Sahabat Ilmu

Khamis, 16 Mei 2013

DAHSYATNYA DOSA RIBA

Pemakan Riba - segala amalan baiknya tuhan tak terima!!!???

Pastikan pinjaman perumahan, peribadi, kenderaan, pendidikan, insurans kereta/motor, medical card, dan seumpamanya adalah dari perbankan Islamik..




SELAMAT HARI GURU


Selamat Hari Guru 2013

" GURU SEJATI:MURABBI INSANI, TARBIYYAH RABBANI, DEMI KECEMERLANGAN HIDUP, DUNIAWI&UKHRAWI". 

Terima kasih&Tahniah ustaz, ustazah, guru, cikgu, teacher, pensyarah dan semua pendidik.. 


Rabu, 15 Mei 2013

15 MEI 2013| KULIAH MAGHRIB MASJID SG BUAYA


ANAK 8 TAHUN MASIH TIDUR BERSAMA IBU DAN BAPA

Soalan; Assalamualaikum, saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu-bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.

Jawapan;

Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud);


“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 58).

Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu;
a) Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b) Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c) Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.

Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur-; “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).


Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur; perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).

Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain. Oleh demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).

Rujukan;

1. az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2. al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178

MATI TANPA SEMPAT MEMBAYAR HUTANG & CARA MENYELESAIKAN HUTANG YANG DILUPAI

Soalan; Salam Ustaz, mohon jawab persoalan ini.

1- Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yg melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dgn cara membayar pahala amalan kepada si penghutang

2-Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang dgn seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi tempat kita berhutang itu atau org tersebut tidak diketahui di mana berada atau tidak diketahui berapa jumlahnya, adakah boleh kita melangsaikan hutang yang sudah dilupai itu dgn cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan (umpamanya utk pembinaan masjid) sbg pelunasan semua hutang yg tidak diingat itu dan wang itu diniatkan sbg sedekah mewakili org yg memberi hutang atau bagi pihak org yg memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.

Mohon diperjelaskan. Terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat hadis menegaskan;

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ “Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulamak; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah RA menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).

2. Untuk soalan kedua; hendaklah berusaha mengingati siapa pemilik hutang tersebut,kemudianmencarinya dan menyerahkan kembali wangnya. Jika ia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya. Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau ia tidak dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah itu untuk pemilik hutang tersebut. Namun jika setelah disedekahkan hutang tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.
Rujukan;


1. Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Munawi, hadis no. 8351.
2. Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
3. Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
4. Fatwa Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.