JANGAN BERI SOKONGAN TERHADAP GOLONGAN YANG ZALIM
Allah berfirman yang bermaksud:
Kalian (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan bagi (faedah) umat manusia umumnya, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segenap perkara yang salah (buruk dan keji), di samping kamu beriman kepada Allah (dengan keimanan yang sebenar). Dan seandainya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu lebih baik untuk mereka. (Tetapi sayang) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (Ali Imran 110)
Pendahuluan
Umat Islam menjadi umat terbaik di sisi Allah kerana mereka menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran di samping mereka beriman kepada Allah. Dengan perkataan lain kerana mereka menjadi pengikut ajaran Islam yang syumul dan merangkum berbagai aspek kehidupan. Mereka menegakkan keadilan dalam diri, dalam keluarga , bangsa dan negara. Mereka menjadi saksi tentang kehadiran rahmat Allah kepada semua manusia melalui penampilan ajaran yang paling bertamadun iaitu ajaran Islam. Mereka golongan yang sentiasa menjauhkan diri dari kejahatan dan kemunkaran justeru kemunkaran menjatuhkan martabat dan maruah sesuatu bangsa dan umat.
Kemungkaran yang paling lumrah adalah melakukan kezaliman , merampas hak orang ramai atau rakyat , menafikan kebenaran , menghalang dakwah Islamiah dan menurut ajaran ajaran bid’ah dan palsu dalam politik dan budaya, memanjarakan rakyat tanpa pengadilan dan sabit kesalahan, merampas kedaulatan rakyat dengan penipuan dalam pembahagian kekayaan atau jawatan dan lain-lain . Semua perbuatan tersebut adalah merupakan perbuatan aniaya yang mesti dihindari oleh orang Islam. Ini kerana kezaliman itu seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah ialah kegelapan pada hari kiamat kelak. Baginda bersabda:
Hindarilah kezaliman kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat kelak. Hindari sifat kikir kerana sifat bakhil tersebut telah memusnahkan orang-orang sebelum kamu; sehingga tergamak mereka menumpahkan darah sesama sendiri dan menghalalkan kehormatan (menceroboh) sesama sendiri.. (Hadith riwayat Muslim)
Bencana Kezaliman
1. Kezaliman mencelakakan negara dan masyarakat.
Kejahatan kezaliman ini bukan hanya mencelakakan penzalim di akhirat malah boleh membinasakan diri , keluarga ,negara dan masyarakat. Allah berfirman dalam Surah al Kahfi ayat 59:
Perkampungan (negara) berkenaan Kami musnahkan apabila penghuninya bersikap zalim dan kami tempah masa kemusnahan (dan kehancuran) mereka.Kezaliman pemerintah atau kerajaan adalah kezaliman yang dilembagakan dalam institusi keadilan yang zalim, undang-undang yang memperkasa kejahatan dan kezaliman, pihak keselamatan yang lebih membawa kesengsaran daripada keselamatan, jentera penerangan yang lebih menyesat, menggelapkan kebenaran serta mengelirukan berbanding memberi penerangan dan kefahaman kepada rakyat.
Kezaliman seperti ini lebih cepat membawa kehancuran kepada sesuatu bangsa, negara dan umat.
2. Kezaliman mengundang kutukan Allah.
Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 18:
Maksudnya:
Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang mengajukan pembohongan terhadap Allah. . Ketika golongan tersebut dipaparkan di hadapan Tuhan mereka (untuk di adili kelak) berkatalah para saksi bahawa mereka itu adalah golongan yang melakukan pendustaan terhadap Tuhan mereka. Memang sesungguhnya laknat dan kutukan Allah terhadap golongan penzalim.
Surah al-A’raf ayat 44
Maksudnya:
Penghuni syurga berkata kepada penghuni neraka; bahawa kami telahpun menerima habuan yang dijanjikan oleh Tuhan kami kepada kami sebagai suatu yang memang benar. (Kemudian mereka bertanya kepada penghuni neraka) adakah kalian juga mendapati benar apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian. Mereka pun menjawab; ya memang benar. Maka (ketika itu) berkemundang suara penyeru bahawa laknat dan kutukan Allah terhadap golongan yang zalim
3. Kezaliman mencelakakan manusia lain yang menghadiri atau menyaksikannya.
Bencana kezaliman ialah ia boleh melampaui peribadi orang yang zalim yang melakukan kezaliman berkenaan. Bencana dan akibat kezaliman itu juga mengenai orang yang hadir menyaksikannya dan tidak menghalang atau menyetujui kezaliman tersebut . Semua penyokong yang bersekongkol baik dekat mahupun jauh akan diseret dan dihumbankan ke neraka.
Dalam teks tradisional terdapat catitan berikut:
Apabila manusia dihimpunkan pada hari kiamat dipinggir titian Siratul Mustaqim Allah berfirman ; Akulah Allah, Akulah Raja (yang sebenar) Akulah Dayyan ( pemilik hakiki agama ini) ; demi kemulian dan kebesaranKu (pada hari ini ) tiada seorangpun manusia penzalim yang dapat melepasi siratulmustaqim ini. Kemudian berserulah seorang Malaikat di pihak Allah (bertanya); Mana dia manusia penzalim berkenaan.? Mana juak-juak penyokong penzalim tersebut. Mana dia pembantu yang menajamkan pena (pensil) penzalim (wartawan upahan). Mana dia golongan yang mangajukan dakwat untuk penzalim (menulis ).Kemudian neraka berseru kepada orang mu’min: Wahai mukmin, ayoh segeralah kamu menyeberangi Sirat ini kerana cahaya mu memalapkan (nyalaan lidah) apiku.
Suatu ketika seorang lelaki datang bertanya kepada Sufyan al Thauri: Saya ini penjahit pakaian raja (pemerintah ) yang zalim; adakah saya terjumlah dalam kalangan penyokong beliau. Sufyan al Thauri menjawab: Anda bukan golongan penyokong tapi adalah dari golongan penzalim itu sendiri . Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada anda jarum dan benang (untuk menjahit)
Sifat cenderong menyokong kezaliman dan orang yang zalim samada dengan hati atau dengan tindakan dan perkataan akan membawa padah.Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 113,
Maksudnya:
Jangan kalian cenderung menyokong orang yang zalim; kelak kalian akan dibakar oleh api neraka. (ketika itu) kalian tidak akan ada selain Allah sebagai penyelamat dan kalian tidak akan mendapat apa-apa pertolongan
4. Kezaliman mencelakakan manusia di akhirat.
Penzalim bukan sahaja diseksa dengan azab yang sangat pedih disamping lilitan kutukan Allah tetapi juga mereka tersisih daripada penyokong, sahabat dan penolong. Allah berfirman dalam Surah al Haj ayat 71
Maksudnya:
Mereka menyembah tuhan lain selain Allah yang tidak pernah Allah memberi apa-apa mandat kuasa mereka berbuat demikian malah mereka menyembah apa yang mereka sendiri tidak ada ilmu mengenainya. Sesungguhnya golongan penzalim itu tidak akan dapat sesiapapun menjadi penolong (mereka).
Allah berfirman dalam Surah Mariam ayat 68-72. Maksudnya:
Demi Tuhanmu (wahai Muhammad) Kami akan himpunkan mereka semua dengan golongan syaitan dan akan Kami tampilkan mereka dengan melutut ditubir neraka. Kemudian Kami akan rentap (dan sentap) golongan penderhaka yang paling biadap terhadap tuhan yang Maha pemurah. Kemudian kami yang lebih tahu siapa yang lebih wajar dihumban dan dibakar di dalam neraka. Semua kamu pasti akan di bawa ke tubir berkenaan . Ini adalah ketentuan Tuhanmu yang azali dan pasti. Kemudian Kami akan selamatkan golongan yang bertaqwa (dari seksa neraka) dan kami akan biarkan manusia penzalim tersebut terbongkang di dalam neraka.
Kategori Penzalim
Kezaliman mempunyai berbagai kategori . Puncak kezaliman ialah perbuatan syirik kepada Allah sepertimana yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Luqman ayat 13:
Ingatlah ketika Luqman berpesan kepada putra beliau dengan katanya : Janganlah kamu (wahai anakku) melakukan perbuatan syirik kepada Allah justeru syirik (kepada Allah ) adalah suatu kezaliman yang amat besar.
1. Syirik
Adalah keyakinan dan perbuatan yang menduakan atau mempelbagaikan tuhan. Ia merujuk kepada perbuatan yang mencampurbaurkan rujukan nilai baik, buruk, halal haram kepada sumber yang hak dan benar dengan sumber yang batil dan salah. Halal haram ditentukan oleh Allah dan oleh syaitan dan taghut. Oleh itu manusia musyrik adalah manusia yang komitmen nilai mereka bercelaru , simpang prenang dan tidak menentu.. Pada ketika tertentu mereka menurut perintah Allah namun pada masa lain mereka menurut perintah dan nilai taghut dan syaitan.
Allah befirman dalam Surah al Nisa’ ayat 116:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepadaNya namun Dia mengampunkan dosa selain itu bagi siapa yang Dia mahu. Barang siapa yang syirik kepada Allah maka dia telah sesat terlalu jauh.
2. Menghalang umat Islam daripada memakmurkan masjid Allah.
Menghalang orang bersolat dengan merobohkan masjid dan surau, menghalang majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh para alim ulama yang benar di dalamnya. Menghalang orang berzikir dan beri’tikaf di dalam masjid. Menghalang perlaksanaan fungsi masjid dan surau di dalam negara sehingga melambatkan proses pentarbiahan dan pendidikan Islam di kalangan umat.
Dalam Surah al Baqarah ayat 114 Allah berfriman:
Maksudnya:
Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang menghalang masjid-masjid Allah daripada disebut di dalamnya (zikir) terhadap nama Allah (solat) , malah mereka berusaha pula memusnahkan (fungsinya). Golongan penzalim tersebut hanya wajar masuk ke masjid dalam kaadan gentar dan takut. Untuk mereka kehinaan di dunia; manakala di akhirat disiapkan untuk mereka seksa yang sangat besar (dan pedih).
3. Menyembunyikan kesaksian yang benar apabila diperlukan..
Enggan mengajukan kesaksian di mana kebenaran terletak dalam kesaksian yang ada pada seseorang adalah suatu kezaliman. Keengganan menampilkan kesaksian yang benar menyelamatkan orang tertuduh yang tidak berdosa menyebabkan pelaku kejahatan yang sebenar terlepas manakala orang yang tidak berdosa dihukum bunuh atau dianiaya. Keengganan tampil sebagai saksi kes sebenar yang menyaksikan kejahatan tersebut adalah suatu kezaliman yang nyata. Allah berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 140:
Maksudnya:
Siapakah yang lebih zalim dari orang yang menyembunyikan syahadah (kesaksian) yang diberikan oleh Allah kepadanya . Sesungguhnya Allah tidak pernah alpa terhadap apa jua perbuatan (jahat) kamu.
Mengundi dalam sistem peralihan kuasa yang benar dan adil adalah suatu kewajipan agama. Ini kerana mengundi dan melantik pemimpin masyarakat dan negara adalah termasuk dalam kewajiban menunaikan kesaksian seperti yang termaktub dalam Surah al Talaq ayat 2 .
Maksudnya:
……dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum Yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),
Tidak melaksanakan kewajipan ini adalah suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang diperintahkan oleh Allah dalam ayat tersebut. Malah golongan yang mati dan tidak pernah membai’ah atau mengundi dan melantik pemimpin adalah mati dalam jahiliah sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah dalam hadith baginda.:
ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتة جاهلية»،
”…Siapa yang mati tapi tidak pernah membai’ah pemimpin maka matinya adalah kematian dalam jahiliah.”
Selanjutnya mengundi dan melantik orang yang tidak wajar dilantik menurut syara’ adalah juga suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang benar sepertimana yang dituntut oleh ayat ini. Allah berfirman dalam Surah al Baqarah :283 :
Maksudnya:
Siapa yang menyembunyikan kesaksian (yang benar) maka dia adalah insan berdosa.
FirmanNya dalam surah al-Maidah ayat 106:
Kami tidak akan menyembunyikan kesaksian (kerana) Allah. (Kalau tidak) pastilah kami akan menjadi golongan yang berdosa.
Menjadi saksi palsu, menjungkir-balikkan kebenaran menjadi kebatilan; orang yang tidak berhak mendapat hak, manakala pemilik hak yang sebenar teraniaya adalah suatu kejahatan yang terangkum dalam perkara ini. Syahadatuzzur adalah suatu dosa besar dalam Islam.”Dosa besar yang paling besar ialah mengajukan kesaksian palsu (Hadith riwayat Bukhari)
Allah berfirman dalam Surah al-Zukhruf ayat 19
Maksudnya:
Kesaksian mereka pasti akan dicatat dan mereka pasti akan ditanya (tentang kesaksian itu )
4. Tidak menghukum dan memerintah menurut hukum dan undang-undang yang Allah turunkan .
Menghukum dan memerintah tidak berdasarkan firman dan perintah Allah dalam syari’atNya adalah suatu kezaliman . Allah berfirman dalam Surah al Maidah ayat 45:
Maksudnya:
Siapa yang tidak menghukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Dalam Negara umat Islam kini terdapat banyak pemerintah yang tidak melaksanakan syariat dan undang-undang Islam, tapi mereka mendakwa bahawa mereka adalah pelaksana Islam yang bertamadun , Islam progresif, Islam moden dan sebagainya . Dalam masa yang sama mereka mengkhianati amanah Allah, amanah umat dan mensia-siakan hak orang Islam yang mereka wakili. Ini adalah musibah yang mengelirukan ramai orang sehingga menyebabkan mereka menjadi penyokong fanatik kepada golongan zalim tersebut.
5. Merampas tanah hak orang lain termasuk golongan fakir miskin dengan zalim demi kepentingan golongan kaya.
Penyokong dan pendokong keadilan selalu berhadapan dengan tindakan zalim pemerintah tertentu. Tanah dan hak mereka dirampas atau dilambat-lamatkan perlaksanaan kesan atau ketentuan transaksi yang telah dijalankan.
Rasulullah bersabda:
Siapa yang merampas walau sejengkal tanah (orang lain) secara aniaya nescaya Allah akan menghempitkannya dengan tujuh lapis (petala) tanah atau bumi pada hari kiamat kelak.
Bantuan negara sering dinafikan untuk golongan penyokong keadilan ini. Hak kekayaan, hak bersuara, hak kebebasan berhimpun, hak memilih pemimpin (mengundi) mereka dinafikan dengan penggubalan sistem pendaftaran pengundi yang bermuslihat, penipuan, penyelewengan dan sebagainya..
6. Memenjara, menghukum bunuh dan meyiksa orang tahanan tanpa diadili dan tanpa sabit kesalahan adalah kezaliman yang nyata.
Pemerintah yang melakukan kezaliman dan tidak berlaku adil kepada rakyatnya akan diseksa oleh Allah dengan seksaan yang berat dan pedih.Rasulullah bersabda
Maksudnya:
Orang yang paling dahsyat diseksa pada hari kiamat kelak ialah pemerintah yang zalim.” (Riwayat Abu Ya’la).
Dalam Musnad Imam al Rubai’ diriwayatkan hadith berikut
Maksudnya:
“ِAllah melaknat orang yang memerintah umatku dengan zalim dan mengaut harta fai’ nya (harta milik awam) untuk kepentingan dirinya”
Berapa ramai manusia yang ditahan, dipenjarakan tanpa dibicarakan atau diadili. Berjuta-juta ringgit dikaut oleh kroni dan keluarga penguasa secara terang-terang dan sembunyi. Kezaliman ini akan ditanggong oleh setiap orang yang menyokong dan mengundi kumpulan penzalim berkenaan untuk meneruskan kuasanya , walaupun mereka anak cucu nabi atau anak ulama tersohor..
Sebenarnya terdapat banyak lagi jenis kezaliman seperti kezaliman ekonomi terhadap umat Islam dan rakyat umum dari berbagai bangsa dan agama.
Sebenarnya senarai jenis kezaliman ini akan menjadi panjang berjela-jela jika hendak direntang dengan panjang lebar. Namun dalam kesempatan ini, hanya inilah sebahagian daripadanya yang di paparkan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan umat manusia dan rakyat Malaysia umumnya.
Masanya sudah sampai untuk kita semua menamatkan atau menghapuskan era kezaliman ini dengan melantik golongan para pemimpin yang bertaqwa, beramanah, berintegriti dan ikhlas berjuang demi Allah untuk membela nasib rakyat termasuk umat Islam amnya dan juga rakyat Malaysia umumnya. Mari kita beramai-ramai melakukan perubahan dalam kehidupan kita demi kebahagiaan dunia dan kecemerlangan di akhirat
Allah Akbar, Allah Akbar, Allah Akbar.
MUHAMAD NAIM HASHIM
4 SAFAR 1429H
(Tulisan asal daripada Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin)
Khamis, 14 Februari 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan