Sahabat Ilmu

Rabu, 27 Jun 2012

Persoalan Najis: Bulu

Bulu haiwan sekiranya dibawa dalam sembahyang perlu dilihat, samada ianya bernajis atau tidak. Ini kerana jika ia adalah bulu yang dikategorikan sebagai najis, maka tidak sah dibawa dalam sembahyang. Mari kita perincikan persoalan ini, moga-moga ia menambah pengetahuan kita dalam hal yang sangat berkait dengan sembahyang kita.

1. Bulu yang dicabut / tercabut sewaktu haiwan itu hidup :

a) Jika daripada haiwan yang halal dimakan seperti ayam - Tidak Najis

b) Jika daripada haiwan yang haram dimakan seperti kucing - Najis


2. Bulu yang dicabut / tercabut sewaktu haiwan itu mati :

a) Jika daripada haiwan yang halal dimakan & mati kerana sembelihan - Tidak Najis

b) Jika daripada haiwan yang halal dimakan & mati bukan kerana sembelihan - Najis

c) Jika daripada haiwan yang haram dimakan - Najis

JOM BERDOA


PEDULIKAH KITA


Isnin, 25 Jun 2012

DI MANA KITA??

Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya:]"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."

Hadis ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap ilmu agama.

Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.

Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.

Ada pun golongan yang kelima, iaitu yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.

Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa

Fuqaha Dan Hadis

Kali ini saya rasa perlu berbicara sedikit tentang para fuqaha dan kaitan mereka dengan hadis serta sumbangan mereka terhadap khazanah ilmu Islam.
Fuqaha adalah kata plural bagi faqih yang bermaksud ahli fekah.
Fekah pula bermaksud kefahaman yang mendalam terhadap al-Quran dan Sunnah khususnya dalam persoalan hukum hakam.

Justeru ahli fiqh bermaksud ahli di bidang kefahaman al-Quran dan hadis.

Dewasa ini di malaysia terdapat segelintir golongan yang meletakkan diri mereka sebagai pakar islam -kononnya-memperkecilkan para fuqaha dan membesar-besarkan ahli hadis. Gambaran yang ingin dibawa daripada kenyataan-kenyataan mereka ialah "para fuqaha tidak merujuk kepada hadis", "justeru pandangan-pandangan mereka perlu diketepikan", "kita mesti merujuk kepada al-Quran dan Sunnah dan bukannya kepada pandangan para fuqaha”.

Kenyataan sebegini atau yang seumpamanya menggambarkan kekeliruan mereka terhadap fungsi Fuqaha dan kaitan mereka dengan hadis. Fuqaha adalah orang-orang yang mentafsirkan makna-makna al-Quran dan hadis. Seorang yang tidak memahami maksud hadis tidak layak digelar faqih/fuqaha. Justeru, apabila seseorang itu digelar sebagai faqih/fuqaha ini bererti mereka adalah orang yang berkelayakan untuk mentafsirkan maksud hadis.

Namun, dalam mentafsirkan maksud hadis, berlaku perbezaan pendapat di kalangan fuqaha bergantung kepada perbezaan kefahaman dan teks hadis itu sendiri yang mungkin menyebabkan berlaku perbezaan kefahaman. Justeru amat tidak wajar sekali untuk menuduh seseorang fuqaha sebagai tidak merujuk kepada hadis apabila satu pandagan yang dikeluarkan oleh fuqaha kelihatan pada ilmu kita yang cetek berlawanan dengan teks hadis. Persoalannya, adakah kefahaman kita terhadap teks hadis itu benar dan tepat?

Adakah ia berdasarkan ilmu yang mendalam?

Atau hanya kesimpulan berdasarkan ilmu yang cetek terutama dibidang bahasa Arab atau usul fiqh dan kaedah-kaedah fiqh?

Sekiranya perbahasan sesuatu hukum yang dipetik daripada hadis menjadi ruang perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha (khilaf) tidak sewajarnya kita memperkecilkan satu pihak hanya kerana kita lebih cenderong dengan pendapat yang berlawanan. Ini kerana apa yang lebih diyakini tepat oleh kita belum tentu adalah kebenaran yang mutlaq. sedang para fuqaha yang lebih pakar berbeza pendapat, apatah lagi pula kita yang hanya seumpama bilis dai sudut ilmu dibandingkan mereka.

Justeru, sikap tawadu`(merendah diri) perlu ada dalam kita membahaskan pendapat para fuqaha(ahli fekah). Kita tidak mendatangkan sesuatu yang baru dalam membahaskan hukum-hakam yang telah dibahas oleh fuqaha terdahulu. Yang tinggal pada kita hanyalah menimbang antara beberapa pendapat yang telah digarap oleh mereka dengan meneliti dalil-dalil yang mereka kemukakan, seterusnya membuat tarjihan. Dalam membuat tarjihan ini kita mungkin lebih cenderong pada pendapat pertama atau kedua. namun untuk mendakwa pendapat kita itulah satu-satunya yang benar adalah tidak tepat sekali. namun untuk menuduh mereka secara melulu kononnya tidak merujuk kepada hadis adalah suatu tuduhan yang jahat sama sekali.

Justeru, Jangan kita berlagak seolah "alim besar", "pakar di bidang hukum", "pakar di bidang hadis" lalu dilihat oleh masyarakat awam yang kebanyakannya jahil tentang susur galur perbahasan fiqh seolah seorang ilmuwan hebat hingga mampu membantah pendapat fuqaha silam.

Wallahu a`lam.
Sumber: DARUL FUQAHA

Ahad, 17 Jun 2012

HUKUM BULU KUCING

 

Isnin, 11 Jun 2012

Buang tatu untuk elak fitnah

Soalan:
SAYA berkawan dengan lelaki Iban dan akan memeluk Islam tetapi terdapat tatu pada bahagian lengan lelaki berkenaan. Untuk pengetahuan ustaz tatu itu akan dibuang menggunakan asid.

Jadi perlukah saya merujuk pada doktor atau ustaz adakah tatu yang dibuang menggunakan asid itu sah dan diterima dalam Islam?


Jawapan:

Hukum bertatu adalah haram ke atas lelaki dan wanita. Walaupun baginda merujuk kepada golongan wanita, ini tidak bermaksud harus bagi kaum lelaki. Namun hari ini kita dapat melihat bahawa bertatu ini menjadi satu trend di kalangan remaja dan segelintir orang dewasa.

Ada yang bertatu dengan alasan tidak mahu ketinggalan dengan trend semasa. Sedangkan bertatu bukan dari budaya orang Islam malahan budaya jahiliah. Sebab itulah Rasulullah saw mengharamkan amalan jahiliah ini.

Nas yang dijadikan sandaran bagi pengharaman tatu pertamanya daripada hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Umar: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah. (riwayat al-Bukhari)

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyuruh kita bersegera kepada seruan Allah dan Rasul-Nya SAW.

Maksud firman Allah: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. (al-Nur: 51).

Ada pula di kalangan orang Islam apabila ditanya kenapa bertatu diberi alasan tidak tahu bahawa tatu itu haram.

Beginilah sikap manusia yang sering mencipta alasan untuk menghalalkan cara. Tetapi dalam persoalan kawan saudari yang berbangsa iban itu bertatu sebelum Islam.

Mungkin bertatu adalah budaya masyarakat iban. Namun demikian selepas dia menganut Islam bukan itu yang pertama kena buat.

Persoalan yang pertama perlu diberi penekanan adalah persoalan akidah, membina keyakinan dan kepercayaan yang mutlak terhadap ketuhanan Allah dan menafikan selainnya dari dianggap menjadi tuhan.

Sekiranya penekanan terhadap keimanan dan pengEsaan terhadap Allah lebih utama. Walaupun demikian perlu juga difikirkan bagaimana dapat membantu beliau yang baru Islam untuk memahami Islam yang syumul ini. Termasuklah juga persoalan-persoalan fikah dan akhlak.

Merujuk kepada tatu yang terdapat di lengan kaki lelaki tersebut perlu dilihat kepada bentuk ukirannya.

Sekiranya ukiran tersebut bentuk objek makhluk atau bentuk berhala maka hendaklah dibuang. Namun sekiranya tatu itu sekadar ukiran corak yang tidak membentuk makhluk terpulang kepada lelaki tersebut sama ada ingin buang atau tidak.

Ini kerana Allah mengampun segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang sebelum Islamnya, yang demikian dapat dilihat dalam hadis Rasulullah yang bermaksud: ...Sesungguhnya Islam menghapuskan kesalahan dan dosa seseorang itu sebelum Islam….(riwayat Muslim, no:121, jld:1, hlm:112)

Hadis ini memberi petunjuk sesungguhnya kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu sebelum menerima hidayah adalah dihapuskan serta merta dengan terlafaznya syahadah (pengakuan masuk Islam).

Namun demikian pandangan peribadi saya eloklah dibuang tatu yang ada di lengan kaki bagi mengelak fitnah dan buruk sangka. Tidak semua mengetahui yang saudara itu baru masuk Islam.

Pada masa yang sama sekiranya proses membuang tatu boleh memudaratkan nyawa atau boleh mengundang masalah lain pada kesihatan, tidak perlu dibuang biarpun tatu itu berbentuk makhluk.

Namun, jangan pula didedahkan atau ditayangkan tatu itu kepada orang lain. Di dalam kepesatan teknologi perubatan ada di sana pencapaian teknologi perubatan yang tidak perlu menggunakan asid. Malahan tatu boleh dihilangkan dengan menggunakan sinar infra merah seperti yang dinyatakan melalui petikan berikut: “Pada tahun 1991, Dr. Tolbert Wilkinson dari San Antonio, Texas telah mengemas kini sejenis prosedur yang menggunakan sinar infra merah yang tidak memberi kesan parut yang ketara serta kurang mahal…”.

Proses membuang tatu adalah rumit dan memakan masa. Prosedur tradisional seperti dermabrasion atau pembedahan akan meninggalkan kesan parut. Justeru itu prosedur tersebut sudah jarang digunakan hari ini.

Penyingkiran tatu menggunakan laser pula adalah pendekatan paling umum. Tetapi ia memerlukan kepakaran profesional dan adalah agak mahal khasnya bagi penduduk di negara Dunia Ketiga. Untuk membuang tatu mesti mendapatkan bantuan nasihat daripada doktor dan jangan bertindak menjadi doktor kerana dikhuatiri akan timbul masalah yang lain pada kulit, ini sebab tisu kulit sangat sensitif.

-UTUSAN MALAYSIA (BICARA AGAMA)-

Jumaat, 8 Jun 2012

TAZKIRAH & KHUTBAH JUMAAT


Ibnu Muslim akan menyampaikan Tazkirah dan Khutbah Jumaat di SURAU AL-IKHLAS Jln Melatisari 3D/2 Bandar Sg Buaya Rawang pada 8/6/2012 bermula jam 12.30 tengahari.

~JOM KE SURAU AL-IKHLAS~

TUAN GURU HAJI YASIN KEMBALI KE RAHMATULLAH


Maklumat yg baru didapati sbntr td (lbh krg jam 9.10am)..
Sohibul Fadhilah Al-Alamah Al-Mursyid Syeikhuna Tuan Guru Hj Yasin Bin Hassan telah kembali ke rahmatullah
(Ulama' Tersohor di Merbok, Yan, Sg Petani dan di bumi Kedah)

Innalillahi Wainna Ilaihi Raji'uun...al-Fatihah

Tuan Guru Haji Yasin Bin Hassan pernah menjadi MUDIR di
AL-MADRASATUS THANAWIYAH AD-DINIYAH AS-SAADATUDDAROIN
(SEK.MEN AGAMA SAADATUDDAROIN, BATU HAMPAR, MERBOK KEDAH)

Khamis, 7 Jun 2012

~INFO DRP KULIAH MAGHRIB SURAU AL-HIDAYAH~

Org yg berakal janganlah berusaha melainkan utk 3 perkara:
1. Berbekal untuk akhirat
2. Bekerja utk kehidupan
3. Berlazat-lazat dgn benda yg tidak haram

(Kitab Hadis 40 Imam an-Nawawi m/s 188)

INFO KULIAH MAGHRIB 6/6/2012

~INFO DRP KULIAH MAGHRIB SURAU AL-HIDAYAH~

Rasulullah bersabda, dalam suhuf (kitab) Nabi Musa a.s: Bahawa orang yg berakal mempunyai 4 waktu dlm kehidupannya seharian:

1. Satu waktu utk bermunajat (beribadah, solat-fardhu/sunat,berzikir, berdoa, bc quran,dll) dengan TuhanNya

2. Satu waktu untuk menghitung dirinya

3. Satu waktu utk memikirkan perbuatan Allah

4. Satu waktu utk urusan hajatnya @ makan minumnya

Semua 4 waktu ini perlu diisi dgn perkara yg bermanfaat/berfaedah (samada perkataannya dan perbuatannya)

(Kitab Hadis 40 Imam an-Nawawi m/s 188)

~PERKARA HARAM YG DI ANGGAP BIASA~

Pada zaman sekarang, bersalaman tangan antara laki-laki dengan perempuan hampir sudah menjadi tradisi. Tradisi hina itu meruntuhkan akhlak Islam yang mesti ditegakkan. Bahkan mereka menganggap kebiasaan itu jauh lebih baik dan lebih tinggi nilainya daripada syariat Allah yang mengharamkannya. Sehingga jika ada seorang daripada mereka berbincang tentang hukum sya...riat, dengan dalil-dalil yang kuat dan jelas, tentu serta merta ia akan menuduh anda sebagai kolot, ketinggalan zaman, kaku, susah untuk didekati, ekstrim, hendak memutuskan silaturrahim, menggoyahkan niat baik dan sebagainya.

Sehingga dalam masyarakat kita, berjabat tangan dengan sepupu, ipar, biras, isteri bapa saudara (mak saudara), suami ibu saudara (bapa saudara) lebih mudah daripada minum air.

Seandainya mereka melihat secara jernih dan penuh pengetahuan tentang bahaya persoalan tersebut menurut syara’ tentu mereka tidak akan melakukan hal tersebut.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sungguh ditusuknya kepada salah seorang dari kalian dengan jarum besi lebih baginya daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat At-Thabrani)

Kemudian tidak diragukan lagi, hal ini termasuk zina tangan, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Kedua mata berzina, kedua tangan berzina, kedua kaki berzina dan kemaluan pun berzina.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dan, adakah orang yang hatinya lebih bersih dari hati Muhammad S.A.W ? Namun begitu, beliau mengatakan:

“Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita” (Hadis riwayat Ahmad)

Beliau juga bersabda:

“Sesungguhnya aku tidak menyetuh tangan dengan wanita” (Hadis riwayat Ath Thabrani)

Dan dari Aisyah R.A, dia berkata:

“Dan demi Allah, sesungguhnya tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah menyentuh tangan perempuan sama sekali, tetapi beliau membai’at mereka dengan perkataan.” (Hadis riwayat Muslim)

Hendaknya takut kepada Allah, orang-orang yang mengancam cerai isterinya yang solehah kerana tidak mahu bersalaman tangan dengan lawan jenis meskipun memakai alas hukumnya tetap HARAM.

Sumber:
http://www.halaqah.net/

WALLAHUAQLAM...

BERAPA HARGA SYURGA ALLAH???

Suatu hari Ibrahim bin Adham ingin membuang air kecil, lalu dia pun pergi ke tan...das awam. Apabila dia ingin masuk ke dalam, seraya seorang lelaki menegurnya, “Wahai orang tua, bayarlah dulu sebelum masuk.”

Mendengarkan sapaan lelaki itu, air mata Ibrahim bin Adham pun bercucuran keluar dari matanya. Lelaki tadi terkejut dan berkata, “Wahai orang tua, andai kata kamu tiada wang untuk dibayar, masuklah secara percuma. Janganlah menangis kerana ini.”

Ibrahim bin Adham menjawab, “Wahai pemuda, aku menangis bukan kerana aku tiada duit tetapi aku terfikir jika tempat sejijik ini pun harus dibayar untuk dimasuki, bagaimana pula dengan syurga Allah? Berapakah bayaran yang harus aku sediakan untuk masuk ke dalamnya?

Oleh: Mentari Hidup

MAJLIS ILMU DI MASJID KG SG BUAYA

Untuk Kuat Ingatan - Jom Amalkan

Rabu, 6 Jun 2012

Orang Zuhud Dikasihi Allah

Rasulullah bersabda lebih kurang maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia”.

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang Tuhan, maka yang perlu kita perbuat di dunia ini ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur kepada miskin atau kaya. Sesetengah orang berpendapat miskin itu zuhud dan kaya itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia. Salah tafsir ini perlu diperbetulkan.

Zuhud itu letaknya di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya sanya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.

Diceritakan bahawa pernah Sayyidina Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian. Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanya kepada Hasan Basri, “apakah yang boleh menyelamatkan manusia?” “Zuhud”, jawab Hasan Basri secara spontan. Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau. Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia akan terselamat.

Tuhan ada berfirman, “Tidak ada dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4) . Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia itu. Benarlah sabda Nabi tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.” Daripada cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunianya.

Lagi, bila kita kaji dan teliti hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat dengan dunia lagi. Apa maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati, maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupan.

Disebut tadi, zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya. Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan, barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia, Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia.

Moga-moga tulisan ini dapat membantu kita untuk memahami tentang zuhud. Sekian.

~MINDA GLOBAL~

Syarat Qabul (Diterima) Sembahyang

Dinyatakan dalam kitab Sulamuttaufiq:

“Dan disyaratkan berserta dengan syarat-syarat yang lain untuk diterima sembahyang di sisi Allah, bahawa niat sembahyang itu tiada lain kerana Allah sahaja, dan adalah makanannya, pakaiannya dan tempat sembahyangnya itu halal, dan hadir hatinya dalam sembahyang, tiada apa-apa dari sembahyangnya kecuali yang difikirkan adalah sembahyangnya, dan tiada ia ujub tentangnya.”

Keterangan:
Di sini pengarang kitab menerangkan kepada kita bahawa selain ada syarat sah sembahyang dan syarat wajib sembahyang berserta dengan rukun-rukunnya, ada satu lagi syarat untuk sembahyang kita diterima Tuhan. Atau dalam ertikata lain dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Bila kita sudah memenuhi syarat wajib, syarat sah dan rukun sembahyang, lahirnya sembahyang kita sudah selesai. Namun, bila dibawa kepada Tuhan, selagi syarat-syarat tambahan itu tidak dipenuhi, maka sembahyang kita itu seperti tiada nilainya. Tuhan tak pandang sembahyang kita. Makanya sembahyang kita adalah tertolak.

Syarat-syarat tambahan ini disebut sebagai syarat qabul dan ia adalah seperti berikut:

1. Niat kerana Allah – Menetapakan yang niat kita bersembahyang itu benar-benar kerana kita cinta dan takutkan Allah. Benar-benar untuk mendapat keredhaan Allah dan bukan selainNya. Dikekalkan niat kerana Allah itu dari sebelum sembahyang hingga kepada selesai sembahyang.

2. Makanan halal – Maksudnya kita menjaga agar sebarang makanan yang masuk ke dalam perut kita adalah halal. Di sini ada dua pengertian, a) Bahan makanan itu halal, suci dan bersih b) Sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan halal itu bukan dari sumber yang haram. Maksud Firman Allah: Makanlah oleh kamu daripada makanan yang baik (halal) dan perbuat olehmu akan amal yang soleh. (Al-Mukminun: 51)

3. Pakaian halal – Biarpun sah sembahyang kita dengan pakaian yang dicuri atau pakaian yang dibeli daripada hasil yang haram, tetapi hakikatnya Allah tidak menerima sembahyang kita itu. Sabda Rasululllah: “Barangsiapa yang bersembahyang mengenakan pakaian yang diperolehi dengan 10 dirham, sedangkan ada 1 dirham daripadanya adalah haram, maka tiadalah Allah menerima sembahyangnya” (Riwayat Ahmad).

4. Tempat sembahyang halal – Sumber pendapatan dalam membina tempat sembahyang seperti masjid dan surau mesti halal. Maksud Firman Allah: “Sesungguhnya masjid yang berasaskan taqwa dari permulaan hari berdirinya, lebih baik bagi engkau mendirikan sembahyang di dalamnya” (At-Taubah:108).

5. Hadir hati dalam sembahyang – Membawa pengertian khusyuk. Iaitu kita mengetahui, memahami justeru menghayati setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang. Sehingga dapat merasa-rasa dengan Tuhan dalam sembahyang seperti rasa takut, rasa cinta, rasa hina diri dan rasa gementar.

6. Tiada ujub – Janganlah sampai kita bangga dengan bacaan kita atau dengan sembahyang kita. Hingga sampai membawa rasa diri hebat, rasa diri baik dan rasa diri itu sudah istimewa di sisi Tuhan. Patutnya kesan daripada sembahyang lebih menajamkan rasa hamba dalam diri seperti rasa berdosa dan rasa takut dengan Tuhan.

7. Imam yang alim lagi warak – Ini satu perkara yang tidak disebutkan dalam kitab tersebut. Tapi adalah sangat penting bagi kita dalam bersembahyang jemaah, maka imam yang mengimami sembahyang kita adalah orang alim (berilmu) lagi warak (yang takutkan Tuhan). Ini seperti yang disabdakan Rasulullah: ”Jika kamu gembira untuk sembahyang kamu diterima, hendaklah mengimami sembahyang kamu itu orang yang baik (alim & warak), kerana dia adalah penghubung kamu dengan Tuhan kamu (Riwayat Thabrani).

Taqaballahu minna wa minkum - Moga-moga Allah menerima segala amalan kita.

Sekian

Selasa, 5 Jun 2012

Kisah lucu seorang guru menafikan kewujudan Allah


Telah diriwayatkan suatu kisah lucu yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah di mana seorang guru berdiri di hadapan para pelajar lalu bertanya kepada mereka : "Adakah awak semua boleh melihat saya?" Para pelajarnya menjawab : "Ya!" lalu guru tersebut berkata : "Ini bererti saya wujud."

Dia bertanya lagi kepada para pelajarnya : "Adakah kamu semua melihat papan hitam?" Para pelajarnya menjawab : "Ya!" lalu guru tersebut berkata : "Maka papan hitam itu wujud."

Dia meneruskan pertanyaan lagi sambil berkata : "Adakah kamu melihat meja?" Para pelajarnya menjawab : "Ya!" Dia berkata, "Bermakna meja itu wujud."

Dia bertanya lagi : "Adakah kamu melihat Allah?" Para pelajarnya menjawab : "Tidak!" Maka dia berkata, "Ini bererti Allah tidak wujud."

Lantas seorang pelajar yang cerdik bangun dan bertanya kepada rakan-rakannya : "Adakah melihat akal cikgu?" Rakan-rakannya menjawab : "Tidak!" Pelajar tesebut berkata : "Ini bererti akal cikgu tidak wujud."

Dinukil daripada Kitab Allah oleh Syeikh Said Hawa dalam buku
Soal jawab remeh temeh tentang Akidah tapi anda malu bertanya, Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani, halaman56

PENGAJIAN ILMU DI SURAU AS-SYURO

Assalamualaikum.. 5/6/2012, Selasa, Kuliah Maghrib di Surau As-Syuro Kiambangsari.Kitab Zaadul Musolli.. Tajuk perbincangan malam ni :

1. Surah2 yg dibaca oleh Nabi saw ketika solat 5 waktu & soal jawab
2. Hukum menyapu muka selepas salam & soal jawab
3. Adab Imam&makmum selepas solat
4. Kemusykilan isu2 semasa..

Muslimin Muslimat dijemput hadir..


Isnin, 4 Jun 2012

Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie.

Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Kahwin Lari di Selatan Thailand

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah SAH dengan syarat :
1.Pernikahan itu mengikut rukun nikah

2.Pernikahan itu melebihi dua marhalah

3.Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin.

4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim

Ahad, 3 Jun 2012

Koleksi gambar-gambar Himpunan Hijau @ KedahLanie

















ini merupakan gambar2 yang kami ambil dari facebook.. kepada semua tuan empunya gambar2 ini kami mohon halalkan dunia hingga akhirat...semoga hasil tangkapan anda ini dapat ditatap oleh semua sahabat seluruh dunia....allah huakbar...

HIMPUNAN HIJAU KE PUTRAJAYA

 

Salam semua...

Jangan tanya Pak Long berapa ramai yang mai dalam program Himpunan Hijau ke Putrajaya tu, tapi hangpa pakat-pakat tekan si Rais Yatim tu suruh dia yang kira jugak-jugak berapa ramai yang mai menghijaukan stadium Darul Aman, Aloq Setaq nih... Boleh kencing tak lawaih la Rais oiii... haha...
Dengaq cerita puluhan ribu rakyat yang hadir sejak jam 4 petang lagi, tanpa nasik bungkuih buta punya... hihi... tanpa topi free... haha... tanpa bas percuma... addehh.... dan yang lebih penting lagi tanpa artis-artis K Pop haram jadah tue... kahkahkah...
 
Ni ha, tengok... Bukan saja tang tempat duduk berbumbung yang penuh, tapi kat padang jugak penuh menepu ngan orang-ramai yang mula mencari tempat duduk untuk mendengar ucapan pemimpin PAS malam nanti.
Ikut kata Mak Long hang, stadium tu ada 44,000 tempat duduk dan 60,000 kapasiti ataih padang dan trek dia... tu pun dah penuh menepu... Maknanya lebih 100 000 dalam stadium tak campoq yang kat luar stadium lagi...
Ni ha yang kat luaq stadium... siap ngan 2 skrin gergasi didirikan kat luaq stadium...

 
Hadirin pakat-pakat kibaq kan bendera, takut Rais tak nampak yang memang orang ramai... maklum la, hijau takut dia kata rumput ataih padang plak... haha...

Ini la ikon HIJAU yang paling digeruni Umno... hihi...

Pelik bagi Umno, aneh bagi BN... puak-puak HIJAU ni boleh berhimpun penuh stadium tanpa artis K Pop... yang ada hanya Ostad Azhar Idrus jaa...

Tinggai ni la saja lagi senjata terakhir rakyat yang gagal difahami untuk dikalahkan oleh APCO... haha... semangat juang rakyat yang berlandaskan ISLAM...
 
Melimpah ruah... ada la yang tak lena tidoq nih... hehe...
Agak-agak hangpa la, sapa gamaknya yang seram sejuk bila tertengok warna HIJAU lepaih nih... hihi... (Kredit kat GB ngan PASPB pasai gambaq-gambaq tu ha...)

Wassalam...
Biaq pun hujan lebat turun sekitar jam 4.30 petang hingga 5.30 petang, ianya tidak mematahkan semangat orang ramai untuk hadir ke himpunan penuh bersejarah ini. Tak bersejarah lagi, naik seram sejuk tengok HIJAU... haha...