Sahabat Ilmu

Isnin, 19 Julai 2010

Ubat kepada malas menurut Islam

Adakah anda merasa malas? Jika benar, cepat-cepatlah berusaha melawan sikap malas. Malas ialah attitude yang negatif wajib dihindari oleh semua orang Islam. Sesetengah kita mungkin tidak dapat melepaskan diri dari sikap ini. Ada yang diuji dengan tahap malas yang keterlaluan, ada yang diuji dengan tahap malas yang sedikit. Apa pun bentuk malas yang ada, hakikatnya malas bukan satu ajaran Islam. Malas menurut al-Quran adalah attitude orang munafiqin. Firman Allah Taala [al-Nisa’ : 140] :

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Ibn Kathir menafsirkan ayat di atas : “Ini adalah sifat orang munafikin dalam amalan paling baik da paling mulia iaitu solat. Apabila mereka hendak solat, mereka solat dengan malas kerana mereka tiada niat, tidak beriman dengannya, tidak takut (khashyah) dan tidak memahami maksud solat”.

Oleh itu, jika anda ada sikap malas, cepat-cepat buangkannya kerana ia sifat orang munafik. Orang yang munafik ialah orang yang cuba menipu Allah Taala. Tetapi, bagaimanakah cara hendak buangkan sikap malas? Saya cuba bawakan beberapa kaedah menghilangkan rasa malas menurut al-Quran dan al-Sunnah.

Pertama : Doa dan perbanyakkan doa
Gunalah senjata utama orang mukmin iaitu doa. Tokoh terkenal, Ibn Qayyim dalam karya beliau al-jawab al-kafi li man sa’ala an al-dawa’ al-shafi, menjelaskan ubat pertama dan kedua untuk mengubati jiwa mukmin ialah berdoa dan bersungguh-sungguh dalam doa.
Doa ialan ubat paling mujarab dan bermanfaat untuk mengubati semua bentuk ujian dan penyakit. Antara doa yang diajar oleh baginda s.a.w ialah :

اللهم إني أعوذ بك من الهرم والحزن، والعجز والكسل، والبخل والجبن، وغلبة الدين، وقهر الرجال
Maksudnya : “Ya Allah, aku berlindung denganMu dari penyakit tua dan kesedihan, dari lemah dan malas, dari bakhil dan penakut, dan kalah dengan hutang dan kekuatan lelaki”. [al-Bukhari]

Antara doa Nabi juga :
اللهم إني أسألك الثبات في الأمر، والعزيمة على الرشد

Maksudnya : “Ya Allah, aku memohon dariMu ketetapan dalam urusan kerja dan keazaman atas hidayat”.
Semuanya menunjukkan bahawa doa yang dapat menghalang sikap malas seseorang. Kalaulah Nabi boleh berdoa sebegini, inikan pula kita umatnya. Wajiblah kita mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam semua sunnahnya.

Kedua : Lawanlah syaitan dan nafsu
Malas sebenarnya berpunca dari syaitan. Syaitan melatih nafsu manusia agar menjadi malas sama ada malas beribadat atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.Tidakkah kita pernah mendengar hadis Nabi s.a.w. :

يعقد الشيطان على قافية رأس أحدكم إذا هو نام ثلاث عقد يضرب مكان كل عقدة عليك ليل طويل فارقد فإن استيقظ فذكر الله انحلت عقدة فإن توضأ انحلت عقدة فإن صلى انحلت عقدة فأصبح نشيطا طيب النفس وإلا أصبح خبيث النفس كسلان
Maksudnya : “Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan, ‘malam masih panjang maka tidurlah’. Apabila seseorang kamu terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas”.

Hadis ini menunjukkan bagaimana kita perlu mencegah malas dengan cara yang diajar oleh Nabi s.a.w. Malas itu puncanya datang dari syaitan. Sememangnya syaitan sentiasa mencuba untuk menipu daya dan menyebabkan manusia lalai dari perintah Allah Taala.

Ketiga : Carilah ilmu
Saya akhiri tulisan kali ini, dengan kaedah ketiga untuk menghapuskan sikap malas. Iaitu timbalah ilmu sebanyak mungkin. Dengan ilmulah seseorang itu menjadi orang yang rajin dan cergas dalam hidupnya. Sebagai contoh, ilmu tentang fadilat dan kelebihan ibadat, menyebabkan seseorang rajin beribadat dengan syarat adanya keyakinan yang kuat tentang apa yang dipelajari. Oleh itu, orang yang mempunyai ilmu berkenaan fadilat solat jemaah, sangat rajin mengerjakan solat jemaah. Orang yang mempunyai ilmu tentang kelebihan dan fadilat solat Duha, akan menjadi rajin dan cergas untuk melaksanakannya.
Sebab itu, Rasulullah s.a.w. bersabda :

أثقل الصلاة على المنافقين صلاة العشاء وصلاة الفجر، ولو يعلمون ما فيهما لأتوهما ولو حبواً
Maksudnya : “Solat paling berat bagi orang munafiqin ialah solat isyak dan subuh. Sekiranya mereka mengetahui apakah (ganjaran) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak”.

Lihat kepada kata-kata Nabi : “Sekiranya mereka mengetahui apakah ganjaran”, menunjukkan pentingnya ilmu tentang kelebihan dan fadilat sesuatu ibabdat, kerana ia membantu anda menjadi rajin dan cergas dalam melakukannya.

Akhirnya, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri sendiri adakah kita masih malas? Sekiranya masih bergelumang dengan malas, ayuhlah kita hilangkan sikap malas yang ada pada diri kita. Janganlah menjadi pengikut syaitan dan nafsu, tetapi jadilah pengikut iman dan akal.

http://albaruhiyy.wordpress.com

Tiada ulasan: