Sahabat Ilmu

Khamis, 14 Februari 2008

ADAKAH ANDA TERGOLONG DALAM GOLONGAN INI???

16 Kategori Manusia Yang Tidak Dapat Menatap Wajah Allah

Salah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ
وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ

Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat.

Namun bagi orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah . Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :

1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman dalam surah Ali-Imran 77 :

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya

2. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :
“ Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

3. Orang Tua yang Berzina

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:
“Tiga orang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”
Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.

4. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti… [al-Hujurat 49:6]

Surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadis yang ia sangka, sesungguhnya hadis tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta. [ Hadis Sahih: Dikeluarkan Muslim, Ibnu Majah, Tirmidzi, Ahmad. Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadis Daripada Samuroh Bin Jundud radhiallahu ‘anh) dengan lafaz yang sedikit berbeza.]

Menurut Imam Ath-Thahawiy diantara penjelasannya terhadap hadis di atas:
Barangsiapa yang menceritakan (hadis) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan dasar zhan (sangkaan), berarti ia telah menceritakan (hadis) dari beliau dengan tanpa haq, dan orang yang menceritakan (hadis) dari beliau dengan cara yang batil, niscaya ia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam :"Barangsiapa yang sengaja berdusta atas (nama)ku, hendaklah ia mengambil tempat tinggalnya di neraka".[Musykilul Atsar (1/176)]

5. Orang miskin yang takabbur
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri (takabbur)}(an-Nahl ayat 23)

6. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.

Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang bukan tangan kamu yang menciptanya.

7. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan

Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda

”Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih.

Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ).

Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya .

Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).”
(Hadith Muttafaqun ’alaihi)

8. Penderhaka Ibu Bapa

Rasulullah bersabda:

Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:
“Tiga orang Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang Daiyuth. (Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii)

9. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)

Sabda Rasulullah swt
“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Sabdanya lagi:
“Rasulullah melaknat wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu) dan wanita yang minta disambungkan rambutnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi:
“Allah melaknat wanita yang membuat tatu, wanita yang minta dibuatkan tatu, wanita yang mencabut alisnya, wanita yang minta dicabutkan alisnya dan melaknat wanita yang mengukir giginya untuk tujuan memperindahnya, wanita yang merubah ciptaan Allah Azza wa Jalla.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Orang Lelaki yang Dayyuth (Pengecut)

Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marah
Apabila perasaan cemburu yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan akan bermerajalela.Juga bapa yang takut menegur kemungkaran yang dilakukan oleh keluarganya (seperti tidak menutup aurat, tidak solat, pergaulan bebas dan seumpmanya)

11.Pengamal Budaya Kaum Luth

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Turmuzi

12. Pengamal Seks Abnormal

Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan jenis dengan binatang .

13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun perempuan.

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

“ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali.

Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka itu wahai Rasulullah?.

Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk-nunjukan kekayaan ).
(Hadith di takhrijkan oleh Muslim)

14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh dan sombong

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku melihat seorang lelaki melabuhkan kainnya, beliau menghentakkan kakinya ke bumi. Lelaki itu ialah pembesar Bahrain. Beliau mengucapkan: Pembesar datang, pembesar datang. Sementara itu, aku mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan kainnya dengan perasaan bongkak.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, beliau begitu bangga dengan juntaian rambutnya serta kejantanannya, tiba-tiba beliau ditenggelamkan oleh bumi, maka beliau pun terbenam di dalam bumi sehingga ke Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong.

“Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.”

15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka [ Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam).]

Sesungguhnya para pendusta adalah orang-orang jahil (bodoh), tidak mengerti apa-apa yang menunjukkan kedustaan mereka.”
(Majmu’ Fatawa, juz IV, hal. 507-508

16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami

Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”(Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Nasasii dan di anggap sahih oleh al Albani.)

MUHAMAD NAIM HASHIM
6 SAFAR 1429H
(Artikel asal dari ust Ghani Samsudin dan telah diubahsuai)

JANGAN TERLIBAT DENGAN MUNGKAR

JANGAN BERI SOKONGAN TERHADAP GOLONGAN YANG ZALIM

Allah berfirman yang bermaksud:

Kalian (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan bagi (faedah) umat manusia umumnya, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segenap perkara yang salah (buruk dan keji), di samping kamu beriman kepada Allah (dengan keimanan yang sebenar). Dan seandainya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu lebih baik untuk mereka. (Tetapi sayang) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (Ali Imran 110)

Pendahuluan

Umat Islam menjadi umat terbaik di sisi Allah kerana mereka menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran di samping mereka beriman kepada Allah. Dengan perkataan lain kerana mereka menjadi pengikut ajaran Islam yang syumul dan merangkum berbagai aspek kehidupan. Mereka menegakkan keadilan dalam diri, dalam keluarga , bangsa dan negara. Mereka menjadi saksi tentang kehadiran rahmat Allah kepada semua manusia melalui penampilan ajaran yang paling bertamadun iaitu ajaran Islam. Mereka golongan yang sentiasa menjauhkan diri dari kejahatan dan kemunkaran justeru kemunkaran menjatuhkan martabat dan maruah sesuatu bangsa dan umat.

Kemungkaran yang paling lumrah adalah melakukan kezaliman , merampas hak orang ramai atau rakyat , menafikan kebenaran , menghalang dakwah Islamiah dan menurut ajaran ajaran bid’ah dan palsu dalam politik dan budaya, memanjarakan rakyat tanpa pengadilan dan sabit kesalahan, merampas kedaulatan rakyat dengan penipuan dalam pembahagian kekayaan atau jawatan dan lain-lain . Semua perbuatan tersebut adalah merupakan perbuatan aniaya yang mesti dihindari oleh orang Islam. Ini kerana kezaliman itu seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah ialah kegelapan pada hari kiamat kelak. Baginda bersabda:

Hindarilah kezaliman kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat kelak. Hindari sifat kikir kerana sifat bakhil tersebut telah memusnahkan orang-orang sebelum kamu; sehingga tergamak mereka menumpahkan darah sesama sendiri dan menghalalkan kehormatan (menceroboh) sesama sendiri.. (Hadith riwayat Muslim)

Bencana Kezaliman

1. Kezaliman mencelakakan negara dan masyarakat.

Kejahatan kezaliman ini bukan hanya mencelakakan penzalim di akhirat malah boleh membinasakan diri , keluarga ,negara dan masyarakat. Allah berfirman dalam Surah al Kahfi ayat 59:

Perkampungan (negara) berkenaan Kami musnahkan apabila penghuninya bersikap zalim dan kami tempah masa kemusnahan (dan kehancuran) mereka.Kezaliman pemerintah atau kerajaan adalah kezaliman yang dilembagakan dalam institusi keadilan yang zalim, undang-undang yang memperkasa kejahatan dan kezaliman, pihak keselamatan yang lebih membawa kesengsaran daripada keselamatan, jentera penerangan yang lebih menyesat, menggelapkan kebenaran serta mengelirukan berbanding memberi penerangan dan kefahaman kepada rakyat.

Kezaliman seperti ini lebih cepat membawa kehancuran kepada sesuatu bangsa, negara dan umat.

2. Kezaliman mengundang kutukan Allah.

Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 18:

Maksudnya:
Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang mengajukan pembohongan terhadap Allah. . Ketika golongan tersebut dipaparkan di hadapan Tuhan mereka (untuk di adili kelak) berkatalah para saksi bahawa mereka itu adalah golongan yang melakukan pendustaan terhadap Tuhan mereka. Memang sesungguhnya laknat dan kutukan Allah terhadap golongan penzalim.

Surah al-A’raf ayat 44

Maksudnya:
Penghuni syurga berkata kepada penghuni neraka; bahawa kami telahpun menerima habuan yang dijanjikan oleh Tuhan kami kepada kami sebagai suatu yang memang benar. (Kemudian mereka bertanya kepada penghuni neraka) adakah kalian juga mendapati benar apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian. Mereka pun menjawab; ya memang benar. Maka (ketika itu) berkemundang suara penyeru bahawa laknat dan kutukan Allah terhadap golongan yang zalim

3. Kezaliman mencelakakan manusia lain yang menghadiri atau menyaksikannya.

Bencana kezaliman ialah ia boleh melampaui peribadi orang yang zalim yang melakukan kezaliman berkenaan. Bencana dan akibat kezaliman itu juga mengenai orang yang hadir menyaksikannya dan tidak menghalang atau menyetujui kezaliman tersebut . Semua penyokong yang bersekongkol baik dekat mahupun jauh akan diseret dan dihumbankan ke neraka.

Dalam teks tradisional terdapat catitan berikut:

Apabila manusia dihimpunkan pada hari kiamat dipinggir titian Siratul Mustaqim Allah berfirman ; Akulah Allah, Akulah Raja (yang sebenar) Akulah Dayyan ( pemilik hakiki agama ini) ; demi kemulian dan kebesaranKu (pada hari ini ) tiada seorangpun manusia penzalim yang dapat melepasi siratulmustaqim ini. Kemudian berserulah seorang Malaikat di pihak Allah (bertanya); Mana dia manusia penzalim berkenaan.? Mana juak-juak penyokong penzalim tersebut. Mana dia pembantu yang menajamkan pena (pensil) penzalim (wartawan upahan). Mana dia golongan yang mangajukan dakwat untuk penzalim (menulis ).Kemudian neraka berseru kepada orang mu’min: Wahai mukmin, ayoh segeralah kamu menyeberangi Sirat ini kerana cahaya mu memalapkan (nyalaan lidah) apiku.

Suatu ketika seorang lelaki datang bertanya kepada Sufyan al Thauri: Saya ini penjahit pakaian raja (pemerintah ) yang zalim; adakah saya terjumlah dalam kalangan penyokong beliau. Sufyan al Thauri menjawab: Anda bukan golongan penyokong tapi adalah dari golongan penzalim itu sendiri . Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada anda jarum dan benang (untuk menjahit)

Sifat cenderong menyokong kezaliman dan orang yang zalim samada dengan hati atau dengan tindakan dan perkataan akan membawa padah.Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 113,

Maksudnya:
Jangan kalian cenderung menyokong orang yang zalim; kelak kalian akan dibakar oleh api neraka. (ketika itu) kalian tidak akan ada selain Allah sebagai penyelamat dan kalian tidak akan mendapat apa-apa pertolongan

4. Kezaliman mencelakakan manusia di akhirat.

Penzalim bukan sahaja diseksa dengan azab yang sangat pedih disamping lilitan kutukan Allah tetapi juga mereka tersisih daripada penyokong, sahabat dan penolong. Allah berfirman dalam Surah al Haj ayat 71

Maksudnya:
Mereka menyembah tuhan lain selain Allah yang tidak pernah Allah memberi apa-apa mandat kuasa mereka berbuat demikian malah mereka menyembah apa yang mereka sendiri tidak ada ilmu mengenainya. Sesungguhnya golongan penzalim itu tidak akan dapat sesiapapun menjadi penolong (mereka).

Allah berfirman dalam Surah Mariam ayat 68-72. Maksudnya:

Demi Tuhanmu (wahai Muhammad) Kami akan himpunkan mereka semua dengan golongan syaitan dan akan Kami tampilkan mereka dengan melutut ditubir neraka. Kemudian Kami akan rentap (dan sentap) golongan penderhaka yang paling biadap terhadap tuhan yang Maha pemurah. Kemudian kami yang lebih tahu siapa yang lebih wajar dihumban dan dibakar di dalam neraka. Semua kamu pasti akan di bawa ke tubir berkenaan . Ini adalah ketentuan Tuhanmu yang azali dan pasti. Kemudian Kami akan selamatkan golongan yang bertaqwa (dari seksa neraka) dan kami akan biarkan manusia penzalim tersebut terbongkang di dalam neraka.

Kategori Penzalim

Kezaliman mempunyai berbagai kategori . Puncak kezaliman ialah perbuatan syirik kepada Allah sepertimana yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Luqman ayat 13:
Ingatlah ketika Luqman berpesan kepada putra beliau dengan katanya : Janganlah kamu (wahai anakku) melakukan perbuatan syirik kepada Allah justeru syirik (kepada Allah ) adalah suatu kezaliman yang amat besar.

1. Syirik

Adalah keyakinan dan perbuatan yang menduakan atau mempelbagaikan tuhan. Ia merujuk kepada perbuatan yang mencampurbaurkan rujukan nilai baik, buruk, halal haram kepada sumber yang hak dan benar dengan sumber yang batil dan salah. Halal haram ditentukan oleh Allah dan oleh syaitan dan taghut. Oleh itu manusia musyrik adalah manusia yang komitmen nilai mereka bercelaru , simpang prenang dan tidak menentu.. Pada ketika tertentu mereka menurut perintah Allah namun pada masa lain mereka menurut perintah dan nilai taghut dan syaitan.

Allah befirman dalam Surah al Nisa’ ayat 116:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepadaNya namun Dia mengampunkan dosa selain itu bagi siapa yang Dia mahu. Barang siapa yang syirik kepada Allah maka dia telah sesat terlalu jauh.

2. Menghalang umat Islam daripada memakmurkan masjid Allah.

Menghalang orang bersolat dengan merobohkan masjid dan surau, menghalang majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh para alim ulama yang benar di dalamnya. Menghalang orang berzikir dan beri’tikaf di dalam masjid. Menghalang perlaksanaan fungsi masjid dan surau di dalam negara sehingga melambatkan proses pentarbiahan dan pendidikan Islam di kalangan umat.

Dalam Surah al Baqarah ayat 114 Allah berfriman:

Maksudnya:

Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang menghalang masjid-masjid Allah daripada disebut di dalamnya (zikir) terhadap nama Allah (solat) , malah mereka berusaha pula memusnahkan (fungsinya). Golongan penzalim tersebut hanya wajar masuk ke masjid dalam kaadan gentar dan takut. Untuk mereka kehinaan di dunia; manakala di akhirat disiapkan untuk mereka seksa yang sangat besar (dan pedih).

3. Menyembunyikan kesaksian yang benar apabila diperlukan..

Enggan mengajukan kesaksian di mana kebenaran terletak dalam kesaksian yang ada pada seseorang adalah suatu kezaliman. Keengganan menampilkan kesaksian yang benar menyelamatkan orang tertuduh yang tidak berdosa menyebabkan pelaku kejahatan yang sebenar terlepas manakala orang yang tidak berdosa dihukum bunuh atau dianiaya. Keengganan tampil sebagai saksi kes sebenar yang menyaksikan kejahatan tersebut adalah suatu kezaliman yang nyata. Allah berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 140:

Maksudnya:

Siapakah yang lebih zalim dari orang yang menyembunyikan syahadah (kesaksian) yang diberikan oleh Allah kepadanya . Sesungguhnya Allah tidak pernah alpa terhadap apa jua perbuatan (jahat) kamu.

Mengundi dalam sistem peralihan kuasa yang benar dan adil adalah suatu kewajipan agama. Ini kerana mengundi dan melantik pemimpin masyarakat dan negara adalah termasuk dalam kewajiban menunaikan kesaksian seperti yang termaktub dalam Surah al Talaq ayat 2 .

Maksudnya:

……dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum Yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),

Tidak melaksanakan kewajipan ini adalah suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang diperintahkan oleh Allah dalam ayat tersebut. Malah golongan yang mati dan tidak pernah membai’ah atau mengundi dan melantik pemimpin adalah mati dalam jahiliah sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah dalam hadith baginda.:

ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتة جاهلية»،

”…Siapa yang mati tapi tidak pernah membai’ah pemimpin maka matinya adalah kematian dalam jahiliah.”

Selanjutnya mengundi dan melantik orang yang tidak wajar dilantik menurut syara’ adalah juga suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang benar sepertimana yang dituntut oleh ayat ini. Allah berfirman dalam Surah al Baqarah :283 :

Maksudnya:
Siapa yang menyembunyikan kesaksian (yang benar) maka dia adalah insan berdosa.
FirmanNya dalam surah al-Maidah ayat 106:
Kami tidak akan menyembunyikan kesaksian (kerana) Allah. (Kalau tidak) pastilah kami akan menjadi golongan yang berdosa.

Menjadi saksi palsu, menjungkir-balikkan kebenaran menjadi kebatilan; orang yang tidak berhak mendapat hak, manakala pemilik hak yang sebenar teraniaya adalah suatu kejahatan yang terangkum dalam perkara ini. Syahadatuzzur adalah suatu dosa besar dalam Islam.”Dosa besar yang paling besar ialah mengajukan kesaksian palsu (Hadith riwayat Bukhari)

Allah berfirman dalam Surah al-Zukhruf ayat 19

Maksudnya:
Kesaksian mereka pasti akan dicatat dan mereka pasti akan ditanya (tentang kesaksian itu )

4. Tidak menghukum dan memerintah menurut hukum dan undang-undang yang Allah turunkan .

Menghukum dan memerintah tidak berdasarkan firman dan perintah Allah dalam syari’atNya adalah suatu kezaliman . Allah berfirman dalam Surah al Maidah ayat 45:

Maksudnya:
Siapa yang tidak menghukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Dalam Negara umat Islam kini terdapat banyak pemerintah yang tidak melaksanakan syariat dan undang-undang Islam, tapi mereka mendakwa bahawa mereka adalah pelaksana Islam yang bertamadun , Islam progresif, Islam moden dan sebagainya . Dalam masa yang sama mereka mengkhianati amanah Allah, amanah umat dan mensia-siakan hak orang Islam yang mereka wakili. Ini adalah musibah yang mengelirukan ramai orang sehingga menyebabkan mereka menjadi penyokong fanatik kepada golongan zalim tersebut.

5. Merampas tanah hak orang lain termasuk golongan fakir miskin dengan zalim demi kepentingan golongan kaya.

Penyokong dan pendokong keadilan selalu berhadapan dengan tindakan zalim pemerintah tertentu. Tanah dan hak mereka dirampas atau dilambat-lamatkan perlaksanaan kesan atau ketentuan transaksi yang telah dijalankan.

Rasulullah bersabda:
Siapa yang merampas walau sejengkal tanah (orang lain) secara aniaya nescaya Allah akan menghempitkannya dengan tujuh lapis (petala) tanah atau bumi pada hari kiamat kelak.

Bantuan negara sering dinafikan untuk golongan penyokong keadilan ini. Hak kekayaan, hak bersuara, hak kebebasan berhimpun, hak memilih pemimpin (mengundi) mereka dinafikan dengan penggubalan sistem pendaftaran pengundi yang bermuslihat, penipuan, penyelewengan dan sebagainya..

6. Memenjara, menghukum bunuh dan meyiksa orang tahanan tanpa diadili dan tanpa sabit kesalahan adalah kezaliman yang nyata.

Pemerintah yang melakukan kezaliman dan tidak berlaku adil kepada rakyatnya akan diseksa oleh Allah dengan seksaan yang berat dan pedih.Rasulullah bersabda
Maksudnya:

Orang yang paling dahsyat diseksa pada hari kiamat kelak ialah pemerintah yang zalim.” (Riwayat Abu Ya’la).

Dalam Musnad Imam al Rubai’ diriwayatkan hadith berikut
Maksudnya:

“ِAllah melaknat orang yang memerintah umatku dengan zalim dan mengaut harta fai’ nya (harta milik awam) untuk kepentingan dirinya”

Berapa ramai manusia yang ditahan, dipenjarakan tanpa dibicarakan atau diadili. Berjuta-juta ringgit dikaut oleh kroni dan keluarga penguasa secara terang-terang dan sembunyi. Kezaliman ini akan ditanggong oleh setiap orang yang menyokong dan mengundi kumpulan penzalim berkenaan untuk meneruskan kuasanya , walaupun mereka anak cucu nabi atau anak ulama tersohor..

Sebenarnya terdapat banyak lagi jenis kezaliman seperti kezaliman ekonomi terhadap umat Islam dan rakyat umum dari berbagai bangsa dan agama.

Sebenarnya senarai jenis kezaliman ini akan menjadi panjang berjela-jela jika hendak direntang dengan panjang lebar. Namun dalam kesempatan ini, hanya inilah sebahagian daripadanya yang di paparkan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan umat manusia dan rakyat Malaysia umumnya.

Masanya sudah sampai untuk kita semua menamatkan atau menghapuskan era kezaliman ini dengan melantik golongan para pemimpin yang bertaqwa, beramanah, berintegriti dan ikhlas berjuang demi Allah untuk membela nasib rakyat termasuk umat Islam amnya dan juga rakyat Malaysia umumnya. Mari kita beramai-ramai melakukan perubahan dalam kehidupan kita demi kebahagiaan dunia dan kecemerlangan di akhirat

Allah Akbar, Allah Akbar, Allah Akbar.

MUHAMAD NAIM HASHIM
4 SAFAR 1429H
(Tulisan asal daripada Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin)

Parlimen Bubar Hari Ini Untuk Pilihanraya

Parlimen Bubar Hari Ini Untuk
Pilihan Raya Umum Ke-12

ULASAN USTAZ ZAHARUDDIN BIN ABD RAHMAN

Dalam kereta tadi sekitar jam 12 tghari, berita IKIM diberitakan bahawa YAB Perdana Menteri menafikan pembubaran parlimen akan dibuat hari ini dan juga menafikan mesyuarat kabinet hari ini adalah yang terakhir. Sejam sesudah itu, dalam berita televisyen. Isteri saya menghubungi memaklumkan bahawa parlimen telah dibubarkan hari ini.

Nasihat buat semua rakan-rakan pengundi yang telah berdaftar. Jalankan tanggjung jawab mengundi dengan amanah, dan ingatkan diri bahawa Allah swt sedang melihat siapa yang kita sokong dan pandangan Allah swt lebih utama dari pandangan manusia.

Sebagai pengundi, JAUHILAH SEBARANG JENIS RASUAH POLITIK DARI MANA-MANA PARTI POLITIK JUA, JANGAN KERANA BEBERAPA RATUS RINGGIT ATAU BEBERAPA KAMPIT BERAS, BASIKAL DAN SEBAGAINYA..MENYEBABKAN KITA TERHUMBAN DI DALAM API NERAKA BERTRILLION TAHUN DUNIA. DIAZAB DI BARZAKAH DENGAN AZAB YANG PEDIH. Maintainkan iman di musim pilihanraya ...

Sebagai ingatan semula disertakan satu artikel saya yang disiarkan beberapa tahun lepas, maaf saya tidak sempat mengeditnya.

CIRI UTAMA DEMOKRASI DAN PENDIRIAN ISLAM TENTANGYA

1) Pemerintah dari kalangan rakyat.

Asas ini diterima oleh Islam sebagaimana Sabda Nabi SAW :
Mafhum : Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka( pemimpin) juga menyukai kamu, kamu mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu" (Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan hadith [5] :

Mafhum : "Tiga kumpulan yang tidak diangkat solatnya walapaun sejengkal di atas kepala mereka, ...disebut pertamanya, lelaki yang mengimamkan kaum, dalam keadaan kaum membencinya"

Jelas dari hadith tadi, Islam juga menitik beratkan kepimpinan rakyat yang disukai oleh rakyat, justeru realiti semasa bagi mengetahui kesukaan rakyat kepada seseorang pimpinan adalah melalui kaedah pengundian.

2) Pemerintah bekerja untuk rakyat.

Pemerintah bekerja untuk kebaikan rakyat. Ciri ini juga telah diterima oleh Islam sebagaimana konsep kepimpinan dalam Islam, dimana pemimpin hakikatnya menjadi petugas yang bersusah payah bagi kebaikan rakyat. Di sebut di dalam sebuah Hadith :
Mafhum : "Pemimpin kaum adalah org yang berkhidmat (khadam) bagi kaum." [6]

Khalifah Abu Bakar as-siddiq, berkata : Wahai manusia, aku bekerja untuk keluargaku maka aku mencari penghasilan untuk makanan mereka, sekarang aku bekerja untuk kamu, maka tetapkanlah buatku dari Baitul Mal kamu" [7]

Khalifah Uthman ra juga pernah menegaskan bahawa : " Urusan aku adalah menuruti urusan kamu"

Abu Muslim al-khawalani, seorang faqih tabi'ein masuk menemui Muawiyyah ra. lalu berkata :

Mafhum : "Asallamualaikum wahai org gaji"

Malah pemimpin Islam bertanggung jawab menyelamatkan rakyatnya dengan memberikan bantuan apabila mereka dalam kesusahan sebagaimana firman Allah dalam ayat 33, Surah al-Maidah. Malah kewajiban utama para pemimpin Islam adalah memberikan nasihat-nasihat keagamaan terhadap rakyatnya sebagaimana disebut di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang masyhur. Tugas mereka juga adalah untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah keburukan dunia dan akhirat dari menimpa rakyatnya.

Sabda Nabi SAW :
Mafhum : "Tiada seorang manusia pun yang Allah memberikannya kuasa pemerintahan, kemudian ia tidak memberikan nasihat Islam (kepada rakyatnya) kecuali tiadalah ia mendapat cium bauan syurga" ( Riwayat Bukhari dan Muslim) [8]

Sebuah hadith lagi menyebut
Ertinya : "Sesungguhnya rakyat akan mengikut gaya, cara hidup dan agam pemimpin mereka" [9]

Cuma perbezaan terzahir jika dilihat dari cara kerja pemimpin dalam sistem Islam dan demokrasi. Pemimpin dalam system Islam bekerja untuk rakyat kerana Allah manakala pemimpin demokrasi tidak bekerja untuk Allah pada konsep asalnya tetapi bebas menurut pengamal demokrasi tersebut.

3) Suara majoriti adalah terpakai.

Asalnya Islam tidak meletakkan suara majoriti sebagi pemutus dalam semua pekara. Ia tidak tepakai dalam perkara-perkara thawabit [10]. Perkara thawabit juga tidak boleh berubah menurut zaman dan masa, ia adalah perkara yang mesti dilakukan serta tiada ruang ihtimal. Manakala perkara mutaghayyirat adalah perkara dari Nusus Zanniyyah seperti Nas umum (menurut jumhur), lafaz bersifat Mutlaq terutamanya dalam perkara ijtihadiyyah dan baru [11]. serta perkara-perkara bersifat strategi kepimpinan dan politik yang tiada nas qati'e.

Firman Allah SWT :
Mafhum : "Sekiranya kamu mentaati majority di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu, mereka tiada menurut kecuali sangkaan..." ( Al-An'am :116)

Justeru, Islam menerima suara majority dalam hal ‘mutaghayyirat' tetapi dengan syarat-syarat tertentu, menurut keadaan dan maslahat seperti hanya undian di kalangan ‘ ahl al-hal wal al-‘aqd ' [12] atau dalam menentukan bentuk-bentuk tindakan dan bukannya bersifat hukum. Juga dalam urusan melantik pimpinan atau juga urusan kemaslahatan rakyat seperti membina lebuh raya dan menetapkan cukai tol.

Ini bermakna unsur ini juga diterima oleh Islam, cuma dalam ruang lingkup yang terhad, ini kerana aqal manusia tidak mampu mengetahui seluruh kebaikan untuk manusia, hanya Allah swt yang mengetahui kebaikan sebenar untuk manusia. Perlu di ingat bahawa Allah tidak menafikan fungsi aqal dalam menentukan tindakan terhadap perkara baru selagi mana tidak melanggar nas atau ‘maqasid syariat'.

4) Rakyat diberi hak kebebasan sewajarnya.

Islam juga mengiktiraf kebebasan individu samada dalam menegur pemerintah, kerjaya yang halal, beragama dan mengamalkan, pemilikan harta dan banyak lagi. Bagaimanapun demi menjaga ketenteraman manusiawi samada rohani dan jasmani maka kebebasan yang dianjur oleh Islam mempunyai batasannya. Secara ringkas batasannya terkandung dalam 5 perkara dharuriyyat [13] :

i. Aqidah : Bermakna disekat kebebasan bagi keluar atu menggugat aqidah Islam samada murtad atau memerangi Islam. Juga tidak dibenarkan merosakkan aqidah umat.

ii. Nyawa : Kebebasan Islam tidak membenarkan membunuh tanpa hak, membunuh diri, menyakiti individu lain tanpa hak, maka tidak dibenarkan juga menyerang sesama manusia tanpa sebab.

iii. Aqal : Kebebasan Islam tidak membenarkan umatnya merosakkan aqalnya samada dengan meminum arak, dadah atau apa jua yang memabukkan, tidak juga bebas melihat atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan aqal.

iv. Keturunan/Maruah: Kebebasan Islam juga tidak membenarkan mencabul kehormatan sesama manusia, tidak juga dibenarkan berzina, menuduh zina tanpa saksi, mengumpat, memfitnah, dan mencari-mancari kesalahan manusia.

v. Harta : Kebebasan Islam tidak membenarkan merampas harta, curi, rompak, memeras, menipu, menindas secara riba dan seumpamanya.
Lalu, secara teori umum, Islam menerima kaedah ini tapi diperincikan bersama pengecualian-pengecualian demi kemaslahatan manusia.

5) Rakyat berhak menegur kepimpinan yang silap serta berhak menjatuhkannya.

Item ini jelas, bertepatan dengan Islam, ia bertitik tolak dari kepimpinan adalah amanah dan tangung jawab, sebarang penyelewengan mesti ditegur oleh rakyat. Rasulullah sendiri menerima pandangan dann teguran para sahabat dalam beberapa persitiwa yang terkenal antaranya, teguran Al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kubu terbaik dalam peristiwa perang Badar, begitu juga teguran suad dalam kes ditolak dengan busar oleh Rasul dan banyak lagi.

Hak teguran ini digalakkan begitu hebat di zaman Khalifah Islam yang pertama Abu Bakar As-Siddiq dimana beliau menyatakan dalam ucapannya yang mashyur[14]:

Mafhum : "Sesungguhnya aku hanya dilantik dr klgn kamu, bukanlah aku yang terbaik dr kamu, kiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, maka apabila aku menderhaka Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku"

Islam mempunyai sikap tegas terhadap para pemerintah zalim dan bersifat autokratik atau diktator. Sabda Nabi SAW [15]:

Mafhum : "Sekeras2 manusia yang dikenakan azab di akhirat kelak adalah pemimpin yang zalim"

Bagaimanapun rakyat yang ingin menegur pimpinan negara Islam seeloknya menjaga adab-adab teguran yang sesuai tetapi jika ia tidak diendahkan, Islam membenarkan pimpinan tersebut diturunkan kerana ia dianggap kepimpinan negara Islam yang menyeleweng, demikianlah pandangan Syeikh Sa'id Hawwa di dalam kitabnya Jundullah hlm 380. Ulama lain juga menambah bahwa proses menurunkan perintah itu boleh dibuat secara aman.

Prof. Dr. Muhd Salam Madkur[16] menegaskan adalah suatu kewajiban untuk menurunkan pemimpin fasiq dengan syarat kita mempunyai bukti tentang kefasiqan serta pemimpin tersebut tidak lagi boleh diberi nasihat. Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah[17], Imam al-Qurtubi[18] , Imam Abu Hamid al-Ghazali[19] (505 H) , Imam as-Syawkani[20] (1255 H) dan Dr. Yusoff Al-Qaradhawi[21].

Manakala Abu Yu'la al-Farra al-hanbali [22] menuruti pandangan Imam Ahmad Hanbal yang tidak menentang dan menjatuhkan khalifah Makmun dan Mu'tasim. Imam Al-Mawardi ( 450 H) menyebut dalam sesebuah negara Islam yang menyeleweng seorang khalifah itu boleh diturunkan jika berlaku kezaliman dan fasiq[23].

Imam an-Nawawi pula dalam mensyarahkan hadith muslim, "Adapun keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya (dengan mengangkat senjata bukan pilihanraya dan undi) adalah haram dengan Ijma' al-Muslimin sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim.

Ini semua jelas terbukti di dalam hadith-hadith yang memberi maksud apa yang aku sebutkan? Kata para ulama? :" Sebab tidak dipecat dan diharamkan keluar menentangnya adalah kerana membawa kepada fitnah dan tumpah darah dan kerosakan yang nyata, maka menjadikan kerosakan memecatnya lebih besar dari mengekalkannya.?

Dalam mensyarahkan hadith lain pula an-Nawawi menyebut: " Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam. [24] (Syarah Sohih Muslim oleh an-Nawawi, jld 12)

Ad-Dawudi pula menyebut: "yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar" (Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani m.s. 498/jilid 14 cetakan dar al-Fikr, Beirut)

Ibn ‘Atiyyah pula menyatakan : "As-Syura adalah prinsip syariah, mana-mana pemimpin yang tidak ber'syura' bersama ahli agama, maka menjatuhkannya adalah WAJIB" [25]
Maka kaedah Pilihanraya yang ada pada hari ini tanpa syak lagi, adalah suatu kaedah yang berkesan untuk memecat pemimpin zalim dan mengabaikan tanggung jawab Islam dengan aman, tanpa fitnah dan pembunuhan. Selain itu, wajib pula berusaha mengubah kemungkaran melaluinya.

Rasulullah SAW juga telah menyatakan keharusan merebut kekuasan dari pimpinan sebagaimana hadithnya :

Mafhum : Kami telah berbai'ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbai'ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah' (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbai'ah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. [26]

Jelas dari hadith di atas tahap untuk kesabaran dan tindakan yang perlu diusahakan oleh individu Islam terhadap pemerintah mereka yang terang-terang melakukan maksiat serta menggalakkannya. Dalam hal ini, pilihanraya adalah salah satu medan yang terbuka demi menunaikan tanggung jawab tersebut. Saya tidak mengtaakan ianyaa adalah satu-satunya jalan, tetapi ia adalah salah satu jalan yang boleh diguna pakai demi mencapai matlamat besar Islam. Wallahu a'lam.

Sekian. WASSALAM

SELAMAT MENGUNDI..

Isnin, 11 Februari 2008

PEDOMAN

KATA -KATA HIKMAH KHULAFA' AR-RASYIDIN

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:

1.Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
2.hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
3.hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
4.adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

1.Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya
2.Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina
3.Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya
4.Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
1.Hatinya selalu berniat suci
2.Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
3.Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
4.Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah
5.Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:

1.Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
2.Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
3.Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
4.Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
5.Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
6.Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
7.Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
8.Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati.


Muhamad Naim Hashim
3 Safar 1429H/11 Feb 2008

BAB JINAYAT

BAB JINAYAT

Bab 1:Pengertian Jinayat

Jinayah menurut fuqaha' ialah perbuatan atau perilaku yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja.

Penta`rifan tersebut adalah khusus pada kesalahan-kesalahan bersabit dengan perlakuan seseorang membunuh atau menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yang lain atau mencederakan atau melukakannya yang wajib di kenakan hukuman qisas atau diyat.

Kesalahan-kesalahan yang melibatkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jinayah yang umum yang tertakluk di bawahnya semua kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.

Faedah dan manafaat daripada Pengajaran Jinayat :-
1) Menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku berbunuhan sesama sendiri dan sebagainya
2) Menjaga keamanan maruah di dalam masyarakat daripada segala fitrah tuduh-menuduh.
3) Menjaga keamanan maruah di dalam harta benda dan nyawa daripada kecurian, ragut dan lain-lain.
4) Berhubung dengan keamanan negara dan menyelenggarakan keselamatan diri.
5) Perkara yang berhubung di antara orang-orang Islam dengan orang-orang kafir di dalam negara Islam Pembunuhan

Bab 2 : Bentuk Hukuman Yang Dikenakan Ke Atas Penjenayah

Mengikut peruntukan hukum syara` yang disebutkan di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah kes jinayah syar`iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.
Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut.

1. Hukuman Hudud

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, 2:229).

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:

a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`.
b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
c) Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
d) Mencuri, iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
f) Merompak (hirabah), iiatu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
g) Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syari`at Islam dan hukum-hukum Islam.

2. Hukuman Qisas

Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.

Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:

a) Membunuh orang lain dengan sengaja.
b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c) Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah, 2:178)

Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)

3. Hukuman Diyat

Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat ialah:

a) Pembunuhan yang serupa sengaja.
b) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja).
c) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah, 2:178)

4. Hukuman Ta`zir

Hukuman ta`zir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta`zir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith.

Hukuman ta`zir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.

Bab 3 : Tujuan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Ta'zir

Hukuman hudud, qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:

1. Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Riwayat Bukhari)

2. Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)

3. Menjaga akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang bermaksud:
"Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali .

4. Menjaga keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:

"Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

5. Menjaga harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Ma'idah: 38)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah: 33)

Bab 4: Pembunuhan

1. Pembunuhan itu adalah satu daripada dosa-dosa besar sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
"Sesiapa yang membunuh orang-orang mukmin dengan sengaja maka balasananya ialah neraka jahanam kekal didalamnya dan Allah murka dan mengutuknya dan disediakan azab yang berat untuknya."
(Surah An-Nisa'a Ayat 93)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
" Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas (balasan yang sesuai dengan perbuatan) sebab membunuh orang."

2. Cara-cara pembunuhan ada tiga cara :
1) Sengaja semata-semata
i) Membunuh dengan sengaja semata-mata. - Iaitu seseorang yang bertujuan untuk membunuh dengan menggunakan sesuatu alat yang boleh membunuh atau mematikan seseorang.
Hukumannya :- - Pembunuhan wajib dibalas dengan bunuh juga (qisas) kecuali ahli waris yang terbunuh memaafkan dengan membayar diyat mughallazah (denda yang berat) ataupun dimaafkan tanpa membayar diyat(denda) -

Syarat wajib qisas :-

1) Islam
2) Tiada dimaafkan oleh ahli waris
3) Tersalah semata-mata

- Iaitu pembunuhan yang tidak disengajakan sebagai contoh seseorang itu menembak binatang tetapi tertembak seseorang yang lain dan menyebabkan orang itu terbunuh.
Hukuman :-

Dikenakan islah tidak dikenakan qisas (balas bunuh) tetapi dia kena diyat mukhafafah (denda yang ringan). Diyat itu dibayar oleh adik-beradik pembunuh dan bayarannya boleh ditangguhkan selama tiga tahun. -

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
"Sesiapa yang membunuh seseorang yang beriman dengan tidak disengajakan maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diyat (denda) kepada ahli yang terbunuh."
(Surah An-Nisa'a - Ayat 92)

3) Menyerupai semata-mata

- Iaitu seseorang yang memukul orang lain dengan sesuatu alat yang biasanya tidak boleh membunuh atau mematikan seperti ranting kayu dan mati dengan pukulan itu
.
- Hukumannya:-

Islah tiada wajib qisas (balas bunuh) tetapi diwajibkan ke atas keluarga pembunuh membayar diyat mughallazah (denda yang berat) dengan secara beransur-ansur selama tiga tahun.

Bab 5 : Zina

Ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan).

Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan, dan lelaki itu menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya itu ialah isterinya, sedangkan perempuan itu bukan isterinya atau lelaki tadi menyangka bahawa perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhinya itu sah mengikut hukum syarak, sedangkan sebenarnya perkahwinan mereka itu tidak sah, maka dalam kes ini kedua-dua orang itu tidak boleh didakwa dibawah kes zina dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, kerana persetubuhan mereka itu adalah termasuk dalam wati’ subhah iaitu persetubuhan yang meragukan.

Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur ayat 2)

ZINA TERBAHAGI KEPADA DUA :
1. ZINA MUHSAN
2. ZINA BUKAN MUHSAN

ZINA MUHSAN
Iaitu lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan yang halal (sudah pernah berkahwin)

ZINA BUKAN MUHSAN
Iaitu lelaki atau perempuan yang belum pernah melakukan persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin).

Perzinaan yang boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan Zina Muhsan ialah lelaki atau perempuan yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, iaitu telah merasai kenikmatan persetubuhan secara halal.

Penzinaan yang tidak cukup syarat-syarat yang disebutkan bagi perkara diatas tidak boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan zina muhsan, tetapi mereka itu boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan zina bukan muhsan mengikut syarat-syarat yang dikehendaki oleh hukum syarak.

HUKUMAN YANG DIKENAKAN KEATAS ORANG YANG ZINA MUHSAN DAN BUKAN MUHSAN

Seseorang yang melakukan zina Muhsan, sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.
Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.
PEREMPUAN YANG DI ROGOL DAN DI PERKOSA

Perempuan-perempuan yang dirogol atau diperkosa oleh lelaki yang melakukan perzinaan dan telah disabit dengan bukti –bukti yang diperlukan oleh syarak dan tidak menimbulkan sebarang keraguan dipihak hakim bahawa perempuan itu dirogol dan diperkosa, maka dalam kes ini perempuan itu tidak boleh dijatuhkan dan dikenakan hukuman hudud,dan ia tidak berdosa dengan sebab perzinaan itu.

Lelaki yang merogol atau memperkosa perempuan melakukan perzinaan dan telah sabit kesalahannya dengan bukti – bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan dipihak hakim, maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman hudud keatas lelaki yang merogol perempuan itu, iaitu wajib dijatuhkan dan dikenakan ke atas lelaki itu hukuman rejam dan sebat.

Perempuan-perempuan yang telah disabitkan oleh hakim bahawa ia adalah dirogol dan diperkosa oleh lelaki melakukan perzinaan, maka hakim hendaklah membebaskan perempuan itu dari hukuman hudud (tidak boleh direjam dan disebat) dan Allah mengampunkan dosa perempuan itu di atas perzinaan secara paksa itu.

Bab 6: Liwat

Liwat ialah melakukan persetubuhan di dubur, sama ada dubur lelaki atau dubur perempuan walaupun dubur isterinya sendiri.

Melakukan persetubuhan didubur hukumnya adalah haram dan sama seperti bersetubuh difaraj perempuan yang bukan isterinya, dan juga sama hukumannya dengan berzina. Mereka yang melakukan liwat, wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu direjam sehingga mati, jika orang yang berliwat itu muhsin. Dan dikenakan hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun, jika berliwat dengan bukan muhsin.
(Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 111-112)

MUSAHAQAH (LESBIAN)

Melakukan sesuatu perbuatan untuk memuaskan nafsu seks diantara perempuan dengan perempuan dengan mengeselkan faraj dengan faraj mereka berdua hingga mendatangkan berahi dan merasa kelazatan dengan sebab pergeselan faraj diantara kedua-dua orang perempuan itu.

Musahaqah adalah suatu perbuatan yang haram dan wajib dikenakan hukuman takzir, dimana kesalahan musahaqah itu boleh disabitkan dengan bukti-bukti yang dikehendaki untuk mensabitkan kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman takzir. Dan kesalahan liwat hendaklah disabitkan kesalahan itu dengan bukti –bukti sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak untuk membuktikan zina.

MENDATANGI BINATANG

Seseorang yang mendatangi binatang tidak boleh diistilahkan sebagai orang yang berzina. Perbuatan mereka itu boleh diistilahkan suatu perbuatan yang haram dan keji yang wajib dijatuhkan hukuman takzir.

BERSETUBUH DENGAN ORANG YANG TELAH MATI

Lelaki yang mensetubuhi perempuan yang telah mati yang bukan isterinya tidak boleh diistilahkan melakukan perzinaan, tetapi lelaki itu wajib dikenakan hukuman takzir. Begitu juga perempuan yang memasukkan zakar lelaki yang telah mati yang bukan suaminya ke dalam farajnya tidak boleh juga dikira sebagai berzina, tetapi perempuan itu wajib juga dikenakan hukuman takzir.

Oleh itu bagi perkara tersebut diatas lelaki dan perempuan itu tadi wajib dikenakan hukuman takzir sahaja dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud.

BUKTI-BUKTI UNTUK MENSABITKAN KESALAHAN ZINA

Untuk mensabitkan seseorang itu bersalah dalam kes zina yang wajib dikenakan hukuman hudud mestilah dibuktikan dengan salah satu perkara-perkara berikut:-

i) Perzinaan itu mestilah disaksikan oleh empat orang saksi lelaki. Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud:

”Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) diantara perempuan-perempuan kamu maka carilah empat orang lelaki diantara kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan mereka”.
( Surah An-Nisaa' - Ayat 15)

ii) Ikrar (pengakuan) daripada orang yang melakukan zina. Ikrar ini hendaklah dibuat dihadapan imam atau wakilnya seperti hakim atau kadhi.

iii) Qarinah, iaitu perkara-perkara yang menunjukkan berlaku perzinaan, misalnya hamil bagi perempuan-perempuan yang tidak bersuami, atau tidak diketahui perempuan itu ada suami.

KELAYAKAN SAKSI –SAKSI DALAM KES ZINA

Saksi-saksi yang layak untuk menjadi saksi dalam kes kesalahan berzina yang boleh diterima penyaksiannya ialah mereka yang memenuhi syarat-syarat berikut:-
1. 4 orang lelaki
2. Baligh, telah dewasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.
3. Berakal
4. Orang yang adil, iaitu tidak melakukan dosa besar dan dosa –dosa kecil.
5. Orang Islam
6. Saksi-saksi itu kesemuanya mestilah benar-benar melihat dengan matanya sendiri masuk kemaluan lelaki itu kedalam kemaluan perempuan itu seperti keris masuk kedalam sarungnya.
7. Keterangan saksi-saksi itu mestilah jelas, iaitu menerangkan secara hakiki masuk zakar lelaki itu ke dalam lubang faraj perempuan itu sebagaimana yang berlaku – bukan secara kiasan.
8. Saksi-saksi itu mestilah melihat sendiri perzinaan itu dilakukan dalam satu tempat yang tertentu dan dalam satu masa yang sama (tidak berlainan tempat dan masa).

( Rujukan Kitab - Kitab Mathla’al Badraian –Syeikh Muhammad Daud Al-Fathani )

Bab 7: Qazaf

PENGERTIAN QAZAF

Pengertiannya ialah melimparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunanya.

PEMBAHAGIAN QAZAF

1.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman hudud, seperti seseorang menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil.

2.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman takzir seperti seseorang menuduh seseorang yang lain kufur, mencuri, minum arakatau murtad dan sebagainya, termasuk mencaci, memaki dan lain-lainnya yang boleh menjatuhkah marwah seseorang dan menghinanya.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalahharam dan termasuk dalam dosa besardan wajib dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebat, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq. Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud:

”Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasiq”.
(Surah An- Nur ayat 4)

PENUDUH YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN QAZAF

1. Berakal
2. Baligh
3. Kemahuan sendiri tidak dipaksa
4. Mengetahui haramnya Qazaf
5. Bukan ibu bapa dan datuk ke atas kepada orang yang dituduh.
Jika orang yang menuduh itu gila atau kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had Qazaf keatas mereka. Ini sebagaimana berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gilanya”.(Riwayat Bukhari Fi Muslim)

CARA-CARA MELAKUKAN QAZAF

Dalam Qanun Jenayah Sayr’iyyah cara melakukan Qazaf terdapat tiga cara:
i) Tuduhan yang dibuat secara sarih (terang dan jelas), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan-perkataan yang jelas dan tepat yang tidak boleh ditafsirkan kepada maksud yang lain selain daripada zina dan penafian nasab (keturunan)

ii) Tuduhan yang dibuat secara kinayah (kiyasan), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat yang boleh membawa erti zina atau selainnya.

iii) Tuduhan yang dibuat secara ta’ridh (sindiran), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat juga yang boleh memberi pengertian yang lain daripadazina sebagaimana dilakukan dalam perkataan kinayah.

BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN QAZAF

Kesalahan Qazaf boleh disabitkan dengan salah satu dari bukti –bukti yang berikut:-
1. Syahadah (penyaksian)
2. Ikrar (pengakuan)
3. Yamin (sumpah)

Bab 8 : Minum Arak (Khamar)

PENGERTIAN ARAK

Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan khamar, berasal dari kata khamara ertinya menutupi. Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah.

Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, hukum mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah yang bermaksud :

”Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis / keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.(Surah Al- Maidah ayat 90)

HUKUM ORANG YANG MINUM ARAK

Dalam Qanun jenayah syar’iyyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atai tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak tidak kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a yang bermaksud:

”Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”.

KESABITAN KESALAHAN MINUM ARAK(KHAMAR)

Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak (khamar) adalah tertakluk dibawah tiga sebab:

i) Minuman yang diminum itu ialah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan yang menghilangkan akal fikiran manusia

ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminum tadi memabukkan dan menutup akal fikiran.

iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.
Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had keatas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab meminum tadi ia menjadi mabuk.

PEMINUM ARAK YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUM HADD

Orang yang melakukan kesalahan minum arak (khamar) yang wajib dikenakan hukuman hadd adalah tertakluk dibawah syarat-syarat berikut:
i) Baligh
ii) Berakal
iii) Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa
iv) Minuman itu masuk kedalam rongga melalui mulut

Kanak – kanak yang belum baligh atau orang yang gila yang minum arak (khamar) tidak boleh dikenakan hukuman hadd ke atas mereka, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah syar’iyyah yang boleh dikenakan hukuman hadd. Ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya, dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gila’. (Riwayat Bukhari dalam Sahih)

BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN MINUM ARAK (KHAMAR)

Bukti – bukti yang mensabitkan kesalahan seseorang itu minum arak (khamar) yang boleh dikenakan hukuman hadd adalah sebagaimana berikut:-
1) Syahadah (kesaksian)
2) Ikrar (pengakuan)

Kesalahan minum arak (khamar) boleh dibuktikan dengan keterangan lisan yang diberi oleh dua orang saksi atau dengan ikrar (pengakuan) yang dibuat oleh oarang yang dituduh itu dengan kerelaan dirinya sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak.
Saksi-saksi dari pihak pendakwa atau penuduh mestilah terdiri dari dua orang lelaki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup. Jika saksi-saksi itu semuanya terdiri dari orang-orang perempuan atau seorang lelaki berserta dengan beberapa orang perempuan, maka kesaksian mereka itu tidak boleh diterima dan tidak boleh disabitkan kesalahan orang yang dituduh tadi, kerana kesaksian mereka itu boleh mendatangkan keraguan.

Bab 9 : Mencuri (Sariqah)

PENCURI

Pencuri ialah mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi dan diambil daripada tempat pertaruhan (tempat yang layak untuk menyimpan harta itu). Mencuri itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dan mewajibkan potong tangan ke atas si pencuri itu.

Sebagaimana dengan firman Allah yang bermaksud:

”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaan, dari siksaan daripada Allah, Allah maha perkasa lagi maha bijaksana”(Surah Al- Maidah ayat 38)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas”
(Riwayat Bukhari Muslim)

CIRI –CIRI PERBUATAN MENCURI

1. Memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jangkaan atau milikan tuannya.
2. Pemindahan harta itu tanpa persetujuan tuannya.
3. Pemindahan harta itu dengan niat untuk menghilangkan harta tadi dari jangkaan atau milik tuannya.

HUKUMAN HUDUD YANG WAJIB DIKENAKAN KEATAS PENCURI

1) Mengikut peruntukkan hukum syarak yang dikuatkuasakan dalam Qanun jenayah syar’iyyah, orang yang boleh didakwa dibawah kesalahan kes sariqah (mencuri) dan wajib dikenakan hukuman hudud ialah:-
i) Orang yang berakal
ii) Orang yang baligh
iii) Dengan kemahuan sendiri

2) Pencuri yang gila atau kanak-kanak atau orang yang kurang akalnya (tidak siuman) tidak wajib dikenakan hukuman hudud, sekalipun mereka itu mengambil harta atau barangan orang itu secara bersembunyi dengan tujuan untuk memiliki harta atau barangan itu. Sebagaiman Hadirh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia iaitu orang yang tidur hingga ia bangun dari tidurnya, kanak-kanak hingga ia baligh dan orang gila hingga ia berakal (siuman)”(Riwayat Ahmad, Ashabi, Sunan dan Hakam)

3) Orang yang dipaksa mencuri dengan cara kekerasan, misalnya orang yang diancam dan diugut akan dibunuh jika tidak mahu mencuri. Sebagaimana hujjah Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah menghapuskan dosa umatku yang tersalah, terlupa dan dosa mereka yang dipaksa melakukan sesuatu kesalahan”.
(Riwayat Ibnu Majah dan Baihaq’i dan Lain daripada keduanya)

4) Orang yang terpaksa mencuri disebabkan tersangat lapar (kebuluran) atau terlalu dahaga yang boleh membawa kepada maut tidak boleh juga dikenakan hukuman hudud, kerana mereka yang dalam keadaan tersebut adalah termasuk dalam darurat yang diharuskan oleh syarak melakukan perkara yang dilarang. Kes ini adalah merujuk kepada Kaedah Fiqhiyyah yang bermaksud :

” Darurat (dalam keadaan yang memaksa) diharuskan melakukan perkara yang dilarang”.
(Al- Ashbah dan An – Nazha’ir)

Dalam perkara (3) dan (4) mereka itu terlepas dari hukuman hudud, tetapi hakim boleh mengenakan hukuman takzir keatas pencuri itu mengikut kea’rifan dan kebijaksanaannya.

PENCURI YANG TIDAK BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN KESALAHAN SARIQAH

Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah ialah :-
1) Pencurian yang dilakukan secara khianat, iaitu orang yang mengambil harta atau barangan yang diamanahkan kepadanya. Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh didakwa dibawah kes sariqah (mencuri) dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan pecah amanah yang wajib dikenakan hukuman takzir.

2) Orang yang mengambil harta atau barangan orang lain dengan cara paksaan dan kekerasan.

3) Orang yang menyambar barangan orang lain sambil lalu, iaitu semasa berjalan atau atas kenderaan,termasuk juga penyelok saku.

4) Pencurian berlaku dimedan peperangan.

5) Mengambil buah yang tergantung di atas dahannya kerana tersangat lapar dan dahaga.
SABIT KESALAHAN MENCURI
1. Kesalahan mencuri boleh disabitkan dengan adanya salah satu dari bukti-bukti berikut:-
i) Ikrar (pengakuan)
ii) Keterangan dua orang saksi lelaki yang adil
iii) Sumpah yang mardud iaitu sumpah pencuri itu dikembalikan kepada orang yang mendakwa, jika orang yang didakwa tadi tidak mengaku, dimana mengikut keterangan orang yang mendakwa bahawa orang yang didakwa itu memang sebenarnya adalah mencuri.
2. Pencuri yang mengaku melakukan kesalahan mencuri memadai membuat pengakuan hanya sekali pengakuan sahaja dan pengakuan itu dibuat dimajlis dalam Mahkamah dihadapan hakim.
3. Untuk mempastikan kebenaran keterangan saksi-saksi bagi mensabitkan kesalahan seseorang itu mencuri, hakim hendaklah menyoal siasat saksi-saksi itu mengenai harta atau barangan yang dicuri, cara kecurian, tempat kecurian, masa kecurian dan lain-lainnya.
4. Hakim hendaklah juga menanyakan kepada saksi-saksi itu hubungan antara orang yang kena curi dangan orang yang mencuri.
PENCURI YANG DIKECUALIKAN DARII HUKUMAN HUDUD.
1) Jumlah nilai harta atau barangan yang dicuri itu kurang daripada satu perempat dinar atau tiga darham.

2) Untuk mensabitkan kesalahan mencuri itu tidak dapat dibuktikan mengikut yang dikehendaki.

3) Pencuri itu bukan orang yang mukallaf.

4) Tuan punya harta atau barang yang dicuri itu tidak menyimpan dan menjaga harta atau barangannya ditempat yang selamat daripada kena curi.

5) Pencuri itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya keatas harta yang dicuri itu.

6) Harta atau barang yang dicuri itu bukan dari barangan yang berharga dan bernilai.

7) Harta atau barangan yang dicuri itu tidak memberi apa-apa faedah dan tidak bernilai mengikut hukum syarak seperti alat hiburan atau minuman yang memabukkan.

8) Pencurian yang dilakukan oleh orang yang memberi hutang ke atas harta atau barangan orang yang berhutang.

9) Pencurian yang berlaku itu dalam kedaan yang mendesak seperti didalam peperangan, dimasa sangat lapar dan dahaga.

10) Pencurian yang dilakukan oleh anak keatas harta atau barangan kepunyaan ibu bapanya hingga ke atas (datuk dan seterusnya).

11) Pencurian yang dilakukan oleh suami keatas harta atau barangan kepunyaan isterinya dan sebaliknya.

12) Pencuri itu mencuri harta atau barangan kepunyaan Baitul Mal.
HUKUMAN KERANA KESALAHAN MENCURI
Sesiapa yang melakukan kesalahan mencuri wajib dikenakan hukuman hudud sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.
1) Mencuri kali pertama hendaklah dipotong tangan kanannya.
2) Mencuri kali yang kedua hendaklah dipotong kaki kirinya dan,
3) Mencuri kali ketiga dan berikutnya hendaklah dikenakan hukuman takzir dan dan dipenjarakan sehingga ia terbunuh.

Wallahua’lam
RUJUKAN:
1. http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/jinayat/mencuri.htm


UST MUHAMAD NAIM HASHIM
11 FEB 2008/3SAFAR 1429

Rabu, 6 Februari 2008

ARTIKEL YANG MESTI DI BACA

ULASAN UST ZAHARUDDIN BIN ABDUL RAHMAN MENGENAI FATWA ASB DAN ASN HARUS

Ramai yang bertanya respond saya, ada yang suka dan ada yang keliru. Apa pandangan saya?, Pandangan saya adalah anda tidak perlu keliru lagi dan orang awam boleh menyertainya dan Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor yang dipimpin oleh bekas Muftinya iaitu Al-Marhum Dato' Hj Ishak Baharom telah terbatal akibat keputusan ini. Orang ramai adalah harus menyertai ASB dan ASN disebabkan majlis fatwa kebangsaan telah mengesahkan kehalalannya dan menanggung apa jua urusan berkaitannya di dunia dan akhirat. Ini adalah satu perkara biasa yang ditanggung oleh para ulama, sama juga seperti Majlis Penasihat Shariah yang ada di Institusi Kewangan Islam. Kesannya, apabila telah wujud fatwa umum sebegitu, kini ia terpulang kepada masing-masing untukmembuat keputusan sendiri, ia sama seperti logo JAKIM. Siapa yang ingin bergantung kepadanya, adalah harus dan siapa yang ingin membuat kajian lanjut dan bersikap lebih berhati-hati, pandai-pandailah memilih yang lebih selamat. Itu saja.

Saya juga telah hubungi seorang S.S Mufti, beliau kata hujjah utama Majlis Fatwa adalah "MASLAHAT". Ini beerti majlis fatwa bukannya mengesahkan sistem dan cara pelaburan ASB dan ASN yang sedia ada tetapi ia diluluskan atas dasar 'Maslahat' atau kepentingan ramai (mungkin kerana terlalu ramai orang Islam yang telah terlibat dan fatwa mengharamkan akan mengakibatkan kekalutan yang tidak tergambar), hasilnya ia difatwakan harus. Apa lagi ingin dikatakan jika itu hujjahnya. Namun begitu, perlu diingat sepatutnya Maslahat ini sepatutnya adalah suatu tekanan yang amat sukar untuk kita hindarinya disebabkan ia bukan di dalam bidang kuasa kita, seperti penggunaan 'fiat money' yang tidak disandarkan kepada emas dewasa ini. Ini benar-benar dianggap maslahat kerana Malaysia sahaja tiada kuasa untuk influence dunia dalam hal ini, malah sistem ekonomi dunia sekarang ini amat sukar dibentuk menuruti corak yang dikehendaki oleh Islam.

Adapun, dalam perkara yang kita sendiri ada kuasa untuk mengubah dan menukar sendiri kerana ia dalam milik dan kekuasaan kita, dan kita yang awal-awal dahulu menyertai atau menganjurkan sebelum menyemak status Shariahnya, kemudian apabila sudah terhantuk baru ingin berselindung di balik hujjah maslahat. Tatakala itu, menggunakan maslahat sebagai hujjah amat boleh diperdebat dan dipertikai kerana kita sendiri berkuasa mengubah sistemnya (jika kita inginkan), walaupun jika ubah secara beransur-ansur.

Jika dinyatakan "mana nak letak dana berbillion jika dikeluarkan?". Jawabnya tak perlu keluarkan tapi adjust aqadnya biar tepat dengan third party guarantee. Betulkan cara pembahagian untungnya, nisbah pelaburan di tempat yang haram digunakan buat manfaat umum seperti highway tanpa toll, manakala pelaburan halal di serahkan kepada individu pelabur dan macam-macam lagi cara. Jangan malas berfikir jika ingin selamat di akhirat kerana Islam agama membaca dan berfikir. Al-Quran dimulakan dengan "Iqra'

Saya akui di sana ada maslahat kerana begitu ramai yang terlibat dan jumlah wang yang terlibat begitu besar, tapi tiada maslahat untuk terus menggunakan sistem sedia ada kerana ia boleh diubah seperti apa yang sebut di atas., biar untungnya berkurangan sedikit asalkan halal dan berkat. Mufti yang saya hubungi juga berkata ahli majlis fatwa berjaya dipengaruhi dengan alasan, sebab yang disampaikan oleh wakil PNB yang membentang. Namun begitu, mufti ini memaklumkan kepada saya pihak PNB disyaratkan menubuhkan majlis Shariah khusus untuk mereka sebagaimana bank-bank Islam dan takaful. Ini satu perkembangan yang bagus!!..

Saya dan kita mengharapkan majlis Shariah akan datang ini akan dapat membuat sesuatu perubahan dan pembaikan terhadap sistem yang sedia dengan 'modification' yang wajar bagi memastikan sistem yang menepati Shariah. Tatkala itu ia tidak perlu lagi menjadi 'harus' atau 'halal' hanya bergantung kepada hujjah 'MASLAHAT' yang agak longgar. Akhirnya, tiada halangan sesiapa yang ingin terima atau tolak ulasan saya. Tidak perlu diluahkan kata benci dan marah, saya cuma nak tolong beri nasihat. Bila 37 % di letakkan di tempat yang amat jelas haramnya.ia pasti ada hasil dalam dividen anda. Nabi s.a.w kata :-

Ertinya : Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) (Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312)

Jika dikatakan kita perlu jaga maslahat kebaikan yang terhasil ini, maka kita juga perlu sedar 37 % itu menyokong industri riba dan mengukuhkannya. Kaedah Fiqh menyebut :-

Ertinya : "Sesungguhnya menolak keburukan itu lebih patut didahulukan dari tujuan untuk mendatangkan kebaikan" ( Al-Muwafaqat, As-Syatibi, 3/190 ; Hasyiah S-Syarwani, 3/188)


Melabur dalam skim ASN dan ASB hukumnya harus, kata Jawatankuasa Fatwa
KUALA TERENGGANU 3 Feb - Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam hari ini memutuskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah harus. Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, hukum bagi pembayaran dividen hasil pelaburan kedua-dua skim berkenaan juga adalah harus. "Dengan sebab itu kita merasakan bahawa masyarakat Islam tidak perlu ragu-ragu lagi terhadap status melabur di dalam skim ASN dan ASB," katanya kepada pemberita selepas Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-80 di sini hari ini. Turut hadir adalah Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

POLITIK KUFUR -VS- POLITIK ISLAM

POLITIK KUFUR -VS- POLITIK ISLAM

Mutakhir ini banyak perkembangan yang berlaku sama ada di dalam mahupun di luar negeri telah menggugat kedudukan parti pemerintah. Ia juga sekali gus telah membuka mata banyak pihak bahawa ada sesuatu yang ‘tidak kena’ telah berlaku atau sedang berlaku dengan sistem pemerintahan yang ada pada hari ini. Jika dulu rakyat hanya menutup mata dan memendam rasa dengan segala kezaliman dan ketidakadilan parti pemerintah, kini kesedaran rakyat sudah semakin meningkat dan ia telah dimanifestasikan dengan pelbagai cara. Pemerintah pula dilihat semakin tertekan dan terdesak dengan gelombang kesedaran rakyat yang semakin menerpa mereka. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pakistan, Myanmar, Indonesia dan tidak terkecuali di negeri orang-orang kafir sekalipun seperti di Amerika sendiri, United Kingdom dan Australia di mana iklim perubahan telah mula melanda. Rakyat sudah semakin nampak dan membenci pemerintah dengan kezaliman, penyelewengan yang mereka lakukan. Di Malaysia contohnya, akhir 2007 menyaksikan beberapa demonstrasi memprotes ketidakadilan pemerintah contohnya perhimpunan BERSIH besar-besaran di adakan pada 10 November lalu, beberapa hari selepas itu muncul pula perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang menuntut keadilan kerana mendakwa mereka selama ini telah ditindas oleh parti pemerintah, perhimpunan persatuan peguam-peguam, NGO dan sebagainya.

Walaupun terdapat banyak pandangan pro dan kontra dengan apa yang berlaku, namun yang pasti ialah telah muncul satu ‘kesedaran politik’ di kalangan rakyat bahawa terdapat banyak kepincangan dengan orang atau sistem yang ‘menguruskan’ mereka. Kesedaran ini mula muncul apabila rakyat mula merasa bahawa hak-hak mereka selama ini telah dirampas atau tidak ditunaikan oleh pemerintah. Justeru, tidak hairanlah jika di Myanmar, sami-sami Buddha yang selama ini tidak pernah terlibat dalam politik tiba-tiba turun padang dan bukan setakat menyertai, malah mengetuai perhimpunan besar-besaran menuntut perubahan. Jika di kalangan orang-orang kafir sekalipun telah wujud kesedaran ini, apatah lagi kita umat Islam seharusnya mempunyai ‘kesedaran’ yang jauh lebih tinggi. Ini kerana kita sepatutnya sedar bahawa kita wajib ‘diurus’ oleh pemerintah dengan Islam – dengan Al-Quran dan As-Sunah, bukannya dengan sistem taghut (selain Allah). Kita sewajibnya mengetahui apakah hak dan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim/rakyat, dan juga apakah hak dan tanggungjawab pemerintah menurut Al-Quran dan Al-Hadis. Dengan ini barulah kita tahu sama ada kita ‘diatur’ dengan betul (dengan hak) atau dengan batil oleh pemerintah yang ada, dan jika kita diatur dengan bathil, maka wajib pula bagi kita mengetahui apakah kewajipan yang Allah kenakan ke atas kita untuk membetulkan kebatilan ini. Inilah yang dinamakan ‘kesedaran politik’ dan kesedaran ini wajib ada pada umat Islam agar kita semua dapat memastikan satu sama lain hidup hanya dalam keadaan tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah dan Rasul. Dengan itu, Insya Allah mimibar kali ini akan mengupas pengertian politik (siyasah) menurut Islam dan mengharapkan agar umat Islam sedar akan tanggungjawab yang wajib mereka mainkan sebagai seorang ahli politik Islam.

Kesalahfahaman Tentang Pengertian Politik
Sejak kemunduran berfikir melanda umat Islam dan setelah jatuhnya Daulah Islam pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), keseluruhan negeri umat Islam telah diperintah dengan sistem sekular yang berasal dari Barat di mana asas/tunjang pemerintahannya adalah memisahkan agama dari kehidupan (faslu din anil hayah). Bermula dari sini, kafir Barat telah berjaya menguasai dan mengawal pemikiran umat Islam bahawa agama dan politik mesti dipisahkan (sebagaimana mereka memisahkannya). Mereka seterusnya mengangkat pemimpin-pemimpin dari kalangan umat Islam yang sepemikiran dengan mereka dan melalui pemimpin-pemimpin inilah, sistem sekular telah diterap dan dipertahankan. Apabila setiap detik dan ketika, rakyat dihidangkan dan dijamu dengan pemikiran-pemikiran kufur ini, sudahnya pemikiran ini berjaya meracuni mereka. Apatah lagi, dengan adanya ‘ulama’ yang digaji oleh pemerintah untuk ‘membenarkan’ segala tindakan mereka, maka keyakinan rakyat akan politik dan agama adalah suatu yang terpisah, semakin kuat. Ulama yang diberi gaji ini akhirnya digunakan habis-habisan oleh pemerintah sekular yang ada untuk menyokong pemerintahan dan undang-undang kufur yang diterapkan. Tugas ulama hanya dipersempit untuk mengeluarkan fatwa terhadap perkara-perkara furu’ (ranting), manakala dalam bab pemerintahan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, jihad, dasar luar dan dalam negeri, ‘tugas’ ulama ini hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Akhirnya, ulama yang sepatutnya bertugas membetul dan menasihatkan pemerintah dengan Islam, telah berjaya ‘di sekularkan’ oleh pemerintah.

Racun sekular yang telah menular hingga ke urat saraf umat ini menyebabkan wujudnya umat Islam dan jemaah Islam yang tidak mahu terlibat dengan politik kerana beranggapan bahawa agama dan politik adalah dua perkara yang berlainan. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada orang bergelar ulama yang bukan sahaja tidak mahu terlibat dengan politik, malah menyalahkan individu Muslim mahupun gerakan-gerakan Islam yang terlibat dengan politik. Kecelaruan ini timbul disebabkan oleh satu perkara asas, iaitu kerana mereka tidak memahami apakah maksud politik (siyasah) menurut Islam. Hal ini timbul kerana mereka telah sebati hidup dalam lingkaran politik kufur/sekular yang ada sekarang di mana apa yang mereka lihat hanyalah kekotoran dan kejijikan politik yang diamalkan oleh ahli-ahli politik yang ada. Politik, bagi mereka adalah suatu yang kotor manakala Islam adalah suatu yang suci, justeru, bagi mereka Islam tidak sama dengan politik atau perlu dipisahkan dari politik.

Memang benar, kita bersetuju jika dikatakan politik (sekarang) adalah kotor dan keji. Kenapa? Kerana politik yang ada sekarang adalah politik kufur – politik yang datangnya dari kafir Barat, politik yang dikuasai oleh orang-orang yang berkiblatkan Barat, politik yang membelakangkan al-Quran dan Sunnah, politik yang dipenuhi dengan penipuan, politik yang dilingkungi ketamakan akan kekayaan dan kerakusan untuk berkuasa, politik di mana seseorang cuba menjatuh dan mengaibkan satu sama lain, politik di mana seseorang suka memfitnah satu sama lain, politik yang dipenuhi dengan rasuah, politik yang membenarkan arak, judi, riba serta pergaulan bebas merajalela, politik yang mana sistem dan undang-undangnya dibuat oleh manusia dan pelbagai kekejian lagi yang ada. Dengan kata lain, politik yang ada sekarang sememangnya kotor dan keji kerana telah memisahkan agama dengan kehidupan.

Dengan segala kamaksiatan yang ada inilah yang menjadikan umat Islam melihat bahawa politik itu kotor dan jijik sehingga ada sebahagian umat Islam yang menolak politik. Memang benar, kita mesti menolak politik kotor ini, kerana ia adalah politik kufur. Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh menolak dan hanya membiarkan politik kotor ini terus bermaharajalela dan menguasai kita, bahkan kita wajib menggantikannya dengan politik Islam (siyasah syar’iyyah) yang bersih dan benar. Sesungguhnya inilah apa yang wajib kita lakukan sebagai seorang Muslim. Kita sedih kerana ada ulama yang tahu akan segala kekejian dan kekotoran yang ada dalam politik sekarang, bahkan menolak politik kerana kekotorannya, tetapi ada di antara mereka yang tetap ‘rela dan redha’ dilantik oleh ahli politik dan terus berkhidmat dengan pemerintah dalam sistem politik yang penuh maksiat ini. Walhal apa yang wajib dilakukan oleh para ulama ini adalah ‘membersihkan’ segala kekotoran ini dengan menasihati pemerintah atau ahli-ahli politik yang ada agar kembali mengamalkan politik Islam (siyasah syar’iyyah), bukannya hanya duduk sepejabat atau semeja (dengan pemerintah) dan bergelumang dengan sistem kufur dan politik kufur ini.

Definisi Politik

Terdapat di kalangan umat Islam yang kerana telah dibesarkan dengan sistem pemerintahan sekular yang diwarisi dari British ini, beranggapan bahawa politik adalah pilihan raya dan pilihan raya adalah politik. Pemikiran mereka telah disempitkan sehingga sudah tidak boleh keluar dari pengertian ini. Kemalasan belajar dan mengkaji fiqh Islam menyebabkan mereka ini dilanda kejumudan berfikir yang amat parah, malah lebih parah lagi, mereka sanggup belajar, mengkaji dan mengamalkan politik sekular, tapi tidak sanggup untuk belajar, memahami dan mengamalkan politik Islam. Ada yang terjerumus dengan kesalahan yang fatal bila berani mengatakan bahawa politik tidak ada di dalam Islam atau Islam perlu dipisahkan dari politik. Ada juga yang terkeliru dengan mengakui bahawa ada politik di dalam Islam, tetapi kita tidak perlu mementingkannya. Juga, ada yang bercelaru pemikirannya dengan mengakui bahawa politik adalah sebahagian dari Islam, tetapi dia sendiri tidak mahu terlibat di dalam politik. Sebagaimana dimaklumkan, segala ketidakjelasan dalam berfikir ini wujud kerana mereka tidak memahami apakah maksud siyasah (politik) menurut Islam.

Secara lughah (bahasa), siyasah (politik) berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti ‘mengurus kepentingan seseorang’. Perkataan siyasatan menurut pengertian bahasa adalah ‘pemeliharaan/pengurusan’. Dalam kamus Al-Muhits dikatakan – sustu ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi al-awamir wa an-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Ini dari segi bahasa. Adapun maksud siyasah menurut istilah/syara’ adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Pengertian ini diambil dari beberapa hadis di mana Rasulullah saw menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim,

“Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara.”

Berkenaan lafaz tasusuhum al-anbiya’, Ibn Hajar al-‘Ashqalani berkata, “Dalam hal ini terdapat isyarat bahawa harus ada bagi rakyat, orang yang mengatur urusan mereka, membimbing mereka ke jalan yang baik, dan memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi dari orang yang zalim.” [Fath al-Bari, VI/497]

Menurut Imam As-Suyuthi pula, tasusuhum bermaksud “yang menjalankan urusan mereka” [As-Suyuthi, ad-Dibaj, IV/456].

Dan menurut Imam an-Nawawi, tasusuhum bererti “yang menangani urusan mereka sebagaimana para amir dan wali menangani urusan rakyat.” [Imam an-Nawawi, Sahih Muslim bi Syarh an-Nawawi, XII/231-232].

Justeru, hadis ini menjelaskan makna as-siyasah (politik). Secara bahasa, kata sasa-yasusu-siyasah juga boleh membawa makna ra’a syu’unahu (memelihara urusan-urusannya). Dengan kata lain, as-siyasah (politik) maknanya adalah ri’ayah syu’un al-ummah (pengaturan dan pemeliharaan urusan-urusan umat). Inilah pengertian politik menurut Islam, yang mana berdasarkan hadis ini, semua nabi, termasuk Nabi Muhammad saw menjalankan peranan politik mereka sebagai pengurus, pengatur, dan pemelihara urusan umat. Dan peranan politik (mengatur urusan umat) ini dengan jelas akan diambil alih pula oleh para Khalifah yang sekali gus menjelaskan bahawa pemimpin/pengurus umat Islam (untuk seluruh dunia) setelah Rasulullah adalah Khalifah, yang akan mengurusi/memelihara kepentingan umat Islam.

Dari pengertian politik ini, tidak hairanlah jika ada ulama menekankan bahawa politik dan agama adalah ibarat dua saudara kembar [Lihat: Imam al-Ghazali, Al-Iqtishad fî al-I‘tiqad, hlm. 199].

Dikatakan juga, “Jika kekuasaan (as-sulthan) terpisah dari agama atau jika agama terpisah dari kekuasaan, nescaya keadaan manusia akan rosak” [Lihat: Ibn Taimiyah, Majmu‘ al-Fatawa, 28/394].

Ulama-ulama yang ikhlas, baik yang salaf mahupun yang khalaf memahami pengertian politik dari perspektif ini dan mereka adalah golongan yang selalu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah sehingga ada yang dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini jauh berbeza dengan kedudukan ulama sekarang di mana ada yang menolak politik, ada pula yang memahami dan mengambil politik ala sekular dan ada pula yang bersekongkol dengan pemerintah sekular dan menyalahkan gerakan Islam yang melakukan aktiviti politik memuhasabah pemerintah.

Berdasarkan maksud politik (siyasah) menurut Islam, maka adalah jelas bagi kita bahawa mengurus/memelihara (ambil peduli) tentang urusan umat Islam adalah tanggungjawab politik yang dibebankan oleh Allah swt ke atas bahu pemerintah. Ini sesuai dengan sabda Nabi saw bahawa,
“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Muslim].

Memelihara rakyat bermaksud mengambil berat tentang kepentingan-kepentingan rakyat yakni menunaikan segala hak dan kewajipan rakyat mengikut ketentuan yang telah Allah perintahkan ke atas mereka. Bagi setiap individu Muslim dan gerakan Islam pula, mereka juga wajib berpolitik dengan maksud wajib ke atas mereka memerhatikan urusan atau kepentingan umat Islam. Wajib bagi mereka memastikan bahawa mereka ‘diatur’ (oleh pemerintah) dengan hukum-hakam Islam dan wajib pula bagi mereka memuhasabah pemerintah sekiranya pemerintah tidak menerapkan hukum Islam ataupun mengabaikan kemaslahatan kaum Muslimin. Dalam hal ini, Allah swt telah mewajibkan adanya segolongan (jemaah/gerakan) dari kalangan umat Islam agar mengajak manusia kepada Islam dan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Firman Allah:

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada yang ma’ruf serta mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang menang.” [TMQ Ali Imran (3):104].

Inilah tanggungjawab politik umat Islam yang telah diwajibkan oleh Allah swt. Peri pentingnya muhasabah dari rakyat kepada pemerintah yang zalim, yang tidak menerapkan Islam sehingga Allah dan RasulNya meletakkan satu darjat yang tinggi kepada mereka yang melakukan aktiviti politik (muhasabah) ini, dengan status sebagai sayid asy-syuhada (penghulu para syahid). Sabda Nabi saw:

“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat/zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].

Rasulullah adalah Ahli Politik

Sesungguhnya amat salahlah orang yang mencontohi Rasulullah hanya dalam bidang akidah, ibadat dan akhlak semata-mata. Sesungguhnya amat naiflah pandangan orang yang tidak mahu terlibat dengan politik dan hanya mementingkan soal akidah dan ibadat sahaja. Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah uswatun hasanah bagi kita di dalam semua perkara, bukan hanya akidah, ibadat atau akhlak semata-mata? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah seorang ahli ekonomi dan ahli politik yang agung? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah merupakan seorang pemimpin sebuah kutlah (kelompok/gerakan) Islam (semasa di Mekah) dan baginda adalah Ketua Negara Islam (semasa di Madinah) dan sekali gus merupakan seorang pemimpin dunia Islam? Adakah sebagai seorang pemimpin sebuah kutlah, Rasulullah bukan ahli politik? Adakah sebagai seorang pemimpin negara dan pemimpin dunia, Rasulullah bukan ahli politik? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah mengajak manusia kepada (agama) Islam dan dalam masa yang sama melakukan aktiviti politik di dalam dakwahnya, baik di Mekah mahupun di Madinah? Tidakkah mereka sedar akan hadis Rasulullah yang masyhur (semasa Rasulullah masih di Mekah) yang sabdanya:

“Demi Allah, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, hinggalah Allah benar-benar memenangkanku atau aku hancur bersamanya, sekali-kali tidak akan aku tinggalkan.” [HR At-Thabari].
Hadis ini sebenarnya agak panjang di mana pada awalnya orang kafir Quraisy sudah tidak tahan dengan dakwah Rasul yang meremeh-remehkan akidah dan kepercayaan mereka, mencaci sembahan-sembahan mereka dan ‘menghentam’ segala bentuk ‘sistem kufur’ yang mereka amalkan. Kafir Quraisy tahu dan memahami bahawa apa yang Rasulullah inginkan ialah sebuah kekuasaan/negara di mana sistem Islam dan hukum Allah boleh diterapkan di dalamnya. Atas sebab inilah mereka cuba menawarkan atau memberi kuasa kepada Rasulullah, cuma dengan syarat Rasulullah mesti meninggalkan dakwah baginda. Jadi, apakah dakwah Rasulullah yang ‘menghentam’ akidah, pemerintahan dan sistem kufur yang ada ini bukan dakwah yang bersifat politik? Apakah usaha Rasulullah untuk mendapatkan kekuasaan/negara (untuk menerapkan hukum Allah) ini, bukan aktiviti yang bersifat politik? Hadis ini (dan banyak lagi hadis lainnya) sebenarnya dengan jelas menunjukkan bahawa aktiviti dakwah yang Rasulullah lakukan adalah berbentuk politik. Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah tidak pernah bersetuju atau tunduk kepada orang-orang kafir (apatah lagi bersekongkol dengan pemerintah dan sistem kufur) di dalam aktiviti dakwah/politik baginda. Walhal jika difikirkan secara logik, adalah lebih baik Rasulullah menerima sahaja tawaran kuasa yang diberikan oleh orang kafir Quraisy, kemudian baginda bolehlah merubah sistem yang ada setelah baginda berkuasa. Namun, hal ini samasekali tidak dilakukan oleh baginda Rasul kerana Islam wajib dimenangkan di atas kekufuran, bukannya disatukan atau dikompromikan dengan kekufuran. Di dalam dakwah dan aktiviti politik untuk mendapatkan kekuasaan, bukan maslahat/manfaat dunia yang diambil kira oleh Rasul, tetapi kepatuhan kepada perintah Allah dan keredhaanNya sahajalah yang dicari.

Mengatakan Rasulullah berdakwah hanya dari segi akidah, ibadah atau akhlak sahaja tanpa mengaitkannya dengan siyasah/politik (mengurus urusan umat) adalah menyalahi al-Quran itu sendiri. Adalah suatu yang amat dangkal apabila seseorang itu hanya mementingkan aspek akidah tetapi tidak mementingkan aspek siyasah (yang merupakan sebahagian dari hukum syara’). Ini kerana terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang aspek siyasah/politik di dalam dakwah Rasul walaupun ketika itu masih di peringkat awal dakwah (di Mekah). Malah, terdapat ayat-ayat Al-Quran (semasa di Mekah) yang membincangkan (dan ada yang diturunkan kerana) hal-hal politik yang sedang berlaku (contohnya Surah ar-Rum). Ini belum lagi mengambil kira ayat-ayat Madaniyah yang begitu banyak menyentuh tentang politik. Rasulullah di peringkat awal dakwah lagi telah diperintah oleh Allah agar melakukan aktiviti siyasah dengan melaknat sistem kufur yang dipraktikkan dan membetulkan sistem tersebut. Firman Allah,

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka minta dipenuhi dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” [TMQ al-Muthaffifin (83):1-3].

“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makan orang miskin.” [TMQ al-Ma’un (107):1-3].

Ayat yang pertama di atas adalah ‘menghentam’ sistem ekonomi yang diamalkan oleh kafir Quraisy yang suka menipu dan ayat yang kedua pula ‘menghentam’ (celaan Allah ke atas) pembesar/pemerintah Mekah yang suka mengherdik anak yatim dan tidak mempedulikan orang-orang miskin di kalangan mereka. Ayat-ayat ini dan banyak lagi ayat lainnya di mana Allah mengajar Rasulullah (dan orang-orang yang beriman) bagaimanakah aktiviti dakwah siyasah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pendakwah, bukan hanya dakwah dari segi akidah sahaja, walaupun di peringkat awal dakwah. Jadi, dalam keadaan sekarang pun samalah kedudukannya di mana kita sedang dilingkari oleh sistem yang rosak, maka adalah menjadi kewajipan atas kita untuk menghentam sistem yang rosak ini dan berusaha menggantikannya dengan sistem Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Dalam pada kita yakin bahawa Allah itu Esa, dalam masa yang sama kita wajib menyeru (tidak memaksa) orang kafir menyembah Allah Yang Esa; dalam pada kita yakin al-Quran adalah Kalamullah, kita dalam masa yang sama wajib solat dan menegur saudara kita yang tidak bersolat, wajib meninggalkan riba dan menegur saudara kita yang mengambil riba; dalam pada kita yakin Rasulullah adalah penutup para Rasul, kita dalam masa yang sama wajib memuhasabah pemerintah yang tidak mengikut perintah Rasulullah; dalam pada kita beriman dengan qadha’ dan qadar, kita juga wajib melakukan amar ma’ruf nahi mungkar; dalam pada kita yakin adanya syaithan dan taghut, dalam masa yang sama kita diharamkan berdiam diri dengan sistem taghut yang ada; dalam pada kita yakin Daulah Khilafah akan tegak semula dengan izin Allah, kita dalam masa yang sama wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Khilafah. Saudaraku sekalian! Inilah kaitan antara akidah dan siyasah. Kesempurnaan iman itu adalah apabila kita mengambil dan mengamalkan Islam itu di dalam semua aspek dan bukannya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Apabila seseorang itu telah masuk Islam melalui pintu tauhid, maka wajiblah baginya untuk menyempurnakan ajaran Islam dengan memasuki pintu ibadah, pintu politik, pintu ekonomi, pintu pendidikan, pintu uqubat, pintu jihad dan semua pintu-pintu lain yang ada. Wallahu ‘alam.

Rujukan:
1. Al-Quranul Karim
2. Suara Shautun Nahdhah


Muhamad Naim Hashim
6 Febuari 2008