Sahabat Ilmu

Khamis, 24 Mei 2012

Abu Mihjan ats-Tsaqafi: Penagih Arak, Pemburu Syahid, Mujahid Sejati........


Lihatlah Abu Mihjan!
Abu Mijan as-Tsaqafi radiallahu ‘anhu adalah orang seorang sahabat yang ketagih minuman keras, sehingga dia sering dihadapkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam untuk dikenakan hukuman had (HUDUD). Walaupun demikian, ketika dia mendengar seruan jihad ke Qadisiyah, dia segera bangkit untuk berjihad di bawah pimpinan bapa saudara Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam, Sa’ad bin Abi Waqqas radiallahu ‘anhu. Pada hari-hari pertempuran, dia masih tidak mampu menahan ketagihannya kepada arak, sehingga dia pun meminumnya. Oleh kerana itu, Sa’ad menjatuhkan hukuman atasnya dengan mengurungnya dan melarangnya daripada ikut berperang. Beliau tidak dikenakan hukuman had kerana hukum had tidak akan dilaksanakan di kawasan musuh.

Ketika ditahan, dia mendengar bunyi pertempuran yang sengit dan teriakan para mujahidin, air matanya pun mengalir kerana kedatangannya ke al Qadisiyah adalah untuk berjihad. Ketika itu isteri Sa’ad melihatnya, dia pun merasa kasihan terhadap Abu Mihjan. Sedangkan Sa’ad radiallahu ‘anhu saat it sedang sakit, dan itu adalah sakit terakhir yang membuatnya tidak mampu turun untuk berperang dan dia mengatur peperangan dari tempat tidurnya.

Lalu Abu Mihjan berkata kepada isteri Sa’ad, “Wahai Salma, berikan kepadaku kuda Sa’ad, Balqa, dan berikan kepadaku senjata Sa’ad. Demi Allah, jika Allah mentakdirkan aku untuk tetap hidup, maka aku akan kembali ke tempat tahanan ini dan aku ikatkan kembali rantai yang mengikat kakiku. Dan jika aku mati, maka itulah yang aku harapkan.” Mendengar ketulusan Abu Mihjan tersebut, isteri Sa’ad akhirnya memenuhi keinginannya.

Dalam Peperangan
Abu Mihjan mengenakan penutup wajah, lalu dia turun ke medan jihad. Abu Mihjan adalah seorang pahlawan yang terkenal dengan keberaniannya. Ketika dia turun ke medan pertempuran, Sa’ad melihatnya dan merasa takjub dengan keberanian beliau. Sa’ad pun berkata, “Jika saya tidak tahu bahawa Abu Mihjan ada di dalam penjara, tentu akan saya katakan bahawa orang itu adalah Abu Mihjan. Jika saya tidak tahu dimana Balqa berada, tentu akan saya katakan bahawa kuda yang ditungganginya adalah si Balqa.”

Mendengar perkataan suaminya, isteri Sa’ad pun berkata, “Engkau benar, wahai suamiku. Sesungguhnya dia adalah Abu Mihjan dan kuda yang ditungganginya adalah Balqa.”

Lalu Sa’ad pun bertanya apa yang terjadi, dan isterinya menceritakan kejadian yang sebenarnya. Mendengar kata-kata isterinya, Sa’ad merasa kasihan kepada Abu Mihjan.

Ketika peperangan usai, Abu Mihjan kembali ke dalam tahanan dan mengikatkan rantai di kakinya sendiri. Kemudian Sa’ad masuk ke dalam penjara sambil menangis dan melepaskan rantai yang mengikat kaki Abu Mihjan, lalu berkata, “Demi Allah, aku tidak akan menghukummu lagi setelah hari ini.”

Maka Abu Mihjan pun menangis dan berkata, “Dan demi Allah aku tidak akan meminum arak lagi setelah hari ini.”

Tiada ulasan: