula kaki.

Pelik ya,
susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan saat berdoa atau solat, tapi
betapa mudahnya cari bahan bersembang dengan kawan-kawan.

Pelik ya,
betapa seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bolasepak jadi kegemaran kita, tapi
betapa bosannya bila imam solat Tarawih bulan Ramadhan bacaannya lama dan panjang.

Pelik ya,
Rasa susah sungguh untuk habiskan Al-Quran walau satu halaman, tapi
majalah hiburan dan novel best-seller 100 halaman pun habis dilahap.

Pelik ya,
ramai orang berebut paling depan bila menonton bola atau konsert, tapi
berebut cari saf paling belakang bila solat jemaah supaya boleh cepat keluar.

Pelik ya,
susahnya orang mengajak menyebar dakwah, tapi
mudahnya orang menyertai dan menyebarkan gossip.

Pelik ya,
kita begitu percaya pada yang dikatakan di emel di internet, tapi
kita sering mempertikaikan apa yang dikatakan Al-Quran.

Pelik ya,
kita boleh mengirimkan ribuan jenaka termasuk gambar-gambar lucah dan surat berantai dalam emel, tapi
bila mengirim yang berkaitan dengan ibadah sering berfikir dua tiga kali.

Pelik tak kita.....?
Tepuk dada... tanyalah hati dan iman.

Puisi Muhasabah Diri oleh Pak NORA

SELAMAT BERMUHASABAH

Khamis, 18 Jun 2009

Cadangan Haram Sisters In Islam & Kebebasan Bersuara

Cadangan Haram Sisters In Islam & Kebebasan Bersuara

SOALAN

Saya ingin bertanya al-fadhil Ustaz berkenaan isu cadangan pengaharaman pertubuhan Sisters In Islam kerana pandangannya yang menyelweng dari landasan Islam. Adakah terdapat sebarang justifikasi tindakan seperti ini di zaman Nabi s.a.w dan jika tiada adakah ia bertepatan dengan Islam atau bercanggah kerana dianggap sebagai menutup pintu diskusi dan debat serta kebebasan bersuara. Harap ustaz dapat mengulas.

JAWAPAN

Hangat juga diperkatakan berkenaan isu Sisters In Islam (SIS). Saya tidak pernah melakukan kajian peribadi berkaitan pertubuhan ini, namun kerap juga membaca beberapa tulisan mereka khususnya yang tersiar di dada akhbar. Adakalanya saya juga menyemak kesahihan nisbah sesuatu berita yang tersiar di akhbar kepada web SIS sendiri.

Secara peribadi banyak sekali saya tidak bersetuju dengan pandangan SIS ini, namun demikian tidak saya nafikan sebahagian pandangan mereka masih dalam lingkungan khilaf muktabar di kalangan ulama Islam, cuma mereka mengambil pandangan yang lebih mereka rasakan relevan buat pergerakan mereka.

Manakala dalam keadaan yang lain, ada pandangan yang diutarakan oleh mereka yang dari bidang khilaf TIDAK muktabar seperti wanita menjadi imam solat jumaat, rambut bukan aurat dan sebagainya. Atau dalam kata lainnya, khilaf tidak muktabar ini adalah pandangan yang dikira menyeleweng dari tafsiran sebenar Islam berdasarkan sumber-sumber dan kaedah pengeluaran hukum yang sahih.

Erti sumber dan kaedah pengeluaran hukum yang sahih pula adalah kembali kepada al-Quran, As-Sunnah dan terpecah darinya Ijma dan qiyas serta sumber-sumber lain. Ia juga mestilah dilihat dan ditafsir menurut kaedah yang tepat melalui kaedah bahasa arab terlebih dahulu dan seterusnya melalui disemak menggunakan ilmu Usul al-Fiqh dari bidang Dalalah al-alfaz, Nasikh dan Mansukh, Mutlaq dan Muqayyad, Majazi dan Hakiki, Muhkam dan Mutasyabih. Kemudian melalui proses ta'arud wa tarjih, selain itu dilihat juga tahap kekuatan hadis dari sudut sanad dan matannya.

Telah banyak tulisan yang mendedahkan perincian di atas, dalam pelbagai jenis blog dan saya tidak berhasrat untuk mengulas hal tersebut.

BOLEHKAH MENGHARAM SESEBUAH TULISAN DAN KUMPULAN

Apa yang ingin saya ulaskan secara ringkas dan padat di sini adalah soalan sama ada boleh atau tidak, sesebuah pemerintah atau badan berwajib Islam ‘mengharam' sesuatu kumpulan, individu, tulisan, filem dan lain-lainnya. Tulisan ini juga tidak hanya memfokuskan kepada isu pertubuhan Sisters In Islam, malah jangkauannya lebih meluas kepada yang lain termasuk individu, pertubuhan NGO, politik dan lain-lain. Sebelum ini telah banyak kita baca berkenaan beberapa buah buku yang diharamkan oleh pihak JAKIM, kerajaan dan pihak berwajib. Adakah semua ini mempunyai asas di dalam Islam?

Dalam mencari pendakatan yang terbaik dalam menangani sesebuah buku, individu atau kumpulan yang menyelewengkan fatwa Islam. Beberapa dalil boleh dijadikan panduan.

Secara ringkasnya, terdapat empat tindakan yang boleh dan dibenarkan, demikian pandangan saya. Berikut adalah tindakannya menurut aturan tertib beserta dalil ringkasnya :-

PERTAMA : NASIHAT DAN DEBAT YANG TERBAIK

Nasihat dan berhujjah serta berdebat adalah pendekatan terbaik yang perlu diambil sebelum sebarang pendekatan lain digunakan.

Ia jelas dari firman Allah swt :-

Ertinya : Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. ( An-Nahl : 125 )

Kaedah lembut, bertenang dan berbincang adalah yang terbaik dalam menyelesaikan sesebuah masalah dalam negara, masyarakat malah juga keluarga. Sabda Nabi s.a.w

إن هذا الدين متين فأوغلوا فيه برفق

Ertinya : Sesungguhnya agama ini adalah rapi, teliti dan kukuh, maka masuki ke dalamnya (ajaklah) kepadanya dengan lunak dan lembut ( Riwayat Al-Bazzar, Al-Hakim ; As-Sayuti : hadis sohih ; IBn Hajar membawakan lafaz lain yang mempunyai makna yang hampir sama)

Lihat sahaja bagaimana tindakan dan keputusan Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan puak Munafiq tulen. Benar, di zaman Nabi, wujud sahabat yang dikurniakan kelebihan untuk mengenalpasti individu Munafiq dengan tepat, malah Rasul juga mengetahuinya, namun golongan ini tidak terus diharamkan dan disisih.

Ibn Qayyim pernah memberikan kesimpulan cara Nabi s.a.w dalam berhadapan dengan golongan munafiqin sebagai berikut :-

أما سيرته - أي النبي صلى الله عليه وسلم - في المنافقين, فإنه أُمر أن يقبل منهم علانيتهم, ويكل سرائرهم إلى الله, وأن يُجاهدهم بالعلم والحجة, وأمره أن يُعرض عنهم, ويُغلظ عليهم, وأن يبلغ بالقول البليغ إلى أنفسهم, ونهاه أن يصلي عليهم, وأن يقوم على قبورهم, وأخبر أنه إن استغفر لهم فلن يغفر الله لهم

Ertinya : Nabi mengarahkan umat Islam untuk menerima mereka berdasarkan zahir mereka, dan menyerahkan urusan niat dan hati kepada Allah swt. Berusaha mendekatkan mereka dengan ilmu dan hujjah, Nabi juga mengarahkan sahabat untuk menjauh mereka dan bertegas, menyampaikan kata-kata yang tepat dan hikmah kepada mereka, dilarang pula solat ke atas jenazah mereka dan menzaiarahi kuburan mereka dan memaklumkan bahawa sekiranya yang hidup beristifaghar untuk munafiq yang mati, nescaya sama sekali Allah tidak akan mengampunkan mereka. (Rujuk Zad al-Ma'ad)

Pernah satu ketika, seorang munafiq mengutuk Nabi s.a.w dengan mengatakan bau himar yang ditunggangi Nabi amat busuk, seorang sahabat bernama Usayd bin Hadyar dengan segera membalas dengan mengatakan bau himar Nabi itu sekiranya busuk sekalipun ia jauh lebih wangi dari bau tubuhmu. Nabi tetap membiarkan lelaki tadi duduk dalam majlisnya.

Dalam majlis Nabi s.a.w ada ketua kumpulan munafiqin iaitu Ubai Ibn Abi Salul mengutuk dan mencerca nabi s.a.w, lalu bangkit beberapa orang sahabat untuk ‘mengajar' Ubai, lalu Nabi berkata :

بل أُحسن إليه ما دام فينا

Ertinya : Bahkan, hendaklah kamu bersikap baik dengan mereka selagi mereka bersama kita (kelihatan sebagai orang Islam) ( Riwayat Al-Bukhari, Ktab al-Sulh, no 2691, 5/297)

Dalam kejadian lain, Ubai, ketua orang munafiqin mengatakan sekiranya kami kembali ke Madinah, kami akan kembali kepada hina setelah mulia. Sebagaiaman yang disebut oleh Allah di dalam surah Al-Munafiqun ayat ke 8.

Mendengarnya seorang sahabat berkata,

يا رسول الله! إن كنت آمرًا أحدًا أن يقتل أبي فمرني بقتله، قال: لا يا عبد الله، بل نحسن صحبته ما دام فينا

Ertinya : Wahai Rasulullah, jika sekiranya kamu memerintah seseorang untuk membunuh (ekpala) munafiq ini, maka suruhlah aku untuk menematkannya.

Nabi menjawab : Tidak wahai Abdullah, bahkan kita akan memperbaiki hubungan dengan mereka selagimana mereka bersama kita ( sebagai muslim) " (Riwayat Al-Bukhari, No 4907, 8/652)

Namun ingat, ringkasan yang diberikan oleh Ibn Qayyim. Kita disuruh untuk berlaku baik terlebih dahulu, mendekati dan berdakwah dengan mereka melalui hujjah dan debat. Namun demikian, Nabi tidak akan menyembahyangkan jenazah si munafiq sebagaimana arahan Allah swt di dalam surah at-Taubat ayat ke-84.

KEDUA : LARANGAN MEMBACA ATAU MENYEBARKAN TULISAN

Jika setelah langkah pertama diambil, lalu ternyata mereka yang terbabit masih berdegil dengan menyebarkan ideologi salah mereka. Kaedah yang kedua adalah dengan melarang orang ramai dari membaca atau menyampaikan sesebuah ilmu atau tulisan. Namun larangan ini dikeluarkan atas sifat nasihat dan saranan. Tiada sebarang peruntukan hukuman diambil pada tahap ini. Dengan demikian, pihak berwajib adalah dibenarkan melarang umat Islam dan orang ramai untuk membaca tulisan individu atau kumpulan tertentu atau dilarang juga menyebarkannya. Sebabnya :-

Kandungannya bercanggah secara pasti dengan tafsiran yang benar.
Kandungannya akan mengelirukan orang ramai dari ilmu Islam yang benar.
Untuk itu, menurut pendapat saya, pihak berwajib boleh mengeluarkan NOTIS LARANGAN untuk membaca buku tertentu, menyertai kumpulan tertentu dan sebagainya. Di peringkat ini, notis amaran larangan dari pihak berwajib kepada individu muslim awam sama ada dalam bentuk fatwa atau surat pekeliling.

Perlu difahami juga, sebarang buku atau kumpulan yang ingin dikeluarkan notis laranagn baca dan sebar MESTILAH benar-benar menyeleweng TANPA KHILAF MUKTABAR dan bukannya hanya pendapat berbeza dalam masalah ijtihadiah atau disebabkan buku tersebut mengandungi pendapat-pendapat mazhab lain dari Syafie. Ia tidak wajar sama sekali.

Apa yang sedang kita bicarakan adalah kandungannya mengandungi penyelewengan tafsiran, takwilan, huraian yang jelas lagi bercanggah dengan aliran umum mazhab Islam. Terdapat beberapa hadis yang amat penting sebagai sandaran untuk tindakan ini iaitu :-

a. Dalil Larangan Membaca Sumber Yang Salah

Jika kita meneliti beberapa hadis Nabi s.a.w, pastinya kita akan bertemu dengan satu asas yang pokok dalam hal ini iaitu kisah di antara Umar al-Khttab r.a dan baginda Rasulullah s.a.w :

أن عمر بن الخطاب أتى النبي صلى الله عليه وسلم بكتاب أصابه من بعض أهل الكتاب ، فقال : يا رسول الله ، إني أصبت كتابا حسنا من بعض أهل الكتاب ، قال : فغضب وقال : أمتهوكون فيها يا ابن الخطاب ، فوالذي نفسي بيده ، لقد جئتكم بها بيضاء نقية ، لا تسألوهم عن شيء فيخبروكم بحق فتكذبوا به ، أو بباطل فتصدقوا به ، والذي نفسي بيده ، لو كان موسى حيا ما وسعه إلا أن يتبعني .

Ertinya : Umar al-khattab membawa kepada Rasulullah s.a.w sebuah kitab yang ditemuinya dari sebahagian kitab lalu berkata :

"Wahai Rasulullah s.a.w, aku berjumpa sebuah kitab yang baik dari sebahagian ahli Kitab"

Lalu Baginda berubah menjadi marah dan berkata :

"Adakah kamu keliru pendirian (tentang agamamu) wahai Ibn Khattab? Demi Nyawaku di dalam tangan Allah, telah aku bawakan kepadamu dengan lembaran yang putih bersih (Islam dan rujukannya Al-Quran yang bersih dari ubahsuai), Jangan kamu tanyakan kepada mereka sesuatu apa pun kelak dikhabarkan oleh mereka satu perkara yang benar lalu mereka akan mendustakannya, atau diberitahu satu perkara batil, lalu mereka membenarkannya, demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya Nabi Musa a.s itu masih ia tidak akan dapat berlepas diri kecuali untuk mengikutiku" (Riwayat Ahmad ; Tafsir ibn kathir : 4/365 ; Riwayat Al-Bukhari dengan lafaz berbeza bab I'tisom bil kitab; Fath al-Bari, hadis no 6928)

Dari hadis di atas jelas memberikan kita kesimpulan berikut :-

Tindakan melarang membaca sesebuah tulisan atau buku atau ulasan sesebuah kumpulan yang ternyata membawa ajaran salah lagi sesat atau boleh menyesatkan ADALAH DIBENARKAN. Ini kerana tindakan baginda Nabi s.a.w yang MELARANG Umar untuk membaca sebarang petikan dari Taurat yang diubah itu boleh dianggap dalil Islam melarang semua umat Islam untuk membelek kitab-kitab tersebut untuk mengambil manfaat. Lainlah bagi ilmuan Islam yang menyelidikinya bagi mendedahkan kesalahannya tentunya tiada mudarat.
Taurat yang ada ketika itu telah diseleweng, atas dasar ia adalah sebuah kitab tiruan lagi menyesatkan, Nabi melarang sahabat untuk membacanya dan cukup untuk umat Islam berpegang dari menggali segala panduan dan kebaikan dari kitab Al-Quran
Tindakan itu juga dilihat bagi mengelakkan umat Islam terkeliru pada masa akan datang akibat merujuk kepada selain kitab-kitab selain Al-Quran.
Jika dilihat dari asas ini, sekiranya benar-benar terbukti kumpulan SIS atau mana-mana kumpulan lain, membawa sebuah ajaran salah lagi mengelirukan. Setelah melalui proses pertama iaitu, nasihat dan debat dengan ilmiah, namun masih berdegil. Tindakan mengeluarkan notis larangan adalah boleh diambil. Beerti, dalam keadaan itu, Majlis Fatwa mestilah mengeluarkan fatwa larangan bagi semua umat Islam untuk merujuk dan membaca idea dan tulisan pihak SIS dan yang sepertinya.

b. Larangan Penyampaian Yang Mengelirukan.

Di dalam hadis sohih yang dicatatkan oleh Imam Muslim. Abu Hurairah r.a diminta oleh nabi s.a.w untuk menyampaikan satu ilmu kepada sesiapa sahaja yang dijumpainya. Kebetulan individu pertama yang ditemuinya adalah Umar al-Khattab r.a. Apabila disampaikan ilmu tersebut kepada Umar, tiba-tiba Abu Hurairah ditegah oleh Umar sehingga menyebabkan Abu Hurairah hampir menangis. Umar kemudiannya mengarahkan Abu Hurairah untuk kembali bertemu Rasulullah dan beliau juga mengekori sama. Setelah Abu Hurairah menceritakan apa yang berlaku, lalu Rasulullah bertanya kepada Umar akan sebab beliau bertindak sedemikian. Jawab Umar :

قال: يا رسول الله بأبي أنت وأمي أبعثت أبا هريرة بنعليك من لقي يشهد أن لا إله إلا الله مستيقنًا بها قلبه بشره بالجنة؟ قال: نعم. قال: فلا تفعل فإني أخشى أن يتكل الناس عليها فخلهم يعملون قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فخلهم

Ertinya : Wahai Rasulullah, kamu utuskan Abu Hurairah bersama dua kasutmu ( sebagai bukti beliau baru bertemu Rasul) untuk mengajar orang ramai yang ditemuinya ( dengan hadismu iaitu) barangsaiapa yang menyebut La ilaha Illa Allah (Tiada tuhan melainkan Allah) dengan hati yang yakin, maka baginya Syurga, maka aku (ingin memberi pandangan), janganlah dilakukan itu, kerana aku bimbang kelak nanti manusia akan berteleku untuk melakukan itu sahaja, biarkanlah mereka terus berusaha dan beramal (untuk mendapatkan syurga).

Nabi menjawab : Benar, biarkanlah mereka berusaha dan beramal ( Riwayat Muslim, bab Iman )

Dari hadis ini jelas bahawa :-

Apa sahaja ilmu Islam yang belum sampai masa untuk penghuraiannya kepada awam, perlu ditangguh dari penyampaiannya. Walaupun ia adalah sebuah ilmu yang benar. Jika demikian bagi ilmu yang benar, bagaimana pula lagi tafsiran ilmu-ilmu yang tidak benar, mengelirukan dan menyeleweng yang disampaikan oleh individu, kumpulan seperti SIS dan sebagainya. Sudah tentu ia lebih lagi wajar untuk ditegah dan disekat dari penyebarluasannya bagi mengelak sebarang mudarat. Pemerintah boleh menangguh atau menyekat penyebaran sesebuah ilmu yang benar di ketika kebimbangan mudarat boleh berlaku lebih besar berbanding manfaat yang ingin dicapai.
Pemerintah boleh menyekat sebarang penyampaian yang benar yang tidak diiringi oleh huraian. Ini kerana sebahagian ilmu yang jika tidak disertakan huraian, akan membawa kesilapan tafsiran dan fahaman.
Imam As-Syatibi mengingatkan bahawa tidak semua ilmu yang kita ketahui perlu disampaikan dalam masa segera. (Al-Muwafaqat, As-Syatibi, 5/167)

c. Pengajaran dari Masjid Dhirar

Masjid Dhirar adalah nama yang diberikan kepada sebuah masjid yang dibina oleh puak Munafiq di zaman Nabi s.a.w. Masjid tersebut hampir-hampir dialukan oleh Nabi sehinggalah Allah swt menurunkan wahyu melarang Nabi dari mendirikan solat di dalam masjid tersebut.

Firman Allah swt

وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya : Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan mesjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ""Kami tidak menghendaki selain kebaikan."" Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) ( At-Taubat : 107)

Allah sendiri menerangkan tujuan dan objektif masjid ini iaitu untuk menimbulkan kemudaratan, kekeliruan kepada umat Islam, dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan fitnah-fitnah dan tuduhan mereka sebagaimana yang pernah dilontarkan kepada ummu Mukmini Asiyah r.a.

Dari tindakan rasulullah menjauhi masjid itu, ini jelas menunjukkan Nabi sendiri menunjukkan sunnah boikot dan menyekat diri dan tentunya para sahabat yang lain dari mendirikan solat di masjid berkenaan. Namun Nabi tidak meruntuhkannya sebagaimana Nabi tidak membenarkan sahabatnya membunuh orang munafiqin walau diketahui siapa mereka dan penentangan jahat dan sulit mereka.

KETIGA : DIKENAKAN HUKUMAN DAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Apabila semua proses di atas sudah diambil oleh pihak berwajib, namun pihak individu atau kumpulan masih berdegil dengan menyampaikan segala ilmu salahnya.

Sudah sampai masanya untuk pihak berwajib mengambil tindakan lebih keras iaitu menarik lesen pertubuhan jika ia sebuah pertubuhan, mengharamkan kemasukan dan edaran sesebuah buku atau majalah jika terdiri daripada bahan penulisan. Ataupun dijatuhkan hukuman individu yang terbabit dengan hukuman yang sesuai dengan besar mudarat yang diciptakan (bukan dengan ISA).

Proses ini boleh disandarkan kepada :-

a. Hukum Qazaf

Qazaf adalah sebuah tindakan menuduh zina seseorang lelaki atau perempuan yang baik tanpa dibawakan empat orang saksi yang adil. Tuduhan zina itu pula dilakukan secara terbuka. Akibat dari kesan keburukan tuduhan tersebut, Islam memperuntukan hukuman sebat bagi si pelaku atau penuduh. Proses tindakan undang-undang ini adalah sesuai bagi menyekat kemudaratan yang berlaku kepada yang tertuduh dan keluarganya. Hal ini telah kita sebutkan di link ini .

Saya hanya mengambil hal ini untuk memberikan contoh proses tindakan undang-undang adalah jalan terakhir bagi menyekat sesebuah tafsiran salah, ajaran sesat dan kumpulan menyeleweng.

b. Athar Abu Bakar as-Siddiq r.a

Tindakan Abu Bakar as-siddiq r.,a ketika menjadi khalifah yang berkeras untuk memerangi kaum yang enggan membayar zakat walaupun setelah dinasihati dan diterangkan kesalahan tafsiran mereka berkenaan ayat Al-Quran adalah penting dalam isu ini. (Rujuk hadis dari riwayat Abu Daud)

Puak yang enggan membayar zakat ini menyelewengkan tafsiran ayat Al-Quran surah at-taubat ayat yang ke103. Mereka mendakwa hanya diwajibkan di ketika hayat baginda Nabi s.a.w. Justeru itu, di ketika ketiadaan baginda, zakat tidak lagi menjadi wajib. [1]

Inilah besarnya kesalahan menyewelengkan tafsiran ayat sama ada dengan sengaja atau jahil. Seluruh para sahabat nabi dan imam mazhab bersepakat dan bersetuju untuk memerangi kumpulan yang enggan membayar dan menengkari kewajiban zakat ini, walaupun mereka berpuasa, menunaikan soat lima waktu kerana mereka tetap dianggap murtad kerana keingkaran kewajiaban zakat itu. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 2/228 ; Majmu al-Fatawa, 28/519 ; Fath al-bari, 14/277).

Jelas dari tindakan khalifah Abu Bakar r.a ini, memperlihatkan bagaimana tindakan dan hukuman digunakan sebagai jalan terakhir untuk menutup kemudaratan terhadap Islam.

c. Athar dari Umar dan Uthman r.a

Ditegaskan juga sekiranya semua nasihat, debat dan peringatan tidak diambil endah, tatkala itu tindakan hukuman adalah langkah seterusnya.

Umar dan Uthman r.a kedua-duanya diriwayatkan berkata dengan lafaz yang hampir sama :-

إن الله ليزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن

Ertinya : Sesungguhnya Allah swt akan melarang melalui kuasa sesuatu yang tidak dapat dilarang dan ditegah melalui Al-Quran (peringatan dan nasihat) ( Tarikh baghdad, 4/107 untuk hadis Umar, dan At-Tamhid, Ibn Ab Barr, 1/118 untuk hadis Uthman)

Inilah yang diterangkan oleh Imam Ibn Kathir ketika membawakan athar ini di dalam tafsir beliau dengan katanya :-

أي ليمنع بالسلطان عن ارتكاب الفواحش والآثام، ما لا يمتنع [عنه] كثير من الناس بالقرآن، وما فيه من الوعيد الأكيد والتهديد الشديد وهذا هو الواقع

Ertinya : Maskudnya (athar diatas) si pelaku kemungkaran akan ditegah dengan kuasa daripada terus melakukan kemaksiatan fawahish dan dosa, iaitu apabila mereka gagal ditegah kebanyakan manusia setelah diberi nasihat, ancaman azab, dan inilah hakikat yang berlaku. ( Tafsir Ibn Kathir, 5/111)

Itulah hakikatnya kata Ibn Kathir dan ia juga diperkukuhkan oleh Ibn Taymiah apabila menjelaskan keperluan kepada hukum hudud dan takzir ke atas kesalahan yang pasti akan terus wujud seperti zina, rogol, rompak, curi, bunuh dan lain-lain walaupun nasihat dan peringatan telah diberi di sana sini. Tatkala itu, kuasa dan hukuman undang-undang adalah kaedahnya.

KEBEBASAN BERSUARA & PENDAPAT

Perbincangan hak kebebasan bersuara atau freedom of expression menurut Islam adalah amat panjang dan telah banyak buku dan artikel ilmiah yang ditulis dalam topik itu.

Apa yang ingin saya jelaskan, adalah amat tidak benar lagi bohong jika dikatakan ada sebuah ideoleogi yang membenarkan kebebasan bersuara tanpa had dan batasan.

Semua kebebasan ada batasannya, hatta dalam sebuah negara yang dikatakan bebas berlandaskan undang-undang demokrasi seperti Amerika pun mempunyai batasan kebebasan suaranya. Demikian di Britain dan lain-lain negara Eropah, walaupun mereka sering digelar negara yang paling bebas untuk bersuara, namun batasan tetap wujud. Bukan di Eropah sahaja malah di seluruh dunia dengan apa jua ideologi seperti Komunis, Sosialis, Free Thinker dan lainnya. Mereka tetap mempunyai undang-undang yang menghadkan sesebuah kebebasan suara.

Maka itulah juga kebebasan bersuara di dalam Islam. Islam menghadkan kebebasan bersuara dalam banyak hal, secara ringkasnya tiada kebebasan dalam hal berikut :-

· Mencela Allah swt dan tuhan-tuhan ciptaan manusia. Kerana mencela tuhan-tuhan hatta ciptaan manusia membuka mudarat besar untuk pergaduhan maut selain membuka ruang celaan balas terhadap Allah swt. Larangan ini disebutkan dengan jelas oleh Allah di dalam surah al-An'Am : 108. Ertinya :

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan"

· Mencela rasul dan lain-lain Nabi, sama ada dalam bentuk tulisan, lukisan dan percakapan.

· Menulis dan bercakap sesuatu yang menyelewengkan erti dan tafsiran sebenar ayat Al-Quran dan al-Hadis sama ada secara jahil atau sengaja. Ini yang banyak di dakwa dilakukan oleh kumpulan SIS dan juga pencipta filem pendek Fitna atau juga Prof. Ahmad Amin di Mesir, Astora Jabat dan ramai lagi. Rujuk di sini untuk sedikit tambahan nama-nama yang terlibat . Kerana itu Nabi s.a.w memberi amaran bagi sesiapa yang ingin berkata :-

ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب

Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)

Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum.[2] Kita sudah melihat tadi bagaimana penyelewengan tafsiran hukuman zakat sahaja boleh menyebabkan puak arab diperangi oleh Khalifah Abu Bakar r.a.

· Menulis sesuatu berkaitan Islam tanpa didasari sumber yang sohih dan benar, sehingga mencalar ajaran Islam dan Nabi. Sebagaimana yang dilakukan oleh Farish A Noor ketika berkenaan menulis berkenaan isteri Nabi, tulisan yang menghina Nabi akibat kejahilannya dengan sumber sirah yang sohih.

· Menuduh zina atau liwat orang lain tanpa saksi yang mencukupi.
· Sewenangnya mengumpat dan mencaci orang lain. Nabi berkata :

سباب المسلم فسوق وقتاله كفر

Ertinya : Mencerca dan mencela seorang muslim adalah fasiq, dan membunuhnya boleh jatuh kafir (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dan banyak lagi yang tidak bebas jika ingin saya senaraikan semuanya. Sama ada dari sudut Islam atau juga undang-undang kenegaraan. Hasil dari itu, untuk mana-mana pihak menghentam cadangan pengharaman hanya berbekalkan hujjah kebebasan bersuara. Itu bukanlah hujjah yang bijak dan ia tertolak. Kalau benar, kumpulan itu menyeleweng tafsiran al-Quran dan Hadis serta hukum, amat wajarlah untuk disekat kebebasan buat mereka, akibat salahguna yang memudaratkan Islam.

KESIMPULAN

Jelas bahawa pihak berwajib mestilah mengambil langkah matang dan lembut dengan membuka ruang diskusi dan debat ilmiah yang tidak emosi sebelum terus kepada sebarang tindakan lebih aggresif kepada mana-mana kumpulan dan individu.

Amat dukacita jika tindakan pengharaman dilakukan SEBELUM LANGKAH PERTAMA DAN KEDUA dilaksanakan, sedangkan ditutup ruang perbincangan dan penjelasan. Maka oleh itu, dalam kes Sisters In Islam, secara peribadi saya lebih cenderung untuk dilakukan proses bincang dan bahas secara ilmiah, ia adalah pendekatan yang terlebih utama. Jika gagal barulah diteruskan dengan langkah-langkah yang lain, khususnya pengharaman dan tindakan.

Secara tidak langsung ia akan memberi ruang kepada para ilmuan Islam di Malaysia untuk kembali mengasah ilmu mereka yang kebanyakkannya sudah tumpul dek kerana asyik menutup pintu perbincangan dengan pihak yang berbeza dengan mereka.Sedangkan, pintu ilmu terbuka luas di era tanpa sempadan ini.

Saya pernah melihat vcd pertemuan beberapa wakil ulama PAS dengan pihak Sisters In Islam, menerang dan berbahas isu hudud dan sepertinya sekitar awal tahun 2003 atau 2004 yang lalu( Tidak dapat diingat dengan pasti). Apa yang saya benar-benar ingat, ketika itu saya berada di Jordan dan setelah mengikuti vcd itu, saya berasa amat kecewa dengan prestasi amat lemah wakil PAS dalam memberikan hujjah nas dan logik kepada wakil SIS sehingga ada wakil SIS yang keluar dari dewan dek kerana bosannya dengan hujjah lembik wakil PAS.

Amat malang, diskusi itu tidak menambah kefahaman SIS berkenaan hudud dan wanita, malah mungkin menambah keyakinan mereka yang salah. Saya pasti PAS masih mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu lagi berilmu, justeru buatlah pemilihan dengan tepat dari senarai panjang ulama muda dan dewasa anda jika ingin dilakukan lagi perbahasan dengan pihak SIS, mereka sentiasa mendapat input dari pelbagai pihak bijak pandai dari luar negara, khususnya pemikir liberal dan orientalis.

Bersedialah dengan lebih lagi, kita inginkan mereka yang lebih cekap dan bijak untuk memberikan penerangan dan penjelasan secara nas dan logik yang jelas lagi memuaskan hati. Kerana pengharaman dan kutukan tanpa menyedarkan mereka tidak akan berjaya menutup kemudaratan dari terus berlaku.

Secara peribadi, saya juga bersetuju kiranya tidak diharamkan sekalipun pertubuhan itu, disebabakan menyedari ada usaha baik yang dilaksanakannya khususnya untuk para wanita dari sudut undang-undang keluarga. Adalah amat elok untuk ditanggalkan nama ‘Islam' dari pertubuhan tersebut. Biarlah ia menjadi sebuah pertubuhan wanita semata-mata. Bagi pertubuhan yang ingin mengguna nama Islam di dalam Negara, letakkan syarat seperti nama Bank ‘Islam' yang mana tidak dibenarkan mana-mana institusi kewangan untuk menamakan diri mereka dengan ‘Islam' atau menawarkan produk Islam kecuali telah menepati syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia seperti memiliki penasihat Shariah dan lain-lain syarat.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

23 Jumada Akhir 1430

17 Jun 2009

KONSERT NYANYIAN DARI SUDUT HUKUM ISLAM

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH!!

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari hiburan. Ada antara mereka yang mencari hiburan itu dengan melancung, makan angin, bersiar-siar, bersukan, memancing ikan, menari, mendengar nyanyian dan sebagainya.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, makan minum, pakai dan lain-lain. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Hal ini telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan"(Surah Al-An‘am: 32)

JAUHI PERKARA SYUBHAH

Islam menggariskan ketetapan mengenai perkara halal dan haram dengan jelas dan terang melalui Al-Qur‘an, hadith, ijma‘ dan qiyas. Para ulama juga telah meletakkan kaedah-kaedah umum mengenai halal haram apa yang disebut sebagai qawaid fiqhhiyyah.

Jika kedudukan suatu perkara itu telah jelas, tidak ada kesamaran, hatta dalam kesamarannya pun (syubhah) maka kewajipan kita ialah mengikut dan taat menurut perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: "Daripada Abu Abdullah bin An-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhuma, katanya: "Aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (juga) jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (belum diketahui halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang syubhah itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya (daripada kata nista orang lain). Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan tergelincir ke dalam perkara haram pula, laksana seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar tempat larangan, akhirnya lalai, lalu memasuki tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja itu, ada tempat larangannya dan tempat larangan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu ada seketul daging. Sekiranya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad itu. Ia itulah hati".(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas adalah selamat bagi setiap orang Islam menurut petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang samar-samar atau syubhah agar tidak terjebak kepada haram.

Begitulah juga apabila bercakap mengenai perkara halal atau haram hendaklah merujukkan perkara tersebut kepada orang yang ahli mengenainya. Ditakuti perkara yang halal disangkakan haram dan begitulah sebaliknya. Jika perkara sedemikian berlaku dikhuatiri akan menjejaskan aqidahnya. Yang paling mendukacitakan dan merasa kesal jika perkara haram itu dipromosikan maka jadilah perkara haram (mungkar) itu suatu yang dibanggakan dan perkara yang halal (ma‘ruf) dipandang mungkar. Inilah peringatan sebagaimana yang disebut oleh kitab Mau‘izah Al-Mukminin min Ihya Ulum Al-din:

Maksudnya: "Cubalah anda perhatikan (lihat) bagaimana yang mungkar itu menjadi perkara ma‘ruf dan yang ma‘ruf itu pula menjadi mungkar".

Maka dalam ruangan irsyad hukum kali ini akan menjelaskan mengenai konsert nyanyian dari sudut Islam, sama ada ia perkara halal atau sebaliknya yang banyak dipetik dari Fatwa Mufti Kerajaan mengenai Islam dan Muzik.

SEJARAH KONSERT

Konsert ialah satu persembahan muzik di hadapan penonton. Istilah ini pada kebiasaannya dikhaskan untuk persembahan yang dipertunjukkan oleh suatu kumpulan ahli muzik. Manakala persembahan yang dilakukan oleh seorang atau lebih pemuzik biasanya dipanggil retical. Perkataan konsert pada asalnya bermakna gabungan ahli persembahan suatu kensert viol bukan persembahan itu sendiri dan istilah itu tidak mempunyai makna seperti sekarang sehingga abad ke 17. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215)

Menurut Ensiklopedia Malaysiana, sebelum abad ke 17, muzik hanya diperdengarkan di gereja, di dewan persendirian orang bangsawan atau di perjumpaan akademi yang tertutup atau kumpulan lain. Walau bagaimanapun dengan perkembangan opera pada abad ke 17 seni muzik buat pertama kalinya menjadi satu institusi orang ramai. Konsert orang ramai yang terawal pernah direkodkan dan mengenakan bayaran masuk adalah konsert yang diadakan di London oleh pemain biola John Bawister pada tahun 1672. Pada abad ke 18 pula konsert orang ramai mula terbentuk kukuh di seluruh Eropah dan Amerika. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215)

Berdasarkan penjelasan di atas konsert adalah suatu persembahan oleh ahli gabungan muzik. Muzik pula ialah gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama. Muzik tidak boleh lari daripada alat-alatnya kerana daripada alat-alat inilah timbul alunan bunyi dan irama, sama ada ia berbentuk:

(1) Dipukul atau dipalu seperti gendang atau rebana.

(2) Ditiup seperti seruling, serunai atau trompet.

(3) Dipetik seperti kecapi, gambus, gitar atau biola.

Apabila disebut alat-alat muzik terbayang kepada kita tentang alat-alat hiburan yang dibuat oleh manusia untuk menghasilkan alunan bunyi-bunyian. Alat-alat muzik itu pada kebiasaannya dimainkan untuk mengiringi lagu-lagu, sama ada untuk majlis-majlis keagamaan ataupun semata-mata hiburan.

Dalam masyarakat moden sekarang ini, pelbagai irama muzik yang dimainkan sama ada melalui radio, televisyen ataupun mengadakan konsert secara langsung. Persoalan yang hendak dihuraikan ialah adakah bermain muzik itu harus atau bertentangan dengan hukum syara‘?

HUKUM MUZIK

Kedudukan hukum muzik itu akan tergantung kepada apa jenis alat yang digunakan kerana ada di antara alat muzik itu yang diharamkan oleh syara‘ dan ada pula tidak. Jadinya kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

(1) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syara‘, maka kedudukan muzik itu adalah haram.

(2) Menggunakan alat muzik yang diharuskan oleh syara‘, maka kedudukannya adalah harus.

(3) Bermain atau menggunakan alat muzik yang harus, tetapi dicampur dengan perkara-perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram.

ALAT-ALAT MUZIK YANG DITEGAH

Dalam beberapa buah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan jenis-jenis alat muzik yang diharamkan. Adapun alat-alat muzik yang ditegah oleh syara‘ itu ialah:

i. Al-Ma‘azif iaitu sejenis alat muzik yang bersenar (bertali) banyak.

ii. Al-Mazamir iaitu alat muzik yang ditiup seperti seruling.

iii. Al-Awtar atau Al-‘ud iaitu alat muzik yang bertali sejenis kecapi.

iv. Al-Thabl atau Al-Kubah iaitu gendang kecil yang ramping di tengah.

v. Al-Kamanjah iaitu Biola.

vi. Al-Rabab iaitu alat bunyian (seperti biola) yang bertali dua atau tiga.

vii. Al-Shanj iaitu canang, berupa dua piring kekuningan yang diadu.

viii. Al-Junk atau Al-Thunbur iaitu alat muzik yang dipetik yang mempunyai leher panjang dan mempunyai tali daripada tembaga (berasal dari Parsi).

Pengharaman alat-alat muzik yang dinyatakan di atas berdasarkan hadis-hadis berikut;

i. Diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: "Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan saya menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan alat ma‘azif (alat bunyi-bunyian) dan alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (bunyi-bunyian bertali), salib (cross) dan perkara-perkara jahiliah dan Tuhan saya telah bersumpah dengan kebesaranNya dan kekuasaanNya dan dengan kemuliaanNya: "Tiada minum seorang hamba daripada hamba-hambaKu itu akan seteguk daripada arak dengan sengaja ketika berada di dunia melainkan Aku akan meminumkan dia ganti arak itu daripada darah nanah pada Hari Kiamat, sama ada diampunkan dia atau sama ada diazabkan dia dan tiada siapa hambaKu yang meninggalkan arak di dunia kerana takutkan Aku, melainkan Aku beri dia minum akan arak di syurga. Tiadalah halal dijual benda-benda itu dan tiada halal dibeli akannya dan tiada halal diperniagakan dan harganya adalah haram.(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Thayalisy)

2. Ahmad bin Mani‘ Al-Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz:

Maksudnya: "Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan saya (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekalian alam dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan mazamir, ma‘azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah (dan sekarang) dan Tuhan saya telah bersumpah dengan kebesaranNya dan kekuasaanNya. "Tiada seorang hamba yang minum arak di dunia melainkan Aku minumkan dia dari air panas neraka sama ada dia kena azab atau diampunkan dia dan tiada meninggalkan oleh seorang hamba daripada hamba-hambaKu itu akan arak (di dunia kerana takutkan dosanya) melainkan Aku beri dia minum akan arak syurga".

Hadis ini disokong oleh hadis riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang telah berkata:

Maksudnya: "Kubah itu haram, dannu itu haram, ma‘azif (alat muzik bertali) itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram".(Hadis riwayat Ahmad)

3. Di riwayatkan oleh Al-Bazzar daripada riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengharamkan bangkai, judi dan kubah yakni thanbur (bukan thunbur perang)".

4. Dalam hadis yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Ditukarkan keadaan satu golongan daripada umatku kepada keadaan yang lebih buruk dengan sebab mereka meminum arak dan bermain kubah (sejenis gendang) dan ma‘azif (alat muzik bertali)".

5. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: "Aku diperintahkan untuk membinasakan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup"(Hadis riwayat Ad-Dailami)

Demikian beberapa hadis yang menjadi dalil tentang haramnya alat-alat hiburan (muzik). Para ulama mazhab Al-Syafi‘e juga telah menghukumkan bahawa alat-alat muzik itu adalah haram, sebagaimana yang disebutkan oleh hadis di atas.

Dalam kitab Al-Muhadzdzab karangan Imam Abu Ishak Al-Syirazi menjelaskan bahawa haram menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan (dipanting atau digendang) tanpa ada lagu seperti ‘ud, thaunbur, ma‘azifah, thabl (gendang) dan mizmar. Adapun dalil haramnya bermain muzik itu sekalipun tidak diiringi dengan lagu berdasarkan firman Allah:

Tafsirnya: "Dan ada di antara manusia; orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah".(Surah Luqman : 6)

Menurut Ibnu ‘Abbas maksud tafsir "perkara hiburan yang melalaikan" itu adalah alat-alat hiburan. (Al-Muhadzdzab: 2/457)

Begitu juga dalam kitab Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya, dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, ‘ud, shanj dan mizmar Iraqi dan (haram) mendengarnya. (Hasyiah Qalyubi wa Umairah: 4/321)

Imam Ibnu Hajar pula menyebutkan dalam kitabnya Al-Zawajir bahawa Abu Al-Abbas Al-Qurtubi telah berkata: "Adapun alat-alat muzik yang ditiup (al-mazamir), alat-alat muzik yang bertali (al-awtar), alat-alat muzik yang digendang (kubah), maka tiada perselisihan ulama pada mengharamkan mendengarnya dan aku tidak mendengar seorang pun daripada ulama yang muktabar sama ada daripada ulama salaf dan juga khalaf yang berpendapat mengharuskannya. Dengan hal yang demikian tidak syak lagi pada mengharamkannya dan tentang fasik dan berdosanya orang yang melakukannya, kerana ia adalah syiar (tanda dan lambang) bagi penggemar-penggemar arak dan penyokong-penyokong perbuatan fasik".

Sesungguhnya ulama-ulama dalam mazhab Syafi‘e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan kita dapati juga ulama-ulama mazhab lain seperti ulama mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat demikian.

ALAT MUZIK YANG DIHARUSKAN

Para ulama mazhab As-Syafi‘e telah menghukumkan bahawa alat-alat muzik itu pada umumnya haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu, melainkan ada nash yang mengharuskannya.

Duff (kompang) diharuskan memukulnya ketika meraikan hari raya atau majlis-majlis perkahwinan. Adapun memukul rebana dalam majlis-majlis tersebut berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana di atas pernikahan itu".

Harus juga menyanyikan lagu-lagu yang senikata atau liriknya tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam dengan iringan duff itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur, tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang Islam. (Al-Majmuk : 23/58 & Majmuk Fatawa wa Rasail : 181-182)

NYANYIAN MENURUT HUKUM

Pada kebiasaannya nyanyian itu diiringi dengan pelbagai irama dan muzik. Di zaman ini sahaja, nyanyian itu menjadi alat penghibur hampir seluruh masyarakat kerana ramai orang meminatinya, lalu dihukumkan harus, adakah begitu?

Al-Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya "Halal dan Haram" menyebutkan bahawa di antara hiburan yang dapat menghibur jiwa dan menenangkan hati serta menyedapkan telinga ialah nyanyian. Hiburan nyanyian ini telah diharuskan oleh Islam selama ianya tidak dicampuri kata-kata kotor atau cabul atau yang boleh memberangsangkan kepada dosa. Dan tidak mengapa nyanyian itu disertai muzik yang tidak membangkitkan nafsu. (H.291) Adapun hadis-hadis Nabi yang melarang nyanyian, semuanya cacat, tidak ada satupun yang selamat daripada celaan di sisi ulama hadis. (H.293)

Sebelum kita menghuraikan pendapat dan ulasan ulama mengenai perkataan Al-Syeikh Al-Qardhwi di atas, elok juga diberikan ulasan mengenai perkataan beliau iaitu "hadis-hadis Nabi yang melarang nyanyian semuanya cacat, tidak satupun yang selamat daripada celaan di sisi ulama hadis".

Oleh yang demikian adalah wajar dibawakan salah satu hadis yang berkenaan serta pemahaman ulama mengenainya iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dalam Shahihnya membawakan hadis Abu Malik Al-Asy‘ari (dirajihkan oleh Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Pasti akan ada golongan daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-ma‘azif (alat bunyi-bunyian)".(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini juga disebut oleh Al-Syeikh Al-Albani dalam Al-Shahih. Beliau telah menjelaskan bahawa hadis ini hadis maushul, shahih al-isnad dan tidak seperti yang didakwakan oleh Ibnu Hazm. Ulama telahpun menolak pendapat-pendapat yang melemahkan hadis ini, seperti Imam Ibnu Al-Qayyim, al-Hafiz dan lain-lain.

Manakala perkataan yastahillun (يستحلون) bermakna "mereka menghalalkan" dalam hadis ini memberi makna bahawa zina, sutera, arak dan ma‘azif (alat bunyi-bunyian dan nyanyian itu) adalah tidak halal (haram) tetapi mereka menghalalkannya juga.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun menyebutkan zina, sutera dan arak dalam hadis ini, sedang sedia dimaklumi bahawa zina dan arak itu telah sabit haramnya dalam Al-Qur‘an dan sunnah dengan tidak boleh dibantah-bantah lagi. Kemudian Baginda menyambung pula dengan menyebutkan ma‘azif (sebagai penegasan) bahawa ma‘azif itu juga sama hukumnya iaitu haram seperti zina, sutera dan arak.

Mengapa Baginda menyebut dan menghimpunkannya bersama dengan zina dan arak pada hal keduanya itu telahpun sabit dan dimaklumi akan haramnya? Kemudian datang lagi perkataan yastahillun (mereka menghalalkan). Mafhum daripada perkataan ini, bahawa walaupun benda-benda itu sudah jelas hukum haramnya namun akan terdapat daripada kalangan umat Baginda yang mahu menghalalkannya (bahkan ia sudah pun berlaku sekarang ini).

Berdasarkan hadis dan pemahaman ulama mengenainya, apakah beliau (Al-Qardhawi) masih mempertikaikan bahawa semua hadis-hadis yang berkaitan dengan nyanyian itu adalah hadis-hadis yang cacat sedangkan Imam Al-Bukhari terkenal dan ahli dalam bidang hadis shahih dan tidak seorang pun ulama yang mempertikaikannya.

Pengarang risalah Nushh Al-‘Uqala’ bima Ja’a fi Tahrim Alat Al-Lahw wa Al-Ghina, Fadhilah Al-Syeikh Umar Sulaiman Al-Asyqar pula telah mengemukakan satu ulasan yang bernas lagi menarik, katanya: "Al-Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dengan keluasan ilmu, penyelidikan dan dakwahnya, namun beliau telah tersilap daripada kebenaran dalam perkara ini. Kata-katanya (pendapatnya) itu adalah taqlid jua, terikut-ikut dengan pendapat orang-orang sebelumnya, seperti Al-Imam Ibnu Hazm dan lain-lain. Ia sudah dibantah dengan keterangan-keterangan berdasarkan hadis-hadis Nabi yang warid oleh ulama-ulama".

Al-Syeikh Al-Albani seorang pakar hadis dari Syria pada abad ini juga telah memberikan jawapan yang bernilai terhadap apa yang disebutkan oleh pengarang buku "Halal dan Haram". Mula-mula beliau mengulas hadis ‘Aisyah seperti berikut: "Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Abu Bakar pernah masuk menemuinya, sedang di sampingnya dua anak perempuan sedang menyanyi dan memukul gendang pada Hari Mina (‘Idul Adha), ketika itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menutup wajah Baginda dengan pakaiannya. Abu Bakar menengking kedua anak perempuan itu. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membuka wajahnya dan bersabda: "Biarkan mereka, wahai Abu Bakar kerana hari ini adalah Hari Raya."
(Hadis Shahih Muttafaq ‘Alaih, dikeluarkan oleh Al-Bukhari (1: 242,252), Muslim(3:22), Al-Nasa’I(1:236) dan Ahmad (6:33,84, 99,127, 134)

Al-Albani memberikan kesimpulan mengenai hadis di atas bahawa kesilapan Ibnu Hazm berpunca daripada kewahamannya, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang Abu Bakar menegah dua budak perempuan itu secara mutlak bukannya daripada pengakuan (ikrar) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap dua anak perempuan tersebut. Kerana yang demikian itu menunjukkan dalil keharusan yang berkaitan dengan menyanyi pada hari raya dan memukul duff, adapun selain daripada itu, semuanya ditegah (sebagaimana pertunjuk daripada hadis-hadis yang tsabit yang mengharamkan ma‘azif dan alat-alat yang ditiup), dan harus menyanyi itu bagi anak-anak kecil perempuan sebagaimana yang diperjelaskan oleh para ulama. (Tahrim Alat At-Tharb: 113)

Ibnu Al-Jauzi berkata: "Dan kenyataannya bahawa dua anak perempuan itu adalah anak-anak kecil dan ketika itu Aisyah masih kecil dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membenarkan dua orang anak perempuan itu bermain dengannya". (Talbis Iblis : 1/239)

Dalam hal ini Al-Albani juga berkata: "Pada saya ada satu juz yang mengandungi bantahan terhadap risalah Ibnu Hazm yang mengharuskan alat-alat muzik, di mana dalam juz ini saya sertakan sama semua hadis yang warid (yang benar-benar datangnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) yang mengharamkan ma‘azif, dan saya juga memberikan kritikan ilmiyah dan penjelasan, bahawa Ibnu Hazm telah tersilap dari kebenaran ketika melemahkan sebahagian besar dari hadis-hadis itu".

Beliau juga menjelaskan bahawa kata-kata Al-Ghazali mengenai hadis Aisyah sebagai nash yang menunjukkan nyanyian itu tidak haram, adalah kata-kata ini batal dalam pandangan ulama, kerana hadis berkenaan itu khas pada nyanyian dua kanak-kanak perempuan kecil memalu duff pada Hari Raya. Inilah perkara yang diakui oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ada pun orang yang menjadikannya sebagai dalil bagi mengharuskan nyanyian secara mutlak daripada wanita-wanita ajnabi (bukan mahram) yang sudah dewasa dan mengharuskan memetik apa jua alat muzik seperti gambus dan sebagainya, maka adalah perkara ini tidak syak lagi terkeluar daripada kebenaran dan dari jalan orang-orang yang insaf serta membawa hadis ini kepada makna yang tidak tepat".

Dengan ini memberi pengertian bahawa perkara tersebut memang ianya tidak harus selain pada Hari Raya, kecuali yang dikecualikan oleh syara‘ melalui nash yang lain, seperti duff di majlis perkahwainan menurut qaul yang masyhur dalam mazhab Syafi‘e. (Al-Majmuk : 23/58 & Majmuk Fatawa wa Rasail : 181-182)

NYANYIAN BERSERTA MUZIK

Dari penjelasan di atas, maka nyanyian yang disertai dengan muzik daripada alat-alat muzik yang ditegah adalah haram, begitu juga menyewa penyanyi atau menguruskan bagi nyanyian itu.

Walau bagaimanapun nyanyian itu adalah harus hukumnya jika disertai dengan alat muzik yang ada nash pada mengharuskannya seperti duff (kompang) pada hari-hari perkahwinan dan hari raya, dengan syarat nyanyian itu tidak terkeluar daripada kaedah-kaedah dan dasar-dasar Islam.

NYANYIAN TANPA MUZIK

Adapun nyanyian tanpa disertai dengan alat-alat muzik yang haram adalah diharuskan. Selagi senikata atau liriknya tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam. Sebagai contoh, Al-Hida’ iaitu nyanyian penggerak semangat yang dilakukan oleh pengendali kenderaan supaya berjalan cergas. Ini berdasarkan riwayat, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perjalanan jauh, seorang budak lelaki bernama Anjasyah menyanyikan nyanyian penggerak semangat supaya unta yang dikenderai berjalan cergas, lalu Baginda bersabda: "Perlahankan sedikit wahai Anjasyah. Yang engkau bawa ini terdapat kaum perempuan." Menurut riwayat Al-Bukhari, yang bernama Anjasyah ini memiliki suara yang merdu.

Berdasarkan nash-nash yang terang lagi shahih dan pendapat-pendapat a‘immah al-salaf (ulama-ulama salaf) daripada kalangan sahabat, tabi‘in, imam-imam yang empat dan lain-lain daripada kalangan ulama pada segala zaman dan tempat, maka hukum mengenai alat-alat nyanyian serta lain-lain yang berkaitan dengannya itu telahpun jelas, tiada lagi boleh diputar-belitkan. Jika ianya sudah jelas, tiada lagi kesamaran pada larangan ke atasnya, kecualilah yang ada disebut oleh nash tentang hukum sebaliknya.

Oleh yang demikian adalah wajar dibawakan ringkasan nash-nash yang berkenaan serta pemahaman mengenainya dan beberapa aqwal ulama;

1. Al-Imam Al-Bukhari dalam Shahihnya membawakan hadis Abu Malik Al-Asy‘ari (dirajihkan oleh Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Pasti akan ada golongan daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-ma‘azif (alat bunyi-bunyian)".(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini juga disebut oleh Al-Syeikh Al-Albani dalam Al-Shahih. Beliau telah menjelaskan bahawa hadis ini hadis maushul, shahih al-isnad dan tidak seperti yang didakwakan oleh Ibnu Hazm. Ulama telahpun menolak pendapat-pendapat yang melemahkan hadis ini, seperti Imam Ibnu Al-Qayyim, al-Hafiz dan lain-lain.

Perkataan yastahillun bermakna "mereka menghalalkan" dalam hadis ini memberi makna bahawa zina, sutera, arak dan ma‘azif (alat bunyi-bunyian dan nyanyian itu) adalah tidak halal (haram) tetapi mereka menghalalkannya juga.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun menyebutkan zian, sutera dan arak dalam hadis ini, sedang sedia dimaklumi bahawa zina dan arak itu telah sabit haramnya dalam Al-Qur‘an dan sunnah dengan tidak boleh dibantah-bantah lagi. Kemudian Baginda menyambung pula dengan menyebutkan ma‘azif (sebagai penegasan) bahawa ma‘azif itu juga sama hukumnya iaitu haram seperti zina, sutera dan arak.

Mengapa Baginda menyebut dan menghimpunkannya bersama dengan zina dan arak pada hal keduanya itu telahpun sabit dan dimaklumi akan haramnya? Kemudian datang lagi perkataan yastahillun (mereka menghalalkan). Mafhum daripada perkataan ini, bahawa walaupun benda-benda itu sudah jelas hukum haramnya namun akan terdapat daripada kalangan umat Baginda yang mahu menghalalkannya (bahkan ia sudah pun berlaku sekarang ini).

2. Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksunya: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku atau Allah mengharamkan arak, judi, al-kubah dan setiap yang memabukkan adalah haram. Berkata Sufyan: "Saya telah tanyakan kepada Ali bin Bazimah: "Apakah al-kubah itu? Jawabnya: "Gendang".(Hadis riwayat Ahmad)

Dalam hadis ini didapati dengan jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memulai sabda Baginda dengan "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku ….."

Baginda kemudian menyebutkan pula apa-apa yang telah diharamkan itu, di antaranya al-kubah. Ulama telah menafsirkan al-kubah itu sebagai al-thabl, iaitu gendang sebagaimana tersebut dalam Musnad Ahmad dan gendang itu adalah antara alat-alat muzik dan nyanyian.

3. Daripada Abu Hurairah, katanya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: "Suatu kaum daripada umat ini pada akhir zaman akan ditukar rupanya menjadi kera dan babi." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah tidak mereka itu (dari golongan yang dipersaksikan tiada Tuhan (yang sebenar-benarnya disembah) melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah?" Baginda menjawab: "Bahkan (mereka sesungguhnya orang Islam) dan mereka itu berpuasa, sembahyang dan naik haji." Sahabat bertanya lagi: "Jadi mengapakah mereka begitu?" Baginda menjawab: "(Kerana) mereka mengambil (menggunakan) alat-alat hiburan yang ditiup, dufuf dan penyanyi-penyanyi perempuan. Lalu mereka itu tidur dalam keadaan mabuk kerana minum arak dan (tenggelam dalam) hiburan. Maka pada pagi harinya mereka ditukar menjadi kera dan babi".
(Hadis riwayat Ibnu Abi Al-Dunia Dalam kitab Celaan Bagi Alat-Alat Hiburan)

4. Daripada ‘Imran bin Hasin, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Di dalam umat ini akan terjadi peristiwa ditelan bumi, berubah rupa bentuk dan dilempar dengan batu." Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya: "Wahai Rasululah, bilakah terjadi peristiwa itu?" Baginda bersabda menjawab: "Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang ditiup dan berbagai jenis arak diminum."(Hadis dikeluarkan oleh Al-Tirmizi)

Dalam hadis 3 dan 4 di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan bahawa "ditelan bumi, berubah rupa dan dilontari dengan batu" akan terjadi dalam umat ini. Baginda memberitahu bahawa peristiwa tersebut akan terjadi apabila nyata dan berleluasa penyanyi-penyanyi perempuan, muzik dan arak. Allah Ta‘ala tiadalah akan menyiksa satu-satu umat itu dengan ditelan bumi, diubah rupa bentuk atau dilempari dengan batu, kecualilah bilamana mereka itu melakukan apa-apa yang diharamkan ke atas mereka dan melakukan kerosakan di muka bumi.

Memakai dan menggunakan alat-alat muzik, melakukan tari menari dan nyanyian itu adalah di antara perkara-perkara mungkar yang menyeret kepada kerosakan. Lihatlah gejala sosial hari ini berkembang dan subur, ianya turut tercetus daripada budaya dan cara hidup baru yang dibawakan oleh penari dan penyanyi-penyanyi di seluruh dunia. Budaya dan cara hidup tersebut menular dan sampai kepada masyarakat Islam tanpa mengira bangsa mereka. Budaya ini dikembangkan lagi melalui kumpulan konsert yang diimport dan dipromosikan begitu rupa. Sehingga sebahagian masyarakat menjadikan mereka sebagai idola dan sebahagiannya pula tidak bersetuju apabila ada usaha-usaha pihak tertentu yang hendak mencegah pertunjukkan seumpama itu.

5. Dalam atsar Ibnu Masud, beliau berkata:

Maksudnya: "Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifaq dalam hati, sebagaimana air menumbuhkan tanam-tanaman".(Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Abi Al-Dunia)

Daripada penegasan Al-Qur‘an dan sunnah serta atsar sahabat di atas, kiranya dapatlah ia menundukkan nafsu dan sentimen tidak sihat yang mempertahankan alat-alat muzik dan nyanyian itu. Apabila pintu hidayah terbuka dan datang rasa insaf kerana Allah, maka sudah barang tentu tidaklah akan wujud keberanian untuk mengatakan perkara-perkara yang ditegah itu sebagai tidak ada apa-apa atau ia diharuskan, sedangkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengharamkannya. Dalam hal ini Allah Ta‘ala telah berfirman dengan jelas dan nyata:

Tafsirnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu".
(Surah Ali Imran: 31)

Inilah petunjuk daripada Allah bahawa patuh mengikut apa-apa yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam , ganjarannya adalah besar iaitu mendapat kasih sayang Allah serta diampunkan segala dosa.

i. Nyanyian Pada Hari Raya:

Harus hanya dengan memukul atau dengan iringan duff (kompang), iaitu bagi menunjukkan kegembiraan dan kesukaan. Senikata atau liriknya juga tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam, berdasarkan dalil syara‘ dan hadis Aisyah yang telah disebutkan sebelum ini.

ii. Nyanyian Dalam Majlis Perkahwinan:

Harus juga dengan hanya memukul atau iringan duff (kompang) berdasarkan hadis Aisyah yang dikeluarkan oleh Al-Bukhari bahawa Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah menyiapkan pengantin perempuan untuk seorang lelaki Anshar, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Wahai Aisyah, permainan apakah yang ada bersama kamu? Kerana orang-orang Anshar itu suka kepada permainan".

Dalam satu riwayat lain oleh Al-Thabarani, disebutkan: "Adakah kamu kirim bersamanya seorang budak yang memukul duff (kompang) dan menyanyi?" Aku (Aisyah) bertanya: "Apakah yang dinyanyikannya?" Baginda menjawab: "Dia menyanyi:

"Kami mendatangi kamu

Kami mendatangi tuan,

Maka sambutlah kami

Kami akan memberi sanjungan.

Jika bukan kerana emas merah

Lembah kamu ini tidak akan terbuka,

Jika bukan kerana gandum kemerahan

Anak Dara kamu tidak akan gemuk"

iii. Al-Hida’: Nyanyian penggerak semangat yang dilakukan oleh pengendali kenderaan supaya berjalan cergas. Hukumnya harus berdasarkan riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai seorang budak yang diberi nama Anjasyah. Melalui hadis Anas disebutkan bahawa sewaktu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perjalanan jauh, seorang budak lelaki bernama Anjasyah menyanyikan nyanyian penggerak semangat supaya unta yang dikenderai berjalan cergas, lalu Baginda bersabda: "Perlahankan sedikit wahai Anjasyah. Yang engkau bawa ini terdapat kaum perempuan".

Menurut riwayat Al-Bukhari yang bernama Anjasyah ini memiliki suara yang merdu.

Al-Bukhari juga mengeluarkan dari hadis Salamah bin Al-Akwa’, katanya: "Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ke Khaibar. Kami pun berjalan malam maka berkata seorang lelaki daripada ahli rombongan kepada Amir bin Al-Akwa’: "Wahai Amir, tidakkah engkau sudi untuk memperdengarkan dendangan lagumu kepada kami?"

(Kata rawi): "Amir adalah seorang penyair".

Maka Amir pun mulalah memandu sambil menyanyi. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Siapakah pemandu ini?" Mereka menjawab: "Amir bin Al-Akwa’." Lalu Baginda bersabda: "Semoga Allah memberi rahmat kepadanya".

iv. Nyanyian Semasa Bekerja:

Harus menyanyi berupa nyanyian atau sya‘ir atau seumpamanya dengan senikata yang tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam, berdasarkan riwayat Al-Bukhari melalui hadis Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa orang-orang Muhajirin dan Anshar menggali parit di sekitar Madinah dan mengangkat tanah di bahu mereka sambil menyanyi:

"Kami adalah orang-orang yang berjanji setia kepada Muhammad.

Untuk berada dalam Islam selama mana kami masih hidup".

Dalam satu riwayat, rangkap ini dibawakan semasa berjihad dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab mereka, sabdanya:

"Ya Allah tiada ada kebaikan melainkan kebaikan di Akhirat,

Maka Mohon berkati orang-orang Anshar dan Muhajirin".

Oleh yang demikian, orang-orang Islam janganlah mudah mengikut dan terpengaruh dengan orang-orang yang mengharuskan alat-alat muzik sekalipun mereka itu orang-orang terkenal lagi bijak.

Umat Islam hendaklah waspada, sedikit tergelincir dari jalan agama, bermakna kita menentang ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi petunjuk-petunjuk yang digariskan oleh Al-Qur‘an, hadis-hadis serta didukung oleh imam-imam al-salaf al-shalih dan lain-lain ulama pengikut mereka.

Orang-orang yang menentang ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan yang mendustakan hadis-hadis yang warid daripada Baginda dengan jelas telah diberikan amaran oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: "Dan sesiapa jua yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawa oleh Baginda) dan (tetap) dia mengikut juga jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami (Allah) akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya itu, dan (pada Hari Akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahannam dan neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali". (Surah Al-Nisa’: 115)

WALLAHUAQLAM

SUMBER: IRSYAD HUKUM- FATWA KERAJAAN NEGERI BRUNEI DARUSSALAM

Tazkirah Agama

Peluang bertaubat diberi berkali-kali

Manusia sering kecewa kerana apabila dizalimi tiada balasan serta merta mengena orang yang menzalami. Sedangkan Allah yang Maha Esa wujud, Maha Mengetahui dan Maha Menguasai setiap detik kejadian. Di manakah keadilan?

Persoalan ini meragukan insan yang ingin merapatkan dirinya kepada Allah dan agama yang diredai-Nya iaitu Islam. Mereka beranggapan dengan memeluk dan menghayati cara hidup yang diredai oleh Pencipta maka kesengsaraan akan hilang.

Bukankah definasi agama yang benar adalah agama yang membuatkan insan bahagia bukannya sengsara!

Namun, agama yang diredai ini bersifat paradoksikal pula. Semakin diserahkan diri semakin pula menerima seksa.

Penerimaan seksa masih boleh difahami kerana itu adalah ujian Allah untuk dibalasi di akhirat nanti. Sebaliknya, apa yang tidak boleh difahami adalah keadaan selesa dan gembiranya kehidupan orang yang menzalami. Inilah paradoksnya.

Kalangan yang beramal kebaikan tatkala yang beramal kejahatan menguasai cara hidup pasti menghadapi permasalahan ini. Dengan kata lain, suasana ini tidak berlaku di kala dunia didominasikan (baca dikuasai) oleh kalangan yang baik.

Ketika keadaan dunia adalah 'malam', golongan jahat akan menghimpit gerak golongan baik kerana mempertahankan cara hidup melalui kuasa. Mereka merancang dan melaksana dengan amat yakin kerana sumber kekuatan duniawi mereka mengatasi golongan baik. Golongan baik pula walaupun telah dilatih untuk bersabar dan bersedia secara mental untuk menghadapinya masih berpecah belah dengan hal-hal yang tidak fundamentals.

Persoalan Allah membenarkan golongan jahat menyeksa golongan baik boleh diterima. Sebaliknya, Allah membenarkan golongan jahat bergembira dengan kezaliman mereka malah menambah nikmat duniawi kepada mereka menjadi sesuatu yang meragukan. Sepatutnya (mengikut perkiraan golongan baik), "kami perlu menanggung seksa dan mereka akan dibalasi." Hakikatnya tidak, "kami menanggung seksa dan mereka semakin senang."

Kemungkinannya ialah Allah menangguh balasan kepada golongan yang jahat. Mengapa pula? Untuk memberi peluang bertaubat dan berubah kepada kebaikan. Peluang diberi bukan hanya sekali, namun sepatutnya beberapa kali agar suatu hari nanti (akhirat) seksa yang diterima adalah adil dan abadi. Kalau hanya sekali buat kesalahan dan terus ditimpa hukuman maka tidaklah Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Beri petunjuk dan peluang kepada dua jalan: buat baik dan buat jahat.

Seperkara lagi, bagi golongan baik tugasan mereka adalah beriman dan beramal saleh termasuk memberi peringatan dan khabar gembira. Mereka tidak ditugaskan untuk memaksa perubahan. Petunjuk dan perubahan manusia adalah milik Pencipta.

Rumusannya, peluang untuk bertaubat diberi berkali-kali agar kembali ke pangkal jalan. Jika tidak, seksaan di sana adalah adil, berpatutan dan abadi. Oleh itu, jangan berduka atas kesenangan mereka. Doakan mereka berubah kerana di sana amalan sudah tidak diterima. Itulah keadilan Ilahi. - lanh

Dinukil daripada: http://drwawy.blogspot.com/2009/01/mengapa-kezaliman-itu-kebahagian_23.html _

Selasa, 16 Jun 2009

AL QURAN AKAN HILANG DAN ILMU AKAN DIANGKAT

Sabda Rasulullah s.a.w

Ertinya:

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).

H.R Ibnu Majah

Keterangan

Hadis di atas tadi menerangkan kepada kita bahawa pada suatu masa nanti:

1.Ilmu tentang Islam akan diangkat.

2.Al-Quran juga akan diangkat daripada permukaan bumi ini.

3.Orang ramai hanyalah mengenali beberapa istilah Islam, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah itu.

4.Begitu pula mereka hanya sekadar mampu mengucapkan kalimat "Lailaha illallah", tetapi mereka tidak memahami apa tuntutan kalimat suci itu terhadap mereka.

Walau bagaimana pun Allah swt. dengan belas kasihannya masih menghargai keimanan mereka yang sedikit itu dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga.

Jumaat, 5 Jun 2009

DOSA ISTERI TERHADAP SUAMI

Assalamu'alaikum wr wb,

Mengenai tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada
sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia
menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya."
(Hadis riwayat Abu Daud)

Seorang isteri wajib mentaati suami selagi ketaatan itu tidak terkeluar
daripada landasan syarak. Nusyuz daripada sudut hukum syarak bermaksud
derhaka iaitu bermaksud isteri yang menderhakai dan tidak mentaati suami
seperti diwajibkan Allah. Firman Allah bermaksud: "Dan
perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz). Hukum
nusyuz bagi seorang isteri adalah haram. Ia adalah satu dosa besar bagi
seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya." (Surah An-Nisa', ayat 33)

Contohnya; Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jika seseorang lelaki
mengajak isterinya ke tempat tidur, isterinya tidak datang dan suaminya
tidur dalam keadaan marah, malaikat akan melaknat isteri berkenaan
sehingga subuh."

Nusyuz atau dosa yang dilakukan seseorang isteri bukan ditetapkan oleh
suami. Perkara itu berlaku apabila siisteri melanggar apa-apa perkara
yang telah ditetapkan oleh syara'. Selalgi siisteri tidak melanggar apa
yang telah ditetapkan syara', walaupun seribu kali suami kata berdosa,
ikutlah apa yang telah ditetapkan. Dosa pahala, syurga neraka bukan
suami yang tentukan. Segala sesuatu itu adalah hak Allah 'azzawajlla.

Hadanallah waiyakum ajma'in, wallahu'alam, wassalamu'alaikum wr wb.

TANDA ISTERI DERHAKA

Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha bermaksud:

"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi :"Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."

(Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."

(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)



Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:

Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

"Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."

(Riwayat Muslim)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya."

Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: " Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami."

(Riwayat Ibnu Majah)

Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluar rumah tanpa izin suami

"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

Meminta cerai daripada suami

Sabda Rasulallah sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud:

"Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara’ haram baginya bau syurga."

(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Isteri yang tidak menunaikan hajat suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

"Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.

Tanda-tanda Suami dan Isteri yang Nusyuz (Derhaka)

Tanda-tanda Suami dan Isteri yang Nusyuz (Derhaka)

Perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan pergaduhan lebih besar sehingga sesetengahnya berakhir dengan perceraian.

Dalam hal ini, terkadang isteri bersikap agresif sehingga meninggi suara, membantah dan melawan kehendak suaminya tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak.

Perkara ini disebut sebagai nusyuz yang juga boleh dikategorikan sebagai derhaka.

Apabila ia berlaku, gugurlah hak isteri untuk mendapatkan nafkah sehinggalah dia bertaubat.

Bagaimanapun, hukuman nusyuz tidaklah sewenang-wenangnya terletak pada suami tetapi ia hendaklah dirujuk ke mahkamah supaya pihak wanita mendapat pembelaan dan tidak teraniaya.

Dalam pada itu, apabila menyebut nusyuz, ia kerap diletakkan kepada wanita semata-mata. Sebenarnya, nusyuz dibahagikan kepada dua iaitu nusyuz isteri dan nusyuz suami.


Di antara sebab berlakunya nusyuz pada pihak isteri ialah:

Apabila disuruh menutup aurat dia enggan berbuat demikian.

Enggan tinggal serumah dengan suami.

Keluar rumah tanpa keizinan suami.

Enggan menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam, seperti mendirikan solat dan sebagainya.

Menjauhkan diri daripada suami.

Enggan memenuhi kemahuan suami kecuali yang ditegah dan tidak mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada suami.

Tidak memelihara kehormatan.

Tidak menjaga amanah suami.

Tidak merahsiakan perhubungan suami isteri.

Di antara sebab berlakunya nusyuz di pihak suami pula ialah:

Mengabaikan tanggungjawab dalam pemberian nafkah.

Mengabaikan penyediaan tempat tinggal yang sesuai.

Tidak memberikan perlindungan yang sewajarnya terhadap rumah tangga, isteri dan anak-anak.

Tidak memberikan nafkah kepada anak.

Tidak bertanggungjawab terhadap kesihatan isteri dan anak-anak.

Tidak memberi sepenuh kasih sayang terhadap anak dan isteri.

Melupakan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada isteri bagi mendapatkan keredaan Allah.

Mengabaikan pelajaran dan didikan akhlak anak selaras dengan kehendak Islam.

Tidak memelihara kehormatan isteri.

Tidak memberi nafkah batin kepada isteri.

Apabila suami berkahwin lebih dari satu ia tidak berlaku adil.

Setiap yang akan berlaku pasti ada tanda-tandanya, begitu juga dengan nusyuz di mana ada tiga tahap.

Tahap pertama (amara’), contohnya jika dulu isteri menjawab dengan suara yang lembut, “Yang, “Ya bang” kini jawapan itu berubah kasar. Jika dulu isteri menyambut kepulangan suami di muka pintu atau segera dibukakan pintu pagar tapi kini tidak lagi.

Pada tahap kedua (shiqa’) pula, situasi berlaku apabila suami atau isteri diibaratkan seperti anjing dan kucing.

Mereka sering kali bergaduh dan tidak boleh bertentang mata, manakala tingkah laku juga bertukar menjadi kasar, contohnya menghempas pintu atau apabila dipanggil tidak menjawab.

Apabila berada pada tahap ini tindakan yang bijak haruslah diambil jika tidak ia amat berbahaya. Ibarat api dalam sekam.

Pada tahap ketiga (dara’) pula amat serius kerana membabitkan keganasan.

Dalam keadaan berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan

Sifat qanaah didik jiwa sentiasa bersyukur

QANAAH ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.

Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”

Allah berfirman yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama sudah mengemukakan beberapa cara untuk memiliki sifat mulia ini antara lain ialah pertama, berjimat dalam perbelanjaan dan merancang perbelanjaan. Kedua, percaya bahawa dengan qanaah mendatang kemuliaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan bersifat bakhil dan kedekut menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Tegasnya, dia menjadi seorang yang pemurah dalam masyarakatnya.

Dalam sejarah umat Islam, tercatat beberapa kisah mereka yang murah hati antaranya, diceritakan bahawa Abdullah bin `Amir membeli sebuah rumah kedai daripada Khalid bin `Uqbah dengan harga 90,000 dirham.

Tiba-tiba pada malam itu, dia mendengar anak isteri Khalid menangis. Lalu dia bertanya kepada isterinya: “Apa hal mereka itu?” Kemudian dia diberitahu bahawa mereka menangis kerana rumah mereka yang dijual.

Lantas Abdullah berkata kepada pembantunya: “Pergi dan suruh mereka datang ke sini.” Selepas mereka datang lalu dia terus menyatakan bahawa ambillah rumah itu kembali dan duit itu juga untuk kamu.

Dalam situasi dan ekonomi yang dihadapi umat manusia hari ini, alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak mengurus urusan dunia ini dengan kacamata keinginan nafsu semata-mata sebaliknya menjadi pengguna yang bijak , berhemat dan tidak tamak. Jadikanlah sifat qanaah yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini.

selamat membaca dan beramal