RAMADHAN BULAN AL-QURAN
AL-QURAN SUDAH DITINGGALKAN
Tidakkah kita sebagai umat Muhammad berasa sedih setelah melihat umatnya yang ditinggalkan melebihi 1400 tahun telah kembali ke zaman jahiliah? Semuanya gara-gara meninggalkan harta pusaka Nabi s.a.w yang paling bermakna, iaitu al-Quran. Sedangkan, sebelum meninggalkan umatnya baginda berpesan agar tidak meninggalkan al-Quran dan berpegang teguh padanya. Hari ini, ayat-ayat al-Quran hanya dijadikan hiasan pada dinding masjid, rumah dan lain-lain lagi.
Hakikatnya, al-Quran diturunkan bukan untuk digantung sebagai perhiasan, bukan untuk dijadikan hadiah hantaran perkahwinan dan bukan juga untuk dijadikan tangkal sebagai ‘penghalau’ hantu atau syaitan. Tetapi, al-Quran diturunkan untuk dibaca, difahami dan diamalkan hukum-hakamnya. Hal ini bertepatan dengan fi rman ALLAH S.W.T:
Maksudnya:
“Rasul berkata: Wahai TUHANku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” – Surah al- Furqan: 30.
Kecelakaan besar bakal ditempuhi oleh golongan yang membelakangi dan meninggalkan al-Quran di dunia dan akhirat. Golongan ini bukan sahaja tidak beramal dengan al-Quran, malah langsung tidak pernah menyentuh dan membukanya. Menurut Jabir r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Maksudnya:
“Al-Quran adalah pemberi syafaat yang amat berguna dan ia pasti membelanya kelak. Sesiapa meletakkan dia di hadapannya (sebagai penyuluh jalan) ia akan memimpinnya ke syurga. Manakala sesiapa yang membelakangi al-Quran, ia pasti memimpinnya ke neraka.”
-Hadis sahih riwayat al-Baihaqi, al-Tobrani dan selainnya.
RUMAH SUNYI DARIPADA BACAAN AL-QURAN
Pada hari ini kita dapati setiap rumah, pejabat, dalam kereta, di bandar dan di desa semuanya tidak lekang daripada alunan muzik. Itulah hasil usaha golongan kuffar untuk memperdaya dan melalaikan umat Islam. Nampaknya, usaha mereka berjaya. Tidakkah kita malu kepada ALLAH di atas perbuatan dan kelalaian kita ini?
Sewajarnya, rumah-rumah orang Islam hendaklah sentiasa dipenuhi dengan alunan bacaan al-Quran agar rumahnya tidak didiami oleh syaitan-syaitan yang memperdayakan. Bukankah lebih baik telinga-telinga kita didendangkan dengan alunan al-Quran?
Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: Maksudnya:
“Janganlah engkau jadikan rumah-rumah kamu seperti tanah perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan beredar dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” – Hadis riwayat Muslim.
Oleh itu, janganlah kita biarkan lagi selepas ini rumahrumahkita sunyi daripada bacaan al-Quran. Semoga keberkatan al-Quran itu menyelinap masuk ke setiap ruang rumah-rumah umat Islam. Marilah kita lahirkan budaya qurani dalam semua aspek kehidupan
KECELAKAAN UMAT YANG MEMPERMAINKAN AL-QURAN
Berhati-hatilah terhadap sifat-sifat munafik wahai pembaca al-Quran. Apakah yang dimaksudkan dengan munafik pembaca al-Quran ialah qari dan qariah yang pandai melagu-lagukan al-Quran atau pelajar di bidang al-Quran tetapi ia hanya bertujuan mengaut keuntungan dunia, mendapat sijil dan pangkat atau sekadar menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada.Menurut ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Nabi s.a.w telah
bersabda: Maksudnya:
“Kebanyakan munafik daripada kalangan umatku terdiri daripada orang yang pandai membaca al-Quran.”– Hadis riwayat Ahmad. Menurut Syu’aib al-Arnaut: Hadis ini
bermartabat hasan li ghairihi dan sanad hadis ini hasan.
Selain itu, munafik yang dimaksudkan di sini ialah golongan yang mempermainkan agama dengan membacakan ayat al-Quran sambil mentakwil dengan makna yang bukan dikehendaki oleh ALLAH dan Rasul-NYA. Akhirnya, mereka menyesatkan orang ramai. Abu Said al-Khudri r.a berkata: Maksudnya:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berkhutbah pada tahun peperangan Tabuk sambil menyandarkan belakangnya di pohon kurma katanya: Adakah kamu ingin aku beritahu tentang manusia paling baik dan manusia paling jahat? Ketahuilah! Sesungguhnya manusia paling baik ialah seseorang yang memacu kuda, menunggang tunggangan atau berjalan kaki berjuang di jalan ALLAH lalu menemui kematian. Manakala manusia paling jahat ialah seorang yang buruk perangai membaca al-Quran tetapi langsung tidak menghilangkan kebodohan pada dirinya walau sedikit.” – Hadis riwayat Ahmad. Al-Arnaut menghasankannya. Tetapi, sanad hadis ini daif.
Selain itu, Nabi s.a.w juga mengingatkan bahawa akan muncul di akhir zaman al-Quran hanya diperdengarkan di khalayak ramai atau setiap orang mampu berpidato sambil membacakan ayat-ayat al-Quran tetapi ayat itu langsung tidak bermanfaat buat dirinya. Mereka hanya pandai memperbaiki ibadah orang lain atau memperbaiki bacaan al-Quran orang lain tetapi melupakan diri sendiri. Menurut Abu Said al-Khudri r.a, Nabi s.a.w telah bersabda: Maksudnya:
“Akan muncul satu golongan yang selalu membandingkan solat kamu dengan solat mereka, puasa kamu dengan puasa mereka, amalan kamu dengan amalan mereka sambil membaca al-Quran tetapi bacaan itu langsung tidak melebihi kerongkong mereka. Malah, merekalah yang paling ramai keluar daripada agama seperti anak panah keluar daripada busurnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari.
Dalam riwayat lain: Maksudnya:
“Akan muncul di akhir zaman golongan muda-mudi dan cetek ilmunya petah berbicara sambil melontarkan hadis-hadis Nabi s.a.w. Namun, merekalah paling ramai keluar daripada Islam sebagaimana anak panah keluar daripada busurnya. Iman mereka tidak pernah melepasi tulang selangkanya. Di mana sahaja kamu menemui mereka maka bunuhlah. Ini kerana, sesiapa membunuhnya akan mendapat ganjaran pada hari kiamat .” – Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Nasaai.
Hadis di atas memberi peringatan keras terhadap golongan yang cuba mentafsirkan al-Quran menurut hawa nafsu. Mereka menolak pentafsiran ulama terdahulu dan berusaha memutarbelitkan fakta. Mereka ini terdiri daripada ulama suk yang menjadi ‘pengampu’ pemerintah. Al-Quran dijadikan bahan permainan demi menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal semata-mata kerana mencari habuan dunia. Sufian al-Tsauri r.h berkata:
“Di dalam neraka terdapat satu lembah yang mana tidak akan dihuni kecuali orang yang tahu membaca dan memahami al- Quran bertujuan menjadi pendamping pembesar atau pemerintah.”
Bahkan, Huzaifah bin al-Yaman juga berpesan: “Berhati- hatilah kamu semua terhadap fitnah yang bakal menimpa. Ditanya apakah fi tnah itu? Jawabnya: Pintu
kediaman pemimpin-pemimpin terbuka luas lalu dimasuki oleh seseorang sambil membenarkan penipuan pemimpin dan mengungkapkan kata-kata yang tidak pernah disebut dalam al-Quran.”
Semua itu bertujuan mendapat pangkat, dinaikkan gaji, dipandang mulia oleh masyarakat dan memenuhi keperluan hawa nafsu mereka semata-mata. Bahkan, ada
sebahagian mereka yang langsung tidak memahami al- Quran dan sunnah sepenuhnya menggunakan peluang keemasan ini untuk memutarbelitkan fakta dan mencari kedudukan. Semoga ALLAH menyelamatkan seluruh pemimpin Islam daripada fitnah golongan yang tidak bertanggungjawab ini.
PENUTUP
Sebagai kesimpulan daripada apa yang dibentangkan, marilah sama-sama kita mendekati al-Quran dan jadikan ia sebagai kawan di dunia dan akhirat. Sempena bulan Ramadan al-Mubarak ini, elok juga kita hadirkan diri ke masjid mengerjakan solat tarawih bersama kaum muslimin sambil mendengar bacaan al-Quran sama ada pendek atau panjang.
Menurut Jabir bin Abdullah r.a, Rasulullah s.a. telah ditanya:
Maksudnya:
“Cara solat bagaimanakah paling utama? Jawabnya: Panjangnya qunut (berdiri).” – Hadis riwayat Muslim.
Apa yang menghairankan, umat akhir zaman terlalu bersungut dengan bacaan imam yang panjang atau lama berdiri. Apatah lagi ketika solat sunat tarawih. Tidakkah mereka tahu bahawa jika tidak mampu berdiri, duduk itu lebih utama demi mendengar bacaan al-Quran yang mana hanya sebulan dalam setahun. Adakah dia tidak pernah mendengar kisah Nabi s.a.w berdiri lama ketika menunaikan solat tarawih bersama para sahabat hingga ke waktu sahur? Lihatlah, betapa lemah tenaga umat Islam berbanding para sahabat. Mereka bukan hanya sanggup berperang dalam keadaan berpuasa di siang hari. Malah, sanggup menggunakan seluruh anggota bertahajud di malam hari. Berbeza dengan umat akhir zaman.
Abdullah bin Umar r.a berkata:
Maksudnya:
“Aku telah menunaikan solat bersama Nabi s.a.w pada suatu malam. Baginda terus berdiri hingga timbul perasaan buruk dalam diriku. Para sahabat bertanya: Apakah perasaan buruk itu? Jawabnya: I ngin sahaja aku duduk atau meninggalkan Nabi s.a.w
(mufaraqah).” - Hadis riwayat al-Bukhari.
Ziad pernah mendengar al-Mughirah bin Syu’bah r.a berkata:
Maksudnya:
“Sudah menjadi kebiasaan Nabi s.a.w memanjangkan berdiri ketika dalam solat malamnya hingga pecah-pecah kakinya. Apabila ditanya mengapa dilakukan begitu? Jawabnya: Apakah aku tidak suka untuk menjadi hamba yang bersyukur.” - Hadis riwayat al-Bukhari.
Dalam riwayat lain menceritakan betapa kuat dan sabarnya baginda s.a.w kerana mampu mendirikan solat malam sambil memanjangkan bacaan al-Quran hingga para sahabat tidak mampu menandingi beliau.
Huzaifah bin al-Yaman r.a berkata:
Maksudnya:
“Aku telah menunaikan solat bersama Nabi s.a.w pada suatu malam. Baginda memulakan solat dengan surah al-Baqarah. Aku menyangka baginda akan rukuk setelah menghabiskan ayat keseratus. Tetapi baginda meneruskan hingga menjangkau surah Ali Imran dan surah al-Nisa. Baginda membacanya secara terputus-putus. Apabila menemui ayat yang memerintahkan bertasbih lalu baginda bertasbih. Apabila menemui ayat perintah berdoa baginda akan berdoa. Apabila menemui ayat perintah memohon perlindungan baginda akan memohon perlindungan.” -Hadis riwayat Muslim.
Lihatlah, betapa hebat kesungguhan seorang manusia yang diutus sebagai nabi dan rasul hinggakan sanggup beribadah kepada TUHANnya sebegitu rupa. Sedangkan, seluruh dosa baginda telah pun diampunkan oleh ALLAH. Justeru, kita sebagai manusia biasa pula sewajarnya
mencontohi sunnah baginda dan para salafussoleh ini serta menjadikan Ramadan pada tahun ini dipenuhi bacaan al-Quran. Paling tidak, ber usahalah datang ke masjid
dan surau untuk mendengar bacaan imam. Akhirnya, selawat dan salam ke atas junjungan Muhammad s.a.w, ahli keluarganya, sahabat dan seluruh kaum muslimin yang mengikuti jejak langkah mereka dengan penuh ihsan. Wallahu alam.
SELAMAT BERAMAL DI BULAN RAMADHAN MOGA2 RAMADHAN TAHUN INI LEBIH BAIK DARI YANG SEBELUMNYA...WASSALAM
Selasa, 16 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan