Soalan; Assalamualaikum, saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu-bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.
Jawapan;
Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud);
“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 58).
Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu;
a) Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b) Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c) Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.
Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur-; “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).
Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur; perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).
Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain. Oleh demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).
Rujukan;
1. az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2. al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan