Sahabat Ilmu

Jumaat, 27 April 2012

Zikir Masuk Rumah

Kebanyakan zikir yang digalakkan untuk dibaca apabila masuk ke dalam rumah ialah membaca Basmalah, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan memberi salam sama ada terdapat orang di dalam rumah ataupun tiada. Hadis-hadis tersebut adalah seperti di bawah:

Dari Jabir bin ’Abdillah RA yang mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang dari kamu masuk ke dalam rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika memasukinya dan ketika hendak makan, berkata syaitan: Tiada tempat bermalam dan tiada makan malam untuk kamu semua (para syaitan). Dan apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya, maka berkata syaitan: Kamu semua (para syaitan) telah mendapat tempat bermalam. Jika dia tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, berkata pula syaitan: Kamu semua telah mendapati tempat bermalan dan makan malam.” (Muslim)

2. Digalakkan memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah, tidak kira samada rumah sendiri atau rumah orang lain, samada berpenghuni ataupun tidak. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: ”...Maka apabila kamu memasuki mana-mana rumah, berilah salam ke atas sesama kamu sebagai penghormatan yang disyariatkan oleh Allah, yang diberkati (mengandungi keselamatan, rahmat dan keberkatan) lagi baik...” (al-Nur: 61)

Al-Syeikh ’Abd al-Rahman al-Sa’di RH berkata ketika menafsirkan ayat ini, memberi salam dengan menyebut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Atau:

السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ

Al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr berkata: Perkataan (al-Sa’di) tentang lafaz salam: السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ, ketika memasuki rumah, terutamanya rumah yang tidak berpenghuni terdapat hadis tentangnya, namun ia tidak thabit dari Nabi SAW dengan sanad yang Sahih… akan tetapi berpada dengan apa yang thabit dari sunnah iaitulah dengan ucapan salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ adalah lebih dituntut dalam lebih sempurna, samada rumah itu berpenghuni ataupun tidak.

Perkataan السلام عليكم ketika memasuki rumah memiliki keberkatan ke atas insan dan ahli keluarganya seperti yang ditunjukkan di dalam ayat yang lalu (al-Nur: 61). Di dalam kitab Sunan al-Tirmizi, dari Anas RA yang berkata: Rasulullah SAW berkata kepadaku:

يا بني، إذا دخلت على أهلك فسلّم، تكن بركةعليك وعلى أهل بيتك

Mafhumnya: “Wahai anakku, jika kamu memasuki (rumah) menemui ahli keluarga kamu, berikanlah salam, ia menjadi keberkatan ke atas kamu dan ke atas ahli keluarga kamu.” (al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Maka sesiapa yang memberi salam ketika memasuki rumahnya, maka dia berada dalam jaminan dari Allah Ta’ala. Di dalam (kitab) Sunan Abi Daud, (hadis) dari Abu Umamah al-Bahili, dari Rasulullah SAW yang bersabda:

ثلاثة كلهم ضامن على الله عز وجل: رجل خرج غازيا في سبيل الله، فهو ضامن على الله عز وجل، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل راح إلى المسجد فهو ضامن على الله تعالى، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل دخل بيته بسلام فهو ضامن على الله سبحانه وتعالى

Mafhumnya: ”Tiga golongan, kesemua mereka yang dijamin dari Allah AZW: iaitulah seorang lelaki yang keluar berperang pada jalan Allah, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia gugur lalu dimasukkan ke dalam Syurga, atau dia pulang dengan memperolehi pahala atau ghanimah. Juga seorang lelaki yang keluar ke masjid, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia mati lalu dimasukkan ke dalam syurga atau dia pulang dengan memperolehi pahala dan ghanimah. Juga seorang lelaki yang memasuki rumahnya dengan memberi salam, dia berada di dalam jaminan Allah SWT.
(Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Tiada ulasan: