Sahabat Ilmu

Selasa, 29 Mei 2012

Apakah doa ketika bersiwak?

Menurut Imam ar-Ruyani (w. 501H); sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie mensunatkan membaca doa ketika mula bersiwak dengan doa berikut;

اَللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَاْنِيْ وَشُدَّ بِهِ لِثَاْتِي، وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِيْ، وَبَاْرِكْ لِيْ فِيْهِ يَاْ أَرْحَمَ الرَّاْحِمِيْنَ“

Wahai Tuhanku! Putihkanlah dengannya gigi-gigiku. Kukuhkanlah dengannya gusi-gusiku, tetapkanlah dengannya anak lidah/anak tekakku. Dan berkatilah untukku padanya. Wahai Tuhan yang paling pengasih”.
.
Menurut Imam Nawawi, doa ini sekali pun tidak datang dari Nabi s.a.w. tetapi harus diamalkan kerana ia adalah doa yang baik.
[1] Al-Majmu’, 1/350
[1]

Mengambil Berkat Hujan?

Terdapat sebuah hadis yang menarik, yang mungkin sahabat-sahabat yang lebih mengetahui:

أنس أصابنا ونحن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم مطر قال فحسر رسول الله صلى الله عليه وسلم ثوبه حتى أصابه من المطر فقلنا يا رسول الله لم صنعت هذا قال لأنه حديث عهد بربه تعالى
Anas ra berkata: Kami bersama-sama Rasulullah saw pernah ditimpa hujan, lalu Rasulullah saw menyelak pakaiannya, sehingga hujan menimpa (tubuhnya). Kami bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa engkau lakukan hal ini. Baginda saw menjawab: Kerana ia adalah makhluk yang Allah baru ciptakan. [Sahih Muslim: 898]

Imam an-Nawawi menghuraikan hadis di atas:

معناه أن المطر رحمة ، وهي قريبة العهد بخلق الله تعالى لها فيتبرك بها . وفي هذا الحديث دليل لقول أصحابنا أنه يستحب عند أول المطر أن يكشف غير عورته ليناله المطر ، واستدلوا بهذا وفيه أن المفضول إذا رأى من الفاضل شيئا لا يعرفه أن يسأله عنه ليعلمه فيعمل به ويعلمه غيره

Hadis ini bermaksud: Hujan adalah rahmat, ia merupakan ciptaan Allah yang baru sahaja diciptakan, maka Nabi saw mengambil bertabarruk (ambil berkat) dengannya. Hadis ini merupakan dalil kepada pendapat ulama mazhab Syafie bahawa digalakkan untuk membuka (tubuh) yang bukan aurat pada awal turunnya hujan, agar air hujan dapat kena padanya. Hadis ini jua menunjukkan apabila seseorang melihat orang yang lebih mulia/alim melakukan sesuatu, sedangkan dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah orang itu bertanya kepada orang yang lebih mulia tadi agar dapat mengamalkannya, dan mengajarkan orang lain.
[Syarah Sahih Muslim,
islamweb.net]

Isnin, 28 Mei 2012

HUKUM MUZIK

Soalan :

Apakah hukum mendengar muzik tanpa nyanyian (instrumental / minus one) dimana tiada apa-apa senikata didalamnya. Ini bermakna muzik instrumental ini tidak dipengaruhi oleh perkataan-perkataan yang berunsur tahyul atau pemujaan atau memuja muja wanita dan sebagainya.

Jawapan;

Alat-alat bunyian atau muzik sama ada mengguna atau mendengarnya, terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Jumhur (majoriti) ulamak silam –termasuklah ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang). Mereka berdalil antaranya dengan hadis Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Akan ada di kalangan umatku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. Dalam riwayat yang lain (baginda bersabda); “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” (Riwayat Imam Bukhari dan Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari).

Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya. Adapun secara khusus dengan menyebut alat-alat muzik, Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).

Selain itu dalil-dalil di atas, mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) juga telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).

Namun sebahagian ulamak mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya. Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu ‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya. Imam ar-Ruyani menaqalkan dari al-Qaffal bahawa; mengikut mazhab Imam Malik nyanyian dengan alat-alat muzik adalah harus.

Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut. Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi), ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik. Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulamak bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh. Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhuk (hadis-hadis palsu)”.

Ramai ulamak semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, juz. 8, bab Ma Ja-a Fi Alati al-Lahwi, hlm. 96-105.
Al-Halal Wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhwi.
Al-Kalimu at-Thayyib, Dr. Ali Jumaah.
Mughni al-Muhtaj, Syeikh Khatib asy-Syirbini.

~Ustaz Adnan Fadhil~

Khamis, 24 Mei 2012

Abu Mihjan ats-Tsaqafi: Penagih Arak, Pemburu Syahid, Mujahid Sejati........


Lihatlah Abu Mihjan!
Abu Mijan as-Tsaqafi radiallahu ‘anhu adalah orang seorang sahabat yang ketagih minuman keras, sehingga dia sering dihadapkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam untuk dikenakan hukuman had (HUDUD). Walaupun demikian, ketika dia mendengar seruan jihad ke Qadisiyah, dia segera bangkit untuk berjihad di bawah pimpinan bapa saudara Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam, Sa’ad bin Abi Waqqas radiallahu ‘anhu. Pada hari-hari pertempuran, dia masih tidak mampu menahan ketagihannya kepada arak, sehingga dia pun meminumnya. Oleh kerana itu, Sa’ad menjatuhkan hukuman atasnya dengan mengurungnya dan melarangnya daripada ikut berperang. Beliau tidak dikenakan hukuman had kerana hukum had tidak akan dilaksanakan di kawasan musuh.

Ketika ditahan, dia mendengar bunyi pertempuran yang sengit dan teriakan para mujahidin, air matanya pun mengalir kerana kedatangannya ke al Qadisiyah adalah untuk berjihad. Ketika itu isteri Sa’ad melihatnya, dia pun merasa kasihan terhadap Abu Mihjan. Sedangkan Sa’ad radiallahu ‘anhu saat it sedang sakit, dan itu adalah sakit terakhir yang membuatnya tidak mampu turun untuk berperang dan dia mengatur peperangan dari tempat tidurnya.

Lalu Abu Mihjan berkata kepada isteri Sa’ad, “Wahai Salma, berikan kepadaku kuda Sa’ad, Balqa, dan berikan kepadaku senjata Sa’ad. Demi Allah, jika Allah mentakdirkan aku untuk tetap hidup, maka aku akan kembali ke tempat tahanan ini dan aku ikatkan kembali rantai yang mengikat kakiku. Dan jika aku mati, maka itulah yang aku harapkan.” Mendengar ketulusan Abu Mihjan tersebut, isteri Sa’ad akhirnya memenuhi keinginannya.

Dalam Peperangan
Abu Mihjan mengenakan penutup wajah, lalu dia turun ke medan jihad. Abu Mihjan adalah seorang pahlawan yang terkenal dengan keberaniannya. Ketika dia turun ke medan pertempuran, Sa’ad melihatnya dan merasa takjub dengan keberanian beliau. Sa’ad pun berkata, “Jika saya tidak tahu bahawa Abu Mihjan ada di dalam penjara, tentu akan saya katakan bahawa orang itu adalah Abu Mihjan. Jika saya tidak tahu dimana Balqa berada, tentu akan saya katakan bahawa kuda yang ditungganginya adalah si Balqa.”

Mendengar perkataan suaminya, isteri Sa’ad pun berkata, “Engkau benar, wahai suamiku. Sesungguhnya dia adalah Abu Mihjan dan kuda yang ditungganginya adalah Balqa.”

Lalu Sa’ad pun bertanya apa yang terjadi, dan isterinya menceritakan kejadian yang sebenarnya. Mendengar kata-kata isterinya, Sa’ad merasa kasihan kepada Abu Mihjan.

Ketika peperangan usai, Abu Mihjan kembali ke dalam tahanan dan mengikatkan rantai di kakinya sendiri. Kemudian Sa’ad masuk ke dalam penjara sambil menangis dan melepaskan rantai yang mengikat kaki Abu Mihjan, lalu berkata, “Demi Allah, aku tidak akan menghukummu lagi setelah hari ini.”

Maka Abu Mihjan pun menangis dan berkata, “Dan demi Allah aku tidak akan meminum arak lagi setelah hari ini.”

Ya Allah, aku tidak kisah......

Assalamualaikum w.b.t.

Ketika berjalan-jalan di internet hari ini. Aku terjumpa video Dr. Mohd Asri yang sangat menyentuh hati. Beliau membacakan doa yang dibaca oleh nabi s.a.w selepas orang Thaif menolak dakwah baginda s.a.w. Sungguh doa itu menunjukkan tawakkal dan redha yang sangat hebat. Meletakkan kebergantungan kepada Allah semata-mata.
 

عن عبد الله بن جعفر قال : لما توفي أبو طالب خرج النبي - صلى الله عليه وسلم - إلى الطائف ماشيا على قدميه ، يدعوهم إلى الإسلام ، فلم يجيبوه ، فانصرف فأتى ظل شجرة فصلى ركعتين ثم قال

‘Abdullah bin Ja’far berkata: Apabila meninggalnya Abu Talib, nabi s.a.w keluar menuju ke Thaif dengan berjalan kaki. Baginda s.a.w menyeru penduduk di sana untuk memeluk Islam, akan tetapi penduduk di sana tidak menerima dakwah nabi s.a.w. Lalu nabi s.a.w pun beredar sehinggalah tiba di sebatang pokok. Baginda s.a.w mendirikan solat dua rakaat kemudian berdoa:

" اللهم إني أشكو إليك ضعف قوتي ، وهواني على الناس ، أرحم الراحمين أنت ، أرحم الراحمين إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني ؟ أم إلى قريب ملكته أمري ؟ إن لم تكن غضبان علي فلا أبالي ، غير أن عافيتك أوسع لي ، أعوذ بوجهك الذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة ، أن ينزل بي غضبك أو يحل بي سخطك ، لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة إلا بالله

Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu kepadaMu, betapa lemahnya kekuatanku, betapa hinanya aku di mata manusia. Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. Yang Maha Pengasih dan Penyayang,kepada siapapun Engkau serahkan diriku ini, sama ada kepada musuh yang akan mengancam diriku, atau kepada sahabat yang akan menjaga urusanku? Selagi mana Engkau tidak Marah kepada ku. Aku tak kisah. Akan tetapi, kesejahteraan yang Engkau kurniakan melegakan aku.

Aku berlindung dengan WajahMu, yang menyinari kegelapan, yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat, daripada turunnya murkaMu ke atas diriku, atau kebencianMu menimpaku. Hanya milikMu keredhaan sehingga Engkau meredhai. Tiada usaha dan kekuatan kecuali denganMu.

[Majma’ az-Zawaid: 9851, Imam al-Haithami berkata: Diriwayatkan oleh at-Thabrani. Pada riwayat ini terdapat Ibn Ishak, beliau seorang mudallis yang thiqah. Perawi yang lain kesemuanya thiqah]

Isnin, 21 Mei 2012

HUKUM MERINGKASKAN- SAW

Dikatakan orang itu bakhil apabila disebut nama Nabi tetapi ia tidak membaca selawat kepadanya (Nabi) tetapi bagaimana pula jika kita menulis nama Nabi dengan tulisan S.A.W. atau tulisan SAW sahaja!
Bila kita menulis begitu macamana cara membacanya dan apakah maksud perkataan begitu!

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :
SAW itu adalah singkatan daripada perkataan panjangnya iaitu : Sallahu ‘alaihi wasallam. Perkara ini adalah suatu kebiasaan dalam penulisan dan ianya tidak mengubah apa-apa pun samada dari segi makna dan lafaz…..

Secara ringkasnya , apa sahaja singkatan yang diguna pakai dalam penulisan dan ianya difahami oleh kebanyakkan masyarakat , maka ianya dibolehkan dan cara menyebutnya adalah sama seperti ditulis dalam bentuk penulisan yang panjang.(tanpa singkatan).

Kaedah penulisan sebegini juga dikategorikan sebagai satu adat kebiasaan yang mana apabila ianya disepakati dan diketahui umum , serta tidak bercanggah dengan syarak , maka ianya menjadi suatu perkara yang dibolehkan dalam Islam.

Ahad, 20 Mei 2012

HUKUM MENCINTAI ISTERI ORANG

Apa kah hukum menyimpan perasaan menyintai isteri orang ?

JAWAPAN :
Al-hamdulillah ,Al-Jawab :

Jawapan terbaik kepada persoalan saudara ialah : CINTA KEPADA YANG HALAL , ADALAH HALAL , DAN CINTA KEPADA YANG HARAM , ADALAH HARAM .

Cinta yang halal ialah cinta kepada isteri atau suami sendiri.Manakala yang haram ialah mencintai yang bukan hak dan kepunyaan kita iaitu isteri atau suami orang lain.Sesungguhnya perbuatan mencintai isteri atau suami orang lain adalah punca kepada keruntuhan dan kehancuran rumah tangga sesebuah keluarga , dan perbuatan tersebut amat dimurkai oleh Rasulullah saw sebagaimana dalam sebuah hadis :

ليس منا من خبب ( اي فسد ) إمـــرأة على زوجها

“Bukan dikalangan kami (umat nabi Muhammad) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya”

(HR Abu Daud : 2175 dan dinilai SAHIH oleh As-Syaikh Al-Albani dalam “Sahih wa dho’if Sunan Abi Daud”)

Perlakuan suami mencintai isteri orang lain dan isteri mencintai suami orang lain adalah perbuatan yang telah lama berlaku , malah dirakamkan oleh Allah swt dalam al-Quran al-Karim.Kisahnya ialah bagaimana isteri seorang pembesar yang menyimpan perasaan cinta kepada orang lain yang bukan suaminya sehingga sanggup melakukan perbuatan yang diluar kewarasan akal fikiran.Wanita tersebut ialah isteri kepada Al-Aziz ( Gelaran bagi seorang Raja di Mesir ) yang mencintai Nabi Allah Yusof alaihissalam.( Surah Yusof ayat 23 – 35 )

Ketahuilah , sesungguhnya perbuatan mencintai isteri / suami orang lain adalah perbuatan keji yang datangnya dari godaan syaitan lantaran menuruti kehendak dan tuntutan nafsu syahwat yang tidak dibendung dengan iman dan taqwa kepada Allah swt.Rasulullah saw berpesan kepada umatnya agar sentiasa melawan hawa nafsu yang boleh menjerumuskan manusia kelembah dosa dan kehinaan sebagaimana sabdanya :

المهاجر من هجر ما نهى الله عنه والمجاهد من جاهد هـــواه

“Orang yang berhijrah ialah hijrah dari hal-hal yang dilarang oleh Allah swt dan orang yang berjuang itu ialah yang berjuang melawan hawa nafsunya.”

Selasa, 15 Mei 2012

KISAH UMMU SULAIM (RUMAYSA)

Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperlihatkan ke dalam Syurga, aku melihat isteri Abu Talhah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau adalah Bilal (HR Muslim: 4495)

Sekilas Tentang Dia:
1.Nama sebenarnya ialah Ghumaisa’ Bintu Milhan
2.Ibu kepada Anas Bin Malik (ra)
3.Berumur 40 tahun ketika Islam mula menyinari bumi
4.Memeluk Islam ketika dakwah Mus’ab Bin Umair di Madinah
5.Berkahwin dengan Abu Talhah selepas kematian suaminya yang pertama

Yang Menjadikannya Istimewa:
Selepas keislamannya, suaminya Malik Bin Nadhr memujuknya supaya kembali kepada agama asal namun beliau tetap dengan pendiriannya dan akhirnya suaminya meninggalkannya dan menuju ke Syam, dan tidak lama selepas itu suaminya mati dalam kesyirikan.

Selepas kematian suaminya itu, Abu Talhah yang ketika itu belum memeluk Islam datang membawa emas dan perak untuk meminangnya. Lantas beliau berkata, “Aku tidak berhajat kepada dua benda ini, akan tetapi maharku adalah Islam, sekiranya engkau terima maka aku tidak berhajat kepada perkara yang lain”.

Abu Talhah kemudian keluar dan kembali sebagai seorang Muslim, maka beliau pun mengahwininya. Berkata seorang wanita Ansar, “Tidak pernah kami mendengar hingga kini seorang yang lebih mulia maharnya dari Ummu Sulaim yamg mana maharnya adalah Islam”.

Hasil perkahwinannya dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair. Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita tentang kematian anakku ini kepada suamiku”.

Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, dia bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab, “Anak kita berada dalam keadaan aman”. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim, “Wahai suamiku, andaikata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya?” Jawabnya: “Tidak”. Kemudian Ummu Sulaim berkata, “Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali”. Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia redha dengan takdir Allah.

Subuhnya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah (saw) dan menceritakan peristiwa yang berlaku itu. Kemudian Rasulullah (saw) berdoa semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak lama selepas itu, Ummu Sulaim telah dikurniakan 10 orang anak yang mana kesemuanya dikalangan ulama yang terpilih.

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu dalam menghadapi detik-detik kematian anaknya dan betapa bijaknya dalam menyampaikan khabar duka itu dengan menggunakan uslub yang menarik. Begitu juga dengan kekentalan imannya sehingga sanggup berpisah dengan suami yang dicintainya dan menukarkan emas dan perak dengan Islam sebagai maharnya. Semoga kita dapat mencontohi pekerti Ummu Sulaim yang mulia ini, dan moga Allah mengurniakan kepada kita semua ketabahan iman dalam menempuhi liku-liku hidup ini. Allahumma Ameen.

BERILAH PERINGATAN

Hadis riwayat Ibnu Abbas ra., ia berkata:

Ketika diturunkan ayat ini:
Dan berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat,  Iaitu kaum kerabatmu yang benar-benar ikhlas. Rasulullah saw. keluar dan naik ke bukit Shafa, lalu berteriak: Hati-hatilah! Orang-orang saling bertanya: Siapa yang berteriak? Di antara mereka berkata: Muhammad! Mereka pun berkumpul mengerumuni beliau. Beliau bersabda: Wahai Bani fulan! Wahai Bani fulan! Wahai Bani fulan! Wahai Bani Abdi Manaf! Wahai Bani Abdul Muthalib! Mereka mengerumuni beliau. Lalu beliau bersabda: Apa pendapat kalian seandainya aku beritahu kalian bahwa pasukan berkuda akan keluar di kaki gunung ini. Apakah kalian mempercayaiku? Orang-orang menjawab: Kami telah buktikan engkau tidak pernah berbohong. Rasulullah saw. bersabda: Aku peringatkan kalian akan siksa yang sangat pedih. Mendengar itu Abu Lahab berkata: Celaka engkau! Hanya untuk inikah engkau mengumpulkan kami? Kemudian ia pergi. Lalu turunlah surat ini, Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan ia benar-benar binasa (HR MUSLIM)

MENAHAN LAPAR SEMALAMAN KERANA MENGHORMATI TETAMU

Seorang telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan telah menceritakan kepada Baginda s.a.w. tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu Baginda s.a.w. tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri Baginda s.a.w. mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu. Baginda s.a.w. kemudian bertanya kepada para sahabat,"Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?" Seorang dari kaum Ansar telah menyahut, "Wahai Rasulullah s.a.w. , saya sanggiup melakukan seperti kehendak tuan itu."

Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata, "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah s.a.w. Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita." Lalu isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?"

Orang Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidakk akan ketahui bahawa saya tidak makan bersama-samanya." Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang.

Berikutan dengan peristiwa itu, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud, "Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan." (Al-Hasy : 9)

Bagaimana Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah

Tulisan Ustaz Dr Fathi Yakan
Cyber Cafe Sang Mer Lati

Dr Fathi Yakan adalah seorang ulamak dan pendakwah yang dikenali. Beliau adalah antara pelopor pergerakan Islam dalam tahun 50-an, berkelulusan PhD dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Dr Fathi Yakan telah mengarang lebih dari 35 buah buku, sebahagian besarnya telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya.

Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat interaktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.

Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud:
Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.
(an Nisa’ 165)

Dan firman maksudnya:
dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.
(al Baqarah 143).

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: “biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

Sesaorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.
Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kamatianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.

Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata.

Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.

Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Merialisasikan kebersamaan ini seseorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut di mana orang yang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia. (Hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh

Khamis, 10 Mei 2012

Cerita Syarip Dol, samseng Kampung Dusun


17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Syarip Dol memang terkenal sebagai samseng Kampung Dusun, selain dari kerja rompakan dan samun beliau juga adalah pembeli hasil sawit penduduk Kampung Dusun.

Oleh kerana tiada pembeli lain di kampung tersebut, maka penduduk mahu tak mahu terpaksa menjual juga hasil ladang mereka kepada Syarip Dol.

Tambahan pula, beliau sering mengugut penduduk yang cuba menjual kepada peniaga lain. Namun kerana tidak mengetahui kadar perahan sebenar, maka penduduk hanya terima berapa sahaja kadar perahan yang diberitahu.

Mereka berasa ok juga Syarip Dol ini kerana walaupun samseng tetapi ia masih membeli sawit penduduk kampung. Ada yang terfikir kalau Syarip Dol tak beli lagi daripada mereka, nanya jadinya.

Hasil penipuan kadar perahan ini, Syarip Dol berjaya mengumpul RM200,000 setahun. Ia hidup senang-lenang hasil penipuan tersebut.

Suatu hari penduduk diberitahu sebenarnya kadar perahan yang sepatut diberi jauh lebih tinggi dari yang mereka perolehi sebelum ini.

Mereka mulai siasat dan ternyata betul laporan tersebut. Ini menyebabkan ada di kalangan penduduk Kampung Dusun mulai merancang untuk menjual kepada kilang lain, yang akan membayar lebih tinggi dan kebajikan lebih baik.

Berita ini membimbangkan Syarip Dol, menyebabkan ia mulai memikir bagaimana untuk menghalang penduduk Kampung Dusun dari menjual ke kilang lain.

Lalu, ia kumpulkan penduduk kampung kononnya untuk memberi anugerah jasamu dikenang. Syarip Dol fikir dari RM200,000 yang berjaya dikumpul selama setahun hasil penipuan perahan, apa salahnya kalau diberi RM100,000 kepada penduduk Kampung Dusun.

“Aku masih ada RM100,000 lagi. Apa yang penting penduduk tidak menjual kepada kilang lain,” katanya di hati.

Maka diadakan majlis anugerah, diwar-war seluruh Kampung Dusun bahawa Syarip Dol nak anugerah wang kepada semua penduduk Kampung.

Pada hari dijanjikan itu, ia mulai mengangkut penduduk kampung, tua muda, lelaki perempuan, Melayu, Cina, Asli dijamu dengan nasi bungkus dan disediakan pasukan nyanyian, kompang bagi memeriahkan majlis anugerah hasil rompakan dan penipuan dari penduduk Kampung Dusun.

Sarip Dol cukup seronok apabila penduduk kampung keluar beramai ramai, ada yang bertempik hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Dia tersenyum lebar. Penduduk mula terngaga apabila Sarip Dol menceritakan pengorbanannya selama ini, dan ingatkan penduduk agar kenang jasa dia.

Maka sampai masa dinanti nanti, Syarip Dol umumkan durian runtuh RM100,000 akan berikan kepada penduduk Kampung Dusun lelaki, perempuan dan anak anak.

Lalu bertempik soraklah penduduk kampung - ada yang pengsan terkejut, ada yang selak tak terkata, ada yang menangis kesyukuran, ada yang mengiling kepala tak percaya Syarip Dol baik sunggguh.

Lalu bergemalah lagi jeritan ucapan hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Lalu Syarip Dol dengan lantang bertanya penduduk Kampungg Dusun, “Apakah tuan-tuan nak jual di kilang lain lepas ini??!!”

Serentak jawapannya “TIDAK! Tidak! Kami sokong Syarip Dol.”

Mendengarkan kata kata itu, Syarip Dol tersenyum puas hati. Walaupun hakikat apa yang diberi hanyalah hasil penipuan kadar perahan, perahan keringat penduduk kampung, hasil penipuan yang dikembalikan kepada mereka semula.

Syarip Dol kagum bila ada seorang tua berkata mana nak cari tokeh baik macam Syarip Dol di dunia ini.....

Sekadar renungan untuk senyuman hari ini.

-----------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Harakah Daily

KULIAH PERDANA DI SURAU AL-IKHWAN

Murah Hati Yang Mahal


Abah singgah solat di sebuah surau.Selesai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.

Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca sedang berehat melepaskan penat.

Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya.

Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.

Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi.

Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu.

“Ini hok mu buat beli makanan.”

Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?”

Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.”

Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?”

Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.”

Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah.

Abah mula berasa sebak.

“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.

“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan.

Abah tidak mampu bersuara lagi..

Nota: Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya..

Kelebihan orang yang murah hati..
1. Pemiliknya akan mendapat kasih sayang dan redha Allah SWT.

2. Bukti kesempurnaan akal, lapang dada dan besar jiwanya.

3. Akan mendapat pertolongan malaikat.

4. Semua manusia akan terdetik hatinya untuk membantu dan bergabung dengan pemilik sifat ini.

5. Seseorang yang berusaha menanamkan sifat ini dengan cara membiasakan dan memupuknya akan mendapat pahala yang besar dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

6. Ia adalah salah satu sifat Allah SWT dan para wali-Nya.

7. Ia dapat menyatukan hati dan menebarkan kasih sayang antara manusia.

8. Melenyapkan kebencian, kedengkian dan dapat meluluhkan hati.

SUBHANALLAH !

Rabu, 9 Mei 2012

Restu Ibu Imam Syafie

Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.

Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan.

Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”
Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah.

“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”

Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu. Juga di doakan dengan doa perlindungan daripada Surah Yusuf ayat 64:

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah.

Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”

DOA SETELAH IQAMAH


Antara perkara yg telah dibincangkan dalam Kuliah Maghrib di Surau As-Syuro Kiambangsari Kitab Zaadul Musolli (8/5/2012). ~DOA SELEPAS IQAMAH~ Jom amalkan semoga bermanfaat dan mendapat syafaat Rasulullah saw.


Isnin, 7 Mei 2012

Kata-kata orang soleh itu...

Memang payah untuk membetulkan persepsi yang salah. Sebab ramai manusia hanya menggunakan citarasa diri sendiri sebagai neraca. Bukan Kalam suci dan panduan insan terpuji.Oleh kerana sudah terdidik sejak kecil dengan kepalsuan maka yang benar dan bathil tidak dapat dibezakan. Maka yang baik itu disangka buruk dan yang buruk disangka membawa kebahagiaan hidupnya.

Oleh itu kata-kata orang-orang soleh mengenai kehidupan dunia ini adalah pengikat nafsu berkesan dan penyembuh citarasa yang sudah rosak.

Ada sepotong kek terbiar di salah satu sudut rumah. Di kejauhan dari tempat itu ada 2 ekor anak tikus sedang berbalah : 

Tikus putih : awak nampak tidak kek itu? 

Tikus Kelabu : ya saya nampak. Tapi warnanya tidak cantik. 

Tikus putih : Tapi kan baunya enak sekali. Pedulikan warnanya. Rasanya pasti lazat. 

Tikus Kelabu : hmm kalau sudah pudar warna pasti rasanya pun sudah masam. 

Tikus putih : Aku yakin masih sedap lagi. Kalau tidak pasti tuan rumah sudah buang ke bakul sampah. 

Tikus Kelabu : mungkin juga kan… 

Si ayah tikus yang dari tadi mendengar perbualan anak-anaknya mencelah : 

Ayah tikus : Apa yang kamu riuhkan wahai anak-anakku? 

Tikus putih : kek sana tu ayah. 

Ayah tikus : Cuba kamu pandang betul-betul apa kamu nampak. 

Tikus Kelabu : tak ada-apa yang aneh. Hanya sepotong kek. 

Ayah tikus : tengok dengan pandangan cermat. 

Tikus putih : Kek lah ayah.. apa yang peliknya. 

Ayah tikus : kamu hanya fikirkan nak makan kek saja. Sedangkan sebelah kek itu ada perangkap. Wahai anak-anakku.. kalau kamu mahu selamat mintalah nasihat dari yang berpandangan jauh dan tiada kepentingan diri. Jika kamu salah penilaian kamu akan binasa kelak

-ust fuad osman-

Ahad, 6 Mei 2012

CELAAN PEMBAKAR SEMANGAT

KISAH YANG DISAMPAIKAN DALAM KULIAH MAGHRIB DI SURAU NURUL IMAN CEMPERAISARI SEBENTAR TADI (6/5/2012)

Diceritakan di dalam Kitab Lathaif al-Minan Wal Akhlak karya Imam Abdul Wahab asy-Sya'rani (seorang ulama' Mesir yg lahir pd 898H dan wafat pd 973H. Beliau sempat berjumpa dgn Imam ahli Hadis Mesir antaranya Jalaluddin as-Suyuthi&bljr dgn ulama' terkenal Syeikh Zakaria al-Anshari, Nashiruddin al-Laqani, Syihabuddin ar-Ramli dan ramai lagi) menukil daripada Imam Taqiyuddin as-Subki yang bercerita tentang kisah ABU ALI IBNU SINA, seorang tokoh falsafah Islam yg sangat pandai dan genius.

Suatu hari, ada seseorang mencela Ibnu Sina kerana beliau tidak haafaz al-Quran. Setelah mendengar celaan itu, Ibnu Sina pun menjadi sangat malu dan marah. Lalu beliau terdorong untuk menghafaz seluruh al-Quran, dan beliau melakukannya HANYA DALAM SATU MALAM! Padahal sebelum itu, beliau hanya menghafal surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sahaja.

Kisah ini sangat mengagumkan, bahkan terlalu luar biasa sehingga sukar dipercayai. Allah yang lebih tahu kesahihan cerita ini.

#Teladan: Jadikan celaan sebagai pembakar semangat. Celaan memang pahit namun ia mengandungi ubat yang akan merubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya, kita mesti pandai merubah celaan itu menjadi pembakar semangat, seperti yang dilakukan tokoh2 yg berjiwa besar#

Sabtu, 5 Mei 2012

Solat Sunat Isyraq

Solat Sunat Isyraq dua rakaat ini dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), lebih tepatnya kira-kira 12 minit setelah terbit matahari.

Diberi tempoh masa 12 minit ini sejak waktu Syuruk (terbit matahari) adalah agar ia tidak menyamai orang yang menyembah matahari. Waktu ini juga adalah haram untuk melakukan sebarang solat kerana tanduk syaitan berada di antara matahari.

Tempoh masa Solat Sunat Isyraq adalah sangat singkat iaitu 15 minit sahaja (12 minit – 27 minit setelah Syuruk), bersamaan sehingga masuk waktu Dhuha.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna.” (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi r.a.)

Cara Melakukan Solat Isyraq


1. Sebelum mendirikan solat Isyraq bacalah doa berikut:


2. Solat sunat Isyraq dilaksanakan sama seperti solat sunat dua rakaat yang lain.
3. Lafaz niatnya:-


“Daku solat sunat Isyraq dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
4. Bacaan surah selepas Al-Fatihah:


Rakaat pertama, bacalah Al-A’la.
Rakaat ke-dua, baca Al-Fil.


Atau;


Rakaat pertama, bacalah Al-Kafirun.
Rakaat ke-dua, baca Al-Ikhlas.


5. Selepas salam bacalah doa ini;

By; shafiqolbu

Rabu, 2 Mei 2012

Apa Yang Kita Sibukkan…?


“Saya sibuk sekarang ni”. Saya tak ada masa”. Banyak kerja yang perlu saya siapkan”.

Itulah jawapan yang selalu kita dengar bila kita ingin minta bantuan dari kawan-kawan…. lebih-lebih lagi ketika kita ingin mengajak rakan kita kepada program-program yang berkaitan dengan Islam. Benarkah semua orang sibuk atau buat-buat sibuk?

Saya yakin memang semua orang sibuk, cuma persoalannya apa yang mereka sibukkan. Kata Imam Al Ghazali “rugilah mereka yang sibuk tetapi segala kesibukan mereka hanya untuk dunia sahaja”. Bagaimana pula dengan kita… apa yang kita sibukkan, adakah kita sibuk menyiapkan bekalan untuk hari pertemuan dengan Allah SWT atau sebaliknya sibuk dengan kenikmatan dunia hingga menyebabkan hati kita terlalu keras untuk mendengar peringatan atau nasihat? Berapa peratuskah kesibukan kita untuk Akhirat?

Mahukah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi sepertimana dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali. Dalam satu surah Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka di Hari Qiamat. Itulah ‘kerugian’ yang sebenarnya”.

Sekiranya kita tidak fikirkan sekarang, kita akan menyesal pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT, hari dimana akan dibentangkan kitab amalan kita….`ada yang akan menerima kitabnya dari sebelah kanan, ada yang akan terima dari sebelah kirinya dan ada pula yang akan menerima kitab amalannya dari belakang… bagaimana pula yang kita harapkan. Dalam surah al Kahfi Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan dibentangkan kitab (Kitab amalan kita yang selama ini dicatat dengan begitu rapi oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita), kamu akan dapati orang-orang yang berdosa itu gementar ketakutan melihat apa yang ada di dalamnya, dan mereka berkata… celakalah kami, kitab apakah ini, tidak tinggal olehnya perkara kecil atau perkara besar melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati apa saja yang mereka kerjakan (di dunia) hadir/nampak di hadapan mereka”

Saat-saat beginikah baru kita nak muhasabah diri dan menyesali bahawa kesibukan diri kita selama ini hampir semuanya untuk dunia semata-mata. Apakah nilainya penyesalan kita pada masa itu? Sememangnya ramai yang menyesali perbuatan mereka pada masa itu dan minta supaya dikembalikan ke dunia untuk mereka beramal soleh….. tetapi kebanyakan permintaan ini Allah jawab dengan sindiran, kerana penyesalan ketika itu tidak bermakna lagi, seperti yang Allah rakamkan dalam surah As Sajdah (ayat 12)

“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabb mereka, mereka berkata…. Ya Rabb kami, Kami dah nampak dah, kami dah dengar… kembalikanlah kami (ke dunia), kami nak buat amal soleh, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang yakin”

Apakah nilainya penyesalan kita pada ketika itu… setelah jatuhnya ketetapan Allah ke atas diri kita. Sekaranglah masanya untuk kita renungkan masa-masa yang kita lalui, setakat manakah ianya benar-benar bermanfaat untuk Akhirat kita dan berhati-hatilah dengan tipu daya dan belitan syaitan, kerana tipu dayanya terlalu halus.

Kita Dipandang kerana duit, Kita dihina kerana duit.

Posted by toyu


Benar bukan, apabila kocek penuh ada manusia menghampiri kita?. Kegembiraan dikongsi bersama. Malah apa sahaja yang kita percakapkan pasti akan dianggukkan jarang sekali ada salahnya. Diri kita bagaikan lauk yang dihurung oleh orang kiri dan kanan.

Duit, wang, money (apa sahaja yang dipanggil nilaian wang) di zaman mutakhir ini menjadi satu keperluan yang amat dirisaukan di dalam diri kita. Hari ini barang itu naik harganya, tepung, gula, minyak. Lalu masing-masing akan memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan duit.

Bermacam caralah yang akan dibuat untuk memperolehi wang samada dengan cara yang halal atau haram. Ada yang menggunakan kaedah MLM,ada yang mengikuti pertandingan sms, ada juga yang mengadakan cara yang kononnya islamik dengan mengadakan konsep bersedekah (padahal ia sama sahaja dengan sikap malas berusaha). Lalu digunakan segala macam dalil dan hujjah untuk menghalalkan perbuatan tersebut.

Dijaja ustaz dan ustazah itu sudah menceburi kaedah ini, jangan sangsi! Perniagaan ini halal!. Rupa-rupanya yang menentukan halal dan haram adalah dengan keberadaan ustaz dan ustazah di dalam sesuatu perniagaan. Yang menentukan halal dan haram adalah dengan meletakkan ayat – tolong menolong antara sesama Islam, tentang kelebihan bersedekah.

Lihat sahaja di masjid dan surau yang diletakkan risalah-risalah seperti ini. Modalnya adalah beberapa ringgit. Diletakkan pelbagai testimoni orang ini sudah mendapatkan duit dalam sehari tanpa perlu bekerja, terima kasih! Orang itu sudah dapat menyelesaikan hutangnya, dan kini sudah ada kenderaan baru dan mewah, alhamduliLlah! – Orang yang tidak berfikir panjang akan mengatakan “kenapa tak boleh?, kita mesti cuba. Alahhh.. berapa ringgit sangatlah hendak dilabur, tak rugi!”. Akhirnya dalam tidak rugi katanya itu, yang mendapatkan duit atas angin tanpa usaha siapa? Akhirnya yang ditipu bulat-bulat siapa? Siapa panel syari’ahnya?

Aku memikirkan – perkara duit bukanlah perkara kecil anak, ia digunakan untuk membeli barangan, untuk membeli makanan. Dari situ secara tidak langsung ada hubungannya dengan manusia dan ALlah. Aku teringat hadith yang mafhumnya ‘daging yang tumbuh dari sumber yang haram layak untuk api neraka’. Biarlah aku berusaha bersungguh-sungguh dengan caraku. Tiada daya melainkan untuk mendapatkan rezeki yang halal itu memang payah, untuk mendapatkan yang barokah itu susah. Biar tidak senang agar tidak pula banyak yang hendak dijawab di hadapan ALlah.

Lihatlah orang yang kaya di Malaysia ini seperti Syed Mokthar Bukhary dan Mohammad Ali Hassan (Al Ikhsan Sport) – adakah dengan tiba-tiba mereka menjadi kaya tanpa usaha berpenat lelah?

Wahai sahabatku : Dari Abu AbduLLah al Nu’man bin Basyir r.anhuma katanya : Aku dengar RasuluLLah s.a.w bersabda : Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran JATUHLAH IA KE DALAM YANG HARAM seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) di dalamnya.
Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan, Ketahuilah! Bahawa larangan ALlah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya.

Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. – Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
- Rujukan matan al arba’in li Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif al Nawawi (Imam An Nawawi)

Selasa, 1 Mei 2012

Setiap degupan ingat Allah..Allah..Allah

Setiap degupan ingat Allah..Allah..Allah

Kata Mutiara Pengorbanan

Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.

Sesungguhnya pengorbanan itu bermaksud, usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.

Jujur adalah sebuah pengorbanan yang tidak hanya membuat diri kita terhormat di mata orang lain tetapi lebih utama lagi, terhormat di sisi Allah.

Pejuang sejati boleh dilihat dari seberapa banyak pengorbanan yang diberikan.

Orang yang tidak mahu berkorban adalah orang yang menunjukkan kehinaan dirinya.

Ciri orang yang beriman adalah senantiasa rela berkorban untuk kepentingan umat.

Kesungguhan, kegigihan, keikhlasan dan pengorbanan adalah pilar-pilar cinta sejati.

Tunjukkan rasa cinta kita dengan berkorban kerana tidak ada cinta tanpa pengorbanan.

Allah membenci orang yang bersifat kikir kerana kekikiran itu akan menimbulkan kezaliman dan kedengkian.

Semakin orang itu mencintai apa yang dimilikinya semakin sulitlah dia berkorban untuk orang lain.

Jadilah manusia yang senantiasa mahu berkorban untuk sesama kerana itu menunjukkan kemuliaan akhlak.

Allah sangat mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa yang dimilikinya.

Semakin seseorang itu banyak berkorban untuk orang lain, semakin mulialah dia di sisi Allah dan manusia.

Allah mencintai orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk menegakkan kebenaran.

Allah sangat mencintai orang-orang yang berkorban untuk mendapatkan keredhaanNya, kerana itu menunjukkan cinta sejati pada Allah.

Terdahulu memberi salam

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling hampir disisi Allah ialah mereka yang terlebih dahulu memberi salam (diantara mereka) – Hadith riwayat Abu Daud

Dari Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasululllah s.a.w bersabda: Orang yang terlebih dahulu memberi salam akan terhindar dari sifat takabbur. – Hadith riwayat Baihaqi

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai. -Hadith riwayat Bukhari

Kata Imam Ghazali rah.a…

Dalam Al-Ihya menulis: Dalam diri manusia terdapat 4 sifat:

1. Sabiyah (kebuasan)
2. Bahimiyah (kebinatangan)
3. Syaithaniyah (kesyaitanan)
4. Rabbaniyah (ketuhanan)

Jika sifat rabbaniyahnya berhasil mengalahkan dan mengendalikan ketiga sifat yang lain, maka akan timbul sifat-sifat yang baik seperti:
1. menjaga kehormatan diri (iffah)
2. cukup dengan apa yang ada (qanaah)
3. tenang
4. zuhud
5. wara’
6. takwa
7. malu
8. jujur
9. berani
10. dermawan
11. sabar
12. suka menolong
13. tahan menderita
14. suka memaafkan
15. teguh pendirian
16. mulia
17. pandai
18. selalu ceria (senyum)

dan sebagainya.

Kesabaran

Salah satu ciri orang-orang beriman ialah orang-orang yang saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.

Kesabaran itu adalah bekalan orang yang terpaksa, dan kerelaan itu adalah darjat ketinggian para arif.

Syukur dan sabar merupakan sarana meningkatkan kualiti diri agar lebih berharga dalam pandangan Allah.

Setiap hari kita selalu dituntun oleh keinginan. Kalau tidak sabar, keinginan inilah yang akan menjerumuskan kita. Luruskan niat ketika datangnya keinginan.

Kita dikurniakan oleh Allah keinginan. Keinginan itulah yang menuntun sikap. Kalau tidak sabar, kita kehilangan niat. Padahal niat adalah kunci agar amal diterima.

Berhati-hatilah, nafsu akan membutakan kita dari kebenaran. Kita harus sabar untuk bertanya, benarkah niat saya ini? Betulkah tujuan saya? Mintalah petunjuk kepada Allah.

Kegagalan itu adalah ketika kita tidak sabar menghadapi sesuatu hal yang tidak sesuai dengan keinginan kita

Jangan mencaci sesama kita

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mende...ngarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.

(Hadith Riwayat Ahmad)

===========

Siapa lah kita yang mahu mencaci ciptaan Allah? Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, Allah lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang Allah jauh lebih luas daripada itu.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.

KEBAIKAN

Ambillah kebaikan dari orang yang mempunyai kebaikan dan tinggalkanlah keburukan yang ada pada orang yang mempunyai keburukan.

Latihlah diri kita untuk membalas dengan kebaikan kepada orang-orang yang telah berbuat keburukan kepada kita.

Belajarlah menahan diri dari selalu ingin melihat jasa dan kebaikan sendiri. Orang yang ikhlas itu bijak menyembunyikan kebaikannya sebagaimana dia menyembunyikan keburukannya.

Tidak ada sesuatu yang lebih baik daripada akal yang diperindah dengan ilmu, ilmu dengan kebenaran, kebenaran dengan kebaikan, dan kebaikan dengan taqwa.

Orang yang beriman itu mempunyai upaya untuk mengajak kepada kebaikan, mengajak kepada perkara-perkara yang akan mendekatkan kepada Allah dan melarang dari perbuatan yang tidak disukai Allah.

TENTANG KEBAIKAN

Kebaikan di dunia dibangun atas dasar taqwa. Keimanan adalah senjata dan taqwa adalah pelurunya. Iman adalah penjaga dan pelindung bagi seorang mukmin dan taqwa menambah keimanan dan mengukuhkannya.

Kita dapat meluluhkan hati musuh dengan doa, sikap dan perilaku kita yang merupakan cerminan dari ibadah yang benar. Senjata kita adalah amal kebaikan dan doa.

Salah satu alasan orang menyukai diri kita ialah peribadi indah yang gemar berbuat kebaikan serta sopan-santun, lembut, dan peramah kepada setiap orang.